KELAM-kabut lelaki itu turun dari biliknya. Dalam hati berdoa agar Sefhia dah bangun dari lena. Ada tugas penting hari ini perlu dilaksana.
Sampai di bawah, Aryan tarik nafas lega. Suara Mak Minah bercakap di dapur bagai menjawab soalannya. Dah tentu tengah berbual dengan seseorang. Mustahil wanita itu cakap sorang-sorang.
Tekaan Aryan tepat. Sampai ruang dapur, matanya nampak dua kelibat. Seorang sibuk memasak. Seorang lagi duduk melihat.
“Eh, Aryan!”
Mak Minah kaget sebaik berpaling. Tiba-tiba Aryan tercegat di pintu dapur. Sefhia yang duduk membelakangkan, turut berpusing.
“Kamu tak kerja ke hari ni?” soal Mak Minah.
Seingatnya hari ini hari Isnin. Tapi kenapa lelaki di depan hanya pakai t-shirt lengan panjang dan seluar jeans?
“Nggak.”
“Kenapa? Aryan tak sihat ke?”
“Nggak juga.”
“Habis tu, kenapa?”
Aryan tak jawab. Hanya mata beralih pada gadis yang sejak tadi senyap. Lama wajah itu ditatap.
“Aryan. Kenapa ni?” tanya Mak Minah risau.
Tanpa peduli pertanyaan tersebut, Aryan hampiri Sefhia. Lengan gadis itu lansung dicapai ikutinya.
“Eh, eh. Sekejap!” Mak Minah menahan. “Aryan nak bawa Sefhia ke mana ni?”
“Keluar, Mak Minah. Lagi punya urusan.”
“Tapi belum sarapan lagi, kan? Tunggulah kejap Mak Minah siapkan.”
“Nggak apa-apa, Mak Minah. Nanti kami sarapannya di luar aja.”
Serentak itu, Aryan sambung langkah. Sefhia yang tak mengerti apa-apa hanya turut tarikan lelaki di depannya. Tinggal Mak Minah seorang di dapur terpinga-pinga.
“Apa ajelah dengan budak seorang ni? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba bawa Sefhia lari. Sampai tak menyempat nak sarapan. Hadui, budak-budak sekarang! Tak faham betullah!”
Mak Minah tepuk dahi berkali-kali. Cuba faham apa yang sedang terjadi.
“Stop.”
Sefhia bersuara. Genggaman di lengan cuba dilepaskan. Tapi Aryan lansung tak hirau.
“I said, stop!”
Kali ini Sefhia rentap tangannya kuat. Serta-merta pengangan Aryan terlepas. Langkah keduanya turut terkandas.
Aryan tenung Sefhia. Sedikit geram. Namun kornea biru itu lebih dulu mencerun tajam.
“Bisa nggak ini kali kamu usah lawan sama aku?”
Aryan cuba berbicara. Berharap Sefhia boleh toleransi dengannya.
Seminit dua lewati masa, hanya renungan yang berlaga. Baik Aryan, apalagi Sefhia. Masing-masing tak nak mengalah sesama mereka.
Aryan ketap gigi. Rahangnya bergerak-gerak menampar pipi. Nampaknya gadis di depan tak mahu berlembut hati. Saat Sefhia dah berpusing untuk angkat kaki, lengan gadis itu pantas disambar kembali.
“Lepaskan!”
Namun Aryan tak peduli. Empunya tubuh terus ditarik pergi. Biarlah Sefhia nak marah, nak sembur, nak maki. Tapi misi hari ini harus dimeterai seperti yang dijanji.
“HEI! Kau kenapa?” Wafri tegur Aryan. Lelaki itu terlihat santai di sofa dalam sebuah butik. Sebaliknya Aryan yang tampak gelisah sejak kaki menjejak tempat ini.
“Nggak apa-apa.”
“Jangan tipu. Kau fikir pasal Sefhia, kan?”
Aryan tak jawab.
“Apa lagi yang tak kena?”
“Aku nggak tau. Hati aku kayaknya lagi berbagi saat ini.”
“Kau nak tarik balik keputusan kau?”
“Aku nggak tau sih, Ri. Kepalaku lagi bingung.”
“Tarik balik keputusan kau bermakna kau kena keluarkan Sefhia dari rumah tu sebelum orang tua kau sampai esok.”
Aryan mengeluh. Itu yang telinganya tak mahu dengar. Seketika, Wajah Wafri ditenung.
“Lo kira, aku butuh berbuat apa sekarang?”
“Kalau kau tanya aku, dah terlambat untuk kau tarik balik sebenarnya, bro. It’s too late. Jadi... tetaplah dengan keputusan kau, Ryan. Walau kesannya nanti tak macam yang kita bayangkan. Aku sama macam Leeya. Apapun keputusan kau buat, we will always behind you. Mungkin... dah tertulis takdir jodoh kau dengan Sefhia. Dari saat dia culik kau.”
“Apa maksud lo?”
Wafri hela nafas. Kaki kanan lansung diangkat ke peha kiri. Selesakan kedudukan diri.
“Jarang aku dengar perempuan culik lelaki. Dalam drama atau filem tu adalah. Tapi kau, mendapat dengan dia.”
“Tapi dia cuma orang suruhan doang.”
“Tetap... dia yang culik kau, kan? Fakta yang kau tak boleh nafikan.”
Aryan bungkam. Keyataan Wafri seakan beri peringatan apa yang dia tak pernah terfikirkan.
“Elok-elok kau dah selamat dari dia, bebas dari dia, jauh dari dia, tiba-tiba ALLAH temukan balik kau orang berdua dalam keadaaan tak diduga. Pernah kau terfikir sebab apa?”
Aryan geleng kepala.
“Sebab kau berjodoh dengan dialah, Ryan! Takkan kau tak nampak lagi??”
“Mungkin itu cuma satu kebetulan.”
“Kebetulan? Kalau sampai kau dah ambil keputusan nak kahwin dengan dia, satu kebetulan lagi ke? Atau memang dah ditakdirkan? Sedangkan kau dah tahu diri dia tu siapa.”
Aryan telan air liur. Kata-kata Wafri bak pisau belati menghunus tepat ke jantung.
“Kau boleh nampak, kan? Perancangan ALLAH tu sangat hebat dari apa yang tersurat dalam kita punya pandangan. Pertemuan kau orang bermula dengan satu penculikan. Tak lama lagi akan berlanjutan dengan pernikahan. Lepas tu apa? Kes culik kau tu pun sebenarnya sebagai asbab untuk jumpakan kau dua orang.”
Dada Aryan kian sesak. Jantungnya kini umpama ada sebiji bom diletak. Tunggu masa untuk meletup.
Suasana bertukar hening. Baik Wafri mahupun Aryan, dua-dua kunci bicara dalam keadaan pusat beli-belah yang separa bising.
“Hai... tak sia-sialah Sefhia tinggalkan cop mohor kat kau.” Wafri kembali bersuara. Buat kening Aryan berlaga.
“Cop mohor?”
“Lebam kat rusuk kiri kau tu. Penangan dari Sefhia, kan? Awal-awal lagi dia dah booking kau sebenarnya, kau tahu. Siap bercop lagi. Like... he’s mine. Reserved. Don’t bother him. Maknanya apa? Kau milik dia. Kau dia punya. Jangan ada yang berani-berani kacau!”
“Ah! Lo usah ngaco, Ri. Itu semua cuma kebetulan aja.”
“See? Kebetulan lagi. Aduhhh... come on, Ri. Wake up! Semua tu ALLAH dah susunkan cantik-cantik untuk kau, tahu! Takkan tak perasan lagi?!”
Mata Aryan terus melekat ke Wafri. Apa yang disampaikan cuba untuk dimengerti.
“Culik, tendang, gaduh, excident. Ya Rabbi! Buka mata kau, Aryan Alfiansyah! Semua hint ALLAH dah bagi!”
Renungan Aryan makin tajam pandang Wafri. Cari jawapan yang selama ini tak dia sedari. Baru bibir berkira-kira untuk balas kata, langsir fitting room dan-dan itu diselak bersama satu suara.
“Guys! We’re done!”
Serentak, Aryan dan Wafri toleh. Sosok Aleeya terlihat dengan senyum melebar di bibir.
“With my pleasure, I introduce to you the new look of Sefhia.”
Dari balik tubuh Aleeya, satu kelibat lain muncul perlahan-lahan. Berbaju kurung moden merah, sosok itu sekaligus buat mata yang pandang terkesima.
Anggun. Sopan. Menawan. Penampilan Sefhia nyata berlainan. Keayuan yang tersorok di balik imej ‘gangster’nya selama ini terserlah kelihatan.
“Guys.”
Aleeya memanggil. Namun dua jejaka di depan masih diam tak berkutik.
“Hello! You both are still here?”
Gadis itu melambai-lambai sambil petik jari. Tetap, tak ada reaksi. Dua pasang mata masih kekal terarah pada empunya badan di sisi.
Pap!
Tepukan kuat serentak bergema. Menyentak Aryan dan Wafri dari lamunan mereka. Menggelabah masing-masing dek sergahan Aleeya.
“Kau orang berdua ni dah kenapa? Pandang Sefhia macam nampak hantu!”
“Ha’ah. Hantu yang lawa!” seloroh Wafri bersama tawa.
“Apa awak cakap?”
“Betullah. Sefhia nampak cantik dengan kurung moden merah tu. Pandai awak pilih. Orangnya memang dah cantik. Pakai macam tu lagilah bertambah cantik. Tu yang tak berkelip mata pandang.”
“Asal? Dah jatuh hati?”
“Hati saya dah lama dah jatuh ke tangan awak, Cik Aleeya.”
Gelak Wafri sekali lagi kedengaran. Membahang merah pipi Aleeya menahan usikan.
Dia yang nak membahan, alih-alih dia jugak yang diketawakan.
“Dahlah. Melayan awak, sampai ke esok pun takkan habis!” tingkah gadis itu geram. “Macam mana, Ryan? Okey tak penampilan baru Sefhia yang aku ubah ni?”
Sekali lagi, tiada reaksi. Hanya riak serius Aryan yang terpamer sejak tadi. Bayang senyum apatah lagi.
Seraya lelaki itu bangkit dari kerusi. Aleeya dan Sefhia terus dihampiri.
“Kenapa, Ryan? Tak okey ke?” Leeya menyoal lagi.
Masih senyap. Mata Aryan terus perhati Sefhia. Dari hujung kaki sampai hujung kepala.
“Kalau kau tak puas hati, aku pergi tukar yang lain…”
“No. You did a great job. Cuman…,”
“Cuma apa? Ada yang kurang lagi ke? Apa dia? Baju? Kasut?”
“Bukan itu.”
“Dah tu, apa? Make-up? Kau nak aku make-upkan Sefhia ke? No hal! Sekarang jugak aku buat.”
“It’s not about make-up, Leeya.”
“Habis kalau baju bukan, kasut bukan, make-up pun bukan, apa? Kau ni cakap biarlah terang, Ryan. Bagi aku faham.”
“Ha’ah kau ni, Ryan. Apa lagi yang tak kena? Aku tengok dah elok apa penampilan Sefhia ni Leeya ubah. Tip-top!” sampuk Wafri turut bangun.
Aryan tarik nafas. Terasa berat dadanya tiba-tiba. Nak cakap serba-salah. Tak cakap dia juga nanti yang tak tidur lena.
“Dah... dia diam pulak! Kang aku tinggalkan kat sini kang, ha! Cakaplah, Ryan! Apa yang kurang?” Aleeya sedikit hilang sabar.
Kali ini Aryan lepas nafas panjang. Lambat-lambat suaranya dilontarkan.
“Kalian lupa? Mamaku itu lagi suka gadis yang berhijab.”
Dan-dan itu Wafri dan Leeya pandang Aryan. Tak ada kata terucap. Hanya renungan menzahir apa yang otak tengah tangkap.
Hijab? Maknanya…
Tiga pasang mata serta-merta beralih pada Sefhia. Jelas gadis itu turut terpana dengan permintaan yang sama sekali tak dijangka.