IDLAN memandang jarum jam di pergelangan
tangannya. Hampir satu jam menanti, tapi Orked tidak muncul-muncul. Di hadapan
bangunan Fakulti Perniagaan itu dia melihat begitu ramai pelajar-pelajar yang
berpusu-pusu keluar. Tapi di kalangan mereka, dia gagal menemukan wajah Orked.
Dia tahu Orked hanya ada kelas sehingga tengahari sahaja.
Bosan
menunggu di dalam kereta, Idlan keluar dari dalam perut kereta. Dengan
berkemeja ringkas dan bercermin mata hitam, kehadiran Idlan mengundang lirikan
mata beberapa anak gadis pelajar yang melintasinya. Ada yang tidak segan silu
melambai-lambai ke arahnya dan ada pula yang bermurah hati menghadiahkannya
senyuman.
Dia
menyedari semua itu, namun dia pura-pura tidak melihat. Matanya masih mengawasi
kelibat pelajar yang keluar masuk dari bangunan di hadapannya. Mana Orked ni?
Hati kecilnya mulai digigit resah.
Sedang
dia leka mengawasi kelibat-kelibat pelajar itu, tiba-tiba bahunya ditepuk
seseorang. Idlan tersenyum, menyangka kalau Orked sedang berada di belakangnya.
Dia segera menoleh namun terpanar sebaik melihat bukan Orked yang berada di belakangnya
sebaliknya seorang gadis yang sedang tersenyum manis. Di samping gadis itu,
terdapat seorang gadis lain yang sedang menatapnya dengan wajah serius.
“Abang
Idlan bukan?” Tanya gadis yang tersenyum ramah itu.
Idlan
tercengang. Dia tidak kenal gadis yang sedang menegurnya itu.
“Abang
tak ingat saya lagi? Saya Mira, kawan Orked. Tempohari abang pernah tolong Mira
waktu Mira kena kacau di KTV. Lepas tu abang dengan Orked hantar Mira balik ke asrama.
Ingat lagi tak?” Tanya gadis itu beria-ia.
Idlan
mengerutkan dahinya. Cuba mengingatkan wajah itu bersungguh-sungguh. Sebaik dia
mengingati peristiwa dia membelasah sekumpulan lelaki-lelaki di KTV Karaoke
ketika dia mengekori Orked tempohari, barulah wajah Mira yang ketakutan ketika
itu perlahan-lahan timbul.
“Abang
ingat lagi?” Mira teruja bertanya. Sama teruja sewaktu terpandang kelibat
lelaki itu ketika dia beriringan keluar dari fakultinya bersama Arida.
Serta-merta peristiwa Idlan menyelamatkannya segera muncul di kotak fikiran.
Idlan
mengangguk lalu tersenyum. Dia sudah mengecam gadis itu.
Mira
segera menoleh ke arah Arida yang tidak berganjak-ganjak sedari tadi.
“Ari,
inilah abang Idlan, abang Orked. Aku kan pernah cerita pada kau tempohari.”
Ujar Mira memperkenalkan Idlan pada Arida.
Idlan berpaling, tersenyum sedikit ke
arah Arida. Gadis itu kelihatan ralit memandangnya. Tanpa senyuman ramah,
pandangan Arida tidak berganjak dari sudut wajahnya.
“Mira
dah habis kelas?” Tanya Idlan.
Mira
pantas mengangguk.
“Ada
jumpa Orked tak? Abang dah dekat sejam tunggu dia di sini, tapi dia tak keluar-keluar
dari tadi.” Ujar Idlan berterus-terang.
Mira
tersentap. Alamak! Pantas dia mengerling wajah Arida yang sudah mengerutkan
dahinya. Sebentar tadi dia sengaja menipu Arida kononnya Orked masih bercuti
sehari dua lagi sebelum meneruskan pengajiannya yang tertangguh. Malah dia juga
menyembunyikan perihal dia melihat Orked menaiki teksi dan meninggalkan kawasan
kampus mereka pagi tadi. Tapi kehadiran Idlan yang bertanyakan tentang Orked
semakin mengusutkan keadaaan.
“Mira
ada nampak dia?” Soal Idlan lagi apabila dilihatnya gadis itu hanya diam
membisu seribu bahasa.
Mira
semakin serba salah. Aduh! Dia sekarang sedang menjadi perhatian dua pasang
mata. Kerlingan Arida juga semakin tajam menjamah wajahnya. Dia menelan liur.
Kalut mahu berterus-terang pada kedua-duanya.
“Kau
cakap dengan aku, Orked tak datang hari ni.” Ujar Arida mencelah.
“Err..sebenarnya..”
Mira sudah tergagap-gagap.
“Dia
datang ke tidak sebenarnya ni?” Suara Arida mulai keras melengking.
Idlan
mengerling gadis itu. Menyedari bahawa Arida seorang yang serius dan kepala
kumpulan gadis itu. Ini kerana sikap Arida lebih mendominasi berbanding Mira
yang lebih resesif.
“Sebenarnya
abang Idlan, Mira ada nampak Orked pagi tadi. Dia naik teksi tinggalkan kawasan
kampus.” Ujar Mira berterus-terang akhirnya.
Arida
terlongo mendengar penjelasan Mira. Idlan menarik nafas panjang. Terkejut
sekaligus bingung memikirkan telatah Orked. Apakah Orked kembali kepada
perangai lamanya?
“Pukul
berapa Mira nampak dia? Abang ada hantar dia pagi tadi dalam pukul 8 pagi.”
Tanya Idlan ingin tahu.
“Err..kalau
tak salah Mira nampak dalam jam 8.30 pagi.” Ujar Mira tergagap-gagap.
“Kenapa
kau tak beritahu aku?” Soal Arida sedikit berang.
Terkulat-kulat
Mira memandang Arida yang kelihatan marah. Aduh! Mati dia kali ini! Bukan dia
tidak tahu Arida jenis orang yang mudah naik angin.
“Maafkan
aku Ari. Aku pun terkejut tengok Orked pagi tadi. Aku nak beritahu kau, tapi
aku takut kau naik angin. Lagipun aku rasa Orked mesti ada sebab kenapa dia
keluar macam tu aje.” Ujar Mira.
Idlan
mengeluh panjang. Mana pulak anak gadis itu pergi?
“Habis?
Apa kita nak buat sekarang?” Giliran Arida pula mengeluh seraya memandang ke
arah Idlan. Entah kenapa, sebaik dia melihat lelaki itu tadi, dia merasa Idlan
seorang lelaki yang boleh diharapkan. Lelaki itu kelihatan prihatin terhadap
Orked.
Idlan
terdiam. Wajahnya berkerut. Sedang memikirkan dengan teliti ke mana perginya
anak gadis itu. Tak mungkin Orked pergi ke kelab-kelab malam pada waktu-waktu
seperti ini. Seperti kata-kata Mira tadi, pasti Orked ada sebab sendiri!
Entahlah, dia benar-benar mahu mempercayai gadis itu.
*
* * *
DIA sampai ke rumah ketika hari sudah jauh
petang. Sebaik dia melewati ruang tamu, matanya segera bersapa dengan kelibat
ayahnya. Memandangnya dengan mata merah menyapa.
Orked tergaman. Tidak mengerti dengan
suasana yang menyelubungi rumah itu ketika ini. Dia mahu beredar naik ke
biliknya, namun suara tengkingan lelaki itu menyuruh dia menunggu di situ,
menerpa ke setiap pelusuk gegendang telinganya. Suara garang itu nyaris
membuatkan nafasnya hampir terhenti.
Orked
tercegat seperti patung. Memerhatikan wajah ayahnya dengan perasaan tidak
keruan. Ketika lelaki itu menghampirinya, tubuhnya tiba-tiba mengigil.
Jantungnya seperti direntap keluar dari tubuh. Hanya ada satu sahaja alasan
kenapa wajah ayahnya kelihatan garang kali ini. Pasti lelaki itu tahu tentang
dirinya yang terpaksa ponteng kelas hari ini. Tapi dari mana ayahnya tahu? Dari
Idlankah? Pasti Idlan yang mengadu! Hati kecil Orked entah kenapa menuduh
dengan mudah.
“Kamu
ke mana tadi, sekarang baru balik?” Soal Hamdan seraya merenung wajah anak
gadis di hadapannya yang sedang terkulat-kulat.
“Orked
dari kampus.” Jawab Orked, masih mahu menyembunyikan hakikat sebenar.
“Dari
kampus? Buat apa? Belajar menipu?” Herdik Hamdan separuh menyindir. Maria di
samping suaminya hanya mampu menjeling kedua-dua anak beranak itu dengan wajah
risau.
Orked
menarik nafas panjang. Tengkingan ayahnya membuatkan dia berfikir tidak ada
gunanya lagi untuk dia membela diri. Dengan wajah bosan, dia melewati lelaki
itu, mahu naik ke biliknya sendiri. Melihat gadis itu seakan-akan tidak
mempedulikannya, Hamdan tambah berang. Dia meluru pantas ke arah gadis itu lalu
mencekak lengan Orked.
Orked mengaduh kesakitan, sekaligus
terkejut diperlakukan agak kasar oleh ayahnya.
“Abang..”
Maria mulai campur tangan. Risau dan tidak senang duduk dia dibuatnya
menghadapi kerenah Hamdan dan Orked.
“Kamu
ni reti bahasa ke tak? Berani kamu tipu aku, tipu semua orang dalam rumah ni.
Apa kamu fikir aku ni bodoh ke sampai tak tahu apa yang kamu buat di belakang
kami?” Marah Hamdan bertalu-talu.
“Ayah
cakap apa ni? Apa yang Orked dah buat? Boleh tak kalau ayah jangan campur
urusan Orked. Orked tahu ayah tak suka Orked, so leave me alone.” Balas Orked, meronta-ronta cuba melepaskan
dirinya dari pegangan ayahnya.
Pang!
Tapak tangan Hamdan sudah mendarat ke pipi licin gadis itu.
Orked terpanar. Maria di belakang
suaminya hanya mampu beristighfar panjang. Ketika itu juga muncul kelibat Idlan
di muka pintu, sekaligus turut kaku melihat insiden tersebut.
Orked
mengangkat wajahnya dengan kelopak mata yang bergenang air jernih. Pipi yang
perit ditampar diusap-usap dengan tangan. Dia tidak menyangka lelaki itu masih
suka menamparnya. Kalau dulu dia pernah ditampar kerana merokok, tapi dia tidak
pernah ditampar lagi sejak ayahnya berkahwin dengan ibu tirinya. Tapi kini lelaki
itu mengulang tabiat lamanya. Sampai hati ayahnya!
Hamdan
memandang ke arah Orked dengan wajah bengis. Dia langsung tidak menyesali apa
yang telah dilakukannya. Baginya, hanya itu sahaja caranya untuk mengajar anak
yang degil seperti gadis itu.
“Abang,
kenapa sampai naik tangan ni?” Maria mengeluh panjang. Kasihan dia melihat
Orked kerap menjadi sasaran kemarahan suaminya.
“Dia
patut ditangan-tangankan, baru dia faham bahasa. Malu saya dengan dekan
universiti dia. Awak bayangkan perasaan saya bila dia call beritahu saya Orked ponteng kelas lagi hari ini. Tempohari
saya yang beria-ria selesaikan masalah yang dia dah buat. Saya ingatkan bila
dia balik, dia akan berubah sikap tapi rupa-rupanya saya silap. Budak macam ni
memang tak makan diajar. Memalukan saya saja.” Bentak Hamdan benar-benar meradang.
Orked
tunduk. Betul dugaaannya, isu dia ponteng kelas hari ini awal-awal sudah
terbang sepoi-sepoi bahasa ke telinga ayahnya.
Di
muka pintu, Idlan menarik nafas panjang. Wajah Orked yang tenang ditatap kesal.
Kalaulah dia menanti sahaja di kawasan kampus, tidaklah gadis itu mencuri
kesempatan untuk menghilangkan diri. Malah mungkin situasi seperti ini tidak
akan berlaku. Merah pipi gadis itu bekas tangan ayahnya membuatkan hati Idlan
seperti disiat-siat. Pilu menyelubungi dirinya.
“Kamu
ke mana sepanjang hari ini? Kamu melepak di mana sehingga petang begini baru
balik?” Sergah Hamdan ingin tahu.
Orked
mengangkat wajahnya, merenung ayahnya dengan pandangan sinis.
“Kenapa
ayah nak tahu? Ayah marah-marah macam ni semata-semata sebab Dekan tu telefon ayah.
Ayah cuma takut malu kalau dia tahu anak Tuan Hamdan yang tak guna ni ponteng
kelas. Kalau dia tak telefon, ayah sikit pun takkan peduli kan? Sekalipun Orked
mati ayah takkan ambil tahu kan?” Suara Orked sayu menuturkan kata-kata pedas
itu.
Hamdan
segera menjegilkan biji matanya luas-luas. Berang mendengar kata-kata anak
gadis itu.
Melihat
keadaan yang semakin meruncing, Idlan cepat-cepat meluru ke arah Orked. Cuba
menjadi benteng jikalau tindakan Hamdan lebih melampau. Wajah Orked ditatap
simpati. Sepasang mata yang basah itu turut melata ke wajahnya.
“Orked,
kenapa Orked tak ke kelas hari ni?Abang pun terkejut bila nak jemput Orked
tadi, kawan Orked kata Orked tak ada. Abang bimbang sangat.” Pujuk Idlan
lembut.
“Orked
memang ponteng hari ni. Tapi Orked ada sebab..” Bisik Orked perlahan, sempat
didengari 3 pasang telinga.
“Apa
sebabnya?” Soal Idlan ingin tahu. Hamdan turut menjeling anak gadis itu. Ingin
mendengar punca gadis itu tidak hadir ke kelas hari ini.
Orked
terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa dia melihat ayahnya di rumah lama
arwah ibunya. Kalau dia menyebutnya, entah apa reaksi lelaki itu nanti. Pasti
lelaki itu takkan menyangka yang dia juga berada di rumah itu hari ini, apatah
lagi hari ini adalah hari ulangtahun kematian ibunya.
“Hah
yang kamu diam ni kenapa? Nak reka alasan lagi?” Sergah Hamdan sinis.
Orked tergaman. Apa yang baru bermain
di kepalanya mula luput dengan kata-kata sindiran ayahnya. Ingin dia membela
dirinya, namun akal warasnya menghalang. Biarlah apa yang dilihatnya di rumah
lama tempat tinggal mereka dahulu kekal menjadi rahsia. Dan biarlah ayahnya
terus menuduhnya dengan pelbagai andaian buruk, dia sudah tidak peduli.
Begitulah rentak hati Orked ketika ini.
*
* * *
“BIARKAN
dia kalau dia tak nak turun makan. Kalau dia kebulur nanti pandailah dia cari
makanan sendiri.” Begitulah respon Hamdan apabila diberitahu isterinya, Orked
asyik berkurung di dalam bilik sepanjang malam itu.
Maria mengeluh panjang, lantas
berpaling ke arah Idlan yang hanya mendiamkan dirinya. Dia perasan anak muda
itu tidak banyak bercakap sepanjang malam ini, baik dengan dirinya mahupun
dengan suaminya sendiri. Renungan Idlan tenggelam jauh seperti memikirkan
sesuatu.
“Kenapa
Id tak jamah makanan tu?” Soal Maria.
Idlan
terpinga-pinga. Matanya berlari ke wajah ibunya.
“Id
tak lapar mama. Id masuk bilik dulu ya.” Idlan minta diri.
Maria sekadar mengangguk. Namun apabila
kelibat Idlan menghilang, Maria melepaskan keluhan.
Dia
tahu ada yang tidak kena dengan Idlan. Sejak Idlan balik tempohari, entah
kenapa nalurinya merasakan sesuatu. Dia seakan dapat membaca gerak-geri Idlan.
Meski Idlan sering ketawa di hadapannya namun dia masih merasa sangsi. Ketawa
Idlan berbeza. Pandangan mata Idlan terhadapnya juga berbeza.
“Kenapa
mengeluh ni?” Tanya Hamdan sebaik menyedari wajah isterinya tidak ceria. Malah
wanita itu termenung panjang di hadapan makanan.
Maria
menoleh, namun tidak berkata apa-apa. Dia tidak tahu bagaimana mahu bercerita
dengan suaminya tentang anak lelakinya. Apatah lagi masalah Idlan tidak patut
timbul dan memeningkan kepala suaminya yang sudah terbeban dengan perihal Orked
selama ini.
“Cakaplah
apa dia?” Desak Hamdan tidak senang duduk.
“Fasal
Idlan.” Maria mengalah akhirnya.
“Kenapa
dengan dia?”
Maria
tidak terus menjawab. Sebaliknya keluhannya meniti di bibir.
“Sejak
akhir-akhir ini saya nampak Idlan asyik termenung sana sini. Saya risau.” Ujar
Maria berterus-terang.
“Idlan
tu agaknya serabut dengan Orked tu. Itulah dulu saya dah tegah Idlan jamin
budak Orked tu, tapi dia degil. Awak pulak asyik menangkan dia.” Gumam Hamdan
dengan suara meninggi.
Maria
terdiam. Dia tidak fikir Orked menjadi sebab Idlan berperangai seperti itu.
Pasti ada sebab lain kenapa sikap anaknya itu kelihatan berbeza. Seolah-olah
ada beban berat yang sedang Idlan tanggung. Apakah selama ini Idlan tidak suka
dia berkahwin dengan Hamdan? Entah kenapa timbul anggapan sebegitu di kepala
Maria.
“Sudahlah
tu, jangan asyik difikirkan. Saya dah tak larat lagi nak fikirkan
masalah-masalah dalam rumah ini. Sudahlah Orked tu buat hal lagi!” keluh Hamdan
seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesalnya bertapak di hati.
Maria
mengerling ke arah suaminya. Keluhan suaminya disambut dengan dengus halus.
“Awak
tak patut buat macam tu pada Orked. Kasihan dia.” Ujar Maria.
“Nak
kasihankan dia buat apa? Awak tak kenal dia macam saya kenal dia. Budak tu
selalu menyusahkan saya. Kalau sehari dia tak buat masalah, tak sah agaknya.”
Rungut Hamdan.
“Kalau
berbincang baik-baik tak boleh ke bang? Awak asyik naik tangan pada Orked. Saya
risau Idlan tu terkejut dengan apa yang awak buat. Selama ini arwah ayahnya
Ikhmal tak pernah naik tangan padanya. Kalau dia nampak awak macam ni, saya takut
Idlan tak sukakan awak nanti.” Ujar Maria kesal.
Hamdan
terdiam mendengar kata-kata isterinya. Nama Ikhmal yang meletus di bibir wanita
itu membuatkan dia dihimpit perasaan cemburu. Cemburu pada orang yang sudah
meninggal dunia.