Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
27,589
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

MINGGU itu, terasa kembang hati Yanti sewaktu melawat Lidya diHospital Besar PulauPinang. Di dalam beg sandangnya terkandung beberapa keping kertas A4 yang telah bercetak dengan hasil karangannya. Karangan yang diingini oleh Lidya.

“Lidya, ini hasil tulisanku. Bacalah!Dan jangan kecil hati jika ia tidak kena dengan hatimu.” Yanti menghulurkan sampul surat yang dibawa kepada Lidya.

Lidya kelihatan tidak sabar lalu terus mengeluarkan kepingan kertas-kertas itu. Wajahnya riang. Matanya memandang ke arah Yanti yang berbaju kurung hijau polos dan bertudung kuning muda bercorak hijau dan putih.

Lidya memulakan pembacaannya sepintas lalu. Sesekali dia tersenyum. Sesekali dia berwajah sayu.

Terkocak sedikit hati Yanti, bimbang jika karangannya tidak dapat memenuhi perasaan hati Lidya, sahabatnya itu.

“Yanti, terima kasih! Sebenarnya kau boleh mengarang.” Lidya menyandarkan dirinya di bantal yang tersandar di hujung katil sambil membaca lagi.Kali ini dia ingin mengamati tulisan karangan Yanti itu sepenuh hatinya.

DUA tiga bulan kebelakangan ini hatiku berasa gusar. Sungguh. Kegusaran yang tidak pernah kualami sebelum ini. Siang tadi, aku menerima panggilan telefon daripada ibuku di kampung. Dia bertanyakan tentang Wahid. Wahid yang hampir setahun enam bulan menjadi tunanganku. Tunangan yang tidak dirancang sama sekali.

Mengapa aku tiba-tiba sahaja menyetujuinya? Sedangkan sebenarnya aku sedikit pun tidak menyintainya. Kasih sayang pun belum berputik. Jauh di sudut hati, aku masih terkenangkan Idham.

Idham lelaki pertama yang aku kenal. Mungkin juga yang pertama menyapa hatiku sejak aku di sekolah menengah rendah lagi walaupun tidak pernah melafazkan cinta. Namun dia tetap kukenang, dalam kejauhan.

Namun, Idham sudah tiada lagi di kehidupanku pada waktu itu. Kami terpisah. Aku merajuk kerana Idham bagaikan tidak pernah menghargaiku. Tidak pernah menyatakan perasaannya. Tidak pernah menanyakan perasaanku.

Idham, tebal dengan keegoannya. Tidak pernah mempedulikan diriku. Lantas aku mengambil keputusan untuk beredar dari dirinya. Tambah memedihkan, Idham tidak pernah cuba menghubungiku. Tidak pernah berusaha untuk memujukku. Apatah lagi untuk bertanya khabarku. Lalu aku beranggapan, aku hanya pendatang yang tidak pernah diperlukan di hatinya. Patutlah aku tidak dihargainya.

Setelah itu aku bagaikan tawar hati dengan lelaki walaupun pergaulan dengan kawan-kawan lelaki agak luas juga. Setiap kali ada di antara teman lelakiku menyuarakan isi hati mereka untuk menjadikan aku seseorang yang istimewa di hati mereka, aku menjauhkan diri. Sehinggalah aku berkenalan dengan Wahid. Perkenalan yang tidak di duga.

Hari itu sebenarnya aku sedang menunggu panggilan telefon daripada Syed Jefri. Syed Jefri seseorang yang ingin diperkenalkan oleh Kak Jie, kerani di bahagian receiving, kilang tempat aku bekerja.

“Lidya! Kak Jie berkenanlah kepada Lidya ni. Lembut, bertolak ansur, sopan santun dan hormat pada orang tua. Kalau Kak Jie kenalkan Lidya kepada seseorang, Lidya nak tak? Lidya dah ada boyfriend ke belum? Kak Jie ada seseorang nak dikenalkan kepada Lidya. Jiran Kak Jie, Syed Jefri. Dia bekerja sebagai tentera udara. Kak Jie rasa sesuai dengan Lidya. Kak Jie pun dah ceritakan hal Lidya kepada Jef. Nampaknya dia pun berminat untuk berkenalan dengan Lidya.” Begitulah panjang lebarnya penerangan daripada Kak Jie.

Aku tidak mahu meneka bentuk promosi yang telah dijalankan oleh Kak Jie. Promosi tentang diriku. Kalau aku tanya takut dia tersinggung pulak. Menolak keinginan Kak Jie tentu akan mengecilkan hatinya. Lalu aku pun bersetuju. Apa salahnya menambah kenalan baru. Lagipun pada waktu itu aku tidak terikat dengan sesiapa. Semuanya hanyalah kenalan biasa saja bagiku.

“Bolehlah Kak Jie. Kak Jie berilah nombor telefon saya kepada Syed Jefri. Tapi beritahu dengan dia, call sebelum pukul 10.30 malam, jika waktu itu saya bekerja syif pagi.” Aku lihat Kak Jie tersenyum riang sambil mencatatkan nombor telefonku.

Dalam pada aku menunggu pada keesokan harinya, telefon berdering. Waktu itu jam menunjukkan 11.45 pagi. Secara kebetulan aku bekerja di syif petang. Aku bersendirian di rumah sementara menunggu waktu untuk pergi kerja pada pukul 1.45 petang.

“Helo! Assalamualaikum...” Itulah patah perkataan yang keluar dari bibirku sebaik sahaja gagang telefon kuangkat. Gagang telefon kulekapkan ke telinga kiriku.

“Waalaikumsalam... Lidya ke ni?” Lembut dan bersahaja jawapan yang aku dengar. Suara lelaki yang asing di telingaku.

“Lidya, apa khabar?” ujar lelaki itu lagi. Tidak sempat aku menjawab, dia bertanya lagi. Nada dan caranya seolah-olah telah lama mengenali aku.

“Baik, alhamdulillah!” Aku menjawab berhati-hati. Berbicara dengan orang yang pertama kali menghubungi, aku harus teliti.

“Dah makan ke?” soalnya lagi, masih dengan nada mesra.

“Hmm... alhamdulillah. Baru sebentar tadi saya makan.” Jawabku tanpa gugup. Aku menanti dengan sabar Syed Jefri memperkenalkan dirinya.

“ Mesra dan ramah Lidya ni.” Pujian yang tidak kupinta menjengah ke telinga. Aku tidak menjawab, hanya menanti dia meneruskan bicaranya.

“Saya Wahid.” Lelaki itu mengenalkan diri dengan bersahaja.

Aku terkejut seketika. Mengapa Wahid? Bukankah aku sedang menunggu panggilan daripada Syed Jefri.Mahu saja aku meletakkan gagang telefon, tetapi rasa simpati bertamu di hati.

“Apa khabar? Maaf, Encik Wahid, kita pernah bertemu ke sebelum ini? Saya rasa saya tak ada kawan bernama Wahid. Dari mana Encik Wahid mendapat nombor telefon rumah saya ni?” Sungguh pun aku berasa tidak selesa dengan keadaan itu, aku cuba untuk tidak menyakiti hati orang yang baru pertama kali menghubungi aku.

“Memang Lidya tidak pernah kenal dengan Wahid. Tetapi Wahid ingin kenal dengan Lidya setelah melihat beberapa foto Lidya bersama dengan Liza. Liza tu girlfriend kawan Wahid. Kamal namanya. Kamal pun kenal dengan Lidya. Dia yang berikan nombor Lidya ni.” Wahid menerangkan kepada aku.

“Abang Kamal?” Mujur aku kenal dengan orang-orang yang dimaksudkan oleh Wahid. Terbayang aku wajah Abang Kamal. Lelaki berwajah mirip P.Ramlee. Suara pun macam P.Ramlee. Karakter pun macam seniman itu, di dalam filem komedi. Abang Kamal bekerja sebagai pegawai kastam di daerah itu.

“Lidya marah ke Wahid call ni?”

Suara Wahid yang seakan risau menyinggahi telingaku.“ No... no... tak… tak marah! Mengapa nak marah?” Aku cuba menjaga hati orang yang baru kukenal.

So, Selamat Berkenalan.” Aku ketandusan idea untuk berkata lagi. Fikiranku kosong.

“Terima kasih Lidya. Sudi ke berkawan dengan Wahid ni.” Wahid bersuara seakan mengharap.

“Apa salahnya. Tak menjadi masalah kepada saya. Insya-ALLAH! Berkawan biar seribu.” Aku membalas pertanyaan Wahid dengan bahasa kiasan dan ramah.

“Berkasih?” Wahid cuba menguji aku.

“Berkasih pun seribu juga!Semua yang kita kawan mestilah kita kasih. Kita sayang supaya kita tidak ada niat melakukan kejahatan!” Petah aku menjawab, sambil memikirkan cara menamatkan perbualan.

“Encik Wahid, minta maaflah kerana Lidya tidak dapat berbual panjang! Lidya belum gosok pakaian untuk di pakai ke tempat kerja hari ini. Insya-ALLAH, lain kali kita bersembang lagi ya!”

“Okey... okey...” Mujurlah Wahid bersetuju.

Aku meletakkan gagang telefon dengan perasaan lega. Begitulah detik perkenalanku dengan Wahid. Sebulan kemudian baru aku bertemu muka dengannya walaupun sebelumnya aku tidak berminat langsung untuk menemuinya. Cukuplah berhubung melalui telefon sahaja. Itupun bersyarat juga. Telefon aku sebelum 10.30 malam. Lewat dari itu aku tidak akan melayan.

Sememangnya aku suka berterus terang. Sebenarnya setelah merajuk hati dengan Idham, dan aku membawa diri ke rantau orang. Hatiku seolah telah tawar dengan lelaki. Aku bosan dan rimas.

Pada suatu petang, Wahid menunggu aku di tepi jalan sewaktu hujan lebat. Aku balik dari pejabat menggunakan pengangkutan yang disediakan oleh syarikat tempatku bekerja. Sebaik turun dari bas dan setelah menyeberangi jalan, aku terjengkit-jengkit melalui lopak yang berair. Hujan yang teramat lebat menyebabkan lopak-lopak di tepi jalan ditakungi air. Sambil berjalan, sebelah tanganku mengangkat sedikit kain baju kurung yang aku pakai untuk mengelakkan percikan air kotor. Tambahan pula pada hari itu aku memakai baju berwarna cerah. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil oleh seseorang.

“Lidya! Lidya...”

Aku menghentikan langkahan kakiku. Seorang lelaki berbaju hujan tebal dan berpayung menghampiriku. Sebahagian daripada seluarnya sudah kelihatan lencun daripada lutut ke bawah.

“Wahid...” Dia memperkenalkan dirinya.

Aku terkejut juga pada mulanya. Namun, aku tetap bertenang.

“Dah sejam Wahid tunggu Lidya di sini.” Dia menerangkan tanpa dipinta. Bibirnya tersenyum.

“ Oh ya? Lidya habis kerja pukul 5.00 petang. Biasa 5.15 dah sampai. Tapi hari ni hujan lebat sangat, jalan pun sesak sikit.Ada banjir kilat di pelabuhan tu.” Aku menerangkan dengan rela. Suaraku agak kuat kerana cuba mengatasi bunyi hujan yang kasar-kasar serta lebat.

“Macam mana tahu saya Lidya?” Aku menyoal pula. Pelik sikit rasanya, tak pernah berjumpa tiba-tiba memanggil namaku. Perjalanan pulangku rasa terganggu. Tambahan pula hujan sedang turun dengan lebat bercampur angin dan sesekali kilat dan petir.

“Kan Wahid dah tengok foto Lidya!” Lelaki itu bersuara perlahan. Suaranya seakan ditenggelami oleh bunyi guruh yang tiba-tiba berdentum. Langit gelap seakan hampir malam.

“Wahid, Lidya beredar dululah. Hujan lebat ni. Dah lewat. Lagipun Lidya belum sembahyang asar lagi ni. Maaf ya!!!” Payung yang aku pegang dengan tangan kanan aku ubah-ubahkan kedudukannya mengikut hala angin bagi mengelakkan bajuku basah disirami hujan.

“Malam ni Wahid datang ambil Lidya, boleh?”Wahid seolah meminta persetujuan. Matanya menatap wajahku.

“Okey! Selepas isyak. Aku terus bersetuju bagi mengelakkan lebih banyak masa terbuang di situ.

Malamnya kami keluar makan malam bersama. Pertemuan kali pertama. Bagiku Wahid tidak ada apa-apa yang istimewa, yang boleh menarik minatku untuk menawan hatinya. Namun sejak pertemuan pertama, Wahid seakan tidak boleh berenggang dari aku. Setiap hari dia menunggu aku. Aku berasa tidak selesa dengan keadaan itu. Tambahan aku tinggal menyewa bersama dengan lima orang kawan-kawan lain di sebuah flat. Boleh dikatakan seminggu dua atau tiga kali dia akan menunggu di simpang masuk menghala ke flat sewaanku.

“Lidya, sejak kenal dengan Lidya, Wahid rasa tak mahu berpisah dengan Lidya walaupun sesaat.” Begitulah kata Wahid.

Geli telingaku mendengarkan kata-katanya. Loya rasanya tekakku. Jika diikutkan, pasti muntah terpancut dari mulutku. Namun begitu, aku harus menghormati perasaan lelaki itu. Jika benar perasaannya sehingga ke tahap itu, mentertawakannya pasti akan membuat hatinya terluka.

“Cuti Depavali nanti Lidya balik ke kampung tak?” Wahid memandang ke wajahku.

Aku mengangguk sambil tersenyum.

“Wahid nak ikut! Nak kenal dengan ibu bapa Lidya!” Lagi sekali Wahid mengejutkan aku dengan bicaranya.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, aku mengangguk. “Jomlah. Lidya tak ada masalah apa-apa! Tapi ibu bapa Lidya orang kampung tau!.” Itulah jawapanku. Keinginan Wahid untuk mengenali ibu bapaku aku terima dengan ikhlas hati tanpa bertanya apa-apa maksuddisebaliknya.

MINGGU berikutnya aku bersama Wahid pulang ke kampungku di Perak. Hampir tengah malam kami tiba. Keesokan paginya Wahid kulihat berbual-bual bersama dengan ibu dan bapaku. Setelah siap memasak untuk tengah hari itu, emak menghampiriku sambil mengunjukkan kotak kecil berbaldu biru tua.

“Nah Lidya! Ini milik kamu.” Emak menghulurkan kepada aku. Aku menyambutnya lalu membuka kotak itu. Sebentuk cincin berlian, terselit di dalamnya.

“Untuk apa ni mak?” Dalam kehairanan aku mengerut dahi sambil menyoal emak.

“Wahid, melamar kamu, Lidya.” Mata emak mengecil bila memandang aku yang kelihatan serba salah.

“Ya ALLAH, mak! Macam mana ni? Lidya tak tahu apa-apa pun! Kenapa Wahid tak ceritakan pada Lidya terlebih dahulu.” Aku merungut kecil. Aku terkenangkan perbualan aku dengan Wahid sewaktu sedang menikmati makan malamdi gerai Sri Emas, dua minggu yang lalu. Aku tidak menyangka Wahid terlalu serius tentang hal ini. Aku langsung tidakmemikirkan lamarannya. Hatiku tidak ada ruang untuknya.

“Masya-ALLAH! Emak ingatkan kamu yang suruh dia datang melamar dan mengikat kamu dengan cincin ni. Cincin tandalah tu.” Suara emak seakan berbisik dan serba salah. “Kamu masih tunggu Idham ke Lidya? Takkan adanya dia nak meminang kamu.” Emak tiba-tiba menyebut tentang Idham.

Perhubunganku dengan Idham sebenarnya diketahui oleh seluruh ahli keluarga. Dan mereka tidak merestuinya.

“Lidya dah putus dengan Abang Idham!” Jawabku pendek dan bernada sebak.

“Habis tu sekarang macam mana? Mak pulangkan balik cincin ni kepada Wahid tu, ya.” Emak bagaikan tidak sabar untuk mendengar keputusanku. “Atau kau ada nak tunggu sesiapa lagi?” Suara emak seolah bertegas.

Jauh di lubuk hatiku teringatkan Michael Collin.Tetapi kami hanya kawan biasa.Lagipun dia seorang penganut Kristian yang sangat kuat pegangan agamanya.

“Lidya! Macam mana?” Emak bertanya lagi. Tempat berdirinya masih belum berganjak dari tempat tadi. Emak masih berdiri di hadapanku sambil memegang kotak berisi sebentuk cincin.

Aku terkenangkan perbualan dengan Wahid dua minggu yang lalu.

“Lidya! Wahid ingin melamarmu.” Itulah bait ayat yang keluar dari mulut Wahid setelah dia diam untuk beberapa ketika sebaik saja kami tiba di gerai Sri Emas

Aku mengerutkan dahi sambil merenung Wahid. Ini adalah pertemuan yang ke empat kami setelah dua atau tiga bulan berkenalan. Masih terlalu awal dan baru. Kurenung lelaki berusia tiga puluhan yang berada di hadapanku. Beza umur kami mungkin hampir sepuluh tahun.

Wahid, orangnya tidak begitu tampan. Kulitnya putih kemerahan. Berwajah sedikit bujur, berkumis tipis. Giginya sedikit jarang dan sebilah dari gigi kacipnya yang paling akhir di sebelah kiri telah patah separuh. Aku selalu melihat Wahid menyelitkan batang paip yang di hisapnya di celah gigi yang patah itu.

Sesekali kulihat dia seperti seorang lelaki tua yang bakhil dengan aksinya itu. Menghisap paip, botak di tengah kepalanya, ditambah pula dengan cermin mata berbingkai besar old fashion yang dipakainya. Kadang-kadang aku mengejeknya Haji Bakhil. Wahid hanya tersengih. Wahid kelihatan terlalu tua di bandingkan dengan umurnya.

Umurku pada waktu itu belum masuk 24 tahun lagi. Tubuhku yang kecil, menyebabkan kadangkala aku kelihatan seperti anak-anak di bangku sekolah. Sepadankah aku dengan Wahid? Bermacam persoalan yang bertubi-tubi timbul di fikiranku.

“Lidya fikirkanlah dulu dan beritahu keputusannya pada Wahid! Wahid tidak memaksa, namun Wahid betul-betul mengharap.” Wahid berkata dengan tenang.

“Fikir dulu elok-elok. Usia perkenalan kita masih muda. Lagipun pintu hati Lidya tidak terbuka untuk sesiapa buat masa ini. Lidya hendak fokus kepada kerja dan capai cita-cita dulu.” Aku menerangkan apa yang terpendam di dalam hatiku dengan suara agak perlahan dan berterus terang. Sebenarnya, aku langsung tak ada hati dengan Wahid. Walaupun sekelumit. Jauh dilubuk hatiku yang paling dalam, aku masih mengharapkan Idham.

“Habis tu, takkan Lidya tidak ada cita-cita untuk berkahwin?” Ujar Wahid pula. Matanya merenung kepadaku. Mungkin inginkan kepastian. Renungan yang tidak menarik perhatianku walaupun sedikit. “Atau Lidya sudah ada yang istimewa?”

Persoalan daripada Wahid seolah menekan perasaanku. Hatiku bertambah runsing dengan pertanyaan itu. Aku rasa diriku terbelengu dengan persoalan yang macam-macam berkenaan dengan peribadiku.

“Terus terang, memang Lidya ramai kawan.” Aku memberitahu sejujurnya.

“Kawan istimewa?” Wahid menyoal lagi dengan soalan yang sama. Dia seolah memaksa aku menerimanya.

Aku tidak menjawab dan terus menghirup kuah mihun tom yam di hadapanku. Wahid juga diam melayani fikirannya sendiri. Dan aku sebagaimana biasa apabila berdepan dengan persoalan itu, selalu bersikap selamba.

Kenangan bersama Wahid beberapa hari yang lalu, lenyap apabila emak menyoalku dengan suara bisikan yang agak keras.Di hadapan emak, aku menarik nafas panjang dan mengeluh dengan keluhan yang berat

“Habis tu macam mana sekarang ni Lidya?”Mata emak menyorot ke wajahku. Rona wajahnya sedikit bimbang.

Aku merenung emak yang sedang menunggu aku mengambil kotak cincin dari tangannya. Pandangan mata emak yang sayu membenihkan rasa simpatiku, lalu aku pantas membuat keputusan.

“ Tak apalah emak! Dah takdir agaknya. Lidya terimalah. Mungkin jodoh dengan dia agaknya!” Aku menyarungkan cincin di jari manis dengan perasaan terkilan. Jika aku kembalikan cincin pada waktu itu juga, Wahid tentu akan merasa dirinya tidak berharga. Mungkin juga malu.

PETANG itu juga aku dan Wahid balik ke Selangor. Tersenyum lebar Wahid melihat jari manis ditangan kiriku tersarung cincin pemberiannya. Tanganku digenggamnya erat dan dikucupnya bertalu-talu. Aku rasa tidak selesa dengan situasi itu. Namun, menolak dengan kasar pasti akan mengguris perasaannya.

“Terima kasih! Maaf kerana tidak memberitahu Lidya berkenaan dengan hal ini. Wahid takut Lidya terlepas ke tangan orang lain, itu sebab kena cepat-cepat pergi jumpa dengan orang tua Lidya dan ikat!”

Aku hanya tersenyum. Hatiku terkenangkan Idham. Mungkin betul, aku tercipta bukan untuknya. Mungkin aku telah ditakdirkan untuk Wahid.

“Yalah. Kalau ada jodoh, insya-ALLAH tidak ke mana,” spontan bibirku berkata. Sebenarnya aku melindungi kegelisahan hati. Aku tidak pasti dengan perasaanku di waktu itu. Yang aku tahu, hatiku tidak rela. Aku berasa rimas dan lemas dengan ikatan itu. Aku tidak ingin dimiliki oleh Wahid. Aku ingin memiliki Idham.

“Sudah bulatkah keputusan Wahid?” Aku cuba menduga Wahid. Wahid masih merenung aku dan tersenyum. Senyuman yang tidak menawan kerana Wahid bukan lelaki yang handsome pun. Namun, rupa paras bukanlah menjadi ukuran hatiku.

“Sanggupkah Wahid menanggung segala risikonya?” Aku menyoal lagi. Sebenarnya aku sedang menyelusuri hatiku sendiri samada ada ruang untuk lelaki itu.

“Asalkan bersama Lidya, Wahid sanggup menanggung apa juga rintangan.”

Aku hanya tersenyum. Lelaki. Pandai bermain kata-kata. Cinta sedang berkembang, segala-galanya nampak indah dan berbau harum.

“Hmm... Tidak menyesalkah nanti?”

Sebenarnya jauh di lubuk hatiku, aku tidak begitu menyakini dengan perhubungan ini. Apatah lagi pertunangan yang baru diikat.

“Alangkah menyesalnya Wahid, seandainya Lidya jatuh dan terlepas ke tangan orang lain.” Wahid menyentuh tanganku sekali lagi. Baru mengikat cincin tanda sudah berani memegang tanganku.

Aku menyembunyikan tawaku. Lelaki. Namun, buat pertama kali aku mahu memikirkan tentang lamaran dan perasaan lelaki itu terhadap diriku. Sepanjang malam aku memikirkan tentang Wahid sambil cuba meminggirkan Idham dari hatiku.

Malam itu, aku tidur dengan cincin di jari. Bangun pada subuh itu aku semakin keresahan dan tercari-cari. Cincin di jari hilang semua butiran berliannya. Lompong tidak berseri. Aku terkalut-kalut membedek bantal dan selimut perlahan-lahan. Rupa-rupanya cincin masih ada di tanganku. Masih sempurna. Kilaunya tetap sama. ‘Aku bermimpi rupanya.’ Mimpi mainan tidur dan aku cuba melupakannya. Tambahan setelah terikat, aku mula menyayangi Wahid. Layanan yang diberikannya kepada aku menyebabkan aku berasa terlalu dihargai. Akulah sang puterinya.

Wahid memang seorang lelaki yang sangat baik dan kelihatan terlalu budiman. Bersikap santun dan romantik. Tidak pernah kasar dalam tingkah laku dan perkataannya. Layanannya terhadapku menyebabkan aku rasa terlalu disayangi. Setiap hari Wahid menelifon aku sekurang-kurangnya enam kali.

@@

Anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia. Mungkin peribahasa itu bertepatan dengan apa yang sedang aku lalui. Aku mulai merasai keserabutan di dalam perhubunganku dan Wahid apabila tarikh pernikahan kami seperti yang dijanjikan dengan ibu bapaku semakin hampir.Dia seolah cuba melarikan diri tanpa aku tahu apa puncanya.

“Encik Wahid tiada di pejabat.”

“Encik Wahid keluar minum pagi.”

“Encik Wahid bercuti.”

“Encik Wahid cuti sakit.”

Itulah antara jawapan yang aku terima. Hatiku sungguh pilu apabila Wahid memperlakukan aku sebegitu. Seolah aku tiada harga lagi untuk dirinya. Fikiranku mengimbas kembali kenangan pada setiap pertemuanku dengannya sebelum ini. Segala-galanya baik dan tiada permasalahan apa-apa pun.

Menurut perjanjian dengan keluargaku, Wahid akan pergi lagi menemui keluargaku pada bulan Ogos tahun berikutnya untuk menetapkan hari pernikahan. Apa yang terjadi, Oktober pun telah berlalu pergi. Aku cuba menghubunginya berulang kali di pejabat. Namun, kehampaan semakin merimbun. Wahid tiba-tiba menghilangkan diri.

Air mataku menitis tiba-tiba. Perasaan menjadi terlalu sayu. Hati diintip rasa rindu yang amat dalam. Wahid, ke mana kau menghilang? Pertanyaan hatiku tidak mendapat jawapan.Hatiku tersesat di dalam lorong yang kelam.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.