Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,302
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

 

DAHLIA menanti penuh sabar. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke angka 2.00 petang. Rasa rindu terhadap Farid Aiman terlerai sudah sebaik sahaja berjumpa dengan lelaki itu. Hampir seminggu mereka tidak berjumpa.

Dahlia tersenyum. Dalam masa 3 bulan lagi dia dan Farid akan bertunang. Rasa tidak sabar untuk bergelar tunangan Farid. Lelaki yang telah lama bertakhta di hati sejak di bangku sekolah lagi. Dalam ramai-ramai perempuan yang menyukai Farid, dia yang dipilih. Rasa bangga tatkala Farid memilih dirinya.

Sorry, awak. Saya dapat panggilan tadi. Itu yang lambat,” suara Farid sambil melabuhkan duduk di kerusi.

“Eh! Tak apa. Saya faham. Awak kan jejaka terhangat di Malaya,” balas Dahlia sekadar bergurau. Dia ketawa kecil.

“Hangatlah sangat!” bidas Farid turut sama ketawa.

So? Awak nak pergi mana lepas ni?” tanya Dahlia ingin tahu.

Farid mengerling jam di pergelangan tangan.

So?” Dahlia memandang ke wajah Farid.

“Janganlah pandang saya macam tu. Tergoda saya nanti,” tegur Farid dalam nada lembut. Senyuman meniti di bibir.

“Mengada-ngada!”cebik Dahlia meluat.

“Mengada apanya pula? Awak tahu kan saya sayang awak sangat-sangat.”

Dahlia mengangguk perlahan. Dia turut sama menyayangi Farid.

“Tak lama lagi kita dah nak bertunang. Then kahwin. Saya nak jadi yang terbaik untuk awak, Dahlia.”

Dahlia hanya mendengar. Dia tersenyum.

“Dan saya harap, hubungan kita kekal hingga ke akhir hayat,” sambung Farid lagi. Wajah Dahlia di hadapan dipandang sayang.

“Insya-Allah, awak. Kita sama-sama doa agar hubungan kita kekal ke akhir hayat,” balas Dahlia bernada harapan. Mustahil dia akan melepaskan Farid pergi dari hidupnya.

Farid mengangguk. Dia menghela nafas ringan lalu membuang pandang ke luar restoran. Melihat orang ramai yang melewati restoran itu. Matanya jatuh ke susuk tubuh seorang perempuan yang berada di luar restoran.

“Awak!” tegur Dahlia, perlahan.

Farid tidak membalas. Pandangannya masih terpahat kepada perempuan itu.

“Farid Aiman!” Dahlia masih memanggil. Dia berkerut dahi melihat Farid.

“Haa…” Farid tersentak.

“Awak pandang apa?” tanya Dahlia ingin tahu. Dia melihat keluar restoran.

“Tak ada apa-apa.” Farid menggeleng perlahan.

Dahlia mengangguk faham. Pasti ada yang tidak kena pada Farid melihatkan tingkah laku pemuda itu sebentar tadi.

 

 

 

“BARU balik, Farid?” Teguran Encik Amir mematikan langkah Farid. Dia menghalakan mata ke arah Encik Amir di ruang tamu.

“Baru sekarang nak balik? Kamu ke mana?” tanya Encik Amir dalam nada serius.

Farid melangkah menghampiri Encik Amir di ruang tamu. Tingkah laku ayahnya yang sedang membaca fail dipandang seketika. Sejak dari dulu lagi, ayahnya akan membawa fail-fail dari pejabat ke rumah.

“Kamu ke mana, Farid?” ulang Encik Amir pada pertanyaannya yang tadi.

“Farid jumpa dengan Dahlia. Then, meeting dengan client kita,” beritahu Farid, tenang. Wajah ayahnya dipandang.

Encik Amir menghentikan pembacaan. Dia menoleh ke wajah Farid.

“Dahlia?” ulang Encik Amir berserta kerutan di dahi.

“Bincang pasal majlis pertunangan,” jelas Farid tanpa dipinta.

Meeting?” Encik Amir bertanya.

“Kita akan dapat client tu,” ujar Farid pula.

Encik Amir mengangguk. Dia menyambung semula pembacaan. Senyuman meniti di bibir. Rasa bangga menumpang di hati.

Farid beredar dari situ. Dia melepaskan nafas lega. Mujurlah ayahnya tidak bertanya lebih lagi.

Farid melabuhkan duduk di birai katil setibanya di bilik. Ingatannya memutarkan semula peristiwa tengah hari tadi. Gerangan perempuan yang dilihatnya di luar restoran itu tadi mengganggu fikiran.

“Siapa dia?” tanya Farid sendirian. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri meja kerja. Fikirannya masih memikirkan sesuatu.

“Bukan dia ke yang aku jumpa pada malam tu?” kata Farid tatkala mengingatinya.

 

 

 

PUAN NORAISHAH memandang ke luar tingkap. Entah apa yang sedang dipandangnya dia sendiri tidak pasti. Sudah lama dia tidak keluar dan ambil tahu tentang dunia luar. Sejak pemergian suaminya Encik Nazaruddin, hidupnya jadi kelam. Rasa kehilangan yang amat sangat.

Puan Noraishah menghela nafas berat. Peristiwa 5 tahun yang lalu masih segar di ingatan dan tidak mungkin dia akan melupakan peristiwa tersebut. Sejak dari itu, hubungannya dengan Nurin tidak baik. Nurin penyebab kepada semua yang berlaku. Nurin juga penyebab kepada pemergian suaminya.

“Abang!” sebut Puan Noraishah bernada sebak.

Rasa rindu menujah ke hati. Dia menggerakkan kerusi roda menghampiri almari di sisi katil. Satu persatu laci ditarik. Mencari album gambar. Setelah berjumpa, dikeluarkan lalu diselak satu persatu album tersebut.

“Abang!” sebutnya dalam nada sebak. Dia mengusap wajah Encik Nazaruddin di dalam gambar lalu dipeluk erat.

“Nora rindukan abang,” ungkapnya pula.

Air mata yang meniti di tubir mata diseka. Sudah lama dia tidak melawat kubur arwah suaminya. Mustahil dia akan meminta pertolongan daripada Nurin. Sejak peristiwa itu, dia jarang bercakap dengan Nurin. Dia membenci Nurin.

“Kenapa abang pergi dulu daripada Nora? Nora masih perlukan abang,” luah Puan Noraishah masih sebak. Semakin rindu tatkala menatap wajah suaminya itu.

“Kalau bukan disebabkan Nurin, abang tak akan pergi dulu daripada Nora,” kata Puan Noraishah berserta dengusan kasar. Rasa marah terhadap Nurin masih terbuku di hati.

“Nora rindukan abang,” sebut Puan Noraishah lagi dan masih memeluk gambar.

 

 

 

NURIN menutup pintu bilik. Dia bersandar ke dinding sambil menahan rasa sebak. Kata-kata Puan Noraishah sebentar tadi menyentapkan hati. Sehingga ke hari ini, Puan Noraishah masih menyalahkan dia di atas pemergian Encik Nazaruddin.

Nurin melangkah lemah menuju ke bilik. Fikirannya kusut. Disandarkan tubuh ke kepala katil lalu memejamkan mata.

“Allah!” sebut Nurin lalu membuka mata. Tubuh lelaki yang dilihatnya siang tadi meniti di tubir mata.

“Betulkah dia yang aku nampak tadi?” tanya Nurin kepada dirinya sendiri. Dia memutarkan semula peristiwa siang tadi.

“Afiq!” sebut Nurin selepas itu.

Deringan telefon mengejutkan Nurin. Dia menggagau beg tangan lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nama di skrin dipandang.

“Tak. Aku penat hari ni,” jawab Nurin sebaik sahaja salam bersambut.

“Kau okey ke, Nurin?” Asrel bertanya dari hujung talian.

“Aku okey, Rel,” balas Nurin berserta nafas ringan.

Asrel tidak membalas. Suara Nurin kedengaran lain.

“Aku letak dulu. Apa-apa nanti, aku call kau,” ujar Nurin.

“Haa… baiklah! Aku nak sambung kerja,” sahut Asrel sedikit tersentak.

Nurin mematikan talian. Dia melepaskan keluhan kecil. Ada baiknya dia membersihkan diri dan menunggu waktu Maghrib dari memikirkan siapa lelaki itu. Hanya kepada Allah dia berserah segala-galanya.

 

 

 

SO, Nurin tak datang malam ni?” Diana. bertanya sebaik sahaja Asrel mematikan talian. Dia sudah pun mengetahui tentang Nurin. Gadis itu datang membantu Asrel di gerai.

“Tak kak long. Nurin ada hal.” Asrel melabuhkan duduk dikerusi.

Diana mengangguk faham. Dia turut sama melabuhkan duduk dikerusi.

“Nurin dah tahu?” suara Diana selepas itu.

Asrel sedikit tersentak.

“Nurin dah tahu?” ulang Diana pada pertanyaannya tadi.

Asrel membisu. Tidak tahu untuk menjawab.

Diana menyandarkan tubuh. Riak Asrel sudah menjawab pertanyaannya.

“Rel tak berani, kak long,” ujar Asrel berserta keluhan ringan.

“Tak berani?” Diana berkerut dahi.

Asrel menundukkan wajah. Itulah kebenarannya. Dia tidak berani untuk berterus-terang kepada Nurin.

“Sampai bila?”

“Sampai Rel bersedia.”

“Macam mana kalau Nurin dapat tahu sendiri?”

Asrel mengangkat wajah.

“Berterus-terang lebih baik dari merahsiakan. Hati kita pun akan lebih tenang selepas berterus-terang,” kata Diana sekadar nasihat. Dia bangun dari duduk untuk beredar.

Asrel hanya mendengar. Kata-kata nasihat Diana tersemat dalam minda.

“Kak long balik dulu. Ingat pesan kak long. Kalau ada peluang, berterus-terang pada Nurin.” Diana beredar dari situ. Dia berharap Asrel mendengar nasihatnya.

“Suatu hari nanti Rel akan berterus-terang pada Nurin, kak long. Rel perlukan kekuatan untuk lakukannya,” balas Asrel sendirian.

 

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.