Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
27,589
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

S

ENYUMAN mula terlukis di bibir Lidya. Sesekali matanya merenung ke wajah Yanti, selepas itu bola matanya terlontar kembali ke dada kertas yang tercetak dengan perkataan yang menceritakan sebahagian daripada episod duka di dalam hidupnya.

Bulat mata Lidya merenung Yanti yang berwajah bujur sirih itu sebaik sahaja pembacaannya sampai ke noktah terakhir. Bola matanya bercahaya.

Yanti gembira kerana dapat menggembirakan hati sahabatnya itu.

“Siapa kata kau tak boleh mengarang? Kau boleh mengarang Yanti!” Lidya mengulangi ungkapannya tadi sambil membetulkan sandaran belakangnya di kepala katil. Mungkin dia ingin mengulangi pembacaannya dengan lebih selesa.

Hati Yanti kembang kerana dipuji. “Betul ke Lidya? Kalau malam tu bolehlah aku sambung cerita kau yang seterusnya.” Dia bersuara riang. Melihat Lidya berpuas hati dengan karangannya, dia berasa karangannya yang tidak seberapa itu amat bernilai sekali.

“Yanti, aku harap aku sempat membaca tulisanmu sehingga ke akhirnya.” Lidya terbatuk kecil.

Yanti kembali memandang wajah Lidya. Lidya menyembunyikan kesedihan di sebalik senyuman yang separuh terpaksa. “Sebelum itu Lidya, macam mana dengan Syed Jefri tu? Dia ada contact kau tak?”

“Oh ya, Yanti! Ada. Seperti yang dijanjikan, Syed Jefri ada contact aku tiga hari selepas Wahid menelefon aku.” Lidya bercerita dengan nada ceria.

“Wow... tak sangka aku. Rupanya kau ni ada banyak peminat selepas zaman sekolah, ya!” Yanti cuba mengusik Lidya. Semenjak dari dulu lagi, Lidya memang selalu menjadi mangsa usikan mereka di dalam kelas. Sikap Lidya yang lembut dan lurus bendul itu membuatkan kadangkala ramai kawan-kawan ingin mengambil kesempatan untuk menyakatnya.

“Syed Jefri baik orangnya.” Sambung Lidya lagi. Bibirnya mengukir senyuman. “Aku pernah jumpa dia sekali selepas bersembang melalui telefon selama beberapa bulan. Tapi, selepas itu dia pula kena bertukar ke Sabah! Perhubungan kami sampai di situ sahaja.” Sekali lagi dia melarik senyuman di bibirnya.

“Habis itu engkau tak ada simpan apa-apa perasaan kepada Syed Jefri ke?” Yanti cuba menguji hati Lidya. Walaupun dia mengerti, bukan mudah Lidya menempatkan sesiapa di hatinya.

Lidya menggeleng. “Tak ada. Sedikit pun tidak. Aku hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat. Tidak lebih daripada itu.” Lidya bersuara perlahan. Ada ketulusan di wajahnya.

“Ala... apa salahnya kalau kau terus berkawan dengan dia. Jadikan sahabat karib.” Yanti cuba menduga lagi.

Lidya hanya tersenyum.

“Waktu itu, aku dah ada seseorang,” senyuman Lidya semakin melebar sebaik sahaja mengungkapkan ayat itu. Namun, senyuman yang melebar itu tiba-tiba terhenti. Air mukanya kembali muram. Matanya merona merah.

“Pada waktu itu...” Sambung Lidya lagi. Dia masih menyembunyikan siapa teman karibnya daripada pengetahuan Yanti. “Tapi, nanti-nantilah baru aku ceritakan tentang dia. Sekarang ni kita cerita pasal Wahid.” Dia seolah dapat membaca fikiran Yanti yang ingin menyoal tentang sahabat karibnya itu.

Yanti mengangguk. “Lidya, apa kesudahannya perhubungan kau dengan Wahid? Boleh kau teruskan cerita tentangnya?” Dia bagaikan tidak sabar untuk meneruskan karangannya mengenai Lidya.

“Ya! Entahlah Yanti! Aku pun tidak tahu mengapa harus menerima nasib yang sedemikian rupa.” Lidya menarik nafas panjang dan mengeluh. “Mungkin ALLAH sengaja mengatur hidupku begitu!” Dia bersuara perlahan. “Harus menempuh kesukaran demi kesukaran.” Dia menarik nafas panjang.

Yanti diam tidak menjawab. Dia cuba memberi sepenuh konsentrasi terhadap cerita yang ingin disampaikan oleh Lidya.

“Selepas pertunangan itu aku mula menyayangi Wahid. Pada anggapanku, dia pun begitu juga kepadaku. Layanannya terhadapku membuktikan segalanya. Ada satu ketika itu, Wahid tiba-tiba menghilangkan diri. Hampir dua bulan.” Lidya bersuara sayu.

“Lelaki kurang ajar! Tergamak dia buat begitu pada kau?” sampuk Yanti.Dia berasa geram dengan perlakuan Wahid. “Ke mana dia pergi?” Lagi sekali dia berasa tidak sabar untuk mendengar cerita tunangan Lidya itu. Pada anggapannya, Lidya telah terjerat dengan lelaki yang tidak jujur. Lelaki yang telah mengambil kesempatan di atas kelurusan hati, kejujuran dan kelembutan sahabatnya itu.

“Lelaki, Yanti. Lelaki!” Lidya bersuara sayu. Matanya merenung jendela. Rona wajahnya kembali muram. Sesekali dia menggigit bibir yang kering.

Yanti terus mencatat satu per satu cerita Lidya. Sambil bercerita, sesekali Lidya menarik nafas panjang dan kadangkala dia mengeluh dengan keluhan yang amat berat.

“Nasib baik dia bertemu dengan engkau Lidya! Kalau dia bertemu dengan aku...” Bersungguh-sungguh Yanti berkata.

“Yanti! Kalau kau geram pada Wahid, nanti sewaktu kau mengarang, kau lepaskanlah rasa geram kau itu.” Lidya tersenyum seketika melihat kesungguhan Yanti.

“Puan! Waktu melawat dah berakhir! Pesakit perlukan rehat!” Seorang jururawat mengingatkan Yanti yang masih asyik mencatat perkara-perkara penting di buku yang disediakan khas untuk mencatit kisah Lidya.

“Baik! Sebentar lagi saya pergi.” Yanti menoleh pada jururawat itu dan kemudian memandang Lidya yang sudah merebahkan dirinya di atas tilam.

“Yanti! Maafkan aku kerana membebankan kau dengan kemahuanku!” Lidya menghulurkan tangannya kepada Yanti. “Aku harap, segala ceritaku nanti boleh menjadi iktibar untuk orang lain,” suara Lidya perlahan. Wajahnya kembali muram. “Jangan cepat percaya pada kaum lelaki. Kepercayaan yang kita hamburkan, balasannya luka yang amat dalam!!!”

Lidya seolah-olah prejudis dengan lelaki.Itulah yang difikirkan oleh Yanti. Mungkin pengalaman yang dilaluinya telah menyebabkan Lidya beranggapan begitu.

Maaf, sekiranya aku menyusahkan kau, Yanti” Sekali lagi tangan Yanti diusap-usap Lidya perlahan.

“Aku tidak pernah rasa begitu Lidya. Aku gembira jika dapat melakukan sesuatu yang boleh menghiburkan hati kau. Bukankah kita dah lama berkawan! Janganlah kau memikirkan yang bukan-bukan pula,” ujar Yanti sambil membetulkan rambut Lidya yang terjuntai di dahinya. Hujung rambutnya itu hampir mencecah kolam matanya.

Lidya tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum mendengarkan kata-kata itu.

“Baiklah Lidya! Malam ini jika aku tidak kepenatan, aku karangkan yang ini! Jika aku penat melayan anak-anak dan tidak sempat, esok insya-ALLAH apabila semua anak-anakku dah ke sekolah, aku akan karangkan juga. Kau jangan bimbang!” Yanti memberi Lidya harapan. Dia tersenyum kerana akhirnya Lidya mengalah dan menceritakan tentang sahabat karib yang dikatakannya itu.

“Aku pulang dulu,” ujarnya. Pipi Lidya yang lesu dicium dua tiga kali.

Lidya mengiringi pemergian Yanti dengan lambaian matanya.

YANTI berjalan laju-laju menuju ke tempat parkir kereta. Setibanya di situ kelihatan suami dan anak-anaknya telah menunggu. Cuaca redup. Sinar matahari seolah bersembunyi di balik awan.

“Ibu! Kenapa ibu lambat ni?” Si bongsu yang berusia empat tahun merengek manja dan terus meminta untuk didukung.

Yanti mengusap-ngusap rambut kerinting Farhan, anak bongsunya.

“ Sayang dah besarlah. Ibu tak larat lagi nak dukung!” Sungguh pun begitu, tidak sampai hati untuk dia menghampakan hati si kecil itu.

“Hmm... Yanti, macam mana dengan kawan Yanti tu?” Adib, suami Yanti menyoal sebaik sahaja pinggul Yanti mencecah tempat duduk di sebelahnya. Dia menghidupkan enjin kereta sebaik sahaja dipastikan semua anak-anaknya telah berada di dalam kereta.

Yanti melihat ke ruang duduk belakang dan memastikan pintu kereta telah ditutup dengan rapat. “Macam tu jugak, abang!” Dia menjawab perlahan tanpa memandang Adib. Matanya masih asyik memerhatikan anak-anak yang sedang berebut tempat duduk di belakang.

“Dia sakit apa sebenarnya?” Mulut Adib masih ingin bertanya sambil matanya asyik mengerling cermin pandang belakang yang di sisi kanan kereta.

“Kepalanya baru scan tetapi tak dapat di kesan apa puncanya!” Yanti menerangkan.

“Apa simpton-simptonnya?” tanya Adib tanpa menoleh kepada Yanti. Matanya tertumpu ke hadapan. Kenderaan yang beratur di hadapan kereta mereka bergerak perlahan.

“Hmm... selalu sakit kepala katanya. Macam kena korek dalam kepala otaknya jika rasa sakitnya datang.”

“Ketumbuhan dalam otak agaknya!” Adib cuba meneka.

“Hisy! Abang ni, janganlah cakap macam tu! Doakan dia tak ada apa-apa sudahlah!!!”Yanti sedikit merungut.

“Tak ada orang lain yang melawat dia ke?”

Yanti tidak menjawab. Selama dia melawat Lidya di wad hampir tiga minggu ini, tidak pernah pula bertembung dengan sesiapa yang datang melawat Lidya. “Keluarga yang lain semua sibuk agaknya, bang,” jawabnya, cuba menutup mulut suaminya dari menyoal bermacam-macam lagi.

“Sibuk pun, takkanlah tak boleh luangkan waktu walaupun sehari untuk kawan awak tu,” ujar Adib sambil matanya menjeling kepada Yanti.

“Lagipun, mereka kan di negeri lain. Jauh!Entah ada atau tidak adik beradiknya lagi. Ibu bapanya dah lama meninggal.” Yanti menyambung bicara.

“Macam mana Yanti boleh kenal dengan dia?”

“Kawan lama, waktu sekolah dulu. Abang, sesekali ikutlah saya pergi melawatnya.” Dia merenung suaminya yang tidak menoleh kepadanya kerana asyik dengan pemanduannya.

“Hmm... tak apalah Yanti. Abang tak mahu ganggu ketenangannya. Lagipun Yanti ada cerita pada abang yang kawan Yanti tu sedang bercerita tentang seseorang yang amat dikenanginya. Bimbang nanti kehadiran abang bersama Yanti akan menyebabkan dia berasa tidak selesa,” tukas Adib dengan suara perlahan.

“Ayah! Ayah! Nak pergi ke taman permainan! Nak main gelongsor...” Fareez, bersuara nyaring sambil memicit-micit tengkuk ayahnya.

Yanti yang memerhatikan hanya tersenyum.Fareez, anak sulungnya, berwajah bujur dan berkening lebat. Anak yang comel dan petah.

“Tak nak! Tadi ayah janji nak pergi makan KFC.”Alia pula mencelah. Suaranya seakan merengek.

“Yalah! Yalah! Duduk diam-diam. Jangan nak melompat-lompat di atas tempat duduk tu. Ke mana pun ayah boleh bawa.” Adib memang seorang ayah yang penyayang tetapi kadangkala tegas. “Kita nak ke mana dulu ni?” Dia meminta pandangan Yanti.

Yanti tidak menjawab pertanyaan Adib sebaliknya memandang ke tempat duduk belakang. Budak-budak itu sedang tersengih keriangan. “Hmm... Fareez, Alia, Farhan, kita nak pergi mana dulu?” Dia meminta pandangan daripada mereka pula.

“KFC...” Alia pantas menjawab sambil menjelirkan lidah kepada Fareez, abangnya.

“Setuju tak?” Yanti bersuara kuat.

“Setuju! Setuju!Setuju!” Fareez dan Alia berlawan-lawan menyatakan persetujuan mereka.

“Okey! Ayah pun setuju!” Adib juga bersuara kuat seperti budak-budak.

Begitulah kehidupan Yanti bersama dengan keluarganya.Sentiasa ceria dan gembira. Walaupun ketiga-tiga mereka hanyalah anak-anak angkat, dia bahagia dengan kasih sayang mereka dan Adib. Adib yang baru dua tahun dinikahi.

SELESAI makan malam, Yanti mengemaskan dapur dan melipat kain. Selepas menidurkan anak-anak dan menyediakan segala keperluan Adib, dia kembali mengadap komputer. Pukul 1.00 pagi baru dia mula mengarang, menyambung kembali cerita tentang Lidya.

Yanti cuba meletakkan dirinya menjadi Lidya dan menyelami perasaannya. Bagaimana rasanya apabila lelaki yang dikasihi menghilangkan diri tanpa khabar dan berita? Peritkah rasanya? Dia memulakan karangannya…

Kerinduan yang tidak terlontar, menyebabkan hatiku merintih-rintih setiap waktu semenjak Wahid menyepikan dirinya dariku. ‘Wahid, ke mana kau menghilang! Wahid tak telefon! Tak hubungi Lidya terlalu lama! Lidya risau! Tak boleh tidur! Tak lalu makan! Kenapa lakukan ini semua kepada Lidya!Kenapa?’

Aku menangis tersedu-sedu seperti anak kecil. Memang benar. Aku benar-benar bagaikan layang-layang yang terputus tali. Kesepian terhampar di hati bagaikan padang pasir yang maha luas. Ingin menghubunginya, aku hanya memiliki nombor telefon pejabatnya sahaja. Alamat rumahnya pun aku tidak pernah tanya dan simpan. Betapa bodohnya aku.

Yang aku tahu Wahid, anak yatim piatu berasal dari Melaka. Tempat tinggalnya pun aku tidak tahu. Aku hanya tahu alamat tempat dia bekerja sahaja. Entah mengapa, apabila dia melamar aku dan menjadi tunanganku, aku terlalu mempercayainya. Kepercayaan yang tidak berbelah bahagi itu menyebabkan aku terlupa bertanya apa-apa yang sepatutnya menjadi pengetahuanku.

Panggilan telefon daripada Wahid, pada suatu hari seolah melontarkan satu isyarat baru di hatiku. Ada sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan kami. Hatiku kuat mengatakan itu. Cuma aku tidak dapat menterjermahkan apakah yang cuba disampaikan oleh suara hatiku?

“Lidya, maafkan Wahid, sayang! Wahid kemalangan! Sekarang Wahid berada di Melaka.” Terdengar suara Wahid sayup-sayup. Serak-serak bunyinya.

“Kemalangan! Kenapa tak beritahu Lidya! Sekarang ni Wahid di hospital atau di rumah? Cedera teruk ke?” Tangisanku semakin kuat. Air mataku semakin lebat. Aku menyoal Wahid dengan nada suara yang amat risau. Degupan jantungku TUHAN sahaja yang tahu.

“Tak ada apa dah! Lidya jangan risau! Bye!

Gagang telefon diletakkannya sebelum sempat aku meminta nombor telefon dan alamat rumahnya di Melaka serta menanyakan beberapa soalan lagi. Aku buntu. Benar-benar buntu.Meskipun sebelumnya aku selalu bersikap tenang dan bersabar di atas apa-apa perkara pun. Sikap Wahid kebelakangan ini betul-betul mencabar ketabahanku. Tidak semena-mena Wahid hilang dariku. Tidak menghubungi dan tidak dapat dihubungi.

Bagi Wahid, seolah-olah aku ini tidak bermakna langsung padanya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa sedihnya perasaan hatiku di waktu itu. Bakal suamiku mengalami kemalangan dan aku tidak dapat melawatnya. Dalam keadaan hati yang meronta-ronta untuk menziarahinya, aku ketiadaan maklumat.Nombor telefon rumah tiada. Alamat rumah kampung pun begitu juga, tiada dalam simpananku.

Apa lagi yang dapat kulakukan kecuali bersabar dan mengharap sesuatu yang ajaib daripada ALLAH. Aku resah dan gelisah setiap waktu. Tanpa belaian kasih sayang, aku seolah sebatang pohon yang semakin layu.

Untuk mengelakkan diri daripada terus mengingati Wahid, aku menumpukan perhatian terhadap kerja. Setiap hari aku bekerja lebih masa. Kepenatan kerana bekerja dapat membantuku melupai Wahid, walaupun seketika. Sungguh pun begitu, kesedihan yang semakin melebar di hati, terpamer juga di muka.

“Good morning!”

“Hello... Good morning!”

Miss... Miss Lidyahani!!! Selamat Pagi!”

Sapaan lelaki itu yang berulang kali, tidak aku endahkan. Fikiranku hanyut entah ke mana. Jejari menekan kekunci keyboard, mata memandang monitor, namun fikiran sesat di belantara duka.

Honey! Oii... sayang! Cik adik!Eh! Teruk dah kawan aku ni!” Tiba-tiba tangannya menepuk meja.

Tepukan yang kuat itu menyebabkan aku tersentak, lalu kembali ke alam nyata.

“Mike!!! Alamak... Sorry! Sorry!.” Aku mengangkat kedua tanganku dan merapatkan ke hidung. Seolah meminta ampun daripada Michael yang tersengih, berdiri di sisiku. Aku memuncungkan bibir ke arah sebuah kerusi kosong di tepi dinding, mengisyaratkan pada Michael supaya dia mengambil kerusi itu untuk duduk. Michael berbaju T hitam lengan pendek dan berjeans biru tua pagi itu. Secocok dengan kulitnya yang cerah.

“Mengelamun jauh! Dah sampai ke mana?” Michael bertanya dengan suara riang. Dia menarik kerusi yang aku maksudkan lalu menghenyakkan punggungnya, duduk di kerusi itu. Dia menghulurkan beberapa dokumen kepadaku. “Honey! Tolong cop invoice ni!!” Dia mengerling aku dengan ekor matanya.

Seolah tidak mempedulikan kerlingannya itu, aku mengambil rubber stamp dan stamp-pad dari dalam laci mejaku. “Bahagian receiving dah periksa barang ke belum ni? Kuantiti cukup tak?” Aku meneliti beberapa invoice sambil mataku memandang wajah Michael, inginkan kepastian. Wajahku selamba tanpa secebis senyuman.

“Aiii! Dahlah, sayang. Sebelum datang ke sini, QC Inspektor bahagian receiving pun dah periksa.” Bibir Michael tersungging senyuman. Ekor matanya melirik kepadaku lagi.

“Hari ni macam mak nenek pulak you ni!” Michael cuba bergurau.

Gurauannya tidak mendapat layanan daripadaku kerana kotak fikirkan asyik mengenang Wahid. Dokumen-dokumen yang dihulurkan oleh Michael, terus aku copkan untuk mengesahkan barang-barang itu sudah di terima.

“Dah breakfast?

Aku mengeleng-ngeleng kepala tanpa suara. “Nah! Dah siap. Hantar invoice ni pada Anita! Atau letak atas meja dia saja. Anita pergi minum!” Aku bersuara perlahan tanpa memandang kepadanya. Mataku terus menumpu ke dada monitor sekali lagi.

“Tak lalu makan ke?” Michael menyoal lagi.

Aku diam. Aku resah dengan pertanyaan Michael. Bimbang dia dapat meneka kemelut di jiwaku. Kemelut yang tidak mungkin terlerai, walau air mataku sudah acap kali berderai.

“Jom temankan I.” Tidak jemu pemuda berwajah bulat itu berbual denganku walaupun aku bersikap tak endah.

Aku mengeleng tanpa memandangnya.

“Jomlah!Nanti boleh cerita pada I.” Suara Michael membujuk.

Sikap Michael yang pandai serkap jarang itu kadangkala membuat aku tertewas. Namun hari ini, mungkin tidak. Aku benar-benar tak ada selera untuk menjamah makanan sehari dua ini.

Sorry, Mike. Hari ni tak boleh! Lain kali, ya,” ujarku kepada pemuda itu. Rasa simpatiku terbenih apabila melihat dia masih berdiri di muka pintu menanti jawapan atau tindakan daripadaku.

Seketika kemudian Michael duduk kembali di sisiku. “Okey! Kalau tak mau tak apa.Tapi honey, hari ni last dayI datang ke sini tau.” Dia bangun dari kerusi yang didudukinya lalu mencapai semua dokumen yang aku hulurkan kepadanya.

“Alaa... janganlah merajuk Mike!” Aku sedikit kerisauan dan berasa kehilangan.

Michael tidak menjawab. Dia terus menolak daun pintu dan segera beredar dari pejabatku.

“Mike! You nak pergi mana?” jeritku pada Michael yang sudah beredar daripada situ. Langkahan kakinya terlalu cepat. Tidak sampai berapa saat, kelibatnya sudah hilang daripada pandangan mataku. Air mataku seakan merembes.

DUA minggu selepas Wahid menghubungi aku dari Melaka dan memberi perkhabaran kemalangan yang menimpanya, Wahid mula bekerja dan menelefonku di pejabat.

“ Lidya! Malam ni Wahid datang ambil, ya?Kita keluar makan sama, ya?” kata Wahid. Pendek dan ringkas. Suaranya tidak seperti selalu.

Hatiku merasakan kelainannya. Aku juga sudah hilang keceriaan.“Okeylah, Wahid datang pukul 9.00 malam. Lidya tunggu tempat biasa!” Aku bersuara hambar. Aku bagaikan tawar hati.

MALAMNYA Wahid datang setelah dua jam aku menunggunya. Sebelum ini dia tidak pernah begitu. Janji pukul 9.00 malam, pukul 8.30 keretanya sudah tersadai di bawah pokok ketapang, di hadapan flat tempat aku menginap.

“Maaflah, lambat! Enjin kereta tak boleh start.”Wahid memberi alasan sambil membukakan pintu kereta untukku. Aku terus duduk di sampingnya. Malam itu aku memakai baju kurung batik maroon yang dibeli oleh Wahid sebelum ini.

“Mana tempat yang cedera tu?” Aku membedek-bedek lengan Wahid.Masih ada parutnya sepanjang dua inci melintang di atas lengan. Kulit sikunya sedikit tersiat.

“Bila balik sini? Tiba-tiba hilang! Beritahu kemalangan, lepas tu menghilang lagi! Lebih baik beritahu Lidya, Wahid dah mati!” Aku meluahkan perasaan geram sambil menitiskan air mata. “Lidya risau!” Ungkapku sambil menahan tangis.

“Lidya! Dahlah, tu. Kan Wahid dah berada di sisi Lidya ni! Jangan risau lagi!” Wahid memujuk sambil mengesat air mataku dengan ibu jarinya.

Aku teresak-esak.

“Wahid ada hal sikit nak bincang dengan Lidya!Kita pergi restoran tu, ya.” Wahid meneruskan bicaranya. Suaranya begitu lembut.

Aku tidak menjawab.

Wahid membisu sahaja sepanjang jalan menuju ke restoran yang dimaksudkannya.

“Ceritalah!” Aku memandang ke wajah Wahid. Kami duduk di meja yang berhampiran dengan pokok bunga melur yang di tanam di dalam tayar buruk. Ada beberapa kuntum bunga melur yang baru mengembang. Sesekali keharuman melur menyentuh hidungku.

“Wahid ada masalah.” Wahid memegang tanganku. Air mukanya tidak sejernih selalu. Keruh dan bimbang.

“Ceritalah! Masalah apa?” Aku merenungi matanya. Benakku cuba meneka masalah yang sedang menyelubungi tunanganku itu.

Wahid menundukkan mukanya. “Wahid serba salah Lidya! Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Seolah makan buah kepayang! Di telan mabuk, di buang sayang.” Dia menjawab dengan suara yang amat perlahan.

Ah! Lelaki ini! Mula menunjukkan ciri-ciri yang paling aku benci. Takut dan tidak berani membuat keputusan. “Habis tu, jika tak diluahkan, tidak ditelan, Wahid juga nanti yang akan mati tercekik!” Aku berbisik perlahan, bimbang didengari pelanggan restoran yang lain.

Aku dan Wahid senyap sebaik sahaja pelayan restoran datang membawa hidangan yang dipesan.

“Wahid, sayang pada Lidya! Tak ingin kita berpisah! Wahid tak sanggup!” Dia bersuara sebak. Dia menyambung bicara sebaik sahaja pelayan restoran beredar dari situ. Hatiku diburu resah dengan pengucapan Wahid.

“Berpisah? Mengapa sebutkan hal itu? Lidya tidak suka!” Aku memandang ke arah jalan raya yang lengang seketika.

Wahid tidak menjawab.

Perpisahan? Mengapa harus timbul perkataan perpisahan? Aku benar-benar tidak faham. Apa salahku sehingga Wahid menimbulkan soal perpisahan? Bukankah ikatan ini dia yang menginginkannya? Dan kini mengapa ingin menjemput perpisahan pula? Mengapa? Perasaanku terumbang ambing dengan sikap Wahid. Wahid yang tiba-tiba berubah.

“Beginilah, bila bersedia nanti, Wahid ceritakanlah kepada Lidya! Lidya sedia terima.” Aku cuba menenangkan hatiku dengan memujuk Wahid.

Wahid terus menggenggam tanganku. Aku lihat ada air yang menakungi kolam matanya. Lelaki ini menangis? Sudah tentu permasalahannya amat berat. Membebankan jiwa, menyendatkan perasaan.

SELEPAS malam itu, Wahid jarang-jarang lagi menghubungi aku.Lagi sekali aku diabaikan tanpa perhatiannya seperti dulu. Apakah salah diri ini? Mengapa? Kenapa? Dulu dia yang menagih kasih, mengharapkan perhatian. Kini apabila segalanya telah kulambakkan tanpa berbelah bagi, mengapa ini semua harus terjadi. Wahid terus menyembunyikan permasalahannya yang amat misteri itu.

Aku terkenang kembali mimpi yang menghadiri tidurku sewaktu hari pertama cincin ikatan dari Wahid tersarung di jari manisku. Sedang aku mengelamun, telefon di atas meja berdering.

“Helo! Lidya sayang! Malam ini sayang free tak? Wahid datang ambil selepas Maghrib, ya?”

Aku yang baru balik dari pejabat dan agak kepenatan tercungap menjawab. “Okey. Jangan lambat-lambat!” ujarku sambil meletakkan gagang telefon setelah mengucapkan salam.

SEPERTI yang dijanjikan, malam itu Wahid datang menjemputku. Tanpa sepatah kata, Wahid di sebelahku memandu dengan tenang.

Aku hanya memerhatikannya dengan ekor mataku. Memperhatikan segala-galanya.

Aku terkejut apabila kereta Wahid memasuki kawasanmotel berhampiran pinggir bandar. Wahid menarik tanganku supaya keluar dari kereta dan mengekorinya menuju ke kaunter rumah penginapan itu untuk mengambil kunci bilik.

“Bilik yang saya booking petang tadi!” Wahid bersuara perlahan kepada gadis Cina yang bertugas di kaunter. Gadis Cina berskirt pendek sehingga menampakkan buah pinggulnya.

“Encik Wahid, ya?” soal Gadis Cina itu sambil membuka sebuah buku tebal berkulit keras.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.