Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,301
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11


“PHONE aku hilang. So, kalau kau ada apa-apa nak cakap dengan aku, datang jumpa dengan aku terus. Tak pun, guna phone office,” beritahu Nurin kepada Shida.

“Hilang? Kat mana hilang?” tanya Shida sedikit terkejut.

“Entah! Aku tak sedar yang phone aku hilang. Dah sampai rumah baru tahu,” jelas Nurin. Dia masih memandang laptop di hadapan.

“Kau tak cuba call handphone kau tu ke?” 

“Tak ada pula.”

“Cubalah call. Mana tahu kan ada orang jumpa phone kau tu. Then, dia baik hati nak pulangkan pada kau.”

“Mustahil! Zaman sekarang ni mana ada orang baik,” tukas Nurin sambil menggelengkan kepala. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.

“Kau ni, Nurin. Negatif tak habis-habis,” tegur Shida.

“Aku bercakap berdasarkan pengalaman.” Nurin tidak mahu mengalah.

“Pengalaman la sangat.” Shida mencebik meluat

Nurin ketawa kecil. Otaknya cuba menerima cadangan Shida.

“Kau nak call siapa?” tanya Nurin tatkala terlihat tingkah laku Shida yang sedang mengeluarkan telefon bimbit.

“Call member,” balas Shida, selamba. Dia bangun dari duduk lalu menjauhi Nurin.

Nurin hanya memandang. Dibiarkan sahaja tingkah laku Shida yang sedang menelefon.

“Assalamualaikum,” sapa Shida sebaik sahaja talian bersambung.

Nurin berkerut dahi. Dengan siapa Shida berbual? Serius dilihatnya. 

“Okey! Jumpa petang ni,” suara Shida lalu mematikan talian. Nafas lega dilepaskan.

“Kau call siapa?” tanya Nurin selepas itu.

“Adalah!” balas Shida lalu duduk semula.

 Nurin memerhatikan tingkah laku Shida. Perasaan ingin tahu menujah ke hati.

“Eh, aku balik bilik dulu. Lepas kerja nanti kau temankan aku pergi pasar raya, boleh?” tanya Shida lalu bangun dari duduk. Dia menanti balasan daripada Nurin.

“Lepas kerja?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.

“Kau tak ada ke mana, kan?” tebak Shida sambil mengangkat kening.

Nurin berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia menganggukkan kepala tanda setuju.

“Okey la.” Nurin membalas setelah berfikir.

Shida tersenyum. Dia melangkah beredar dari bilik itu. Rasa teruja menunggu petang. 

Nurin hanya memandang. Pelik melihat Shida. Entah apa yang sedang dirancangkan oleh kawan baiknya itu.

“Ah! Malas aku nak fikir. Ikut saja la petang nanti,” putus Nurin. Dia meneruskan kerja yang tertangguh akibat kehadiran Shida. 

“Dia call siapa tadi?” soal Nurin sambil menghentikan tingkah laku.



“INI laporan tentang majlis amal kita tempoh hari,” beritahu Farid sambil menghulurkan fail kepada Encik Amir dan dibalas baik oleh ayahnya itu.

Encik Amir membuka fail. Dia membaca askara-askara yang tertulis di atas kertas. Satu persatu laporan yang ditulis oleh Farid dibaca penuh cermat dan cuba untuk difahami.

“Bagus! Majlis kita berjalan dengan lancar,” suara Encik Amir sehabis sahaja meneliti fail tersebut.

Farid menarik nafas lega.

“Kesemua client berpuas hati dengan majlis kita. Mereka puji dengan kecekapan Farid,” kata Encik Amir dalam nada bangga.

“Alhamdulillah,” ucap Farid berserta senyuman di bibir.

“Macam mana dengan persiapan majlis pertunangan Farid dengan Dahlia?” Encik Amir sekadar bertanya. Dia memandang ke wajah Farid.

“So far okey. Dalam minggu ni, Farid nak pergi jumpa Aunty Fauziah untuk pilih material,” jawab Farid akan perancangannya.

Encik Amir mengangguk faham. Fauziah! Nama itu meniti di benak hati. Rakan baik serta rakan kongsi arwah isterinya dan sedang mengusahakan Butik Mahligai Impian. Hanya sekali dua sahaja dia berjumpa dengan Fauziah.

Ketika isterinya masih hidup, dia sibuk dengan urusan kerja di pejabat. Membantu Tuan Haji Zuhuri memajukan syarikat. Disebabkan kekangan masa, dia jarang bersama dengan arwah isterinya. Malah, untuk berjumpa dengan kenalan-kenalan isterinya jauh sama sekali. Rasa rindu terhadap Puan Farisya menujah ke hati.

“Kalau tak ada apa lagi, Farid balik bilik dulu,” ujar Farid mematikan lamunan pendek Encik Amir.

Encik Amir tersentak. Dia memandang ke wajah anaknya, Farid.

“Ada apa-apa lagi yang ayah nak bincangkan dengan Farid?” tanya Farid pula. Pandangan Encik Amir dibalas.

“Tak ada. Kalau ada nanti, ayah beritahu Farid,” balas Encik Amir berserta gelengan di kepala.

“Farid balik bilik dulu.” Farid bangun dari duduk. Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik Encik Amir.

Encik Amir hanya mengangguk. Nafas ringan dilepaskan sebelum mengalihkan pandangan ke bingkai gambar keluarganya yang elok terletak di tepi meja. 

“Abang rindukan Farisya,” luah Encik Amir, perlahan lalu mencapai bingkai gambar. Ditatap wajah isterinya itu.

“Abang janji akan membahagiakan keluarga abang seperti yang Farisya minta,” sambung Encik Amir. Kenangan lama mengusik jiwa ketika ini. Hanya doa yang mampu diberikan buat isteri tercinta.

“Sebelum Farid terlupa…” Farid mematikan langkah.

Encik Amir yang mendengar sedikit tersentak. Dia meletakkan semula bingkai gambar di atas meja lalu memandang ke arah Farid.

“Client mana yang ayah jumpa hari tu? Ada yang Farid tak tahu ke?” Farid menoleh ke wajah Encik Amir meminta jawapan.

Encik Amir yang mendengar menelan air liur sendiri. Client? Sebutnya dalam hati.



“ENCIK FARID!” tegur Liza dari arah belakang.

Farid yang baru hendak masuk ke dalam bilik menghentikan langkah. Dia menoleh ke arah Liza yang sudah menghampiri.

“Ada pesanan untuk Encik Farid,” beritahu Liza sambil menghulurkan sekeping nota.

Farid membalas huluran. Dia berkerut dahi membaca nota tersebut.

“Tadi ada seorang call handphone Encik Farid. Saya minta maaf sebab jawab call tersebut,” jelas Liza tatkala terlihat dahi Farid berkerut.

“Handphone?” ulang Farid masih berkerut dahi.

“Atas meja Encik Farid.” Liza turut sama berkerut dahi.

“Oh! Handphone tu.”

Liza menganggukkan kepala.

“Handphone tu bukan milik saya.”

“Bukan milik Encik Farid?”

“Pengurus hotel jumpa handphone tu dan serahkan pada saya. Mungkin handphone tu milik salah seorang tetamu kita.” Farid menjelaskan. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. 

Liza turut mengekori Farid masuk ke dalam bilik.

“Nota ni…”

“Dia minta jumpa petang nanti di tempat tu.”

“Baiklah! Terima kasih, Liza,” ucap Farid berserta senyuman di bibir.

Liza turut sama tersenyum. Dia meminta diri beredar dari situ.

“Liza!” Farid memanggil seminit selepas itu.

Liza mematikan langkah lalu menoleh ke wajah Farid.

“Siapa yang call tadi?” tanya Farid sekadar ingin tahu.

“Nurin Natasya,” jawab Liza lalu beredar dari situ.

Farid tersentak. Nurin Natasya! Sebutnya dalam hati. Disentuh jantungnya yang berdegup kencang dengan tiba-tiba. Entah kenapa setiap kali nama Nurin Natasya meniti di bibir, rasa debaran yang hebat di dada. Perasaan yang tidak pernah dirasai sewaktu bersama dengan Dahlia. 



“KITA nak ke mana?” tanya Nurin. Langkahnya mengekori langkah Shida.

Shida tidak membalas. Melilau matanya melihat keadaan pasar raya. Dia mencari seseorang seperti yang telah dijanjikan.

“Wei, aku tanya kau ni. Kita nak ke mana?” Nurin masih bertanya. 

“Aku nak jumpa kawan sekejap,” beritahu Shida. Dia melangkah menghampiri sebuah kerusi yang berhampiran. 

“Siapa?” Nurin ingin tahu. 

“Kau akan tahu nanti,” balas Shida. Dia masih mencari kelibat yang dimaksudkannya itu. Satu persatu orang yang berada di situ dipandang.

Nurin menghela nafas ringan. Tingkah laku Shida dipandang. Lagak seperti mencari dan menanti seseorang. Seminit kemudian, dia melabuhkan duduk di atas bangku. Melepaskan lelah di situ.

“Assalamualaikum.” 

Teguran seseorang mengejutkan Nurin. Dia menoleh ke arah empunya suara yang menegur. Seorang wanita sedang berdiri di hadapannya.

“Waalaikumussalam,” balas Nurin sambil bangun dari duduk.

“Cik Nurin Natasya?” tanya Liza, ramah. Wajah Nurin di hadapan dipandang. Berharap dia tidak salah orang.

“Ya, saya Nurin Natasya. Cik ni…” Nurin mengiakan sambil membalas pandangan wanita di hadapannya itu.

Shida yang melihat Nurin sedang berbual dengan seseorang segera menghampiri. Dia ingin mengetahui siapa perempuan tersebut.

“Saya tak salah orang,” kata Liza berserta nafas lega.

Nurin berkerut dahi. Diperhatikan tingkah laku wanita itu yang sedang menggagau beg tangan.

“Ini handphone Cik Nurin,” ujar Liza seraya menghulurkan telefon bimbit kepada Nurin. Dia menanti balasan daripada gadis itu.

Nurin sedikit terkejut. Dia membalas huluran. 

“Handphone kau kan, Nur?” tanya Shida setelah lama memandang dan mendengar.

Nurin membelek telefon bimbit tersebut. Memang telefon itu miliknya.

“Cik ni…” Shida mematikan ayat. 

“Saya Liza. Setiausaha Encik Farid,” beritahu Liza berserta senyuman di bibir.

“Farid?” sebut Nurin dan Shida, serentak.

“Cik Nurin tertinggalkan handphone di majlis amal syarikat kami. Pengurus serahkan pada Encik Farid dan dia minta saya serahkan handphone ni pada Cik Nurin sebab Encik Farid ada urusan yang perlu diselesaikan,” jelas Liza, terang dan nyata.

Nurin dan Shida mengangguk faham. 

“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu,” ujar Liza pula.

“Baiklah! Terima kasih sebab pulangkan handphone ni pada saya. Sampaikan ucapan terima kasih saya pada Encik Farid,” balas Nurin, ramah. Dia tersenyum kepada Liza.

“Insya-Allah. Saya minta diri dulu,” pamit Liza lalu beredar dari situ.

Nurin dan Shida hanya memandang. Masing-masing melepaskan nafas lega.

“See. Kau kata tak ada orang baik. Sekarang ni? Dah terbuktikan masih ada orang baik dalam dunia ni.” Shida menyindir. Kata-kata Nurin pagi tadi meniti dalam minda.

Nurin tersengih.

“Siapa Farid tu? Mesti handsome. Rugi pula tak jumpa dengan dia.”

Nurin tidak membalas. Nama Farid meniti di benak hati. 

“Kejap, Nurin! Aku nak beli buah. Kau nak ikut tak?” Shida menghentikan langkah. Dia mengunjuk ke arah sebuah gerai menjual buah.

“Aku tunggu kau kat sini,” balas Nurin berserta gelengan di kepala. Fikirannya masih memikirkan siapa Farid yang sebenarnya.

Shida mengangguk. Tanpa menunggu, dia segera melangkah menuju ke sebuah gerai buah berhampiran. Terasa ingin makan buah.

Nurin hanya memandang. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi yang berada tidak jauh dari dia berdiri. Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Dia menatap skrin telefon. ‘Private number’ tertulis di skrin itu.

“Assalamualaikum,” sapa Farid dari hujung talian.

Nurin berkerut dahi. “Waalaikumussalam.”

“Cik Nurin Natasya?” sebut Farid inginkan kepastian.

“Saya. Siapa ni?” Nurin masih berkerut dahi.

“Alhamdulillah! Staf saya dah serahkan semula handphone Cik Nurin.”

“Encik Farid?” 

“Farid Aiman.”

“Farid Aiman?”

“Saya minta maaf selongkar handphone Cik Nurin. Lepas ni letak security pada handphone. Kalau handphone tu dapat pada orang jahat, macam mana? Tak pasal-pasal, gambar Cik Nurin diekploitasikan.” Farid sekadar nasihat.

Nurin hanya mendengar. Tidak membalas. Dia memikirkan siapa Farid Aiman. 

“Cik Nurin!” Farid memanggil tatkala Nurin membisu.

“Terima kasih. Saya letak dulu. Assalamualaikum,” balas Nurin lalu mematikan talian. Sungguh, dia keliru ketika ini.

Farid terkedu dengan tindakan Nurin. Dia tidak menyangka yang Nurin akan mematikan talian begitu sahaja.

Nurin menggenggam erat telefon bimbitnya. Farid Aiman! Sebutnya dalam hati. Dia pasti akan tahu siapa Farid Aiman yang sebenar.

“Assalamualaikum,” tegur seseorang dari arah belakang.

“Waalaikumssalam,” balas Nurin lalu menoleh ke belakang. Terkejut dia melihat gerangan yang menegurnya itu.



Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.