Bab
12“Abang nak ke Kuala Lumpur lagi ke
esok?” tanya Rahimah kepada anak sulungnya yang kelihatan sedang mencatatkan
sesuatu di dalam suratkhabar di atas meja. Pen merah di tangan Azrul memang
akan sentiasa ada apabila suratkhabar di bahagian belakang itu dibuka olehnya.
Azrul mengangkat wajahnya kemudian mengangguk.
“Ada beberapa temuduga terbuka esok
mak. Abang nak cuba. Mana lah tahu ada rezeki nanti,” jawab Azrul dengan
senyuman pendek. Emaknya yang baru datang dari dapur sedang menatang dulang
berisi teko dan dua buah cawan berisi teh O panas. Goreng cempedak juga turut
ada di dalam dulang itu. Baunya sangat menyelerakan.
“Kerja apa?” Rahimah bertanya lagi
sekadar ingin tahu. Selepas meletakkan dulang di atas meja, dia melabuhkan
punggungnya di atas kerusi rotan yang sudah agak lusuh lapiknya. Peluh di
dahinya dilap sahaja dengan hujung baju kurung kedah yang dipakai.
“Yang abang pergi dulu tak dapat
lagi ke keputusannya. Terima ke tak?” tanya Rahimah lagi.
“Belum lagi mak. Dia orang cakap
dalam tempoh sebulan,” jawab Azrul lagi. Pen di tangan telah diletakkan ke atas
meja. Wajah emak di hadapannya di renung dengan senyuman. Tiba-tiba dia
teringat sesuatu.
“Eh, mak tak pergi cuci buah
pinggang ke hari ni?” tanya Azrul kemudian dia terus melihat kalendar kuda yang
tergantung di dinding rumah mereka.
“Esok. Hari ni mesin penuh. Semua
orang pun macam tu,” jawab Rahimah. Air
teh dituang ke dalam cawan sehingga hampir penuh. Berkepul-kepul asap
menerawang keluar dari mulut cawan. Aroma teh uncang jenama Boh menyucuk deria
bau Azrul. Wangi! Getus hati Azrul. Pada waktu-waktu petang begini dia memang
suka menghirup teh O panas, lebih-lebih lagi apabila emak sendiri yang
menyediakannya.
“Esok tak dapat lah abang tunggu mak
pergi sebab awal-awal pagi abang nak ke KL. Temuduga mula pukul 9.00 pagi. Satu
lagi tu nasib baik petang. Jadi lewat jugak abang balik nanti,” maklum Azrul
sambil tangannya panjang mencapai cempedak goreng hasil dari pokok cempedak
yang ditanam oleh arwah ayah.
“Mak tak makan?” pelawa Azrul apabila
dilihatnya emak hanya bersandar sahaja di kerusi.
Rahimah menggeleng.
“Masa kat dapur tadi, sementara
menggoreng mak dah makan dah dua tiga ketul. Tak boleh banyak-banyak. Nanti
semput pulak,” jawabnya.
“Buah cempedak kat belakang tu
banyak lagi. Alhamdulillah tak putus-putus berbuah. Nanti kalau abang senang,
pergi hantar kat rumah Makcik Wa. Natrah pun suka sangat dengan buah cempedak
ni,” maklum Rahimah lagi.
Azrul tersenyum apabila nama Natrah
disebut. Mendengar namanya sahaja sudah cukup menyejukkan hati. Apatah lagi
kalau melihat wajahnya yang ayu. Serba serbi tentang Natrah amat menyenangkan
hatinya.
“Apa yang abang senyumkan tu?” tanya
Rahimah dengan nada mengusik. Azrul
tersentak. Dia hanya menggeleng dan terus mengunyah cempedak goreng.
“Tu lah…cari kerja cepat-cepat.
Boleh mak hantarkan rombongan meminang. Lagipun dah lama abang dengan Natrah
berkawan. Semua orang dah tahu. Mak pun berkenan dengan Natrah tu. Baik, ada
asas agama, menghormati orang tua.” Rahimah turut tersenyum melihat gelagat
Azrul yang malu-malu apabila perihal Natrah ditimbulkan.
“InsyaAllah mak. Abang juga berniat
baik dengan dia. Mak doakan lah abang dapat kerja yang baik supaya abang dapat
menjalankan tanggungjawab abang dengan baik nanti.”
“InsyaAllah abang. Mak memang sentiasa
mendoakan yang terbaik untuk abang dan adik. Mak yakin abang akan menjadi
seorang suami yang bertanggungjawab sebab abang banyak mewarisi sikap arwah
ayah. Seorang lelaki yang baik, dan bertanggungjawab,” ujar Rahimah dengan
pandangan berkaca. Sebak. Memang begitulah perasaannya apabila arwah suaminya
dimasukkan di dalam perbualan mereka.
“Terima kasih mak. Pujian sebenarnya
harus diberi kepada mak sebab mak lah yang membesarkan abang. Hasil dari
didikan mak lah yang membentuk siapa abang pada hari ni. Dan…, mak jangan lupa
doa banyak-banyak untuk abang ya untuk temuduga esok. Semoga ada rezeki abang
nak dapat kerja yang baik, dan seterusnya dapat membantu ringankan bebanan
kewangan keluarga kita. Abang nak belikan mak rumah yang lebih baik, rumah baru,”
ujar Azrul sambil memandang tepat ke wajah emaknya.
Rahimah terdiam. Rasa sebak semakin
menguasai dirinya. Azrul memang seorang anak yang baik. Selama 24 tahun
membesarkannya Azrul memang tidak banyak kerenah. Sejak kecil Azrul memang
seorang anak yang mendengar kata dan tidak melawan walaupun pernah dirotan oleh
ayahnya kerana balik lewat ke rumah. Sejuk perutnya selama mengandungkan Azrul.
“Mak tak harapkan semua tu. Sebab
apa yang mak lakukan selama ini disebabkan menjalankan amanah yang diberikan
oleh ALLAH s.w.t. Alhamdulillah…kalau ditakdirkan ALLAH memanggil mak sekarang
ni pun mak sudah bersedia kerana mak tahu abang dan adik akan sentiasa
mendoakan mak nanti.” Nada suara Rahimah
bergetar. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu menyedarkannya bahawa dia
perlu bersedia untuk menyahut panggilan Ilahi.
“Jangan cakap macam tu mak. Abang
dan adik masih perlukan mak. Abang juga masih belum lagi berpeluang nak balas
segala pengorbanan mak semasa membesarkan abang dan adik. Mak kena kuat
berjuang. Mak kena yakin untuk sembuh. Abang akan cuba sedaya upaya abang untuk
biayai perubatan mak.” Azrul terus bangun lalu duduk di sebelah Rahimah. Tangan
emaknya digenggam erat. Ada getaran hebat di ruangan hatinya. Ya Allah…kau panjangkanlah umur ibuku…., rintih
Azrul dalam hati.
“Assalamualaikum…” Tiba-tiba satu
suara memberi salam.
Kedua-dua Rahimah dan Azrul terus
menoleh ke muka pintu. Rahimah
cepat-cepat menyeka air mata yang bertakung.
“Eh Natrah. Masuk masuk…,” ajak
Rahimah apabila dilihatnya gadis manis itu sedang tersenyum di pintu dengan
memegang beg plastik berisi sesuatu.
Azrul mengubah semula duduknya. Dia
bergerak semula ke kerusi yang didudukinya sebentar tadi. Suratkhabar yang
berselerak di atas meja cepat-cepat dikemasnya. Walaupun tangannya laju
mengemas tetapi anak matanya sempat mengerling wajah ayu Natrah yang sedang
bersalaman dengan emaknya.
“Natrah dari mana ni?” Tanya Rahimah
selepas anak gadis itu duduk di sebelahnya.
“Dari rumah, makcik. Mak suruh
hantar kan pulut kuning dan rendang ayam ni,” jawab Natrah kemudian
menghulurkan bungkusan plastik itu kepada Rahimah.
“Buat susah susah aje mak kamu ni.
Selalu sangat bagi macam-macam tambah-tambah sejak Azrul ada kat rumah ni.”
Sengaja Rahimah menekankan penghujung ayat kemudian mengerling ke arah Azrul
yang hanya tunduk tidak berkata apa-apa. Tetapi apabila emak menyindirnya,
pandangan matanya terus menangkap pandangan malu di wajah Natrah.
“Mak pergi ambil cawan lain kejap,”
maklum Rahimah tetapi cepat-cepat dihalang oleh Natrah.
“Tak apa makcik. Nartah kejap aje
ni. Dah nak dekat pukul tujuh dah. Natrah nak minta diri ni,” ujar gadis
berwajah ayu itu. Kulit putih bersih, berpakaian menutup aurat dan bertudung
menepati kehendak syariat membuatkan Azrul sangat menyenangi gadis itu.
“Kalau macam tu, nanti kirim salam
kat mak Natrah ya. Dan cakap makcik ucap terima kasih,” pesan Rahimah. Natrah
mengangguk kemudian bersalam dengannya.
Azrul seperti biasa akan mengiringi
Natrah hingga ke kereta Kancilnya.
“Esok abang nak ke KL lagi. Ada dua
temuduga terbuka,” maklum Azrul apabila Natrah sudah berdiri di tepi keretanya.
Natrah memandang ke arah Azrul sebentar kemudian berpaling kerana setiap kali
wajah itu direnung, debaran di dadanya berdegup terlalu kencang sehingga dia
rasa lemas. Wajah tampan di hadapannya ini dengan lekuk dalam di bahagian
tengah dagu memang sentiasa dirinduinya lebih-lebih lagi apabila Azrul
berjauhan menyambung pengajiannya selama empat tahun di Universiti Teknologi
Malaysia, Johor Baharu. Apabila Azrul menghabiskan pengajiannya sebulan yang
lepas barulah mereka dapat bertemu lebih kerap tetapi selalunya pertemuan
mereka akan ditemani oleh Melati, iaitu adik Azrul.
“Pergi lagi?” tanya gadis itu
perlahan.
“Abang kena cuba sampai dapat. Mak
perlukan duit untuk rawatan di hospital. Adik nak pakai duit untuk sekolah.
Tambah-tambah tahun ni nak exam SPM. Banyak buku rujukan nak kena beli,” jawab
Azrul. Dia tidak dapat mengawal pandangan matanya dari mencuri pandang wajah
ayu itu.
“Natrah doakan abang berjaya dapat
kerja yang baik.”
“Terima kasih,” balas Azrul dengan
senyuman. Natrah membalasnya.
“Errr…, Natrah balik dulu. Dah nak
Maghrib. Assalamualaikum,” ucap Natrah sebelum dia masuk ke dalam kereta.
“Waalaikummussalam…,” jawab Azrul. Pintu
kereta ditolaknya rapat. Dia masih menunggu sehinggalah bayangan kereta Natrah
hilang dari pandangan matanya.
“Amboiii…kemain lagi abang hantar
kak Natrah sampai hilang bayang kereta baru nak masuk ya. Kenapa tak tunggu
sampai hilang bau asap kereta aje,” usik Melati yang sedang duduk di tangga.
“Oooo…mengintip ya. Ni dah mandi ke
belum. Sah baru bangun tidur. Tak baik tau anak dara asyik tidur petang. Lepas
tu duduk kat tangga macam ni waktu waktu senja,” usik Azrul kemudian terus
menolak bahu Melati. Melati pula seperti biasa pantang diusik. Tapak tangannya
sempat singgah di betis Azrul sebelum abangnya itu melompat masuk ke dalam
rumah.
“Abang!” panggil Melati apabila
Azrul ketawa besar dengan tindakannya.
Azrul tidak menghiraukan sebaliknya
terus duduk di kerusi. Surat khabar yang telah dilipat tadi diletakkan semula
di atas meja. Dia mendongak sekejap apabila Melati duduk berhadapan dengannya.
Cempedak goreng yang masih ada di dalam pinggan dihabiskan terus oleh gadis
itu.
“Bangun tidur je makan. Lepas makan
je tidur. Nanti cepatlah gemuk jawabnya. Tahun depan kalau gemuk sangat, tak
ada orang nak masuk meminang,” usik Azrul lagi membuatkan Melati membulatkan
matanya.
“Gemuk pun comel…cantik,” balas
Melati sambil tersengih memandang abangnya yang kelihatan sibuk melihat iklan
kerja kosong di dalam surat khabar. Azrul hanya mencebikkan bibirnya.
“Abang! Semalam kak Natrah ada
bagitahu dia risau la bila abang dapat kerja nanti.” Kata-kata Melati kali ini
berjaya membuatkan Azrul mendongak dan memandangnya lebih lama. Ada rasa ingin
tahu yang menebal di wajah abangnya itu. Melati senyum mengejek. Sengaja dia
tidak terus memberitahu abangnya apa yang diberitahu oleh Natrah.
“Cepatlah bagitahu. Jangan
main-main. Kenapa pulak dia risau?” Tanya Azrul tidak sabar. Pen merah di
tangan diletakkan terus di atas meja.
“Dua puluh sen!!! Hehehehe….” Kali
ini giliran Melati mengenakan abangnya.
Azrul memberikan renungan tajam.
“Cepat cakap. Kalau tak nanti abang bagitahu mak yang adik dah ada boyfriend.”
Azrul terus mendesak. Segala-galanya tentang Natrah membuatkan jiwanya hilang
sabar.
“Hahahaha…pamdai lah abang nak
reka-reka cerita kan. Ingat orang takut?” Melati ketawa lagi tetapi akhirnya
dia terus mengalah apabila Azrul mula melangkah ke arahnya. Dia tahu kalau dia
tidak mengalah sekarang, Azrul akan terus menggeleteknya hingga dia penat.
“Okey okey...orang cakap. Abang
pergi duduk balik. Jauh!!” jerit Melati rasa geli walaupun Azrul belum pun lagi
menyentuhnya.
Azrul cuba mengawal ketawanya. Dia
memang cukup tahu kelemahan Melati. Sebab itu lah dia tidak kisah jika Melati
cuba mengumpannya dengan apa sahaja perkara. Kerana dia ada senjata untuk
mengorek rahsia tersebut dengan mudah.
“Kak Natrah risau kalau abang kerja nanti
ada perempuan lain yang akan suka dan jatuh cinta dengan abang,” jawab Melati
sambil memegang cawan berisi teh suam.
“Kenapa pulak dia cakap macam tu?”
Tanya Azrul hairan.
“Elleh…saja je kan nak dengar orang
cakap dia tu handsome, badan pun macam model,” jawab Melati dengan bibir
mencebik. Kata-kata Melati membuatkan Azrul tersenyum panjang. Keningnya
diangkat-angkat sengaja hendak mengusik adiknya.
“Habis tu tak kan nak suruh abang
menyamar…pakai selekeh-selekeh. Pakai cermin mata bingkai besar macam nerd. Minyak kan rambut dan sikat belah
tengah kot,” tingkah Azrul. Melati hanya menjungkit bahu mendengar kata-kata
abangnya.
“InsyaAllah…nanti adik cakap la
dengan kak Natrah. Dia tak perlu risau. Kami bukannya berkawan sebulan dua tapi
sejak sekolah menengah lagi. Abang pun masa belajar kat universiti dulu, tak
ada pun sangkut kat siapa-siapa pun. Masih lagi ingat pada dia seorang. Kalau
adik jumpa dia cakaplah macam tu. Yang penting dia mesti yakin dengan abang,”
jelas Azrul dengan wajah yang serius. Dia mahu Melati faham dan yakin dengan
keikhlasan hatinya supaya apa yang akan disampaikannya kepada Natrah nanti
benar-benar jelas dan difahami. Melati hanya mengangguk. Di dalam hatinya, dia
sangat kagum dengan kesetiaan abangnya terhadap kak Natrah.