Sinopsis:
Kedatangan Irina ke Switzerland untuk bertemu dengan ayahnya bertukar menjadi tragedi apabila dia diculik sebaik sahaja menjejakkan kaki di lapangan terbang Zurich. Dia dibawa ke satu daerah asing jauh terpencil di lereng gunung. Bermulalah satu perjalanan baru penuh suka duka buat Irina apabila dia kehilangan identiti diri dan bertemu dengan musuh ayahnya. Adakah dia berjaya bertemu dengan ayahnya kembali. Apakah dia dapat membendung rasa cinta yang mula berputik terhadap musuh ayahnya.
IRINA Abu Bakar merenung langit dari
tingkap dapur pangsapurinya. Pagi ini dia terbangun begitu awal. Jam empat pagi
matanya terkelip-kelip enggan tidur kembali. Malam semalam dia tidak dapat
tidur dengan tenang. Kehangatan sinar mentari
pada hari bolong, membawa kepanasan yang berpanjangan hingga ke malam.
Sepanjang malam tubuhnya disimbah peluh. Kipas di siling tidak mampu
menyejutkan tubuh yang kepanasan.
Sudah
hampir sebulan bumi Kuala Lumpur tidak disimbah hujan. Setiap penghuni kota ini
mengharapkan kehadiran hujan, tetapi matahari tetap membahang, membakar seluruh
jagat dengan kepanasan yang luar biasa. Irina hampir-hampir sahaja menyumpah
alam yang amat merimaskan itu. Pun cepat-cepat dia beristighfar. Dia dipeluk
dosa sekiranya menyumpah kejadian Tuhan.
Irina membuka tingkap, berharap angin dingin
pagi ini akan mengitari seluruh ruang rumahnya yang hangat itu. Namun
harapannya begitu tipis sekali. Angin pagi tidak sedingin yang didambakannya.
Langit kelihatan kelabu ditutupi kabus tebal, seolah-olah memberi petanda
bahawa hari ini bakal menjadi hari yang sangat panas. Laksana semalam, kelmarin
dan kelmarin dahulu. Dan titisan hujan rahmat tidak akan turun dalam waktu yang
terdekat.
Irina
bergerak ke bilik mandi. Masih terlalu awal untuk bersiap-siap ke pejabat,
lantaran itu dia mahu mandi sepuas-puasnya. Kemudian Solat Subuh. Irina tidak
pernah lupa pada pesanan terakhir emaknya supaya dia tidak meninggalkan solat.
“Biar kita miskin harta, tetapi jangan sampai kita
miskin iman,” itu kata-kata emaknya yang sering mengingatkannya tentang
syariat.
Kata-kata
itu tetap Irina pegang, meskipun emaknya sudah tiada bersamanya di dunia ini.
Mereka
memang tidak punya harta selain daripada rumah yang diduduki Irina sekarang.
Rumah pangsa dua bilik itulah sahaja yang dia ada, peninggalan daripada arwah
ibunya. Sedangkan bapanya sudah lama hilang entah ke mana meninggalkan Irina.
Emaknya pernah bercerita.
“Ayah
kau pergi untuk mencari kesenangan hidup. Dia pasti balik. Sebab tulah emak
akan tetap tunggu dia. Ayah kau dah janji akan datang ambil kita. Akan bawa
kita pergi dari sini, ke tempat yang lebih baik.”
Ketika ayahnya pergi dia berusia tujuh tahun.
Dia juga menyemai harapan supaya ayahnya pulang. Namun lima belas tahun sudah
berlalu. Kini usia Irina dua puluh dua tahun. Ayah Irina tidak pernah kembali.
Irina tidak tahu di mana ayahnya berada sekarang. Tiada secebis berita yang
dihantar sejak lelaki itu pergi.
Kini
sudah hampir dua tahun pula emak Irina pergi mengadap Illahi. Irina tinggal
bersendirian, tanpa adik beradik dan tanpa saudara. Hanya jirannya Faridah yang
banyak membantu ketika dia memerlukan.
Sebaik
tamat belajar di sebuah kolej, Irina bekerja walaupun hanya sebagai seorang
kerani akaun di sebuah syarikat perakaunan. Gaji yang diperolehi mampu
menampung hidupnya yang kini sebatang kara.
Ayah,
di mana ayah sebenarnya? Soal Irina dalam hati sambil berdiri di hadapan cermin
bilik yang telah pun pudar ditutupi wap air.
Apakah
ayah masih hidup? Ayah, tolonglah balik. Dah dua tahun emak meninggal. Ina
tinggal seorang diri kat sini, bisik hati Irina seolah-olah bapanya mendengar
segala rintihan dalam hatinya.
Betapa seksanya aku menjalani hidup ini
sendirian tanpa sesiapa. Aku rindukan ayah.
Hati
Irina terasa pedih sekali. Tubuhnya yang berbalut sehelai tuala mulai terasa
disentuh kedinginan.
Irina
menyapu cermin dengan jari-jemarinya hingga terlihat seraut wajahnya yang
bersih baru selesai dibilas air. Wajahnya berbentuk bujur telur, dengan mata
yang besar lagi hitam. Alis matanya tebal dan hitam, dengan bulu mata yang lentik memayungi mata
yang redup dan sejuk.
Hidungnya
kecil dan runcing ke hujung, mancung seperti seorang wanita keturunan Arab.
Rambutnya juga hitam seperti arang. Irina sentiasa menyembunyikan rambutnya
yang cantik itu di bawah tudung. Dia telah diajar emaknya supaya menutup aurat
sejak kecil.
“Dalam
tubuh kau memang ada darah keturunan Arab di sebelah ayah kau, Irina. Masa
muda, bapa kau sangat kacak. Datuk kau dulu, datang ke Kuala Lumpur berdagang
kain baju sebelum bertemu dengan nenek kau. Di Kampung Baru ni lah mereka
selalu bertemu. Dulu mereka sekeluarga tinggal di Jalan Princess.”
Emaknya
selalu bercerita untuk menghiburkan hati Irina apabila dia rindukan ayah. Susur
galur keturunan ayah selalu dikisahkan pada Irina bila dia punya kesempatan.
Masih
diingat segala kata-kata emaknya itu, terpahat kukuh dalam hati sanubari.
“Lepas merdeka Jalan Princess dah tak ada. Dah
tukar,” kata emaknya lagi.
“Macam
mana pula emak dengan ayah jumpa?” soal Irina.
“Kami
bersekolah sama sejak darjah satu. Rumah dekat-dekat. Ibu bapa sama-sama
meniaga,” Beritahu emaknya lagi.
“Tapi
lepas kahwin dengan emak, perniagaan atuk kau jatuh. Ayah kau dulu tolong
bapanya, terpaksa cari kerja lain untuk tampung hidup. Tapi ayah kau tak pernah
kerja tetap. Asyik tukar-tukar kerja. Mak pun tak tahu macam mana akhirnya ayah
kau tak suka lagi bekerja dengan orang. Katanya seksa jadi kuli kena arah ke
sana sini.”
Irina
tahu emaknya terkilan. Banyak perkara yang dikesalinya terjadi sebelum
kelahiran Irina.
“Tapi
mak tak menyesal kau dilahirkan Irina. Mak bangga, kau anak mak yang baik dan
sangat cantik.”
Apakah
wajah cantikku ini membawa tuah? Soal Irina dalam hati sambil terus melihat
wajah di cermin.
Tidak!
Aku tidak merasakannya begitu, bisik hatinya pula.
Dia
menggeleng perlahan, ingin melupakan rentetan peristiwa pahit yang menyusuri
hidupnya. Beberapa titis air matanya gugur. Dia menyeka air matanya
perlahan-lahan dengan hujung jari. Kemudian dia segera bergerak ke bilik tidur.
Dia tidak ingin berlarutan mengenang peristiwa lalu yang sudah menjadi sejarah.
Apa yang harus dia hadapi adalah hari ini. Semoga hari ini adalah hari yang
mudah untuk dia lalui.
Irina
melangkah laju sebaik sahaja turun dari tren di Masjid Jamek. Bersama ratusan
orang yang bergerak keluar dari stesen menuju ke destinasi masing-masing, Irina
turut bergegas. Semua orang sibuk untuk memulakan tugasan di pagi hari Isnin
ini. Irina bersyukur kerana dia punya pekerjaan untuk diselesaikan, biarpun
berada di pejabat itu dia tidak lagi begitu menyenangkan. Ada seseorang yang
mengganggu fikirannya setiap kali melangkah masuk ke pintu pejabat.
Irina
memerhati ke arah bilik ketuanya, Firdaus. Bilik itu gelap dan kosong. Dia
belum datang lagi, bisik hati Irina sambil menarik nafas lega, meneruskan
langkah menuju ke mejanya. Ruang itu kosong, rakan sekerja juga masih ramai
yang belum tiba.
Irina
terus menghidupkan komputer, untuk memulakan tugas hari itu. Beberapa buah fail
kelihatan bersusun di atas meja. Kerja yang ditinggalkan pada hari Jumaat lepas
harus dilunaskan segera.
“Hai,
selamat pagi!”
Sapaan
itu membuat Irina segera berpaling. Sekujur tubuh Firdaus muncul di belakang
Irina. Lelaki itu berdiri begitu dekat dengan kerusinya. Bau haruman yang
dipakai Firdaus segera menusuk hidung. Bau yang amat biasa dihidu Irina. Dia
memakai haruman Tonino Lamborghini dari Feroce. Haruman yang berlambangkan
lembu jantan liar. Irina selalu menafsirkan lelaki itu begitu. Nakal dan
menggoda. Namun sayang seribu kali sayang, lelaki itu sudah berpunya. Dan
kekasihnya seorang yang sangat cemburu!
Irina
tidak rela pipinya menjadi mangsa tangan perempuan garang itu lagi. Terasa
begitu perit dan menyakitkan. Sedangkan Irina tidak punya sekelumit perasaan
pun pada Firdaus. Sebaliknya lelaki itu yang tergila-gilakan dirinya... ke
manakah dia harus lari? Apakah alasan untuk dia menghindari lelaki ini?
“Selamat
pagi Encik Firdaus,” ucap Irina acuh tak acuh, lalu terus mencapai salah sebuah
fail dan membukanya.
“Dah
sarapan sayang?” soal Firdaus dengan lancar.
Sudah
acap kali Firdaus memanggilnya sayang. Terkadang panggilan sayang itu tersasul
di hadapan pekerja-pekerja Firdaus hingga mereka semua menyangka Irina dan
Firdaus ada hubungan istimewa. Irina pura-pura tidak mendengarkan ungkapan itu,
namun matanya membelingas ke kiri dan ke kanan, bimbang ungkapan sayang itu
didengari orang lain. Tetapi ternyata rakan-rakan setugas yang berada di ruang
itu belum datang.
Selamatlah
dari sindiran mereka!
“Jom,
sarapan. Saya belanja,” pelawa Firdaus.
“Sorry, saya jarang sarapan awal sangat.
Pukul sepuluh baru saya minum. Lagipun saya banyak kerja ni,” Irina memberikan
alasan.
“Alah,
kerja tu boleh buat kemudian. Jangan lupa kat sini siapa bos. Kalau nak bos
sayang, kena dengar cakap bos, tau!” sakat Firdaus sambil tersenyum lebar.
Irina
hanya mengangkat bahu.
“Jomlah kita minum dulu. Saya nak bawa awak
pergi sarapan kat tempat istimewa ni,” pelawa Firdaus bersungguh-sungguh sambil
berdiri rapat di tepi kepala Irina.
Dada
gadis itu berdebar, tidak suka diperlakukan begitu. Hendak lari tidak mungkin.
Lelaki itu yang membayarnya gaji setiap bulan. Akhirnya Irina membisu seribu bahasa, pura-pura tidak
dengar.
“Kalau
awak tak nak sarapan, apa kata kita lunch? Saya tahu tempat ikan bakar paling
best kat KL ni,” pujuk Firdaus tidak putus asa.
“Terima
kasih banyak-banyak Encik Firdaus. Lain kali saja ya,” balas Irina sambil
tersenyum kecil.
“Irina!
Kenapa ni sayang? Setiap kali saya ajak mesti awak tolak mentah-mentah. At least fikirlah dulu.”
“Encik
Firdaus, saya mintak maaf. Saya memang tak ada mood ni. Nak makan atau pun
minum saya tak ada selera langsung,” ujar Irina
tanpa memandang wajah lelaki itu di sisinya itu.
Firdaus
kini berteleku di meja pula, menungkat dagu sambil sepasang matanya menatap
tepat ke wajah Irina, bagaikan menagih simpati. Bibirnya terukir senyum
menggoda.
Ketika
itu, ingin sahaja Irina memberitahu lelaki itu mengenai perbalahannya dengan
Noriza, kekasih Firdaus. Namun lidahnya bagaikan kelu hendak berkata sesuatu
yang jelik dan buruk tentang Noriza. Bukan prinsip hidup Irina, mengadu
perangai dan sifat buruk orang lain. Biarkan sahaja. Lambat laun perangai buruk
pasti diketahui orang juga.
“Kenapa?
Awak tak sihat ke? Nak ambil MC?” tanya Firdaus prihatin.
“Bukan.
Saya sihat. Cuma saya rasa rimas dan panas!”
“Kenapa?
Saya rasa kat sini okey aje. Sejuk. Aircond
pun pasang. Kenapa dengan awak ni? Apa yang tak kena?”
Irina
menggertapkan bibirnya dengan kuat, hingga timbul rasa sakit. Dia geram kerana
Firdaus pura-pura tidak mengerti. Irina berdiri tegak dan bercekak pinggang di
hadapan lelaki itu. Firdaus ikut berdiri tegak di hadapannya. Ketinggian tubuh
Firdaus tidak setanding Irina hingga dia perlu mendongak sedikit untuk
memandang wajah lelaki itu.
“Encik
Firdaus! Encik nak saya berhenti kerja ke? Nanti saya tulis surat perletakan
jawatan.”
Firdaus
menggaru dagu yang licin lepas bercukur, kemudian mengeleng-geleng.
“Isy... isy... isy... Ina, saya tahulah pinggang awak ramping. Tapi tak
baiklah cekak pinggang macam tu. Awak marah dengan saya ya?” soal Firdaus
dengan wajah bersahaja.
Wajah
Irina sudah merah padam. Namun segera dia menjatuhkan tangannya dan duduk
semula.
“Okey...
Okey, saya mintak maaf kalau buat awak rasa tak selesa. Tapi saya serius ni! Saya
dah lama jatuh cinta kat awak.”
“Dahlah
Encik Firdaus. Kan Encik dah ada kekasih. Cik Noriza tu nak campak kat mana? Saya
tak nak kena tampar dengan dia lagi!”
“Relaks
lah sayang. Saya dah putus dengan dia. Semalam kami gaduh besar. Saya tahu dia
jumpa awak dan tampar pipi awak. Saya tak suka perempuan garang. Sebab tulah saya putuskan hubungan dengan
dia. Saya suka perempuan yang lemah lembut dan manis macam awak,” kata Firdaus
dengan wajah serius.
Mata
Irina terbeliak mendengar kata-kata Firdaus. Tidak sangka Firdaus tahu perihal
Noriza yang mengamuk, datang ke pejabat dan terus melepaskan penampar di pipi
Irina. Irina hanya terpinga-pinga. Semua itu berlaku gara-gara dia terbaca
mesej daripada Firdaus yang dihantar kepada Irina. Mesej itu berbaur romantis.
Firdaus mengungkapkan cinta dan rindunya kerana tidak melihat Irina dalam
sehari.
Keesokan
harinya, dia datang kerja dan mendapat hadiah penampar dari Noriza. Jika tidak
dileraikan oleh Tarmizi, mungkin Irina akan terkena lebih banyak penangan
wanita muda yang kuat cemburu itu.
Irina
mengetapkan bibir. Kadang-kadang Firdaus bersikap seperti budak remaja lelaki
yang baru kenal cinta. Padahal umur lelaki itu sudah 31 tahun! Tak pernah
matang dalam soal cinta, walaupun dia bijak kendalikan perniagaan.
“Sekarang,
awak percaya yang saya cintakan awak? Saya betul-betul nak ambil awak jadi
isteri saya. Awak percaya tak?”
Lidah
Irina kelu mendengar kata-kata lelaki itu. Dia benar-benar terperanjat. Selama
ini dia fikir Firdaus sekadar ingin main-main sahaja. Irina teringat kembali
kata-katanya yang penuh godaan, aksi-aksinya yang di luar kebiasaan hubungan
antara boss dan pekerja.
Ketika
itu terdengar suara-suara riuh di ruang penyambut tetamu, menandakan beberapa
orang pekerja sudah mulai masuk ke pejabat. Firdaus bergerak pantas
meninggalkan meja Irina. Laju dia berjalan menuju ke biliknya. Namun sebelum
itu dia sempat berkata.
“Kita akan sambung lagi perbualan tadi. Masih
ada yang belum selesai,” ujar Firdaus sambil mengenyitkan mata.
Irina
menggeleng. Dia benar-benar tak putus asa, bisik hati Irina. Meskipun Irina
melayani Firdaus acuh tak acuh sahaja, tetapi dia kelihatan begitu serius.
Sanggup memutuskan hubungan dengan Noriza? Apa sudah jadi dengan lelaki itu?
Betul-betul jatuh hati pada aku? Bisik hati Irina tidak keruan.
Noriza
adalah kekasihnya sejak di universiti dahulu. Namun Firdaus seperti tidak
berminat hendak mengahwini Noriza. Beberapa kali mereka menangguhkan
pertunangan. Namun Noriza masih setia menanti biarpun umurnya semakin beranjak.
Mungkin itu juga faktor yang menyebabkan Noriza begitu cemburukan Irina. Usia
Noriza dan Firdaus sebaya. Semakin berusia, wanita semakin hilang saham dan
daya tarikan. Tapi siapalah aku kalau dibandingkan dengan dia? Soal hati Irina.
Noriza seorang yang berjawatan tinggi, seorang
intelek sedangkan Irina hanya belajar setakat kolej sahaja. Dia mengambil
kursus perakaunan dan pentadbiran di kolej swasta selama setahun, kemudian
menjadi kerani di FRD Accountant Firm. Pastilah dia akan kalah sebelum
bertarung dengan Noriza.
“Hoi!
Termenung panjang je pagi-pagi ni kenapa?” tegur teman sekerja yang duduk bersebelahan dengan meja Irina.
Irina
tersentak, lalu terus menebarkan pandangan ke wajah Nadia. Dia melemparkan
senyuman penuh paksaan.
“Hmmm, malam tadi tak boleh tidur lak. Panas
sangat. Tu yang pagi-pagi dah tak ada mood nak startkerja.”
“Belilah aircond. Suami aku dah pasang aircondminggu lepas kat bilik tidur
kitaorang. Jadi, tidur pun best je,” ujar Nadia sambil tersengih lebar.
“Yalah,
orang ada suami bolehlah beli apa aje yang diinginkan,” balas Irina.
“Engkau
pun boleh dapat, tapi kau jual mahal. Ada orang nak kat kau, kau tolak. Cuba
lah kau terima orang tu, kan senang hidup kau,” ujar Nadia.
Irina
mengerti apa maksud Nadia. Pastilah dia maksudkan Firdaus yang kini semakin
galak mengejar cintanya. Terkadang sikap Firdaus terhadapnya membuat kebanyakan
orang mulai curiga. Benarkah mereka ada hubungan yang istimewa sebagaimana yang
disangka? Irina sentiasa menafikannya. Dia tidak punya hati pada lelaki itu.
Sebaliknya mereka menganggap dia hanya pura-pura. Siapa yang tidak menginginkan
lelaki sehebat Firdaus? Kacak dan kaya.
Irina
melepaskan keluhan. Jika semudah memetik jari, dia pasti menerima ungkapan
cinta Firdaus. Tetapi ianya tidak semudah itu. Irina juga punya prinsip dan
pegangan hidup yang tersendiri. Dia tidak ingin memaksa diri menerima insan
yang tidak bertakhta di hati. Cinta itu bagi Irina terlalu suci dan mulia,
dirasai dan dinikmati oleh dua jiwa. Tetapi mengapa cinta itu hanya hadir di
sebelah pihak sahaja? Irina tidak ada apa-apa perasaan pada lelaki yang menjadi
ketua di pejabatnya itu. Tiada getaran yang menghambat jiwanya kala mata mereka
bertentangan...
Apakah
perasaan cinta itu akan hadir bila dipupuk dibaja? Dia tidak tahu. Irina belum
pernah jatuh cinta pada sesiapa. Irina meletakkan jari jemarinya di atas
keyboard komputer. Dia perlu menyudahkan kerja yang ada, jangan sampai
segalanya terbengkalai gara-gara melayan perasaan.