Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
112
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 1

PUAN SRI FATIHAH tersenyum lebar apabila menerima panggilan daripada saudara di kampung halamannya. Saat nama itu masuk ke corong telinga, hatinya memekar kembang. 


Dahlia. Gadis kampung yang pernah menolongnya satu tika dahulu. Gadis yang manis dan cantik di mata seorang ibu sepertinya. Pertama kali bertemu sahaja dah buat hati Puan Sri Fatihah terpaut. 


“Hai, mommy. Lebar senyum. Menang loteri ke?” usik Furqan. Punggung dilabuhkan ke sebelah si ibu.


“Hiisshhh… tak elok cakap bukan-bukan. Main loteri tu haram,” spontan Puan Sri Fatihah membidas percakapan si anak. Geram juga dengan usikan tak kena tu. Bibir dicebik sambil muka geram ditayang bersama.


Furqan ketawa melihat respon ibunya. “Ala… mommy ni sensitif betul. Along bergurau je.” 


“Bergurau pun jangan sampai sebut perkara yang haram,” selar Puan Sri Fatihah sekali lagi.


Tawa Furqan mati. Sungguh, ibunya tak boleh dibawa bergurau. “Okeylah, sorry,” balasnya, mengalah. 


“Ni… minggu depan, mommy nak balik kampung nak ambil pembantu rumah,” terus Puan Sri Fatihah menceritakan hal yang menggembirakan hatinya.


Alis mata Furqan berkerut seribu. “Pembantu rumah? Dekat kampung?” muka pelik ditayang. Jauh benar nak mengambil pembantu rumah. Dekat KL ni takda agent pembantu rumah ke? Bisik hati kecil Furqan.


“Mommy dah lama berkenan dengan budak ni," sambung Puan Sri Fatihah dengan wajah teruja.


Semakin berkerut kening Furqan dibuatnya. “Berkenan?” soalnya dengan muka pelik. Puan Sri Fatihah mengangguk tanda mengiakan pertanyaan anaknya itu. “Berkenan yang macam mana?” sambung Furqan lagi.


“Berkenanlah. Macam suka tengok budaknya. Lemah lembut, baik, hormat orang tua. Rajin," satu per satu ayat itu ditutur keluar daripada mulut Puan Sri Fatihah. Kemain bersungguh dia nak menyatakan perasaannya terhadap gadis itu.


Furqan dah tak sedap hati. “Mommy je berkenan cukuplah. Jangan nak suruh along berkenan sama dengan perempuan tu, sudah,” peringatan diberikan pada si ibu. Bukan dia tak tahu yang Puan Sri Fatihah cuba mencari jodoh untuknya.


Mendengar sahaja kata-kata si anak, Puan Sri Fatihah cebik bibir. “Along tu kalau laku takpa. Ni umur dah masuk tiga puluh tak kahwin-kahwin. Nak tunggu mommy mati baru nak merasa cucu?” selarnya. Geram sungguh dengan sikap Furqan yang terlalu memilih. 


“Along tak percaya mana-mana perempuan dah. And along selesa membujang macam ni.” selamba sahaja Furqan membalas walaupun dia tahu dia bakal dibebel oleh ibunya itu sebentar nanti.


“Bukan semua perempuan sama, along. You kena move on. Lupakan Alicia. Dia bukan jodoh you,” bersungguh Puan Sri Fatihah cuba memberi kata semangat pada anak lelakinya itu. 


Bukan dia tak tahu apa yang jadi pada hubungan cinta Furqan bersama Alicia satu tika dulu. Gadis berwajah Pan Asia ala-ala pelakon Emma Maembong. Mana tak frust si anak bila gadis itu meminta perpisahan atas alasan mahu pulang ke pangkuan keluarga di bumi Australia. Rupa-rupanya gadis itu telah bertunang dengan pilihan keluarganya di sana. Maka, meloponglah Furqan ditipu hidup-hidup oleh perempuan itu.


“Along memang dah lupakan dia,” gumam Furqan, antara dengar dan tak dengar suaranya tika ini. 


Puan Sri Fatihah mencebik geram. “Yelah tu dah lupa. Kalau dah lupa, move on cari perempuan lain. Bukannya asyik tuduh semua perempuan sama,” bebelnya.


“Along tak ready,” ringkas Furqan membalas. Ya, dia masih belum membuang Alicia dalam hati sepenuhnya. Bukan mudah. Bertahun-tahun dia dan Alicia bercinta, tak semudah itu dia nak lupakan si gadis. Walaupun gadis itu menipunya. Rasa sayang masih tersisa di dalam hatinya tika ini.


“Suka hati you lah!” balas Puan Sri Fatihah dengan rasa sebal.


Furqan ukir senyum segaris. Tahulah dia yang ibunya sudah mengalah daripada memaksanya mencari pasangan. “So, nanti pembantu yang mommy nak import dari kampung tu, biar along yang bayar gaji dia. Tapi, make sure, dia pandai buat kerja.” 


Puan Sri Fatihah mula kecut perut. Pandai buat kerja? Dia ambil budak perempuan tu jadi pembantu sebab nak cuba dekatkan dengan Furqan. Pandai buat kerja atau tidak, dia sendiri tak tahu. Ah, nanti ajar sikit-sikit tahulah dia. Bisik hati kecilnya.


“Okeylah, mommy. Along nak keluar kejap. Jangan tunggu along. Maybe lewat sikit along balik hari ni.” pesan Furqan sambil menyalami tangan si ibu. Kemudian, dia kucup pula dahi wanita itu. Serta merta Puan Sri Fatihah tersenyum. 


Furqan memang tak malu nak menciumnya. Di mana-mana sahaja lelaki itu akan buat sebegitu. Berbeza dengan anak perempuannya, Hafiqa. Jangankan nak cium, kadang-kadang nak salam pun boleh lupa.







“PERGILAH kakak. Daripada kakak duduk sini asyik kena pukul dengan abah je. Lebih baik kakak kerja je dengan Puan Sri Fatihah tu. Lagipun mak yakin puan sri tu baik orangnya,” pujuk Melur sambil mengusap rambut Dahlia.


“Kalau kakak kerja sana, lepas tu kakak kirim duit pada abah, abah benci kakak lagi tak?” polos soalan itu keluar daripada mulut Dahlia. Matanya berkaca. 


Melur tersentap. Wajahnya ditunduk kejap. Dia mencari kekuatan untuk memujuk si anak. “Jangan fikirkan pasal abah lagi. Kakak pergi sana, kerja elok-elok. Pasal duit, kakak jangan risau. Abah tu bukan tak kerja. Dia ada je duit.” 


Dahlia diam. Dia termenung sejenak. Dengan usia yang baru mencecah dua puluhan, dia harus berpisah dengan keluarganya dan bekerja di ibu kota Kuala Lumpur sebagai pembantu rumah. Nak mencari kerja yang elok, dia tak berkelulusan tinggi. Berhenti sekolah sewaktu usianya 14 tahun kerana dia sendiri tidak mahu ke sekolah. Sekarang, dia dah menyesal. Tetapi, semuanya tidak berguna lagi. 


Mungkin sebab itu Daud membencinya. Selalu sahaja Daud mencari kesalahan Dahlia. Walaupun kesalahan itu kecil, tetap sahaja Dahlia akan dipukul teruk sehingga meninggalkan kesan pada tubuhnya. 


Abah tak sayang aku ke? Soalan itu sering bermain di fikiran Dahlia setiap kali dia dipukul. Tetapi, sebagai anak sulung dalam keluarga, Dahlia tak pernah membenci Daud. Dia tetap sayangkan lelaki itu walaupun dia tidak dilayan dengan baik. 


“Kalau kakak dah pergi sana. Boleh ke kakak balik sini? Abah marah tak?” soal Dahlia setelah beberapa detik berdiam diri.


“Boleh. Ini kan rumah kakak.” 


“Ini rumah abah. Bukan rumah kakak. Kakak takut kalau kakak balik nanti, abah halau kakak,” luah Dahlia.


“Kakak… abah takkan halau kakak. Mana tahu, abah tak jumpa kakak lama-lama, dia rindu kakak ke,” pujuk Melur lagi.


Dahlia tersenyum nipis tatkala mendengar perkataan 'rindu' itu. Perlahan dia mengangguk percaya dengan kata-kata ibunya. Ya, itu yang dia harapkan. Abah… kakak harap abah rindu pada kakak lepas kakak pergi dari sini. Bisik hati kecil Dahlia.






PELUH yang meleleh keluar dikesat dengan tuala yang disangkut ke bahu. Glove di tangan dibuka. Pernafasan yang laju tadi cuba dikawal agar kembali berentak normal. 


Martial Art Boxing. Di sini lah Furqan banyak menghabiskan hari minggunya. Keluarkan peluh dan tempat melupakan bekas kekasih hati. 


Saat teringat tentang Alicia, pasti sahaja hatinya terasa pedih. Lebih lima tahun mereka menjalin hubungan cinta. Dan berkali-kali juga Furqan cuba menghalalkan gadis itu. Tetapi, berkali-kali juga permintaannya ditolak atas alasan masih belum bersedia.


“Cuba you bagi I sebab kenapa you tak ready nak kahwin,” pinta Furqan selepas lamarannya ditolak untuk kali yang ke empat.


“Sebab I tak ready lah. Tu je jawapan yang I ada sekarang,” balas Alicia, selamba. Makanan yang ada di atas meja dijamah dengan tenang.


Furqan mengeluh saat mendengar jawapan yang sama. “Takda sebab lain? Atau you ada lelaki lain?” dah hilang sabarnya saat ini.


Terus Alicia memandang tajam pada wajah Furqan. Geram sungguh dituduh sebegitu. “You jangan tuduh I bukan-bukan, Furqan. Sepatutnya you hormati keputusan I. Bukan mendesak I dan tuduh I macam ni," nadanya sudah naik satu oktaf. Sakit hati dengan tuduhan itu.


“Sorry. I cuma nak ada hubungan halal dengan you, sayang. Sampai bila kita nak macam ni? Mommy I asyik tanya bila dia boleh hantar rombongan meminang. Lagipun, kita dah lama bercinta. Nak kata tak cukup masa untuk kenal, I rasa dah terlebih masa untuk kita kenal antara satu sama lain. Jawapan tak ready you tu, I tak boleh terima,” luah Furqan dengan nada lirih. Dia berharap benar Alicia boleh berlembut hati dan terima lamarannya.


“Pada you hanya sebuah perkahwinan. Hubungan halal. Tapi, pada I, benda tu perkara besar. You ingat selama kita bercinta bertahun-tahun ni, you dah kenal I luar dalam? Same goes to me. You ingat I dah kenal you luar dalam? No, Furqan. Masih banyak lagi perkara yang I kena titik beratkan untuk make sure yang I akan dihargai lepas kahwin nanti,” selar Alicia. Sungguh, dia tak suka didesak. Dia rasa Furqan tak faham apa yang dia mahukan.


“I janji I akan buat you bahagia. I akan hargai you, sayang,” Furqan mula menabur janji untuk membuat Alicia yakin terhadapnya.


Alicia menggeleng perlahan. “Please… bagi I masa, Furqan. I tak suka didesak macam ni,” luahnya dengan nada serius.


Furqan terdiam. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengalah. Dia tidak mahu gara-gara hal itu, mereka bergaduh dan bermasam muka berhari-hari. 


Pap!


Lamunan Furqan terhenti. Tersentak dibuatnya apabila bahunya ditepuk seseorang. Terus dia menoleh ke arah sosok tubuh itu. 


“Dah nak balik ke?” soal Yazid, rakan yang sama-sama berlatih di situ.


“Rehat. Kejap lagi aku sambung. Lewat kau sampai hari ni,” balas Furqan. 


Soalan Furqan tidak dijawab. Sebaliknya, Yazid melabuhkan punggung di depan Furqan. Keluhan kecil terlepas daripada mulutnya tika ini. Dahi Furqan berkerut nipis apabila melihat muka suram sahabatnya itu. 


“Ada masalah ke?” soal Furqan.


“Wife aku merajuk. Dah tiga hari tak bertegur dengan aku,” luah Yazid sudah tidak dapat tertahan lagi. Furqan diam dan menanti sahabatnya itu meneruskan luahan.


Yazid mengeluh lagi. “Tu yang buat aku lambat datang sini. Pujuk dia tadi. Sampai ke sudah tak terpujuk,” sambungnya.


“Puncanya apa?” soal Furqan.


“Aku… tertampar muka dia tiga hari lepas sebab dia menjawab,” perlahan sahaja ayat itu keluar daripada mulut Yazid. Dia malu nak menceritakan masalah rumah tangganya. Tetapi, dia buntu. Tak tahu bagaimana lagi nak memujuk si isteri.


Mendengar sahaja jawapan Yazid, Furqan terdiam sejenak. Wajah suram sahabatnya itu direnung beberapa ketika. “Kuat ke kau tampar dia?” 


“Takdalah tampar sangat pun. Tepuk sikit macam tu je. Aku geram dia asyik menjawab bila aku cakap. Tak boleh diam. Melawan,” luah Yazid. Kali ini dengan riak geram. 


Furqan ketawa kecil sambil menggeleng. Dia sendiri tidak tahu nak memberi apa-apa pandangan. Sekadar mendengar luahan, bolehlah. Nak beri nasihat, dia sendiri belum berkahwin.


“Dulu, sebelum kahwin aku ingat senang nak handle isteri ni. Rupa-rupanya mencabar betul. Dengan aku yang panas baran ni. Itu pun banyak dah aku control baran aku," sambung Yazid lagi.


“Baguslah kalau kau pandai handle diri sendiri. Cuma tu lah, bab isteri tu aku tak tahu nak cakap apa. Kau je kenal isteri kau macam mana," balas Furqan.


Yazid raup wajah sambil melepaskan keluhan kecil. Wajah Furqan direnung. “Kau takda girlfriend ke? Tiap-tiap minggu lepak sini," soalnya mengubah topik perbualan.


Furqan ketawa saat mendengar soalan itu. “Aku nak single sampai tua," bersahaja jawapan yang diberikan pada Yazid.


Terangkat kening Yazid dibuatnya. “Rugi tak kahwin. Kau muka handsome. Mesti ramai perempuan yang nak.”


“Aku tak pandai handle isteri macam kau," seloroh Furqan.


Yazid ketawa besar apabila hal dia dikaitkan dalam perbualan mereka. “Aku doakan tahun ni kau kahwin. Dapat isteri solehah. Tak melawan macam wife aku," ujarnya. Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa oleh mereka berdua.

Previous: PROLOG
Next: MSHD 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.