Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
145,866
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9
Bab 9

Datin Aini baru selesai solat tahajjud. Walaupun tubuhnya masih terasa penat akibat perjalanan pulang yang mengambil masa yang lama namun dia tidak mahu melepaskan detik malam tanpa bangun bersujud kepada Allah s.w.t. Selagi mampu dia akan cuba untuk bangun mengerjakan solat malam. Dibandingkan dengan masa yang diambil selama beberapa minit untuk mengerjakan solat sunat 2 rakaat itu dengan dosa-dosa yang telah dilakukannya dia menjadi takut sekiranya amalan yang dilakukannya tidak cukup untuk meringankan timbangan di bahagian dosa-dosanya apabila dihisab di akhirat kelak.

Datin Aini beristighafar lagi. Dia mahu meminta ampun kepada Allah atas segala dosa-dosanya. Air matanya memang sudah terlalu murah. Sentiasa bergenang apabila dia mengimbas segala dosa-dosa yang telah dilakukan.

“Abang…, adakah Allah akan mengampunkan dosa-dosa saya selama ini?” tanya Datin Aini dengan rasa sayu kepada suaminya.

Datuk Aziz senyum kemudian mengusap lembut wanita yang melengkapi kehidupannya di dunia ini, rusuk kirinya. Dia juga berharap wanita itu juga akan menjadi bidadari utama yang menemaninya di syurga nanti.

“Sayang, tanggungjawab kita sekarang ini adalah beribadah kepada Allah dengan sesungguhnya, bertaubat dan menyesali di atas segala dosa-dosa kita dulu. Kita beramal dengan ikhlas dan sedaya yang kita mampu. Allah terima atau tidak itu di luar kemampuan kita untuk memastikannya. Cuma apa yang kita perlu ingat adalah…hanya ALLAH sahaja yang boleh mengampunkan segala dosa-dosa kita. Oleh itu tiada tempat lain kita boleh meminta kemaafan melainkan kepadaNya. Bukankah Allah telah berfirman bahawa ….Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencapai awan di langit, kemudian kamu meminta ampun kepada-Ku niscaya Aku akan mengampunimu….,” jawab Datuk Aziz. Pandangan matanya redup merenung wajah isterinya yang masih dibasahi air mata. Datin Aini tunduk kemudian bersalam menciumi tangan suaminya dengan penuh rasa kesyukuran.

Datin Aini menarik nafas panjang. Dia bersyukur kerana selepas pulang dari Mekah Datuk Aziz juga telah banyak berubah menjadi suami yang lebih baik dan banyak menasihati dan membimbingnya untuk berubah menjadi muslimah yang lebih baik akhlaknya. Datuk Aziz juga banyak menghabiskan masanya di masjid untuk mempelajari ilmu agama dan mendengar kuliah-kuliah yang diadakan.

Datin Aini memejamkan matanya. Kerinduannya terhadap bumi Mekah menggamit diri walaupun baru beberapa hari meninggalkannya. Perlahan-lahan kenangan dan segala apa yang berlaku di sepanjang minggu mereka mengerjakan umrah terlayar di tabir ingatannya….

Imbas kembali….

Penerbangan yang dinaiki oleh rombongan Datuk Aziz dan Datin Aini yang berlepas dari Bandar Madinah telah selamat tiba di Bandar Mekah Al-Mukarramah. Setelah seminggu menghabiskan masa dengan menziarahi dan melawat tempat-tempat bersejarah terutamanya Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah (s.a.w), mereka kemudiannya bergerak untuk melakukan ibadat umrah di Mekah.

Keluar sahaja dari perut kapal terbang yang berhawa dingin, cuaca panas mula menggigit kulit ahli rombongan. Wajah Datin Aini berkerut-kerut menahan getir cuaca yang membahang.

“Kata sekarang ni sejuk, kenapa panas jugak,” getus hati Datin Aini. Cermin mata hitam yang sentiasa ada di dalam beg tangannya terus diambil dan dipakai untuk melindungi matanya dari panahan cahaya matahari. Wajahnya berkerut, tanda tidak senang dengan cuaca yang dialaminya.

Jika diikutkan mulutnya yang memang laser, mahu sahaja rasanya dia menyuarakan rasa hatinya kepada mutawwif. Dia rasa seolah-olah tertipu dengan penerangan ketua rombongan. Dalam hati, rungutan dan rasa tidak puas hati sering bermain dan membakar perasaannya. Dia sangat berharap, bas yang akan membawa mereka ke hotel nanti lengkap berhawa dingin supaya perjalanan mereka nanti tidak menjadi satu beban kepada mereka dan berbaloi dengan harga perkhidmatan yang telah dibayar.

“Kalau kat sana, you kena hati-hati dengan percakapan you.” Itu pesan Datin Zainab kepadanya semasa kenduri yang diadakan di rumah mereka.

“Orang cakap kat sana, semua perbuatan kita dibayar cash. Cepat sahaja ALLAH tunjukkan balasan dan juga cepat je ALLAH makbulkan doa kita semua,” sambung Datin Zainab lagi. Datin Aini mengangguk. Cerita seperti itu bukan pertama kali didengarnya malah acap kali. Semasa mengikuti kursus dan penerangan oleh syarikat yang akan membawa mereka ini pun, mereka semua telah dimaklumkan untuk menjaga tata kelakuan dan adab bicara semasa di Tanah Suci ini. Bukan Datin Aini lupa, tetapi entah kenapa sepanjang tempoh mengikuti rombongan mengerjakan umrah ini, hatinya sntiasa rasa gelisah. Dia selalu rasa hendak marah dan memang dia sedar adakalanya punca perkara itu bukanlah begitu besar sehingga dia perlu merungut sebegitu. Datin Aini bimbang, bimbang sekiranya dia diuji ketika mengerjakan ibadah umrah ini.

Selesai urusan di lapangan terbang, mereka semua berjalan menuju ke pintu utama. Lapangan terbang agak sesak pada hari itu dengan manusia yang hadir untuk pelbagai urusan. Mutawwif, Saiful yang mengetuai meminta mereka semua berkumpul di satu temat sementara dia menguruskan mengenai pengangkutan mereka semua ke hotel. Kelihatan Saiful mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang. Datin Aini tidak faham butir-butir perbualan kerana Saiful menggunakan Bahasa Arab. Tetapi Datin Aini dapat mengagak samaada dia menelefon pemandu bas ataupun syarikat yang bertanggungjawab menyediakan bas untuk mereka.

Datin Aini tidak sedap hati apabila melihat raut kerisauan di wajah lelaki itu. Seperti ada masalah sahaja lagaknya. Datin Aini segera mencuit Datuk Aziz. Meminta suaminya melihat wajah Saiful dan cepat-cepat menyuruh Datuk Aziz bertanya sama ada terdapat sebarang masalah.

Datuk Aziz mengangguk kemudian berjalan mendapatkan Saiful.

“Macam mana Saiful. Ada apa-apa masalah ke?” tanya Datuk Aziz. Peluh kecil di dahi dilap dengan hujung lengan jubah hitam yang dipakai.

“Errr.., tak ada apa-apa yang besar Datuk. Cuma bas akan lambat sikit sebab tersangkut dalam jem. Sekarang ni ramai pengunjung hadir untuk buat umrah, Datuk,” jawab Saiful.

Sebagai mutawwif yang dipertanggungjawabkan untuk membawa rombongan ini, Saiful sedar tanggungjawab yang perlu dipikul. Walaupun semuanya telah diuruskan dengan baik sebelum tarikh rombongan, tetapi apa yang bakal berlaku semasa membawa mereka adakalanya sukar dielakkan. Berada di Tanah Suci contohnya, berkemungkinan semua masalah yang timbul adalah ujian dari ALLAH (s.w.t) untuk menguji keimanan hambaNya yang datang mengunjungi rumahNya. Sekiranya hambaNya benar-benar ikhlas hadir ke sini untuk merendahkan diri beramal ibadat kepadaNya, sudah pasti setiap ujian dariNya dapat dihadapi dengan tenang dan redho.

Berbekalkan pengalaman membawa rombongan Jemaah selama 10 tahun ke Mekah dan Madinah, telah sedikit sebanyak membantu Saiful untuk mengendalikan dan menyelesaikan masalah yang timbul. Apa yang selalu dinasihatinya kepada mereka adalah supaya menetapkan niat hadir ke sini dan menjaga tata kelakuan dan percakapan kerana rombongan ini bukanlah rombongan untuk bersosial tetapi tujuan utamanya adalah untuk mengerjakan ibadah umrah di Mekah.

Melihatkan sikap boros ketika ahli-ahli rombongan berada di Madinah sudah cukup membimbangkan Saiful. Walaupun dia tahu itu bukan masalah dirinya disebabkan ahli rombongan ini memang kesemuanya adalah golongan VVIP yang berkehidupan mewah, namun apa yang berlaku di hadapan matanya melihatkan bahawa itulah tujuan utama mereka sebenarnya.

Melihatkan jumlah barang yang begitu banyak, Saiful terpaksa pula menguruskan penghantaran barang-barang tersebut ke Malaysia terlebih dahulu melalui kurier. Apabila diminta untuk pergi ke tempat membeli belah lagi keesokan harinya, Saiful terpaksa memberi alasan yang terbaik supaya dapat diterima oleh mereka. Ini adalah kerana banyak lagi tempat yang disunatkan untuk dilawati oleh ahli Jemaah di Madinah sebelum mereka berlepas ke Mekah nanti. Apa yang penting adalah untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah yang disunatkan contohnya bersolat di Masjid Nabawi dan melawat pusara Nabi Muhammad (s.a.w).

Saiful bersyukur kerana ahli Jemaah terutamanya wanita tidak begitu memaksa dirinya untuk mengikut kehendak mereka. Akhirnya segala jadual yang telah ditetapkan dapat disempurnakan walaupun ada serba sedikit acara yang terpaksa dianjakkan atau diubah kerana kesuntukan masa.

Pada hari ini, dia diuji setibanya di Mekah. Bas yang sepatutnya sudah sedia menunggu menghadapi beberapa masalah dalam perjalanan untuk menjemput mereka. Dia dimaklumkan oleh syarikat sebentar tadi bahawa pada mulanya enjin bas susah mahu dihidupkan walaupun bas tersebut adalah bas baru dan tidak pernah ada masalah enjin. Apabila bas mula bergerak, jalan begitu sesak sehingga bas langsung tidak berganjak di satu tempat hampir setengah jam. Berkemungkinan besar mereka terpaksa menunggu agak lama di lapangan tebang itu.

“Macam ni lah Datuk dan Datin semua. Rasanya kita berehat dulu dan minum-minum kat café depan tu. Perjalanan bas ada masalah sikit sebab jalan jem teruk.”

Akhirnya Saiful membuat pengumuman kerana dia tidak mahu mereka terus menunggu di situ memandangkan kawasan luar lapangan terbang itu agak panas berbanding di bahagian dalam. Kerisauan semakin menguasai dirinya apabila melihat wajah Datin-datin yang berkerut tanda tidak berpuas hati.

Datin Aini mengeluarkan kipas kertas kemudian mengipas wajahnya yang semakin berpeluh. Panas sungguh hatinya kerana terpaksa menunggu bas yang sepatutnya perlu menunggu mereka lebih awal. Puas dia memujuk dirinya sendiri supaya bersabar dan menunjukkan wajah yang tenang. Tetapi ternyata dia gagal. Wajahnya masam mencuka apabila mendengar pengumuman tersebut.

“Nak buat macam mana..,” pujuk Datuk Aziz apabila Datin Aini merungut berkenaan hal tersebut.

“Kita bukannya boleh tahu apa yang bakal berlaku. Saiful tu dah arrange semua dah. Kita kena banyak bersabar kat sini Aini,” jelas Datuk Aziz lagi.

“Ye la bang. Saya tahu la pasal bab sabar tu. Tapi semua benda boleh dielakkan kan. Sepatutnya buat la persiapan awal. Dah tahu sekarang ni memang musim ramai orang datang nak buat umrah. Of course la jalan akan sesak semua. Kita bayar diaorang bukan sikit tau bang. Kita nak layanan first class punya.”

Datin Aini masih tidak berpuas hati. Entah kenapa dia tidak boleh bersabar dengan masalah ini walaupun pada hakikatnya dia bukanlah seorang yang cepat sangat marah apabila berlaku sesuatu masalah. Menyirap darahnya hari itu walaupun untuk masalah yang begitu kecil.

“Sikit lagi bas sampai la tu. Jom kita minum dulu. Abang tahu Aini dah penat. Tu yang nak marah aje kan.” Datuk Aziz memujuk lagi. Dia bimbang darah tinggi isterinya akan naik dan menyebabkan isterinya itu menghadapi masalah di situ.

Datin Aini hanya mendiamkan diri. Dia mengikut sahaja langkah suaminya menuju ke sebuah meja yang agak jauh dari rakan-rakan mereka yang lain. Datin Aini hanya memesan Teh O panas manakala Datuk Aziz membeli Kopi O panas. Suasana di lapangan terbang itu masih sesak. Pandangan mata Datin Aini sering sahaja terarah ke pintu masuk utama. Dia sangat berharap bas yang mereka sepatutnya naiki akan tiba di situ secepat mungkin.

Apa yang mahu dilakukannya sekarang adalah mandi dan merehatkan tubuhnya yang keletihan selepas mengharungi perjalanan yang agak panjang sebentar tadi. Kakinya sudah mula lenguh-lenguh dan pinggangnya sudah sakit kerana terlalu lama duduk. Dia mahu tidur seketika di atas katil empuk di dalam bilik yang berhawa dingin. Serta merta dia teringatkan bilik tidurnya di Kuala Lumpur. Baginya bilik tidur mereka adalah tempat yang paling selesa yang mahu dicarinya apabila tubuhnya terasa sangat letih.

“Saya rindukan rumah kita, bilik kita…,” tiba-tiba Datin Aini bersuara setelah mereka berdua mendiamkan diri agak lama.

Datuk Aziz yang sedang memeriksa mesej di telefon bimbitnya terus mendongak. Hairan juga dengan sikap isterinya kali ini. Selalunya kalau mereka pergi ke luar negara, jarang sekali Datin Aini akan menyebut hendak balik awal ke rumah. Wajah Datin Aini yang benar-benar keletihan direnungnya penuh rasa kasihan.

“Sabarlah sayang. Sikit lagi bas sampai. Nanti awak boleh rehat dulu kat bilik. Saya tahu awak penat. Kita semua pun penat,” jawab Datuk Aziz. Tangan isterinya dicapai lalu dielus lembut. Senyuman terus terukir di bibir Datin Aini. Dia pun tidak tahu kenapa dia berperasaan begitu. Tiba-tiba sahaja hatinya dipagut dengan rasa yang tidak keruan. Pelbagai perasaan silih berganti bermain di hatinya.

“Adakah aku diuji….” Tiba-tiba sahaja terdetik persoalan itu lagi di hati Datin Aini.

“Takkanlah secepat itu. Aku tidak ada buat apa-apa pun lagi di sini…,” tingkah hati Datin Aini. Dia semakin gelisah. Tiba-tiba sahaja dia rasa takut. Mungkin juga dia diuji disebabkan dosa-dosanya selama ini. Wajah Datuk Aziz direnung dengan pandangan yang penuh kebimbangan.

Datuk Aziz mengenggam tangan Datin Aini lebih erat. Seolah-olah tahu apa yang bermain di ruangan fikiran isterinya itu. Tetapi apa yang Datin Aini tidak tahu adalah, dia juga sebenarnya takut. Dia tahu dosanya sudah banyak. Dia banyak ingkar dengan perintah ALLAH dan banyak juga melakukan perkara yang dilarang. Cuma, kerana dia lelaki maka dia tidak menunjukkan dengan jelas kebimbangan yang bermain di dalam hatinya.

“Bas dah sampai.” Saiful datang kepada mereka dan menyuruh semua ahli rombongan segera berkumpul untuk bertolak ke hotel. Datin Aini dan Datuk Aziz berasa lega. Cepat-cepat mereka menghabiskan minuman yang dibeli dan terus mengekori langkah Saiful menuju ke pintu utama. Datin Aini berasa lega apabila melihat bas yang disediakan. Di sepanjang perjalanan, Datin Aini dapat tidur dengan lena kerana kerusinya yang selesa dan penghawa dingin yang berfungsi dengan baik.

Perjalanan mereka dari lapangan terbang memakan masa lebih kurang 1 jam. Urusan pendaftaran di hotel juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Untuk hari itu, mereka diminta berehat sahaja di bilik kerana Saiful faham semua ahli rombongan sudah kepenatan. Sebelum masuk ke bilik masing-masing, Saiful sempat memberi penerangan ringkas kepada semua ahli rombongan. Apa yang penting adalah untuk memaklumkan kepada beliau sekiranya ahli rombongan hendak ke sesuatu tempat supaya mudah untuk beliau mencari kemudian nanti.

Datin Aini tidak sabar hendak masuk ke bilik. Dia mahu menyegarkan diri, mandi dan kemudian terus tidur. Kakinya sudah semakin kejang. Tulang pinggangnya semakin sakit. Dia memang tidak mahu ke mana-mana pada hari itu. Baginya esok masih ada untuk dia memulakan ibadahnya di kota Mekah ini.

“Aini tak solat dulu ke. Solat la dulu sebelum tidur,” pesan Datuk Aziz apabila dilihat isterinya sudah mula naik ke katil dan menarik selimut.

“Saya penat sangat la abang. Saya tidur kejap. Tengah malam nanti saya bangun solat maghrib dan isyak. Saya buat qasar jamak,” jawab Datin Aini dengan mata yang sudah terpejam. Tilam yang empuk dan penghawa dingin membuatkan dia cepat sahaja lena.

Datuk Aziz hanya menggeleng kepala. Dia terus masuk ke bilik air semula untuk mengambil wudhuk untuk solat maghrib. Usai solat, dia berdiri sebentar di cermin tingkap yang betul-betul berhadapan dengan Masjidil Haram. Cahaya lampu dari bangunan masjid sudah mula dipasang. Apa yang membuatkan tubuhnya menggeletar di saat itu adalah apabila terpandangkan bangunan Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Tiba-tiba air matanya bergenang…dirinya terasa sungguh kerdil.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.