Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
27,588
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

YANTI menyuapkan Lidya bubur nasi yang dibawa dari rumah dengan penuh sabar. Setiap kali Lidya membuka mulutnya untuk menerima suapan itu, matanya merenung ke dalam matanya.

“Yanti! Esok atau bila-bila saja, jika kau datang lagi ke sini...” Percakapan Lidya terhenti. Dia terbatuk-batuk berulang kali.

Yanti mengurut-ngurut dada dan belakangnya.

“Air! Air!” Lidya tercungap-cungap.

Kelam kabut Yanti menuangkan air masak dari jug ke dalam gelas dan terus menghulurkan kepada Lidya.

Lidya meneguk air perlahan-lahan. Beberapa ketika kemudian dia kembali lega. “Terima kasih, Yanti. Sedap kanji yang kau buat. Sesuai dengan tekakku.Selera orang sakit.” Dia bersuara amat perlahan. Bibirnya mengukir senyuman.

“Sampai mana dah karangan kau?” Lidya menyoal Yanti sambil mengenggam tangan Yanti dengan mesra.

Yanti menggaru dahi yang tidak gatal. Cuba mengimbas kembali cerita yang telah ditaip tiga malam yang lalu. “Wahid bawa engkau ke sebuah rumah tumpangan. Agaknya dia ada rancangan yang tak elok.” Itu rumusan yang dia buat. Beria-ia dia bercerita.

Lidya menggosok-gosok tapak tangan Yanti pula, kemudian menepuk-nepuknya perlahan. Seolah menyetujui tekaan temannya itu.

“Lidya! Aku nak tanya sesuatu boleh?”Yanti mencapai buku nota dan pen dari dalam beg. Setiap pertanyaan itu, akan memudahkan dia memahami cerita sebenarnya.

Lidya mengangguk.

“Mengapa kau tidak menyiasat dengan teliti latar belakang Wahid sebelum menerima pinangannya?” Bagaikan seorang wartawan, Yanti memulakan soalan.

“Yanti! Aku sudah ceritakan dulu. Aku terperangkap! Wahid mengikutku balik ke kampung, melamarku tanpa aku tahu, orang tuaku menerimanya kerana beranggapan yang aku sudah tahu Wahid datang untuk melamarku.” Lidya menjawab dengan kelembutannya yang tidak pernah tamat.

“Habis tu, pertunangan atau ikatan yang terjadi itu tanpa kerelaanmu bukan?” Yanti menyoal Lidya.

Lidya mengangguk-angguk perlahan.

“Habis tu mengapa kau tidak putuskan sahaja sebelum, Wahid mengecewakanmu?” Lancar sahaja pertanyaan yang keluar dari bibir Yanti.

“Aku kasihankan dia dan ingin menjaga maruahnya! Jika ditolak, tentu dia akan malu. Lagipun Wahid, seorang lelaki yang baik, lemah lembut, penyayang. Dia melayan aku dengan baik sekali. Segala kebaikannya, kelembutannya, kasih sayangnya menyebabkan hatiku tidak ragu untuk mula mengasihinya!” Lidya menggigit-gigit bibirnya. Mungkin dia terkenangkan Wahid. “Fitrah seorang manusia itu adalah untuk dikasihi, menyayangi, Yanti.” Dia menyambung bicaranya. Dia mengerdipkan kelopak matanya berkali.

“Tapi dia tidak jujur. Dia berbohong kepada kau dan kau terus mempercayainya tanpa bertanya apa-apa.” Yanti bersuara kesal. Kesal dengan sikap Lidya yang lurus itu.

“Yanti, kita sudah berkawan lama. Sejak dari sekolah lagi. Dulu, sewaktu zaman sekolah, takkan kau tak ingat, gelaran yang kau dan geng menggelarkan aku apa?” Lidya mula membelit Yanti dengan kata-katanya.

“Hmm, yalah! Kau ni keramat hidup!” Yanti ketawa. “Baru aku teringat. Kau ni tak tahu nak menipu, tak percaya kena tipu, tak pandai nak syak wasangka yang bukan-bukan.Kalau kami semua nak menyakat kau dan tipu kau hidup-hidup pun, kau percaya!” Dia menutup mulut dengan tapak tangan, untuk mengelakkan bunyi tawanya kedengaran kuat dan mengganggu pesakit lain.

Lidya turut ketawa. “ Yanti! Dulu kau tomboy.Tapi baik hati dengan aku! Kalau ada sesiapa kacau aku, kaulah penyelamatnya.” Di dalam tawa yang semakin perlahan, dia mengimbas kenangan lalu.

Yanti tersenyum lebar. “Lidya, sehingga kini kau masih menyayangi Wahid?” Dia menyoal dan cuba menguji hatinya. Suara tawa mereka sudah tidak kedengaran lagi kerana masing-masing tenggelam di dalam lautan fikiran sendiri buat seketika.

“Aku tidak pernah membencinya,” jawab Lidya dengan perlahan.

“Tapi dia mempermainkan perasaan kau Lidya. Lidya, maafkan aku kerana aku cuba meneka. Sebenarnya, dalam penceritaan kau tempoh hari, ada juga perkara yang kau sembunyikan daripada aku. Betul tak, Lidya?” Yanti menghulurkan piring yang terisi dengan potongan buah betik kepada Lidya.

“Sembunyikan? Ya. Aku akui tu Yanti. Memang aku ada menyembunyikan sesuatu. Nanti segalanya kau akan tahu juga.” Lidya bersuara lembut.

“Bagaimana dengan Idham?” Yanti menyoal lagi.

Lidya tidak menjawab, namun dia mengangguk-angguk perlahan. Berkali-kali.

“Tentu kau sayang juga kepada Idham, kan? Yalah, perhubungan semenjak dari sekolah lagi.” Yanti cuba meneka.

“Idham. Dia amanah ALLAH kepadaku.” Lidya terhenti seketika. Wajahnya bertukar menjadi sayu. “Kalau sayang pun, sayang yang tumbuh di dalam rasa takut. Kalau kasih, kasih yang hidup dibaja perasaan tanggungjawab.” Dia menundukkan wajahnya.

Yanti memikirkan maksud kata-kata Lidya tadi. Sungguh pun dia tidak mengerti apa maksudnya, namun tidak tergamak untuk bertanya lebih lanjut kerana melihat awan mendung mula menyaputi wajah Lidya.

“Perkahwinan antaraku dan Idham, mungkin disebabkan jodoh kami yang kuat. Kau tahu dari umur berapa aku mengenali Idham?” Lidya menyoal Yanti pula.

“Alah! Apa pulak tak tahunya Lidya. Waktu tingkatan empat… maksudnya waktu umur 16 tahun.” Yanti menjawab pantas. “Macam mana pulak dengan Syamil?” Lagi sekali dia cuba menguji wanita itu.

Lidya tersenyum seketika. Sesekali dia menjilat bibirnya yang kering. “Dialah lelaki pertama yang aku cintai. Cintai sepenuh hati. Benar. Aku tidak dapat membohongi hati kecilku bahawa Syamillah cinta pertamaku. Yang pertama dan yang terakhir. Hanya dia.” Dia berkata dengan penuh perasaan. Nada yang cukup syahdu.

“ Aku tidak pernah berhenti menyayanginya, menyintainya, merinduinya sehingga saat ini! Dia sentiasa berada di sini. Di sini.” Lidya melekapkan tapak tangan kanannya ke dada kiri dengan penuh emosi. Dia memejamkan matanya. Bahunya bergoyang perlahan. Dia menangis. Tidak tahu apa yang meruntun kalbunya.

‘Betapa bodohnya aku, tidak dapat menyelami kedukaan yang sarat dijiwanya,’ hati Yanti seolah berbisik.

“Puan, jangan beri tekanan kepada patient!” Seorang jururawat yang secara kebetulan lalu di situ menghampiri dan berbisik menasihati.

Yanti menyambut teguran ikhlas daripada jururawat itu dengan senyuman mengerti.

“Tapi itu semua tak mungkin terjadi Yanti!Tak mungkin! Syamil membenci aku! Terlalu benci! Aku telah melukakan hatinya!” Lidya membuka tapak tangan yang menutup wajahnya. Bicaranya di sambung kembali.

“Aku terpaksa melakukan semua itu, untuk kebaikan dirinya, keluarganya. Walaupun dia membenci aku, aku rela. Asalkan dia insaf dan berubah demi kebahagiaan keluarganya!” Lidya terus teresak-esak lagi. “Sedangkan, sebenarnya aku amat menyintainya, walaupun tidak dapat bersama sehingga saat ini, cinta di hatiku tidak pernah berubah. Tidak pernah pudar.

Kau tahu Yanti, tidak ada yang lebih sukar apabila kita terpaksa mencipta kebencian kepada orang yang kita cinta. Biar dia membenci aku!” Percakapannya terhenti seketika. Dia merenung ke wajah Yanti. Sayu pandangan matanya.

“Aku mahu dia menjadi manusia jujur. Jujur pada dirinya sendiri. Jujur kepada orang yang di bawah tanggungjawabnya!” Dia berkata dalam esakan yang belum reda.

“Lidya! Bertenang. Hentikan tangisanmu dan kita sambung cerita tentang Wahid dulu, okey!” Yanti cuba memujuk. Lidya terlalu mengikut perasaannya. Itulah yang difikirkan oleh Yanti.

“Okey! Okey! Maafkan aku Yanti! Sedikit emosi! Oh! Ya...tadi aku ingin meminta kau bawakan aku pen dan kertas atau buku untuk aku tuliskan cerita-cerita itu. Balik rumah, kau taipkan sahaja! Lebih mudah! Aku takut tidak sempat bercerita habis, kau belum siap mengarang aku dah…” Lidya tidak sempat menamatkan ayatnya kerana tangan Yanti cepat menekup bibirnya, menahan dari terus berkata perkara yang tidak elok.

Bicara Lidya seolah mengangkat ketulan batu daripada bahu Yanti. Senyumannya melebar sambil memerhatikan wajah Lidya.

“Lagipun kau ada keluarga Yanti.Komitmen kau pasti untuk keluarga.Sehari dua ni aku rasa sihat sikit. Jadi bolehlah aku mengarang sikit,” ujar Lidya lagi.

“Rumah tangga kau bagaimana? Anak-anak kau okey?” Dia menyoal Yanti pula. Yanti masih mencatat kata-kata yang diucapkan oleh Lidya tadi. Harapannya tentang Syamil. “Alhamdulillah, Lidya! Anak-anakku sedang nakal. Bersyukurlah, walaupun aku berkahwin lewat, aku dapat juga menikmati kebahagiaan dalam rumah tanggaku. Bersyukur kerana dijodohkan dengan Adib. Lelaki yang lembut, penyayang, tak tahu marah, tenang.” Yanti bercerita kepada Lidya dengan suara yang girang. Cerita yang sepatutnya. Apa yang patut dirahsiakan, disembunyikan juga.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.