RIFDI RIYADH membawa
sebakul buah-buahan segar bersamanya. Ada beberapa jenis buah seperti epal,
anggur, pisang dan oren tersusun kemas di dalamnya. Dia melangkah agak laju
menuju ke sebuah wad. Sebaik sahaja membaca nama pesakit di dalam wad itu, dia
pun melangkah masuk ke dalam.
“Assalamualaikum....” ucap Rifdi Riyadh menyapa
kawan-kawan lain yang telah pun berada di situ. Mereka pun bersalaman seketika.
Bakul buah-buahan yang dibawanya tadi diletakkan ke atas meja di sebelah katil
pesakit.
“Dah lama ke korang semua sampai?” tanya Rifdi
Riyadh selanjutnya.
“Agak lama jugaklah. Kami pun dah nak balik dah
ni. Kau duduk-duduklah dulu,” ujar Khairi sambil memberi tempat duduknya kepada
Rifdi Riyadh.
“Eh, dah nak balik dah ke? Lepak-lepaklah dulu,”
ajak Rifdi Riyadh lagi. Baru sekejap dia sampai tapi mereka sudah mahu pulang.
“Tak bolehlah nak lama lagi dekat sini. Aku pun
ada banyak kerja lagi ni. Lagi pun, bukan teruk pun mamat ni kena. Aku ingatkan
dah separuh nyawalah tinggal,” balas Khairi sambil bergurau. Mereka yang lain
ketawa mendengarkannya.
“Eh, ni kira teruk jugaklah ni! Habis berbalut
badan aku,” tingkah Arman mencelah.
“Alah, setakat calar saja. Bukannya apa sangat
pun. Tak ada apa yang patah pun,” tempelak Fadhil pula. Arman mencebikkan
wajahnya mendengarkan kata kawan sepejabatnya itu. “Dahlah, kami nak bergerak
dulu. Kerja banyak bertimbun kat pejabat tu,” sambung Fadhil sambil berjabat
tangan dengan mereka yang masih ingin menunggu di situ.
“Yalah. Hati-hati bawa kereta tu. Nanti terkena
pulak badi Arman ni. Tak pasal-pasal accident pulak sekali,” pesan Rifdi Riyadh
dalam nada gurau. Fadhil dan Khairi hanya tertawa mendengarkannya. Setelah itu,
mereka pun beredar dari situ.
“Kau baru sampai jugak ke?” tanya Rifdi Riyadh
kepada Syahmi yang masih berada di situ.
“Ha’ah, baru kejap tadi,” balas Syahmi.
“Umm, eloklah tu. Nanti kita balik sekali
sajalah,” pinta Rifdi Riyadh. Syahmi hanya mengangguk bersetuju dengannya.
“Dah tu nanti tinggallah aku seorang kat sini,”
celah Arman sambil membuat muka kasihannya. Rifdi Riyadh mencebik
mendengarkannya. Syahmi juga menjuihkan mulutnya.
“Alah, banyak nurse yang cun dekat sini boleh jaga
kau. Tak payahlah nak buat muka kesian pulak,” tingkah Syahmi.
“Tapi kan.... apa cerita kau ni? Macam mana boleh
kemalangan pulak ni? Terkejut aku bila Syahmi telefon aku pagi tadi beritahu
kau kemalangan. Nasib baik tak ada apa-apa,” tanya Rifdi Riyadh ingin tahu. Dia
pun sekadar mengetahui yang kawannya itu kemalangan sahaja. Bagaimana dan bila
waktu sebenarnya, dia masih belum tahu. Syahmi pun ingin tahu juga kerana dia
pun belum sempat untuk bertanyakan hal itu tadi.
“Haihhh....” Arman mengeluh berat mendengarkannya.
Rifdi Riyadh dan Syahmi saling berpandangan mendengarkan keluhan berat itu.
Masing-masing diam menanti bicara seterusnya.
“Panjang ceritanya.... tapi tak apa! Aku pendekkan
cerita aku,” ujar Arman ingin memulakan ceritanya. “Korang tahu kan lorong yang
nak masuk ke rumah aku tu?” tanya Arman ingin menguji ingatan kawan-kawannya
sebelum dia melanjutkan ceritanya.
“Ya, kenapa dengan lorong tu?” tanya Syahmi tak
sabar ingin tahu.
Arman terus sahaja membuat riak muka serius. Dia
menelan liur sebelum mula berbicara. “Memang sah lorong tu bahaya. Dah banyak
kali aku kena kacau dekat situ. Sebelum ni, tak ada apa sangat. Aku cuma nampak
kat tepi-tepi jalan macam tu saja tapi malam tadi. Dia lalu betul-betul dekat
depan aku. Fuhh, kecut perut aku,” cerita Arman perlahan-lahan sengaja ingin
menimbulkan riak seram.
“Apa yang lalu depan kau?” tanya Rifdi Riyadh
pula.
Arman memandangnya dan Syahmi silih berganti. Riak
wajahnya benar-benar serius ketika itu. Syahmi pula sudah menelan liur melihat
reaksi Arman. Pelbagai andaian bermain dalam fikirannya ketika itu.
“Meowww!!!” sergah Arman tiba-tiba membuatkan
Syahmi sedikit berundur ke belakang. Rifdi Riyadh pula sedikit terangkat
badannya. “Sekali kucing tu lalu depan kereta aku masa aku tengah bawa lajulah
jugak. Aku pun apa lagi. Terus sajalah aku buat ala-ala drift macam tu. Lepas
tu, terlanggar pulak tiang lampu. Adoi.... habis kemik bumper kereta aku,”
sambung Arman sedikit kesal dengan kejadian itu. Agak laju dia menghabiskan
ceritanya tak seperti mula bercerita tadi.
“Kurang asam kau!! Buat terkejut aku saja,”
tempelak Rifdi Riyadh sambil mengambil bantal di sisi Arman lalu dibaling tepat
mengenai wajah Arman. Lelaki itu hanya ketawa melihatkannya. Syahmi masih lagi
mengurut dadanya kerana terperanjat tadi.
“Memang nak kena belasah jugaklah kau ni!” tingkah
Syahmi pula setelah debarnya reda. Arman hanya tersengih mendengarkannya. “Aku
ingatkan apalah tadi! Ingatkan kena kacau dengan hantu ke apa ke? Ni tak....
kucing saja sebab kau kemalangan?!” Syahmi masih lagi geram dengan gurauan
Arman tapi kawannya itu hanya tersenyum tak bersalah.
“Lah, yang kau pergi fikir bukan-bukan tu buat
apa? Lagi pun, aku cakap lorong tu bahaya bukannya keras. Kalau keras,
memanglah ada benda-benda yang tak sepatutnya. Sebelum ni pun, aku
hampir-hampir jugak nak kemalangan sebabkan kucing-kucing dekat situ. Tak
sangka pulak malam tadi, betul-betul kena,” bidas Arman tak mahu mengaku salah.
Rifdi Riyadh hanya menggeleng-geleng melihatkan kelatah kawan-kawannya itu.
“Habis tu, kereta kau macam mana?” tanya Rifdi
Riyadh menukar topik pula.
“Nak macam mana lagi. Terpaksalah masuk bengkel.
Nasib baik kena dekat lampu tepi tapi teruk jugaklah,” beritahu Arman
selanjutnya. Dia masih lagi kesal dengan kejadian itu. Puncanya hanyalah
disebabkan seekor kucing tapi dia tetap bersyukur kerana tiada apa-apa yang
teruk berlaku kepadanya.
“Berapa lama kau dapat cuti ni?” tanya Syahmi
pula. Dia sudah tak berkecil hati dengan Arman. Begitulah tingkah antara
mereka. Masing-masing suka bergurau walaupun kekadang gurauan itu agak kasar
tapi masing-masing juga mudah memaafkan. Mungkin kerana persahabatan yang sudah
lama antara mereka sejak dari universiti lagi.
“Alah, tak lama mana pun. Esok aku dah boleh
keluar wad tapi doktor bagi aku rehat lagi sehari dekat rumah. Jadi, lusalah
baru aku masuk kerja,” beritahu Arman.
“Kau pergi kerja macam mana pulak nanti? Aku tak
rasa kereta kau boleh siap cepat,” tanya Rifdi Riyadh prihatin.
“Naik motor Yamaha aku tulah,” ujar Arman sambil
membuat lagak menunggang motor.
“Oh, kau tak jual ya motor kau tu,” celah Syahmi
pula.
“Eh, sayang aku nak jual motor tu! Dah lama motor
tu dengan aku sejak dari kita belajar dulu lagi,” tingkah Arman.
Untuk seketika, mereka mula berbual-bual. Dari
perihal kerja sehinggalah kenangan-kenangan ketika di universiti dulu. Bicara
mereka mengundang tawa antara mereka. Begitu banyak perkara melucukan berlaku.
Rifdi Riyadh melihat jam tangannya. Sudah agak
lama dia berada di situ. Dia pun mengajak Syahmi untuk pulang. Setelah itu,
mereka pun bersalaman sebelum berpisah di situ. Masing-masing berjanji untuk
keluar minum bersama-sama jika ada kelapangan. Syahmi terpaksa mengambil jalan
lain kerana dia meletakkan keretanya di parkir yang berbeza dengan Rifdi
Riyadh. Jadi, lelaki itu berjalan bersendirian menuju ke keretanya.
Toing! Toing! Sebiji bola melantun ke arahnya.
Rifdi Riyadh pun terhenti sambil mengambil bola yang berhenti di hujung kakinya
itu. Dia mengangkat pandangannya dan terlihat sekumpulan kanak-kanak sedang
bermain di sebuah taman di sebelah kirinya. Kanak-kanak itu semua hanya
memandangnya. Masing-masing takut untuk menghampirinya risau dimarahi. Lelaki itu
tersenyum memandang mereka semua.
“Ahh, maaflah! Terkena pulak bola tu,” ujar
seorang gadis muda di kalangan kanak-kanak itu. Dia mewakili mereka semua untuk
mengambil kembali bola itu.
Rifdi Riyadh terdiam memandang gadis itu. Dia
masih ingat rupa gadis itu. Gadis yang sama yang terlanggar dia di pasar raya
sebelum ini. Dia tersenyum sahaja memandang gadis itu yang tampak sedikit kekok
untuk melemparkan senyumannya. Sudah dua kali mereka bertembung.
“Umm, bola tu.” Gadis itu ingin meminta kembali
bola itu.
“Ohh, bola! Ambil lah,” ujar Rifdi Riyadh lalu
memulangkan kembali bola itu kepada gadis itu.
“Terima kasih!” ucap gadis itu ceria sambil
mengambil bola itu.
Dia pun berlari anak mendapatkan kembali
kanak-kanak yang sedang bermain tadi. Mereka pun bersorak riang mendapat
kembali bola mereka. Kanak-kanak itu pun melambai ke arah Rifdi Riyadh sambil
mengucapkan terima kasih. Tertawa kecil lelaki itu senang melihat keletah
anak-anak kecil itu.
Rifdi Riyadh masih lagi merenung gadis itu. Dia
cuba mengingati kembali wajah itu. Semakin dia melihat semakin dia yakin akan
perasaannya. Dia memang pernah mengenali gadis itu. Tapi.... di mana? Dan
paling penting, siapa?
Keluhan berat melepasi rengkungannya. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya cuba mengusir perasaannya kala itu. Ingin
bertanya tapi dia segan kiranya dia salah orang. Jadi, dia pun mula melangkah
kembali ingin beredar dari situ.
“Terima kasih ya kak Nana!” ucap semua kanak-kanak
itu serentak setelah mendapat kembali bola mereka.
Rifdi Riyadh tersentak mendengarkan ucapan itu.
Pantas dia berhenti dan berkalih kembali memandang mereka semua. Ketika itu,
gadis itu sudah pun mulai beredar dari situ. Dia melambai tangan kepada
kumpulan kanak-kanak itu sambil melangkah pergi. Tanpa sedar, langkah lelaki
itu mengikut gadis itu. Dia mempercepatkan kayuhan langkahnya bila gadis itu
makin menjauh darinya. Tapi, akhirnya dia kehilangan juga jejak gadis itu di
celah orang ramai di ruangan menunggu. Dia tercari-cari di sekitar kawasan itu
tapi hampa. Langsung dia tak nampak lagi kelibat gadis itu. Akhirnya, dia
kembali ke keretanya.
“Nana...?” Rifdi Riyadh menyebut kembali nama
gadis tadi. “Auni Liyana!” Kini, dia kembali mengingati siapakah sebenarnya
gadis itu.
Ya! Memang dia pernah mengenali gadis itu. Terlalu
kenal dengan sikap dan peribadinya. Gadis itu dari alam persekolahannya. Gadis
yang pernah menyentap hatinya. Hingga sekarang, masih ada lagi perasaan yang
sama untuk gadis itu. Tak mungkin begitu senang dia dapat melupakan segala yang
berlaku antara dia dan gadis itu. Namun, keterampilan dan gaya gadis itu begitu
jauh berbeza ketika pada zaman persekolahan itu. Dia benar-benar berubah. Sebab
itulah, sukar untuk mengecam kembali gadis itu.
“Nana...!” Ada getar dalam suara Rifdi Riyadh.
Matanya pula semakin mencerlang tajam. Perasaan lama kembali menghangati
hatinya. Tapi bukan cinta dan sayang. Sebaliknya, benci! Dia sememangnya benci
dengan gadis itu sejak dari dulu lagi. Semua mengenainya, dia benci!
“Kenapa kau perlu muncul kembali depan aku?! Tak
bolehkah kau terus lesap dari hidup aku? Kau sepatutnya cuma kenangan yang aku
tak mahu ingat semula tapi.... kenapa?!” Rifdi Riyadh marah sendiri. Dia
menghentak stereng keretanya geram. Bibirnya juga diketap geram.
“Jangan muncul lagi depan aku!!” tingkah Rifdi
Riyadh sendirian. Dia tersandar ke kerusi keretanya. Kenangan lama di alam
persekolahan kembali bermain di layar fikirannya. Terlalu lama zaman itu
berlalu. Malah, dia juga tak banyak berhubung dengan kawan-kawan sekolahnya
dulu. Hanya beberapa orang yang rapat dengannya dulu sahaja masih berhubung.
Dan dalam kenangan itu, terselit wajah Auni Liyana. Begitu banyak kenangan
dengan gadis itu tapi satu pun tidak menyenangkan hatinya. Semuanya menyakitkan
hati.
NAFAS Auni Liyana sedikit
tercungap-cungap. Dia cuba menenangkan dirinya. Beberapa kali dia menarik nafas
dalam sebelum menghembus keluar perlahan-lahan. Beberapa ketika kemudian, dia
pun kembali tenang. Dia berjalan perlahan menuju ke sebuah bangku kosong di
koridor hospital. Dia melabuhkan duduknya di situ.
“Lagi sekali aku bertembung dengan dia. Kenapa?”
Auni Liyana bertanya sendiri. Dia memeluk tubuhnya. “Aku tak mahu berjumpa
dengan dia balik! Aku tak mahu....” rintihnya kemudian. Sukar untuk dia menyusun
rasa di hatinya ketika bertemu kembali lelaki itu.
“Dia masih bencikan aku lagi ke?” lagi satu soalan
terluah. Auni Liyana mengeluh perlahan. Kemudian, dia tersenyum nipis. “Umm,
pasti dia bencikan aku lagi. Tak mungkin dia akan pernah maafkan aku. Dia akan
benci aku selamanya,” lanjut Auni Liyana.
“Baguslah kalau macam tu,” ujar Auni Liyana
lagi. Kali ini, nadanya kedengaran sedikit bersemangat. Dia telah memutuskan
dalam hatinya. Mungkin itu lebih baik buat mereka berdua. “Rifdi.... sila
jangan berhenti membenci Nana....”