Home Novel Cinta MY SWEET HEART, DAHLIA
MY SWEET HEART, DAHLIA
AHC
5/2/2025 11:44:07
114
Kategori: Novel
Genre: Cinta
MSHD 2

SESEKALI Dahlia menjengah ke ruang tamu. Rancangan yang dia gemari sudah pun ditayangkan. Tetapi, disebabkan Daud ada bersama di situ, Dahlia tak jadi keluar. Dia takut Daud tiba-tiba naik angin kalau melihat dia ada bersama. Akhirnya Dahlia duduk di satu sudut dan mengintai rancangan itu dari situ.

"Laaa... perempuan tu kahwin dengan lelaki tu ke?" monolognya sendiri. Sekali sekala Dahlia melirik pada Daud yang masih duduk di situ bersama adik-adik yang lain.

Saat matanya melorot pada sosok tubuh Daud, hati Dahlia jadi sayu. Lagi beberapa hari dia akan ke Kuala Lumpur. Sejak dipukul tempoh hari, sehingga hari ini Daud tidak bercakap walau sepatah pun dengannya.

Abah, kakak harap abah akan rindu kakak kalau kakak takda dekat sini nanti. Rintih hati kecil Dahlia. Air mata yang bergenang dikesat dengan telapak tangan. Kemudian, dia kembali memanjang leher mengintai drama yang ditayangkan di kaca televisyen dari tempat dia duduk.

Tanpa pengetahuan Dahlia, ibunya Melur sedang memerhatikan anak sulungnya itu. Air mata serta merta meleleh jatuh ke pipi. Sungguh hatinya dihenyak rasa sedih apabila mengenangkan layanan Daud terhadap Dahlia.

Kenapalah abang layan kakak macam tu? Kakak pun anak abang juga. Ya Allah... Kalau anak aku ke Kuala Lumpur nanti, Kau lindungilah dia. Doa Melur di dalam hati. Berat sungguh rasa nak melepaskan anak sulungnya pergi jauh daripadanya. Tetapi, kerana nak mengelak daripada Dahlia terus dipukul oleh Daud, dia terpaksa melepaskan anak sulungnya itu.



BEG dicampak ke lantai sambil tubuh dihumban ke sofa ruang tamu. Hafiqa mengeliat kepenatan. Stokin juga dibuka dengan kaki. Lalu, dibiar bersepah di atas meja ruang tamu. "Penatnyaaa..." keluhan panjang keluar daripada mulutnya.

Puan Sri Fatihah yang baru sahaja masuk ke rumah terkejut mendengar suara gadis itu. Dada diurut beberapa kali. "Apa macam tu dik? Sopanlah sikit. Terkejut mommy."

Mengekek Hafiqa ketawa apabila ditegur oleh Puan Sri Fatihah. "Sorryyy..." ucapnya dengan nada meleret manja.

"Ya Allah... kenapalah dibiar bersepah ruang tamu ni dik? Awak anak dara tau. Campak beg sana sini. Stokin atas meja. Astagfirullahhala'zim..." urutan dada bersambung tatkala melihat perangai anak bongsunya itu.

"Mommy... adik baru balik tau. Penatlahhh..." rengek Hafiqa sedikit membentak. Wajah cemberut ditayang bersama.

"Mommy pun baru balik. Tapi, mommy takda buat perangai macam ni campak beg dan stokin semua," Puan Sri Fatihah mula membebel. Terketap-ketap bibirnya menahan geram.

"Apa bising-bising ni?" muncul pula Furqan di muka pintu.

Melihat kepulangan abangnya, cepat-cepat Hafiqa mengambil semua barang-barang miliknya dan dia terus berlari naik ke bilik.

"Tahu takut. Kalau mommy yang cakap, ada je jawapan dia," bebel Puan Sri Fatihah lagi. Furqan meletakkan beg kerjanya ke sofa ruang tamu sambil tali leher dilonggarkan. Dia melirik pada tangga bilik. Sosok tubuh si adik sudah pun menghilang.

"Serentak kita balik ya. Selalu you lewat balik. Hari ni awal pula?" soal Puan Sri Fatihah seraya memandang pada wajah anak lelakinya itu.

"Along ingat nak bawa mommy dengan adik keluar makan malam ni. Dah lama kita tak spend time sama-sama."

"Bagus juga cadangan tu. Mommy pun tak larat nak sediakan makan malam," luah Puan Sri Fatihah. Furqan tersenyum. Sejak akhir-akhir ni, ibunya sering merungut tentang kerja rumah yang dia buat. Mungkin faktor usia menyebabkan wanita itu cepat merasa penat.

"Bila pembantu 'import' tu nak datang?" soal Furqan.

"Weekend ni mommy pergi jemput dia. Along nak ikut?" pelawa Puan Sri Fatihah.

"Weekend? Tak bolehlah mommy. Along dah janji dengan Dato' Hussin nak teman dia main golf," balas Furqan.

"Takpalah kalau macam tu. Mommy pergi dengan adik je."

"Boleh ke mommy drive jauh-jauh tu? Tak pun along batalkan je temujanji along tu," terbit rasa bimbang di hati Furqan untuk membiarkan ibunya memandu jauh.

"Eh, jangan. Hubungan business kena jaga. Itu prinsip mommy. Pasal mommy, you jangan risau. Mommy dah biasa memandu jauh-jauh ni. Lagipun, adik ada teman mommy," balas Puan Sri Fatihah dengan yakin. Bukan dia tak biasa travel jauh-jauh. Seorang diri pun pernah. Wanita bekerjaya seperti dia mana kenal erti penat dalam perniagaan. Cuma bila menguruskan rumah tangga sahaja dia selalu mengeluh. Maklumlah daripada muda dia bekerja.

"Betul ke ni mommy? Risau pula along," luah Furqan.

"Ya. Jangan risau," bahu Furqan ditepuk lembut.

"Baiklah kalau mommy cakap macam tu, " balas Furqan, mengalah.





SEHELAI demi sehelai baju disumbat ke dalam beg pakaian. Baju-baju milik Dahlia banyak yang sudah lusuh. Tetapi, hanya pakaian itu sahaja yang dia ada.

"Kakak pergi Kuala Lumpur tu lama ke?" soal Muizz yang sejak dari tadi duduk menemani Dahlia berkemas.

"Tak tahulah Izz. Lama atau sekejap," balas Dahlia sambil tangannya ligat memasukkan baju-baju yang sudah dia pilih tadi.

"Kakak jaga diri baik-baik dekat sana. Pasal abah tu... kakak jangan fikir sangat. Nanti kalau kakak dah takda dekat rumah ni, baru abah rindu agaknya," balas Muizz. Dia juga sedih apabila mengenangkan hal itu.

Dahlia tersenyum pahit. "Takpalah. Kakak tak kisah. Kakak tetap sayang abah. Walaupun abah selalu pukul kakak. Kakak tak pernah ambil hati dengan abah," tuturnya dengan nada perlahan. Sungguh, tiada sekelumit benci pun yang ada dalam hatinya terhadap Daud. Cuma... dia berharap satu hari nanti, Daud akan peluk dia dengan penuh rasa kasih dan sayang.

Muizz terdiam. Kolam matanya mula berkaca. Perlahan tangan Dahlia dipegang dan dia masukkan sesuatu ke dalam telapak tangan itu.

"Apa ni?" soal Dahlia sedikit terkejut apabila melihat ada beberapa keping duit di dalam genggamannya.

"Kakak ambillah duit tu. Izz boleh simpan lain."

Dahlia menggeleng laju tanda tidak mahu. "Jangan. Izz simpan duit Izz. Kakak ke Kuala Lumpur bekerja. Nanti dapat gaji, adalah duit kakak. Lagipun, mak dah bagi duit sikit pada kakak. Ambil balik duit ni. Kakak tak nak," diserah semula duit itu pada Muizz. Tak tergamak nak mengambil duit simpanan adik sendiri.

Muizz terdiam. Dia menunduk menekur lantai bilik. Sedih hatinya apabila terpaksa berpisah dengan Dahlia. Kakak yang selalu menemaninya berbual, bergurau senda, memancing. Selepas ini, semuanya dia akan jalani seorang diri.

"Janganlah sedih. Nanti ada cuti, kakak balik," pujuk Dahlia apabila melihat adiknya diam.

Muizz angkat muka menatap pada wajah si kakak. Senyuman pahit terukir dibibirnya. "Kalau kakak tak nak ambil duit ni, esok kita pergi bandar makan ayam goreng nak? Muizz belanja. Akak suka makan ayam gorengkan?"

"Kita berdua je ke? Dalily?" soal Dahlia teringat akan adik bongsunya itu. Anak kesayangan abah.

"Kita bawalah dia sekali kalau dia tak ikut abah pergi mana-mana," balas Muizz.

"Okeylah," kata Dahlia sambil tersenyum lebar. Muizz turut menguntum senyum. "Terima kasih, Izz," ucap Dahlia lagi.

"Izz sayang kakak," luah Muizz dengan nada sedih.

"Kakak pun sayang Izz. Nanti kakak balik sini," janjinya. Tangan Muizz dipegang kejap. Rasa sebak ditahan sehabis baik. Dia tak mahu Muizz melihat dia menangis.

Muizz mengangguk sambil mengesat air mata yang sempat singgah dikelopak matanya sebentar tadi.





MATA Dahlia meliar melihat sekeliling rumah banglo milik Puan Sri Fatihah. Pertama kali dia menjejak kaki di rumah mewah seperti itu. Kagum dibuatnya. Kerusi sofa kelihatan empuk. Karpet yang dia pijak pun buat kakinya tenggelam. Lembut dan gebu.

"Duduk Dahlia," pelawa Puan Sri Fatihah apabila melihat Dahlia masih berdiri di situ.

"Baik puan sri," perlahan dia melabuhkan punggungnya di sofa mewah itu. Sempat dia membersihkan belakang bajunya sebelum duduk. Takut ada kotoran yang melekat di baju sekaligus mengotorkan sofa mewah itu.

Puan Sri Fatihah tersenyum nipis. Sikap sopan Dahlia menarik hatinya. "You tahukan, you ke sini untuk apa?" soalnya.

Dahlia angguk laju. "Tahu. Saya kerja sebagai pembantu rumah," jawabnya dengan pantas.

Kali ini Puan Sri Fatihah pula mengangguk. "Ada apa-apa yang you nak tanya tentang kerja you tu?"

"Aaa... nanti... kalau cuti, boleh ke saya balik kampung?"

Puan Sri Fatihah ketawa kecil. Dia tahu Dahlia tidak biasa berjauhan dengan keluarganya. "Boleh. Tapi, tak bolehlah kerap sangat balik. Nanti, I bagi tahu bila you boleh balik," jelasnya.

Dahlia angguk perlahan. Malu pula bila soalan itu yang dia ajukan dahulu. Sepatutnya dia bertanya tentang kerja-kerja yang harus dia lakukan di dalam rumah itu. "Maaf puan sri. Saya tak biasa berjauhan dengan keluarga," luahnya.

"It's okay. I faham. I harap awal-awal ni you tak homesick," usik Puan Sri Fatihah sambil tersenyum manis.

"Apa yang perlu saya buat dalam rumah ni puan sri?" soal Dahlia menanyakan tentang kerjanya sebagai pembantu rumah di situ.

"Pagi-pagi you siapkan breakfast sebelum pukul lapan pagi sebab I dengan anak bujang I masuk office around nine. Anak dara I yang tadi tu, jadual kelas dia tak menentu. You tanya dia nak makan pukul berapa. And dia agak fussy sikit bab makan. Kadang diet. Tapi, kerja makan je," selamba sahaja Puan Sri Fatihah mengutuk Hafiqa.

"Mommy... adik dengar okey!" celah Hafiqa yang baru sahaja muncul dari dapur. Bibirnya mencebik geram melihat pada si ibu.

"See... baru cakap. Duk mengunyah," panjang muncung Puan Sri Fatihah menghala pada coklat yang ada pada tangan Hafiqa.

"Mommy ni!!!" bentak Hafiqa geram diejek sebegitu.

Dahlia hanya tersenyum nipis melihat gelagat dua beranak itu. Terus fikirannya melayang pada ibunya di kampung. Rindu. Tak sampai sehari dia berada di Kuala Lumpur, rindunya pada ibu dan adik-adik mula bertandang.

"Nama akak memang Dahlia je ke? Takda nama lain?" soal Hafiqa saat dia melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Sri Fatihah.

"Ada ke tanya macam tu," celah Puan Sri Fatihah.

"Takdalah. Nama unik. Tu yang adik tanya," bidas Hafiqa sambil buat muka geramnya pada Puan Sri Fatihah.

Dahlia tersenyum lagi. Lantas dia mengangguk perlahan. "Ya. Nama akak Dahlia je. Takda nama lain," jawabnya dengan sopan.

Hafiqa mengangguk. Tapi, selepas itu, dia tiba-tiba mendekatkan mukanya pada Dahlia. Ditenung anak mata gadis itu dengan wajah teruja. "Eh, mata akak warna coklat ya? Mata betul ke atau akak pakai contact lens?"

Terkebil-kebil Dahlia dibuatnya. Mata coklat? Dia sendiri tak perasan warna matanya. Dia tak pernah belek diri sendiri dalam cermin. Sebab cermin di rumahnya tak besar mana. Hanya cukup-cukup muka sahaja. Itu pun khas untuk betulkan tudung.

Tak menunggu, Puan Sri Fatihah terus menarik tubuh Hafiqa. Menghalang daripada gadis itu soal benda yang pelik-pelik. "Sampai ke mata orang you tenung ya, dik," tegurnya.

"Takdalah mommy. Cuba mommy tengok mata Kak Dahlia. Cantik!" kata Hafiqa. Sungguh, dia teruja melihat anak mata gadis itu.

Puan Sri Fatihah mencebik. Anak daranya itu memang obses dengan perempuan cantik. Walaupun diri sendiri dah cukup cantik.

"Maaflah Dahlia. Fiqa ni memang macam ni. Pelik-pelik."

Mendengar sahaja kata-kata ibunya itu, Hafiqa cebik bibir, geram.

Dahlia pula sekadar tersengih janggal. Segan dipuji sebegitu.

"Bukan contact lens kan?" Masih sahaja Hafiqa bertanya nak dapatkan kepastian.

"Adikkk... Sudahlah. Tak selesa Kak Dahlia dibuatnya," tegur Puan Sri Fatihah lagi.

Dahlia kerut dahi. Apa benda tu? Dia sendiri tak pernah tengok benda tu. "Con... Apa benda tu?" soalnya dengan riak polos.

"Pelekap mata yang warna warni tu. Selalu orang letak dekat mata," jelas Hafiqa bersungguh.

Perlahan Dahlia menggeleng. Riak wajahnya masih kekal seperti tadi. Polos.

"Wahhh... Mata real. Akak ni kalau make up mesti cantik. Lepas tu pakai baju yang Fiqa design. Fuh! Macam model antarabangsa!" kata Hafiqa dengan nada teruja.

"Sudah. Pergi naik bilik. Mommy nak explain pada Kak Dahlia tentang kerja dia. Jangan ganggu mommy," tegas Puan Sri Fatihah. Dia tidak mahu Hafiqa membuat Dahlia merasa tidak selesa saat disoal macam-macam oleh anak gadisnya itu.

Dengan bibir yang dicebik, Hafiqa bangun sambil hentak kaki. "Kak... Nanti kita berbual lagi," sempat dia memesan pada Dahlia.

Dahlia sekadar mengangguk sebagai jawapan. Dalam hatinya berharap dia dapat sesuaikan dirinya di situ.

Previous: MSHD 1
Next: MSHD 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.