PAPAN kekunci komputer
ditekan laju. Pandangan Auni Liyana terus menatap skrin komputer itu. Mulutnya
kekadang sedikit ikut bergerak membaca ayat-ayat yang ditulisnya. Untuk
seketika, dia terleka dalam tugasannya itu. Akhirnya, dia berhenti menaip. Dia
tersenyum nipis sambil membaca kembali perenggan terakhir yang ditaipnya cuba
mencari jikalau ada sebarang kesalahan format atau ejaan.
“Hmphh.... siap pun,” kata Auni Liyana sendirian.
Pantas dia menyimpan hasil kerjanya itu takut hilang pula. Tak lama untuk dia
mengambil keputusan untuk mencetak sahaja laporan yang telah siap itu setelah
dia benar-benar berpuas hati. Dia menunggu seketika sebelum semuanya siap di
cetak.
Auni Liyana berasa sedikit dahaga. Dia mengerling
jam di atas mejanya. Sudah hampir pukul 3.30 petang. Dia tak berlama di atas
kerusi empuknya. Dia terus bangun ingin menuju ke arah ruangan rehat di
pejabatnya. Sempat juga dia mengerling ke arah mesin pencetak sebelum melangkah
keluar dari pejabatnya. Masih belum siap lagi cetakan laporan itu.
“Nana!”
Pantas Auni Liyana berkalih memandang suara yang
memanggilnya. Tersenyum gadis itu memandang seorang wanita muda yang sedang
berjalan ke arahnya.
“Kak Iklil! Ada apa panggil?” tanya Auni Liyana
sopan.
Iklil Fairuz merupakan senior di tempat kerjanya
sekarang. Wanita yang tua hanya tiga tahun daripadanya itu telah banyak
memberikan tunjuk ajar ketika pertama kali dia menjejakkan kakinya ke sini.
Kerjasama antara mereka juga sangat baik. Mereka berdua antara arkitek yang
berjaya dan disegani di Berjaya Holdings Construction. Walaupun Auni Liyana
baru beberapa tahun berkhidmat di situ tapi hasil kerjanya sangat bagus dan
memberangsangkan. Pihak atasan benar-benar berpuas hati dengannya setakat ini.
“Tak ada apa-apa. Sajalah akak panggil. Kenapa?
Tak boleh panggilkah?” soal Iklil Fairuz dalam nada bergurau. Auni Liyana
tertawa kecil mendengarkannya.
“Tak adalah. Mana tahu kalau memang ada hal
panggil Nana ni,” jawab Auni Liyana kemudiannya.
“Nana nak
pergi mana ni?” tanya Iklil Fairuz lagi.
“Pantri kejap. Dahagalah,” ringkas jawapan Auni
Liyana.
“Ooo... kalau macam tu, akak nak ikut sekalilah.”
Untuk seketika mereka berjalan beriringan menuju
ke ruangan itu. Ketika itu, hanya ada seorang pekerja sahaja yang sedang
berehat di situ. Auni Liyana tak menunggu lama sebelum mencapai sebungkus kopi
segera dan dimasukkan ke dalam cawannya. Air panas di capai dan dituangkan.
Aroma wangi kopi mula memenuhi ruangan yang agak kecil itu. Terasa segar
sedikit walaupun belum diteguk.
“Akak tengok Nana asyik sibuk saja kebelakangan
ni. Banyak sangatkah kerja yang Dato' bagi?” tanya Iklil Fairuz prihatin. Auni
Liyana tak terus menjawab. Sebaliknya dia menghirup sedikit kopinya yang masih
panas itu.
“Yakah? Nana rasa macam biasa saja,” balas Auni
Liyana acuh tak acuh.
“Yalah tu macam biasa. Akak dengar Nana sekarang
uruskan lima projek sekali gus. Banyak tu,” ujar Iklil Fairuz seterusnya.
‘Oh, pasal tu. Memang betullah tu tapi.... tiga daripada
projek tu, Nana yang minta sendiri dari Dato'. Lagi pun, sekarang semuanya dah
nak selesai dah pun. Cuma nak tunggu siap pembinaan saja. Tu pun, cuma tinggal
lagi dua projek saja,” jelas Auni Liyana.
“Umm, macam tu ke tapi.... kenapa? Sebelum ni akak
tengok Nana tak adalah ambil banyak sangat projek. Nana jenis yang suka siapkan
satu projek dulu dengan betul sebelum ambil projek lain. Dah tu, projek yang
Nana ambil sekarang ni semuanya yang besar-besar,” Iklil Fairuz terus menyoal.
Dia masih belum berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Baginya, gadis
muda itu seperti sengaja menyibukkan dirinya. Seakan ada sesuatu yang sedang
dirahsiakannya tapi itu hanya telahannya sahaja. Mungkin kerana risaukan gadis
itu.
“Saja nak cabar diri sendiri. Nak tengok sejauh
mana Nana boleh pergi dan.... nak kumpul duit banyak-banyak jugak,” ujar Auni
Liyana sambil tertawa kecil.
“Duit? Nak buat apa? Nak kahwinkah?” sengaja Iklil
Fairuz bergurau.
“Ishh, akak ni. Ke situ pulak. Sajalah Nana nak
kumpul duit banyak-banyak. Nana ada banyak benda nak buat.... dalam tahun ni,”
jawab Nana sambil tertunduk memandang kopi di dalam cawannya.
“Lah.... dalam tahun ni? Kenapa?”
“Yup! Sebab tahun ni macam sedikit spesel pulak,”
tingkah Auni Liyana sambil terus tersenyum.
“Betul bukan untuk kahwin?” sengaja Iklil Fairuz
menduga. Auni Liyana sengaja memicingkan pandangannya memandang wajah seniornya
itu. Iklil Fairuz tertawa kecil melihat reaksi gadis itu.
“Bukan! Memang bukan untuk kahwin. Lagi pun....
tak sesuai pulak Nana fikir fasal kahwin dalam masa ni,” ujar Auni Liyana
perlahan. Kemudian, dia memandang Iklil Fairuz sebelum tertawa.
Iklil Fairuz mengerutkan dahi memandang gadis itu.
Ada-ada sahaja keletahnya. Entah apa yang dimaksudkan gadis itu. Kekadang agak
sukar untuk menelah apa yang bermain di fikiran Auni Liyana. Gadis itu lebih
banyak menyimpan perihal peribadi dan perasaannya sendiri. Namun, cukuplah
sekadar dia dapat memastikan yang Auni Liyana sentiasa gembira dan baik
keadaannya.
TOMATO merah segar itu
dipegang dan ditelek seketika sebelum dimasukkan ke dalam plastik. Auni Liyana
pun mengambil beberapa biji lagi sebelum plastik itu pula diletakkan ke dalam
troli. Kemudian, dia menolak pula troli itu menuju ke bahagian bahan mentah.
Ada pelbagai jenis ikan yang masih segar ketika itu. Dia melihat-lihat seketika
di bahagian itu.
“Opss sorry!”
pantas Auni Liyana meminta maaf apabila tak sengaja, troli yang ditolaknya
terlanggar seseorang. “Awak okay ke?” tanyanya kemudian. Risau pula sekiranya
dia terlanggar dengan kuat.
“Ahh, tak ada apa-apa! Saya okay saja,” ujar
lelaki itu sambil tersenyum. Auni Liyana terdiam memandang lelaki itu. Untuk
seketika, dia hanya diam memandang.
“Umm, cik!” panggil lelaki berkemeja kemas itu.
Auni Liyana tersentak dari lamunannya.
“Ya?”
“Kenapa pandang saya macam tu? Ada apa-apa ke
dengan muka saya ni?” tanya lelaki itu sambil tertawa halus. Sedikit lucu pula
melihat reaksi gadis di hadapannya itu.
“Tak! Tak ada apa-apa. Cuma tengok-tengok kalau
awak terluka ke,” kelam-kabut Auni Liyana menjawabnya. Lelaki itu masih lagi
tersenyum memandangnya.
“Saya okay saja,” balas lelaki itu sopan.
Kemudian, dia menundukkan sedikit wajahnya sebagai isyarat dia ingin beredar.
Auni Liyana hanya tersenyum nipis sambil memberi laluan. Dia masih lagi
memandang kelibat belakang lelaki itu hinggalah hilang di sebalik rak-rak
barang yang tersusun di dalam pasar raya besar itu.
Auni Liyana melangkah perlahan mendapatkan kembali
trolinya. Pandangannya masih lagi kosong. Seketika, dia masih lagi
terpandang-pandang ke belakang kiranya lelaki tadi masih ada namun hampa.
Lelaki itu sudah hilang entah ke mana.
“Huhhh....” berat sedikit keluhannya. “Tak
mungkin. Kenapa.... dia muncul kembali depan aku?” Auni Liyana bertanya
sendiri. Dalam kecelaruan dan kekalutan perasaannya itu, terselit sedikit rasa
gembira. Wajah itu terlalu lama dirinduinya. Wajah lelaki yang pernah bermain
di fikirannya. Namanya yang juga pernah singgah di hatinya.
“Rifdi Riyadh....”
“APA hal tadi tu?” tanya
Arman.
“Apa halnya?” Tanya Rifdi Riyadh kembali kurang
pasti maksud pertanyaan kawannya itu.
“Alahai.... pasal perempuan yang langgar kau tadi
tu lah. Aku tengok bukan main lama kau bersembang dengan dia. Kawan kaukah?”
tanya Arman kembali menjelaskan soalannya.
“Oh.... perempuan tadi tu. Taklah! Aku tak kenal
pun dengan dia,” beritahu Rifdi Riyadh. Kemudian, dia kembali memandang pilihan
tuna di hadapannya. Dia membelek-belek tin-tin tuna yang bersusun kemas itu.
“Dah tu, kiranya kau sembang-sembang kosong
sajalah dengan dia tu tadi?” tanya Syahmi pula kemudiannya.
Rifdi Riyadh diam seketika sambil mengingati
kembali kejadian sebentar tadi. Kemudian, dia kembali memandang wajah kedua-dua
kawannya itu. “Tak adalah sembang apa pun. Cuma....” ayatnya tergantung di
situ.
“Cuma apa?!” serentak Arman dan Syahmi bertanya.
“Cuma.... dia tengok aku lain macam sikitlah. Lama
pulak tu dia tengok aku. Sebab tulah aku lama sikit dekat situ tadi,” jelas
Rifdi Riyadh.
“Ceh, tengok kau lama-lama konon! Apa yang nak
ditengokkan dengan kau. Bukannya hensem mana pun,” tingkah Arman sambil ketawa.
Syahmi pun ikut ketawa mendengarkannya. Rifdi Riyadh pula sekadar mencebikkan
bibirnya.
“Alah, jeleslah tu dengan aku. Hensem apa aku
dengan jambang sejemput aku ni,” balas Rifdi Riyadh turut bergurau sambil
memegang jambangnya yang sedikit itu.
“Ha’ah, jambang orang malas nak cukur!” tempelak
Syahmi kemudiannya. Dia tahu sangat akan keterampilan kawannya itu. Rifdi
Riyadh bukanlah seorang lelaki yang suka menyimpan jambang. Dia lebih suka
mukanya tampak bersih. Cuma bila dia sibuk dengan kerja sahaja, dia akan
terlupa akan penampilannya. Sering sahaja, jambang akan meliar di wajahnya
sebelum dia teringat untuk mencukurnya semula.
Rifdi Riyadh hanya tertawa mendengarkannya. Begitu
juga Arman dan Syahmi. Masing-masing ketawa.
“Eh, tu kan awek yang kau langgar tadi?” tanya
Arman sambil menyiku lengan Rifdi Riyadh. Pantas mereka semua berkalih
memandang gadis yang sedang menolak troli menuju ke kaunter pembayaran itu.
Gadis itu tersenyum manis memandang hadapan.
Rifdi Riyadh diam seketika memandang gadis itu.
Dia mengekori langkah gadis itu sehingga hilang dari pandangannya. Kemudian,
dia mengerutkan dahinya. Ada sesuatu pada gadis itu yang terlepas dari
pandangannya mula tadi. Tapi, dia tak pasti apakah ia. Dia hanya diam sahaja sambil
terus memikirkannya.
“Cun jugak awek tu! Manis saja aku tengok,” komen
Syahmi kemudiannya. Rifdi Riyadh tersentak mendengar suara kawannya.
“Ha’ah, betul tu!” setuju Arman. Rifdi Riyadh
masih lagi diam. “Kau ni apasal pulak? Tiba-tiba saja diam. Takkanlah.... cepat
betul kau berkenan dengan awek tu,” sengaja Arman bergurau.
“Isyy, mana ada!” pantas Rifdi Riyadh menafikan.
“Cuma.... rasa macam kenal pulak dengan awek tu,” ujarnya kemudian.
“Eh, tadi kau kata tak kenal?! Yang mana satu kau
ni? Kenal ke tak?” tanya Syahmi pula.
“Tulah pasal! Rasa macam kenal tapi.... aku rasa
tak kenal pulak. Tapi.... rasa memang macam pernah kenal!” Rifdi Riyadh keliru
dalam ingatannya sendiri. Dia seperti pernah mengenali gadis itu tapi kurang
pasti.
“Kejap kenal kejap tak kenal. Mana satu sebenarnya
ni?” Arman ikut keliru dengan Rifdi Riyadh.
“Entahlah....”
“Mungkin kau pernah jumpa dia kat mana-mana
agaknya. Sebab tulah kau rasa macam pernah kenal,” ujar Syahmi memberi
pendapat. Rifdi Riyadh diam menimbangkan kemungkinan itu.
“Mungkinlah....” akur Rifdi Riyadh akhirnya. Puas
dia memikirkan perihal gadis itu tapi masih tersekat juga ingatannya.
Tapi.... memang seperti dia pernah mengenali gadis
itu. Bukan sekadar pertemuan biasa. Dia pasti akan perkara itu walaupun nama gadis
itu masih kabur di ingatannya. Pandangan dan senyuman gadis itu mengingatkannya
kepada seseorang yang penting. Yang dia tak harus lupakan. Seseorang yang
begitu dekat dengan hatinya. Tapi siapa?! Rifdi Riyadh masih gagal mencari
jawapannya. Dia mengeluh berat. Mungkin ini cuma mainan perasaannya sahaja
ketika ini. Mungkin juga dia perlukan sedikit masa untuk kembali mengingati
nama gadis itu.