“ARGHH!! Aku tak tahulah
apa yang tak kena dengan aku?!” tingkah Rifdi Riyadh sambil meramas kepalanya
menyebabkan rambutnya sedikit berkusut.
Arman dan Syahmi hanya memandang dia. Mereka hanya
diam sahaja dari mula tadi melihat kelakuan lelaki itu. Mereka juga saling
mengacah sesama sendiri untuk cuba bertanyakan hal yang terjadi kepada Rifdi
Riyadh tapi masing-masing masih membisu.
“Err, Rifdi,” panggil Syahmi mengalah akhirnya
dengan desakan Arman. Kawannya itu pun mengangkat wajahnya. Tampak kusut sekali
wajahnya ketika itu. “Kenapa dengan kau ni sebenarnya?” tanya Syahmi.
“Aku...” belum sempat Rifdi Riyadh menjawabnya,
sapaan salam mencelah antara mereka. Pantas sahaja salam yang diberi itu
disambut.
“Eh, sorry!
Aku lambat sikitlah. Ada hal pulak masa aku nak keluar rumah tadi,” ujar Fitri
yang baru tiba. Rifdi Riyadh kelihatan lega sedikit dengan kehadiran kawannya
itu.
“Ni kawan kaukah?” tanya Fitri merujuk kepada
Arman dan Syahmi.
“Ha’ah, kawan aku dari universiti dulu. Korang
kenal-kenallah sendiri,” ujar Rifdi Riyadh selanjutnya.
“Aik, boleh pulak macam tu,” sahut Arman bergurau.
Tapi, mereka bertiga berkenalan sendiri juga.
“Fitri ni kawan dari sekolah menengah lagi,”
beritahu Rifdi Riyadh kepada mereka berdua. Arman dan Syahmi hanya mengangguk
sahaja mendengarkannya.
“Jadi... apa halnya kau ajak aku keluar tiba-tiba
ni?” tanya Fitri ingin tahu.
Agak saat-saat akhir juga, ketika Rifdi Riyadh
menghubunginya untuk mengajaknya keluar. Lelaki itu tidaklah memaksanya sangat
tapi dari nada suaranya ketika itu seperti ada sesuatu yang membebankannya.
Sebab itulah, Fitri lekas sahaja bersetuju untuk berjumpa.
“Aku nak tanya kau pasal kisah lama dulu,” ujar
Rifdi Riyadh memulakan bicara tujuan ajakannya. “Pasal... aku, Feeza dan Nana.”
“Huh, kenapa pulak tiba-tiba saja nak tanya pasal
hal tu?” Fitri langsung tak menduga soalan itu. Dia agak terkejut
mendengarkannya. Pasti ada sesuatu yang berlaku antara mereka bertiga. “Sebab
kau jumpa dengan Feeza balik hari tukah yang kau tanya ni?” duga Fitri lagi.
“Tak! Bukan sebab Feeza. Sebab...” Rifdi Riyadh
sendiri agak berat untuk menyatakannya. “Sebab Nana,” akuinya.
Makin bertambah terkejutlah reaksi Fitri. Dia
terus diam memandang kawannya itu. Biar betul saja dia ni?! Sebab Nana? Kalau
sebab Feeza, aku fahamlah jugak tapi... Nana?! Kenapa pulak sebab awek yang dia
bukan main benci tu pulak yang dia tanya balik pasal hal lama ni? Aku ingatkan
dia sendiri pun dah lupakan semua ni. Pelbagai persoalan bermain di benak
Fitri.
“Siapa Nana? Siapa Feeza?” laju sahaja Arman
bertanya.
Dia cuba untuk menyampuk perbualan mereka tapi
hatinya begitu mendesak sekali untuk mengetahuinya. Jarang sekali untuk
kawannya itu terlibat dengan mana-mana perempuan. Sebab itulah dia tertarik
untuk mengetahuinya bila dua nama perempuan itu disebut dalam perbualan mereka.
“Fitri... kau ceritalah kat dorang. Aku pun dah
tak tahu macam mana nak ceritakan,” pinta Rifdi Riyadh. “Lagi pun, manalah tahu
kalau pendapat dorang ni nanti bernaskah?”
“Eh, boleh saja! Aku memang suka bab-bab bergosip
ni,” sahut Fitri. Arman dan Syahmi tertawa kecil mendengarkannya.
“Banyaklah kau punya gosip! Kisah benar tau,”
sempat juga Rifdi Riyadh bergurau.
Selepas itu, Syahmi pun menceritakan kisah yang
sebenarnya terjadi di antara Rifdi Riyadh dengan gadis yang dipanggil Feeza dan
Nana itu. Arman dan Syahmi tekun mendengarkannya. Fitri juga bersemangat sekali
menceritakannya. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja. Dia juga turut terkenangkan
kembali kisah lama itu.
Imbas kembali: Zaman
persekolahan
RIFDI RIYADH duduk
bersendirian di tepi kolam ikan sekolahnya. Dia sedang menunggu seseorang.
Ketika itu dia terleka sedikit melihat ikan-ikan koi di dalam kolam itu. Penat
berdiri, dia pun duduk di bangku berdekatan situ juga.
Dalam masanya bersendirian itu, dia cepat sahaja
terkenangkan hal-hal yang lepas. Yang paling kuat bermain di ingatannya ketika
itu adalah seorang gadis yang bernama Hafeeza. Tak sangka pertemuan ringkas
antara mereka setahun yang lalu membibitkan perasaan yang begitu membuai indah
di dalam hatinya.
Kini, sudah hampir setahun dia bercinta dengan
gadis junior itu. Dia kini pun sudah berada di tingkatan 6 atas. Ini adalah
tahun terakhirnya di sekolah itu. Dia berharap yang hubungannya dengan Hafeeza
akan berterusan walaupun setelah dia tamat persekolahan nanti.
“Mana orang yang nak jumpa aku ni? Dorang ni
main-mainkan aku ke?” Rifdi Riyadh bertanya sendiri bila waktu yang dijanjikan
telah melepasi 10 minit.
“Sorry!
Lambat sikit!”
Rifdi Riyadh pun berkalih memandang gadis yang
baru tiba itu. Dia mengerutkan dahi memandang gadis itu. Bukannya dia tak kenal
dengannya. Malah lebih dari kenal lagi. Gadis itu adalah antara pelajar yang
nakal dalam senarainya.
“Kau yang nak jumpa dengan aku? Apasal nak jumpa
aku?” tanya Rifdi Riyadh agak kasar.
“Sebab ada hallah,” jawab Auni Liyana sambil
tersenyum.
“Yalah. Beritahu cepat sikit apahalnya yang kau
nak jumpa aku ni. Dan kalau boleh, ringkaskan sebab aku tak mahulah pulak
berlama-lama dekat sini dengan kau,” balas Rifdi Riyadh. Gadis itu hanya
tersenyum sahaja memandangnya.
“Urm... pasal Feeza,” ujar Auni Liyana. Kali ini,
Rifdi Riyadh turut berminat dengan apa yang ingin dikatakannya.
“Kenapa dengan awek aku tu?!” pantas sahaja Rifdi
Riyadh bertanya. Khuatir pula jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.
“Jangan risau! Dia okay sajalah,” pantas Auni
Liyana memberitahu. Barulah seniornya itu kelihatan tenang kembali. “Cuma...
ada sesuatu pasal dia yang Nana perlu beritahu.”
Rifdi Riyadh sabar menanti bicara seterusnya. Agak
tertarik juga dia dengan perbualan mereka ketika itu. Auni Liyana menarik nafas
dalam cuba mencari kekuatan untuk meluahkannya.
“Feeza tak macam apa yang awak fikirkan,” ujar
Auni Liyana.
“Apa maksud kau?”
“Selama ni... dari mula lagi perkenalan awak
dengan dia lagi. dia tak pernah jujur dengan awak. Dia tipu awak dari mula
lagi,” beritahu Auni Liyana.
Rifdi Riyadh mencebik mendengarkannya. “Apa yang
kau cuba nak sampaikan ni? Kau nak beritahu aku yang dia curang dengan aku?
Yang dia tikam aku dari belakang selama ni?” semakin menipis kesabarannya
ketika itu.
“Tak! Feeza tak pernah curang dengan awak. Dia agak
setia dengan awak cuma... dia tak pernah jujur dengan awak dari mula lagi,”
tingkah Auni Liyana.
“Okay! Kau beritahu aku sekarang. Apa yang dia tak
jujurnya dengan aku? Apa yang dia tipu aku dari mula lagi?” tanya Rifdi Riyadh
lagi. Dia memandang tajam gadis itu.
Auni Liyana diam sahaja. Dia turut memandang
lelaki itu. Tegas pandangannya. “Boleh Nana tanya sesuatu?” pintanya kemudian.
“Hemm!”
“Kalau awak tahu yang dia memang tipu awak selama
ni, awak boleh maafkan dia ke?” duga Auni Liyana.
“Terpulang. Tengok jugaklah apa yang dia tipu
aku,” balas Rifdi Riyadh. Dia makin rimas dengan perbualan itu. Tak pasti hala
tujunya.
“Contohnya?”
“Kan aku dah cakap terpulang! Aku pun tak pastilah
sebab selama ni tak pernah pulak ada orang beritahu aku yang dia ada tipu aku.
Kau ni kiranya orang pertamalah cakap macam ni dengan aku,” selar Rifdi Riyadh.
“Walaupun sikit, takkan awak tak boleh bagi contoh
situasi yang memang awak tak boleh maafkan?” tanya Auni Liyana lagi perihal
yang sama.
Rifdi Riyadh mendengus mendengarkannya. Dia diam
memikirkannya. “Kalau dia curang dengan aku atau...” hanya satu situasi sahaja
yang mampu difikirkannya. Dia sendiri juga tak tahu lagi.
“Buku,” sebut Auni Liyana.
“Apa?! Buku? Buku apa?”
“Buku yang temukan awak dengan dia,” beritahu Auni
Liyana.
“Oh, buku tu! Kenapa dengan buku tu pulak?” Rifdi
Riyadh makin pelik dengan soalan gadis itu.
“Buku tu bukan milik dia,” akui Auni Liyana
akhirnya. “Kalau awak tanya kawan-kawan sekelas dia masa tingkatan 3 dulu.
Pasti ada yang akan beritahu pasal hal yang sebenar. Walaupun tak ramai yang
tahu pasal buku tu tapi masih ada yang tahu. Buku tu bukan dia punya. Dan...
dia pun bukan seorang yang pandai melukis,” sambung gadis itu. Kata-kata
akhirnya sengaja diperlahankan nadanya.
“Apa maksud kau buku tu bukan buku dia? Tak
mungkin dia nak tipu aku pulak? Sebab masa tu, aku tak kenal lagi dengan dia.
Jadi, dia tak ada sebab nak tipu aku macam tu,” tingkah Rifdi Riyadh.
“Sebab tulah dia tipu,” balas Auni Liyana ringkas.
“Maksud kau?!”
“Sebab dia tak kenal dengan awak. Jadi, dia nak
berkenalan dengan awak. Terus terang cakap, ramai awek-awek dekat sekolah ni
yang mengidamkan awak jadi pak we dorang termasuklah Feeza. Dia nampak peluang
tu dan dia pun rebut sajalah,” jelas Auni Liyana.
Rifdi Riyadh terdiam memikirkannya. Berkali-kali
fikirannya menafikan semua yang dikatakan gadis itu. Tak mungkin gadis selembut
Hafeeza mampu menipunya sedemikian rupa.
“Kenapa? Takkan sebab sebuah buku awak tak boleh
maafkan dia?” sengaja Auni Liyana menduga.
“Aku tak fahamlah dengan kau ni! Kau nampak macam
saja nak buat aku clash dengan dia
pada mulanya. Tapi lepas tu, kau cakap macam ni pulak! Apa tujuan kau sebenarnya,
hah?!” sergah Rifdi Riyadh. Dia makin runsing memikirkan semua itu.
“Sekurang-kurangnya, sebelum awak tamatkan
persekolahan dekat sini. Nana nak awak tahu hal yang sebenarnya. Dan walaupun
dia tipu awak dari mula awak kenal dia dulu. Selagi awak boleh maafkan dia, tak
ada masalah kan? Nana bukannya nak buatkan awak clash dengan dia. Cuma nak beritahu awak hal yang sebenarnya. Apa
pun keputusan awak, tu terpulang dekat awak,” jelas Auni Liyana.
“Kenapa baru sekarang kau nak beritahu aku kalau
kau tahu dari awal lagi? Entah betul atau tak cerita kau ni?” tanya Rifdi
Riyadh pula. Dia tak mempercayai sepenuhnya apa yang disampaikan gadis itu.
“Kan Nana dah beritahu alasan Nana,” balas Auni
Liyana ringkas.
“Aku nak tahu alasan yang sebenarnya,” desak Rifdi
Riyadh.
“Alasan yang sebenarnya pun... awak dah tahu
jugak,” sengaja dia bermain kata dengan lelaki itu. Rifdi Riyadh mengerutkan
dahi memandangnya kurang mengerti akan maksudnya.
“Sebab Nana sukakan Rifdi,” sepatah itu laju
sahaja meniti di bibirnya.
Rifdi Riyadh tampak tenang mendengarkannya. Dia
memang sudah lama mengetahuinya. Sebab itulah, dia sekadar mencebikkan
bibirnya. “Kau masih tak boleh lupakan perasaan kau tu ya? Kan aku dah beritahu
kau yang aku tak boleh terima kau,” perlinya.
“Ya! Nana tahu. Dan Nana pun pernah beritahu Rifdi
yang Nana tak harapkan apa-apa dari Rifdi,” balas Auni Liyana. Dia kedengaran
tenang sekali menuturkannya. “Sebab perasaan ni milik Nana. Dan Nana ada hak
untuk sukakan Rifdi. Apa yang Rifdi rasa, tu terpulang dekat Rifdi. Walaupun
perasaan kita tak sama tapi Nana tak kisah. Sebab berjumpa dan mengenali Rifdi
adalah sebahagian dari perkara terbaik dalam hidup Nana,” sambung gadis itu.
Rifdi Riyadh mengetapkan bibirnya. Kata-kata itu
mengusik hatinya. Dia memandang wajah gadis di hadapannya itu. Bagaimana gadis
itu boleh tenang melafazkan semua itu? Dan kenapa lafaznya kedengaran jujur dan
ikhlas? Seperti menarik hatinya untuk memahami perasaan yang sama itu. Ketika
pelbagai andaian yang menariknya kepada Auni Liyana mula bermain di fikirannya,
pantas sahaja dia menepis semua itu. Dia tak mahu berlaku curang dengan
Hafeeza.
“Aku ada hal lain. Aku pergi dulu,” pinta Rifdi
Riyadh kemudiannya. Tak betah untuk dia berlama di situ. Laju sahaja langkah
dia beredar dari situ.
“JADI... lebih kurang
macam tulah ceritanya,” ujar Fitri mengakhiri ceritanya. Arman dan Syahmi hanya
mengangguk-angguk sahaja memahami cerita itu. Rifdi Riyadh juga masih diam.
“Tapi... tak lama lepas tu, aku clash jugak dengan Feeza. Entahlah,
sebab apa yang Nana pernah katakan tu banyak menganggu fikiran aku. Lepas tu,
adalah satu kejadian yang berlaku yang betul-betul buatkan aku tak boleh
maafkan dia,” tambah Rifdi Riyadh kemudiannya. Dia diam seketika mengimbas
kembali kenangan lalu itu.
“Kejadian apa?” tanya Syahmi tak sabar untuk tahu.
“Nana memang jadi punca aku clash dengan Feeza.
Dia ugut Feeza untuk bencikan aku. Feeza tu seorang perempuan yang lembut. Jadi
dia lemah dengan ugutan tu semua. Tapi... aku tahu jugak semuanya sebab secara
tak sengaja aku dengar dorang gaduh. Lepas tu, barulah aku tahu cerita yang
sebenarnya. Dan aku rasa apa yang Nana beritahu aku sebelum tu pun, rasanya
bohong saja. Sebab tulah aku tak boleh maafkan dia,” cerita Rifdi Riyadh. Lagi.
Fitri hanya diam sahaja mendengarkannya. Dia
mengeluh perlahan. Rifdi Riyadh sekadar mengerling sahaja memandang kawan
sekolahnya itu. “Tapi... tu semua cerita lama. Bila difikirkan balik pun, aku
rasa apa yang jadi tu cuma kenangan lama saja. Cuma satu saja kesan dari
kenangan tu yang aku tak boleh lupa. Aku tak boleh maafkan Nana,” sambungnya
lagi.
“Sampai hari ni? Kau masih tak boleh maafkan
Nana?” duga Arman.
“Err... hemm,” hanya itu terluah dari mulut Rifdi
Riyadh.
“Hemm,
okaylah! Habis tu, apa masalah kau sekarang?” tanya Fitri yang diam dari tadi.
“Tulah masalahnya! Aku sepatutnya bencikan dia dan
aku tahu yang aku memang bencikan dia lagi tapi... tak tahulah macam mana nak
nak kata,” dengus Rifdi Riyadh. Makin pusing pula fikirannya ketika itu.
“Apa yang kau tak tahunya?” celah Syahmi pula.
Rifdi Riyadh mengeluh seketika. Agak berat untuk
dia menceritakan perihal rancangan mamanya kepada mereka tapi dia terpaksa juga
jika dia mahukan pendapat mereka. Jadi, dia pun menceritakan pertemuannya
dengan gadis itu beberapa hari lepas.
Arman dan Syahmi saling berpandangan setelah
selesai mendengar cerita itu. Fitri pula tersenyum nipis sambil tersandar ke
kerusinya. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Langsung tak diduga,
begitu kuat jodoh pertemuan di antara kawannya itu dengan Auni Liyana.
“Jadi kau nak buat apa sekarang?” tanya Syahmi.
“Aku tak tahu! Yang pastinya, aku terpaksa ikut
jugak rancangan mama aku tu,” balas Rifdi Riyadh.
“Kalau macam tu, ikut sajalah. Manalah tahu, kalau
kau memamg berjodoh ke dengan Nana tu. Lagi pun... entahlah. Dari apa yang
Fitri dan kau ceritakan pasal kisah lama kau ni. Aku tak dapat nak bencikan
Nana tu. Aku rasa macam ada yang tak kena. Ada yang tak lengkap dengan cerita
kau ni. Aku rasa macam Nana tu... mangsa keadaan,” ujar Arman memberikan
pendapatnya.
“Nana tu memang mangsa keadaan pun,” akui Fitri.
“Apa maksud kau?” pantas sahaja Rifdi Riyadh
bertanya.
Fitri terdiam seketika. Dia mengetapkan bibir
kerana terlanjur bicara begitu. Dia masih lagi diam mengatur bicaranya di dalam
hati. Kemudian, dia tersenyum nipis. “Yalah. Dia kan sukakan kau. Maksud aku,
kiranya dia tu... cuma tersilap langkah sebab perasaan tu. Dalam situasi macam
tu, semua orang jadi mangsa keadaan,”
ujar Fitri memberi alasan.
“Kau tak pernah terfikir ke yang... mungkin kau
dah tak bencikan lagi Nana tu?” tanya Syahmi. Rifdi Riyadh diam
mendengarkannya. “Mungkin kau dah terbiasa dengan perasaan tu bila berdepan
dengan dia. Mungkin benci kau tu, cuma dekat mulut saja. Bukan dekat hati,”
sambung Syahmi memberi pendapatnya pula.
Arman dan Fitri terus memandangnya. Mereka diam
memikirkan kata-katanya. Ada betul jugak kata-kata Syahmi itu. Rifdi Riyadh
juga turut terdiam sambil mengerutkan dahinya. Agak logik pendapat itu tapi
adakah kemungkinan itu? Dia bertanya sendiri di dalam hatinya.
“Apa kata kau cuba ubah sikap kau bila berdepan
dengan dia? Kau anggap saja pertemuan kau dengan dia nanti sebagai pertemuan
yang pertama. Anggap saja dia tu gadis pilihan mama kau,” cadang Syahmi.
“Aku pun setuju jugak dengan Syahmi!” sahut Arman.
“Tapi... paling penting! Kau kena tanya
betul-betul hati kau. Apa sebenarnya perasaan kau dekat Nana? Kau yang pegang
jawapan tu. Kami semua tak boleh jawabkan untuk kau. Kami cuma boleh tolong
bagi nasihat saja,” tambah Fitri pula.
Rifdi Riyadh masih lagi diam. Tapi dia
menimbangkan juga pendapat-pendapat kawannya itu. Tak salahkan mencuba? Mungkin
hatinya akan lebih tenang kalau dia tahu rasa hatinya yang sebenar. Walaupun,
mungkin rasa itu masih lagi rasa yang sama iaitu benci. Tapi
sekurang-kurangnya, dia dapat memastikan yang itulah perasaan sebenarnya
terhadap gadis itu.
“Okay semua! Jom kita berdoa,” ajak Fitri
memecahkan kesunyian itu. Rifdi Riyadh hanya mengerutkan dahi memandangnya.
Arman dan Syahmi pula sudah mula tersenyum geli hati. Mereka bertiga sama-sama
menadahkan tangan.
“Ya ALLAH ya Tuhanku... KAU permudahkanlah urusan
kawan kami ni. Semoga hatinya terbuka untuk memaafkan Nana. Semoga benci di
hati dia bertukar sayang. Dan... semoga terjalin jodoh yang berkekalan di
antara dua insan ini,” doa Fitri. Arman dan Syahmi mula tertawa kecil.
“Amin!!” serentak mereka bertiga mengaminkan doa
itu.
“Kurang asam korang!” tingkah Rifdi Riyadh. Terus
sahaja dia menumbuk lengan Fitri di sebelahnya tapi tidaklah sekuat mana.
Mereka bertiga masih terus ketawa. Sedangkan Rifdi Riyadh terus masam mencuka.
Berkali-kali dia menafikan harapan itu. Tak mungkin dia dan gadis itu punya
masa depan bahagia bersama.