Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,307
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10



“CIK!” panggil Farid dari arah belakang.

Nurin menghentikan langkah. Dia menoleh ke belakang lalu memandang ke wajah yang menyapa.

“Afiq!” sebut Nurin, spontan.

“Selendang cik tercicir,” beritahu Farid. Dia membongkokkan badan lalu mengambil selendang yang terjatuh di atas lantai.

Nurin hanya memandang. Dia berkira-kira dalam hati untuk beredar dari situ atau pun tidak.

Farid menghulurkan selendang kepada Nurin. Wajah gadis di hadapannya itu dipandang.

Nurin tidak membalas. Matanya memandang tepat ke wajah Farid. Afiq! Sebut Nurin dalam hati. Dia yakin, lelaki yang dijumpainya malam itu serta yang diekorinya tempoh hari adalah Afiq Aiman. Bukan Farid Aiman seperti yang diberitahu sebelum ini.

“Cik!” tegur Farid berserta kerutan di dahi.

Pelik melihat pandangan gadis itu. Kenapa gadis itu memandangnya tidak berkelip? Diamati wajah gadis itu seketika. Seperti pernah berjumpa dengan wajah itu sebelum ini.

“Cik!” Farid menegur buat kali yang kedua. Wajah Nurin masih dipandang.

“Haa…” Nurin tersentak.

“Selendang!” Farid menghulurkan selendang.

“Terima kasih!” ucap Nurin seraya membalas huluran. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Fikirannya sarat dengan pertanyaan.

Farid hanya memandang. Rasa pelik dengan tingkah laku gadis itu tadi.

“Encik Farid!” tegur Liza, tiba-tiba dari arah belakang.

Farid menoleh. Wajah Liza menyapa mata.

“Encik Amir cari Encik Farid,” beritahu Liza, ramah.

“Baiklah! Terima kasih!” ucap Farid berserta anggukan di kepala. Dia melangkah beredar dari ruangan itu.

“Encik Farid dah jumpa dengan Cik Nurin Natasya?” tanya Liza sekadar ingin tahu. Jika dia tidak silap pandang, Farid berbual bersama dengan Nurin Natasya sebentar tadi.

“Jumpa? Tak ada Liza.” Farid menggelengkan kepala. Dia berkerut dahi.

“Tadi tu bukan ke Cik Nurin Natasya?” Liza membalas. Dia yakin dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

Farid mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Liza.

“Itulah Cik Nurin Natasya,” ujar Liza lalu tersenyum.

Terkejut Farid mendengarnya. Wajah Liza dipandang meminta kepastian. Anggukan diberikan oleh setiausahanya itu. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Cuba untuk mengejar Nurin. Berharap Nurin tidak jauh dari kawasan itu.

 

 

NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Kepenatan amat dirasai. Rasa menyesal kerana menghadirkan diri di majlis amal itu tadi. Rasa bosan dan mujurlah dia beredar dari situ secepat yang mungkin.

Nurin memejamkan mata. Wajah Afiq dan Encik Amir datang silih berganti. Sekian lama dia cuba untuk melupakan dua wajah itu dan hari ini wajah mereka muncul semula di hadapan matanya.

“Hampir 6 tahun aku tak berjumpa dengan mereka dan hari ini aku berjumpa dengan mereka semula.” Nurin bersuara. Rasa tidak puas hati ketika ini.

“Kalau betul itu Afiq Aiman, siapa pula Farid Aiman?”

Ingatannya memutarkan semula pertemuan di kedai pakaian tempoh hari. Wajah Farid seiras dengan wajah Afiq. Jika dia tidak silap, Afiq Aiman merupakan anak tunggal kepada Encik Amir Hakim. Mustahil Encik Amir mempunyai anak lain selain daripada Afiq Aiman.

“Jangan-jangan, dia menyamar tak? Tak pun, dia ada dua nama,” tebak Nurin sambil meraba mencari telefon bimbit. Dia perlu menelefon Shida tentang mesyuarat esok pagi.

“Mana pula phone aku ni?” tanya Nurin tatkala menyedari ketiadaan telefon bimbitnya. Melilau matanya mencari.

“Ya Allah! Mana dia?”

Satu persatu barang dari dalam beg tangannya diselongkar. Mencari di mana telefon bimbitnya itu. Seminit kemudian, dia mengeluh berat. Pencariannya hanya sia-sia. Telefon bimbit miliknya tidak ditemui.

“Allahu’akhbar. Kenapa aku tak perasan phone aku tak ada dalam beg?” keluh Nurin selepas itu. Dia menyandarkan tubuh ke kepala katil.

“Tak kan aku nak ke hotel tu pula? Dah pagi pun,” kata Nurin. Dia mengerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul 1.00 pagi.

“Mana aku nak carinya? Kalau tak ada kat hotel tu, macam mana?” Nurin bersoal sendirian. Dia membuat andaian.

“Esok sajalah aku call tanya. Harap dia orang simpan phone aku tu,” putus Nurin lalu membaringkan tubuh. Dia perlu menelefon hotel itu esok. Semoga dia berjumpa dengan telefon bimbitnya itu.

 

 

“TERIMA kasih sudi datang,” ucap Farid berserta senyuman di bibir. Dia menundukkan kepala sebagai tanda hormat kepada tetamu-tetamu yang beransur pulang.

“Alhamdulillah, majlis kita berjalan dengan lancar,” ujar Encik Amir, tiba-tiba.

Farid sedikit tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Encik Amir yang sudah pun menghampiri.

“Ayah nak laporan tentang majlis ni nanti,” beritahu Encik Amir bernada arahan.

“Baiklah, ayah!” balasFarid berserta anggukan di kepala.

“Kalau tak ada apa lagi, ayah balik dulu. Apa-apa nanti kita bincang di rumah,” suara Encik Amir lagi. Dia menarik nafas lalu dilepaskan ringan.

“Farid nak settle kan kerja sikit. Nanti Farid hantar laporan pada ayah,” kata Farid dalam nada tenang. Senyuman diberikan kepada Encik Amir.

Encik Amir menganggukkan kepala. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ untuk pulang ke rumah.

Farid hanya memandang. Dia melepaskan nafas lega kerana majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Encik Farid!” Liza memanggil dari arah belakang.

Farid menoleh. Wajah Liza menyapa mata.

“Saya dah uruskan semuanya. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” lapor Liza akan tugasnya itu.

“Baiklah, Liza. Awak banyak membantu saya. Terima kasih, Liza,” ucap Farid seraya memandang Liza. Rasa bersyukur kerana memiliki seorang pekerja sebagus Liza.

“Saya cuma jalankan tugas, Encik Farid,” tukas Liza, ramah.

Farid sekadar tersenyum.

“Saya minta diri dulu, Encik Farid,” ujar Liza lalu beredar dari situ.

Farid sekadar mengangguk. Dia beredar dari situ sebaik sahaja kelibat Liza menghilang. Jam di pergelangan tangan dipandang. Masa sudah menghampiri ke pukul 1.15 pagi. Rasa penat mulai terasa saat ini.

“Encik Farid!”

Panggilan seseorang mematikan langkah Farid. Dia melilaukan mata mencari gerangan yang memanggil.

“Encik Farid!” panggil lelaki yang bernama Salleh. Dia berlari anak menuju ke arah Farid. Tercungap-cungap nafasnya itu.

Farid mengerutkan dahi. Dia cuba mengamati lelaki yang semakin menghampirinya.

“Encik Salleh! Sayaingatkan siapa tadi,” suara Farid berserta nafas lega.

“Encik Farid tertinggal barang,” beritahu Salleh selaku pengurus di hotel itu. Dia menghulurkan sebuah telefon bimbit kepada Farid.

Farid membalas huluran. Semakin berkerut dahinya itu. Dia menilik telefon bimbit yang sudah pun berada di tangan.

“Staf saya jumpa phone ni atas meja. Mungkin pemilik phone ni salah seorang tetamu yang hadir tadi,” jelas Salleh melihatkan wajah berkerut Farid.

“Oh! Saya ‘blur’ sekejap,” balas Farid lalu ketawa kecil.

“Saya serahkan phone ni pada Encik Farid. Mungkin Encik Farid boleh serahkan pada pemilik phone ni nanti,” kata Salleh lagi.

“Baiklah! Insya-Allah, saya akan serahkan phone ni pada pemiliknya. Terima kasih atas kejujuran encik,” ucap Farid pula. Senyuman menghiasi bibir.

Setelah berpamitan dengan Salleh, Farid melangkah menuju ke parkir kereta. Telefon bimbit di tangan dipandang. Pasti pemiliknya sedang kalut mencari. Berharap pemilik itu akan menelefon bertanya.

 

 

FARID menyidai sejadah di ampaian seusai sahaja solat. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Rasa penat ketika ini dan minta direhatkan. Namun, kepenatannya berbaloi dengan apa yang telah berlaku. Majlis amal berjalan dengan lancar dan dia mengucap syukur.

Farid menghela nafas ringan. Nama Nurin Natasya meniti di benak hati. Dia cuba mengingati raut wajah pemilik nama itu. Kenapa dia terlewat untuk mengetahui yang pemilik selendang itu adalah Nurin Natasya? Mungkinkah semua itu perancangan dari Allah.

Perancangan Allah supaya dia bertemu dengan Nurin Natasya cuma seketika. Mungkinkah ada lagi perancangan Allah yang dia tidak tahu.

“Kenapa aku nak kenal dengan dia? Apa yang istimewanya Nurin Natasya tu?” soal Farid sendirian. Dia menggelengkan kepala. Pelik dengan sikapnya semenjak dua menjak ini.

“Ada sesuatu yang menarik pada Nurin Natasya,” ujar Farid lalu tersenyum.

Dia bangun dari duduk. Telefon bimbit dari atas meja dicapai. Entah siapa pemilik telefon bimbit itu. Sehingga ke saat ini, tidak ada sesiapa pun yang menelefon. Pasti pemiliknya tidak menyedari kehilangan telefon bimbitnya.

“Eh! Boleh unlock!” Farid sedikit terkejut tatkala skrin telefon menyapa mata.

“Dia tak letak security code,” agak Farid. Skrin telefon dipandang seketika. Dia berkira-kira dalam hati untuk meneroka isi dalam telefon bimbit itu.

“Hish! Kalau aku selongkar phone ni, kira berdosa ke?” soal Farid serba salah. Namun, jemarinya pantas menyentuh satu persatu yang ada di dalam telefon bimbit tersebut.

Maybe ada nama pemilik dalam phone ni,” duga Farid. Jemarinya menyentuh ke folder‘Gallery’. Rasa teruja untuk melihat gambar di gallery tersebut.

“Ya Allah, ampunkan aku. Maaf, empunya phone. Aku terpaksa demi nak mengetahui siapa kau. Aku janji akan serahkan phone kau ni lepas aku tahu siapa kau,” kata Farid dalam nada serba salah. Rasa berdosa kerana menyelongkar hak orang.

Tanpa berlengah, Farid menyentuh folder ‘Gallery’. Satu persatu gambar di dalam folder itu ditatap.

“Bukan dia ni ke yang aku jumpa tadi?” tanya Farid kepada dirinya sendiri. Semakin laju jemarinya menyentuh skrin telefon. Melihat gambar-gambar yang ada di dalam folder tersebut.

“Nurin Natasya?” sebut Farid tatkala terlihat nama itu di skrin telefon.



Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.