Home Novel Cinta LELAKI ITU UNTUKKU (adaptasi drama)
Prolog

MOTORSIKAL remuk yang berada di bawah lori treler itu menggamit perhatian ramai pemandu di sepanjang jalan itu untuk berhenti melihat. Kemalangan itu berlaku seawal jam 2 pagi ketika penunggang motorsikal tersebut bertembung dengan lori muatan kayu balak itu di sebuah selekoh tajam.

Hampir setengah jam kemudian, sebuah ambulan dan sebuah kereta polis sampai ke tempat kejadian. Pihak polis terpaksa mengawasi tempat kejadian dengan rapi apatah lagi mereka ternampak ada kebakaran kecil pada sebahagian badan lori treler terbabit. Pemandu lori treler yang berbangsa India ditemui di atas jalan raya, manakala penunggang motorsikal tersebut gagal dilihat.

“Dia dah meninggal.” Ulas salah seorang anggota penyelamat ketika memeriksa nadi pemandu lori berbangsa India itu.

“Ada seorang lagi di bawah lori.” Sambungnya lagi.

Seorang anggota penyelamat sedang menunduk ke bawah lori. Bahang hangat menerpa ke seluruh wajahnya, namun tidak dipedulikannya. Yang penting saat ini ialah mencari lokasi mangsa kemalangan yang menunggang motorsikal besar itu. Beberapa saat kemudian dia mengeluh lega melihat tangan yang terjulur keluar dari bahagian bumper lori yang kemek teruk. Tangan itu berlumuran darah.

“Dia ada di bawah, Kita mungkin terpaksa potong bahagian hadapan lori untuk keluarkan mangsa.” Ujar anggota penyelamat pada rakan-rakannya.

“Dia masih hidup?”

“Belum boleh dipastikan lagi. Tubuhnya terperosok jauh ke dalam. Kita tak boleh capai dia begitu sahaja tanpa mengenalpasti bagaimana tahap kecederaan mangsa.” Ujar lelaki itu lagi.

Mereka semua mengangguk dan mula menjalankan tugas masing-masing. Api yang mula marak segera dipadamkan dengan hos untuk mengawal kebakaran dari merebak. Hanya setelah itu baharu mereka bertungkus-lumus berusaha keras mengeluarkan mangsa yang tersepit dari bawah lori. Hampir setiap orang saling bekerjasama dan cukup berhati-hati dengan tugas yang dilakukan.

Hampir setengah jam kemudian, tubuh yang terperosok jauh ke dalam berjaya dikeluarkan. Seorang lelaki muda diangkat ke atas stretcher. Dua orang anggota paramedik mengambilalih tugas memeriksa lelaki tersebut. Sebahagian dari wajah lelaki itu berlumuran darah.

“Nadinya lemah. Kecederaan parah pada bahagian muka dan abdomen. Kita kena bawa mangsa ke hospital dengan segera.” Ujar anggota paramedik tersebut. Rakannya segera memahami maksud temannya. Strecher ditolak masuk ke dalam ambulan. Namun ketika dia mahu menutup pintu ambulan, sesuatu terjatuh dari saku baju lelaki itu. Dahi si anggota paramedik berkerut. Dia segera mengutip sampul surat berlumuran darah itu.

“Apa tu?” Rakannya bertanya.

Dia mengalihkan pandangan, menatap ke arah temannya.

“Entahlah, macam surat.”

“Or…Orked.” Bisikan itu kedengaran. Lemah nadanya, meniti dari bibir si penunggang motorsikal itu.

Kedua-dua anggota paramedik berpaling. Merenung penuh simpati pada lelaki yang agak teruk kecederaannya. Si paramedik segera menyimpan sampul surat itu di dalam saku bajunya sebelum kedua-duanya mula menaiki ambulan tersebut.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.