PROTON Iswara
bewarna merah itu memasuki pintu masuk Universiti Teknologi MARA, Kampus
Jengka, Pahang Darul Makmur. Berderet-deret kereta mencari tempat parkir.
Kelihatan banyak sekali ibu bapa mengiri anak mereka ke Dewan Serbaguna untuk
pendaftaran mahasiswa dan mahasiswi baru sesi Julai 2006. Faizah menelan air
liur. Rasa gerun melihat begitu ramai manusia di kampus ini. Tidak pernah dia
melihat manusia seramai ini. Peluh sudah memercik di dahi. Dadanya berdegup
kencang. “Inikah alam universiti yang harus aku tempuhi nanti.” soalnya dalam
hati.
“Angah, jom turun. Jangan lupa bawa
semua dokumen untuk daftar tu.” Puan Laila mengarahkan setelah dilihat Faizah
ralit memandang orang yang lalu-lalang di sekitar tempat parkir itu. Dia tahu gadisnya
itu gusar barangkali kerana perbezaan budaya. Dia mengakui itu adalah silapnya
kerana telah memasukkan Faizah ke sekolah sejenis sejak anaknya itu sekolah
rendah lagi. Faizah perlu belajar mengadaptasikan dirinya setelah menempuh alam
universiti ini.
“Baiklah
mama.” Faizah melangkah longlai keluar daripada kereta. Berat sekali hatinya
untuk mendaftar di sini. Semua rakan karibnya telah mendaftar di Kolej
Matrikulasi Johor. Dia juga mendapat tawaran ke sana. Namun kerana mamanya
tidak membenarkan Faizah meneruskan pengajiannya di Matrikulasi, di sinilah
takdir telah membawanya. Di bumi Jengka ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.
Puan
Laila memimpin tangan anak kesayangannya itu menuju Dewan Serbaguna, tempat
siswa dan siswi baru harus mendaftar diri. Dapat dirasakan tangan itu sejuk.
Dipandang wajah anak itu sekilas. Pucat tidak berdarah. Gugup barangkali. Digenggam
tangan itu, memberi kekuatan kepada Faizah. Faizah memandang mamanya. Matanya
sudah berkaca.
“Puan,
anak puan sudah mendaftar?’ Kelihatan seorang lelaki dengan sut lengkap
bertanya kepada mama. “Senior barangkali.” desis hati Faizah.
“Belum
lagi nak. Baru nak mendaftar ni.” Tutur Puan Laila.
“Baiklah
puan. Kami tidak membenarkan ibu bapa masuk di dewan kerana mahu mendidik siswa
siswi baru supaya boleh berdikari. Puan boleh duduk di sana sementara tunggu
anak puan selesai mendaftar.” Anak muda yang ramah itu menuturkan sambil
menudingkan ibu jarinya ke arah khemah yang disediakan di hadapan dewan
serbaguna itu. “Adik pula boleh ikut abang.” Tambahnya lagi.
Puan
Laila hanya menganggukkan kepalanya apabila Faizah memandangnya. Dilihat puteri
tengahnya itu melangkah mengikuti pemuda tadi dan beratur menunggu giliran
untuk masuk ke dewan untuk tujuan pendaftaran. Kekok sekali Faizah dikalangan
ratusan manusia itu. Semuanya serba tidak kena. Puan Laila hanya tersenyum.
Anaknya harus belajar menyesuaikan diri.
“Adik
isi borang ini dahulu di meja yang disediakan di tengah itu, nanti pergi ke
kaunter dua untuk menyerahkan semua dokumen.” Faizah cuma menganggukkan
kepalanya tanda faham dengan arahan yang diberikan oleh senior dengan tag nama
Azuan.
Kaki
melangkah mengarah ke meja yang dimaksudkan oleh Abang Azuan tadi. Faizah
mencari tempat dan mula mengisi semua borang. Setelah selesai mengisi semua
borang disemak kembali dokumen-dokumen untuk dihantar ke kaunter seterusnya.
Belum sempat Faizah bangun, dia sudah disergah oleh satu suara. Terkejut
dibuatnya. “Adik, boleh pergi ke kaunter dua sekarang. Dah siap isi semua
borang kan?”
Faizah
bangun daripada kerusi. Tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada wanita
dengan tag nama Salmah. Selesai penghantaran dokumen di kaunter dua, kini dia
beralih ke kaunter tiga untuk mengambil baju batik rasmi UiTM untuk minggu
orientasi. Seterusnya ke kaunter empat iaitu kaunter terakhir untuk pengambilan
foto bagi kad pelajar.
“Ok
dik, senyum sikit. Masam sangat muka tu.” Sedikit senyuman diukir kepada
jurufoto dengan tag Aziefarris. Pemuda itu hanya tersenyum. Sejak pagi tadi dia
sudah melihat banyak kerenah siswa siswi baru. Rata-rata memamerkan wajah takut
saat foto mereka diambil. Ada juga yang gembira sahaja. Mereka tidak tahu
gambar ini akan mereka gunakan sepanjang enam semester mereka berada dalam UiTM
ini. Bila sudah semester dua mereka akan ketawa melihat wajah takut mereka
suatu masa dulu terpampang di kad pelajar mereka nanti.
“Senyum
sorang-sorang pulak mamat ni.” Faizah
mengomel dalam hati setelah melihat Aziefarris masih lagi mengukir senyuman
bagai kerang busuk. Jelas kelihatan lesung pipit di kedua belah pipinya yang
gebu itu.
“Ok,
dah siap, boleh jumpa dah mak ayah kat luar tu. Mak tak hilang dik kat luar
tu.” Sengaja Aziefarris menuturkan begitu. Dia juga begitu dulu sewaktu
mendaftar. Takut kerana alam universiti berbeza dengan alam persekolahan.
Faizah hanya memandang wajah itu dengan perasaan geram. “Main-mainkan orang
pulak.” Bentak hatinya.
Laju
kakinya mengarah ke luar dewan. Dicari kelibat ibunya dicelah-celah puluhan
manusia. Akhirnya dilihat wajah tua itu tersenyum memandang ke arahnya. Dihela
nafas tanda lega. Cepat kakinya melangkah menuju ke tempat mamanya duduk. Puan
Laila menghulurkan sebotol air mineral kepada Faizah.
“Macam
mana? Siap daftar dah?” Dilihat Faizah mengangguk laju. Puan Laila mengeluarkan
tisu dari tas tangannya dan dilap peluh yang memercik di dahi anaknya itu.
Setahunya dewan itu berhawa dingin, masakan anaknya panas di dalam dewan itu.
Puan Faizah tersenyum sendiri. Kecil juga hati anaknya ini walaupun zahirnya
kelihatan kasar.
“Mama
ketawakan angah ye.” Faizah mula
menarik muka seolah-olah merajuk dengan Puan Laila. Puan Laila terus tertawa
mendengar ayat pertama yang keluar daripada anaknya ini sejak keluar daripada
dewan itu. Sedari tadi anaknya tidak menuturkan apa-apa.
Puan
Laila terus memeluk Faizah. Diusap lembut bahu Faizah. “Taklah. Mama cuma
pelik, sejak bila anak mama ni penakut orangnya.”
“Mana
ada takut mama. Angah ok je.” Faizah
berlagak seolah-olah semuanya seperti biasa walhal dia memang takut sewaktu
mendaftar tadi.
“Yelah.
Mari mama hantar daftar masuk kolej pula.” Puan Laila sudah membuka pintu
kereta dan menyuruh Faizah masuk.
Kereta
Iswara itu menghala Kompleks Kediaman Siswi. Dilihat semua kereta parkir di
tepi jalan di luar pintu Kompleks Kediaman Siswi.
“Assalammualaikum encik. Kereta tak boleh masuk encik. Encik
kena angkat barang-barang anak encik masuk ke dalam.” Seorang pengawal
keselamatan memberitahu Encik Mahmud sewaktu keretanya melewati jalan menuju ke
Kompleks Kediaman Siswi. Setelah menggangguk tanda faham, Encik Mahmud
mengucapkan terima kasih kepada pengawal tersebut dan mula mencari parkir.
Enjin
kereta dimatikan. Kini kesemua barang yang dibawanya harus diangkat menuju ke
biliknya. Mujur adik-adik, ayah dan mamnya ada untuk membantu. Sebuah keluhan
dilepaskan lagi. “Susah betul masuk U ni.” Faizah seolah-olah merungut didalam
hatinya.
“Angah
duduk blok apa nak?” Encik Mahmud inginkan kepastian. “Blok I ayah.” Kepala
Faizah terjenguk-jenguk melihat dimanakah lokasi blok I.
“Ni
baru blok G ni. Mesti jauh lagi ni.” Encik Mahmud bersuara lagi. Faizah hanya
mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata ayahnya itu.
“Assalammualikum.
Blok mana adik?” Tanya gadis bertudung labuh dengan tag nama Siti kepada
Faizah.
“Waalaikummussalam.
Blok I kak.” Tenang Faizah menjawab.
“Jalan
depan sikit lagi, belok kiri ya.” Tambah gadis itu sambil menunjukkan arah ke
Blok I. Faizah mengangguk tanda mengerti lalu mengucapkan terima kasih sebelum
meneruskan langkah mengikuti arah yang ditunjuk oleh gadis itu.
Terpampang
besar tulisan besar huruf I dihadapan sebuah bangunan. Faizah melepaskan nafas
lega. “Jauh sungguh blok ni.” Kedatangannya disambut mesra dua orang lagi gadis
dihadapan Blok itu.
“Assalammualaikum
kak. Tumpang tanya. Dekat mana nak daftar ni?” Faizah mula bertanya.
“Waalaikummussalam.
Dekat sini dik. Kertas yang dapat dalam dewan tadi ada?” gadis yang bertugas di
situ bertanya.
“Ada.”
Ringkas Faizah menuturkan seraya mengeluarkan kertas yang diterimanya tadi
semasa pendaftaran.
“Ok,
Bilik I2-06 ya dik. Ini kuncinya. Adik naik ke tingkat dua ikut tangga ini,
lepas tu belok kiri.” Tutur gadis itu lagi.
“Terima
Kasih kak.” Faizah berpaling melihat ayahnya lalu menghampiri ahli keluarganya
yang lain setelah kunci bilik berada digenggamannya. Dilihat peluh memercik
didahi mereka. Rasa insaf bertandang dihatinya. Inilah pengorbanan ibu bapa
untuk melihat kejayaan anak mereka. Tetapi ini jugalah yang dilupakan oleh anak
mereka setelah mereka berjaya nanti. Mudah-mudahan dia tidak menjadi begitu
nanti setelah berjaya.
“Bilik
mana angah dapat?” Puan Laila inginkan kepastian.
“Bilik
tingkat dua mama. Kata kakak tu naik tangga depan tu, lepas tu belok kiri.”
Faizah menuturkan sambil tangannya dihalakan ke tangga yang dimaksudkan.
“Jom
kita angkat barang-barang ni cepat. Lepas kemas semua kita pergi makan. Pukul
dua nanti angah kumpul balik dekat dewan kan?” Puan Laila memberi arahan dan
bertanya lagi kepada Faizah.
“Ya
ma.” Dan dilihat Puan Laila sudah mengangkat semula beg Faizah. Faizah hanya
mengikuti langkah mamanya dan ahli keluarga yang lain menuju biliknya.
Tidak
sampai lima minit, kini Faizah sudah berada di bilik yang dimaksudkan. I2-06.
Inilah biliknya. Diketuk pintu bilik. Pintu tidak terbuka. Dimasukkan kunci
lalu dibuka. Sunyi.
“Assalammualikum.”
Faizah menuturkan seraya tangannya menguak daun pintu. Matanya meliar memandang
seluruh isi bilik. Dua katil dua tingkat diletakkan di kiri dan kanan bilik.
Laluan kosong di tengah. Empat meja belajar yang bersambung dengan empat kerusi
yang diletakkan dihadapan tingkap yang berjendela biru. Empat almari pakaian
yang diletakkan dua di kiri dan dua di
kanan bilik bersebelahan katil. Dua penyangkut tuala yang melekat di dinding
dibahagian atas dan bawah bersebelahan almari di kiri dan kanan bilik. Faizah hanya
tersenyum menandakan dia berpuas hati dengan keadaan bilik ini.
“Alhamdulillah.
Besar bilik ni. Selesalah ni angah. Belajar elok-elok ye nanti.” Puan Laila menuturkan.
“InsyaAllah
ma. Angah akan buat yang terbaik.” Faizah tidak mahu menghampakan harapan orang
tuanya.
“Angah
nak pilih katil atas ke bawah?” Puan Laila bertanya memandangkan sebuah katil
di bahagian kiri bilik di sebelah atas sudah dipasang cadar menandakan sudah
ada ahli bilik yang mendaftar masuk.
“Yang
bawah ni la ma.” Faizah menunjukkan ke arah katil bawah yang sama dengan katil
yang sudah berpunya itu.
Barang-barang
mula dipunggah. Puan Laila sibuk mengatur kedudukan barang-barang anaknya di
dalam almari pakaian. Faizah pula sibuk memasang cadar dan sarung bantal dan
mengemas meja belajarnya yang terletak betul-betul ditengah tingkap.
Bersebelahan meja orang yang tidur diatasnya nanti.
Setelah
selesai mengemas, mereka sekeluarga menuju ke cafe berdekatan di dalam Kompleks
Kediaman itu. Faizah sudah tidak berselera untuk makan. Namun kerana mamanya
tetap menyuruh dia makan walaupun sedikit, disuapkan jua nasi berlaukkan ayam
kurma itu ke mulut.
Kini
tiba masanya mereka berpisah. Puan Laila memeluk erat Faizah. Diberikan nasihat
kepada anaknya itu. Begitu juga dengan Encik Mahmud. Adik-adiknya sudah mula
menangis. Faizah memeluk kedua-dua adiknya. Dikuatkan hatinya sungguhpun dia
juga ingin menangis saat itu. Ini kali pertama dia tinggal berjauhan dengan
keluarganya. Tidak pernah dia tinggal sendiri sebelum ini.
Puan
Laila dapat melihat mata Faizah mulai berkaca. Namun dia tahu, anaknya ini
tabah. Air mata itu cuma bergenang dikolam mata anaknya, tidak menitis
sedikitpun. Dia tahu Faizah tidak mahu dia risau. Kerana itu anak itu tidak
menangis dihadapannya. Puan Laila juga harus tabah seperti Faizah. Walaupun
tidak pernah berpisah dengan Faizah sejak kecil, kini dia harus berkorban untuk
masa depan Faizah. Agar kehidupan anaknya senang dimasa akan datang.
Dipeluk
sekali lagi anak itu. Dikucup kedua-dua pipi dan dahi anaknya. “Belajar
rajin-rajin.” Puan Laila berbisik ditelinga Faizah. Pelukan dileraikan. Faizah
menyalami tangan mama dan ayahnya.
Kini
kereta Proton Iswara itu mula bergerak. Semua ahli keluarganya melambai-lambai
daripada dalam kereta. Semakin sayup kelihatan dihujung selekoh dan akhirnya
hilang daripada pandangan. Faizah memalingkan badannya mengarah ke pintu
Kompleks Siswi. Kini perjalanan hidupnya sebagai mahasiswi telah bermula. Air
mata yang menitis di seka menggunakan hujung baju kurung hijau yang dipakainya.
Langkah dihala semula ke biliknya.
Setibanya
dibilik, dilihat pintu sudah terbuka dan kedengaran suara riuh-rendah daripada
dalam bilik. “Assalammualaikum.” Faizah melangkah masuk sekali lagi ke
biliknya.
“Waalaikummussalam.”
Salamnya disahut oleh semua yang ada.
“Ha
Hajar, tu kawan dah ada dah.” Tutur seorang wanita sambil tersenyum yang
dilihat seolah-olah sebaya mamanya. Matanya diarahkan ke pemilik nama tersebut.
Hajar. Disimpan nama itu didalam otaknya.
Faizah
mengukir sekuntum senyuman. “Saya Faizah makcik. Makcik datang daripada mana?”
Tanya Faizah sekadar berbasa-basi sambil menghulurkan tangan menyalami wanita
itu.
“Makcik
datang dari Johor nak. Faizah orang mana?” Kini giliran ibu Hajar pula
bertanya.
“Faizah
daripada Johor juga makcik.” Jujur Faizah menjawab.
“Ha, baguslah tu. Senang nanti kalau nak
balik masa cuti. Boleh balik dengan Hajar sekali.” Dilihat wanita itu
tersenyum. Mungkin hati tuanya sedikit lapang apabila mendengar Faizah juga
daripada Johor. Tidaklah dia risau memikirkan bagaimana anaknya mahu pulang
jika ada cuti nanti.
Belum
lagi selesai sesi perkenalan, kedengaran lagi salam. Semua isi bilik menjawab
salam. Seorang lagi ahli biliknya tiba. Mesra dipanggil Ekin. Berasal daripada
Kelantan. Cuma penghuni katil atasnya sahaja belum tiba.
Setelah
semua keluarga pulang, Faizah, Hajar dan Ekin berbual-bual kosong untuk
mengenali antara satu sama yang lain. Dan kuakan daun pintu memberhentikan
perbualan mereka. Terjengul kepala seorang gadis sambil memberi salam dimuka
pintu.
Inilah
seorang lagi ahli bilik mereka. Mira yang berasal daripada Jengka. Wajarlah dia
tidak ada di bilik kerana rumahnya hanya dihadapan UiTM ini sahaja.
Sedang
mereka meneruskan perbualan, kedengaran pengumuman.
“Perhatian
kepada semua siswi baru, anda dikehendaki berkumpul di bawah blok dalam masa
lima minit. Saya ulang, lima minit. Pastikan semua ahli bilik bersama sewaktu
anda turun. Bilik yang tidak lengkap ahlinya dan lambat turun akan didenda.
Harap maklum.”
Sesi
orientasi atau digelar Minggu Mesra Siswa(MMS) sudah bermula. Keempat-empat
mereka melepaskan keluhan. Masing-masing membawa fail yang diberikan sewaktu
mendaftar tadi dan sebuah buku nota serta pen. Tidak lupa telekung dan botol
yang berisi air. Kesemuanya dimasukkan ke dalam beg.
“Jom
turun. Tinggal dua minit lagi. Kalau lambat kena denda.” Faizah bersuara. Ahli
bilik yang lain mengangguk dan mula mengenakan kasut hitam masing-masing.
Mereka berempat kini sudah berada di bawah blok. Mujur mereka tiba tepat pada
waktunya. Jika tidak nasib mereka sama seperti puluhan siswi yang sedang
memegang telinga masing-masing dan melakukan ‘ketok ketampi’ beramai-ramai
dihadapan mereka kini. Naik bulu roma mereka apabila kakak senior yang tadinya
menegur dengan lembut sewaktu mendaftar kini bertukar menjadi singa yang buas,
seakan-akan watak Scar didalam filem The
Lion King. Inilah permulaan MMS mereka. Ngeri. Hanya itu terdetik dihati
mereka. Senior bertukar menjadi OC yang ganas.
HARI ini
sudah hari kedua mereka menjalani MMS. Faizah sudah merasakan sangat penat.
Mana tidaknya, semalam mereka dibenarkan pulang daripada Dewan Serbaguna hampir
jam satu setengah pagi dan kini mereka sudah diarahkan ke Masjid Uwais Al-Qarni
yang terletak dihadapan Kolej Siswa. Faizah melihat sekilas jam dipergelangan
tangan kirinya. Jam empat pagi. Mujur dia dan Mira sudah curi-curi mandi
sewaktu jam tiga pagi tadi walaupun telah diarahkan oleh semua fasilitator agar
mereka tidur. Jika tidak, pasti mereka mengantuk.
Teringat seketika adegan pagi tadi
sewaktu Faizah menjenguk ke luar bilik mencuba curi-curi keluar ke bilik air
yang terletak berhampiran biliknya untuk mandi. Dia tidak boleh tidur dengan
badan yang dirasakan melekit akibat berpeluh. Begitu juga dengan Mira. Jadi
kedua-duanya mengambil risiko didenda oleh OC daripada mereka tidak selesa
kerana tidak mandi. Mereka berdua melangkah ke luar daripada bilik menuju ke
bilik air seolah-olah pencuri. Namun, mereka ditangkap setelah kedua-duanya
mahu keluar meninggalkan bilik air. Mujur OC itu tidak mendenda mereka berdua.
Faizah dan Mira sangat bersyukur.
“Ada sesiapa yang sakit pagi ni?”
Bentak seorang OC lelaki yang ingin digelar Abang Rid selaku AJK Kebajikan
minggu orientasi.
Keadaan
sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi katak dan cengkerik yang menyanyi riang.
“Pukul empat pagi bang, kalau tak sakit pun boleh sakit.” Jawab Faizah selamba.
Namun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hatinya.
“Bila saya tanya jawab. Tak ada
mulut ke nak jawab ha?” Sergah suara itu lagi. Tersentak mereka apabila
disergah begitu. Semua menundukkan muka. Garang sungguh OC ini.
“Kamu semua tak faham bahasa melayu
ke? Siapa sakit angkat tangan.” Arah suara itu lagi. Dilihat seorang daripada
mereka mengangkat tangan.
“Ha, yang angkat tangan dekat
belakang tu. Sakit apa?” Abang Rid menyergah siswi itu. “Mengada-ngada nak
sakit. Manja semua ni.” Tambah Abang Rid. Kata-katanya diiakan oleh OC yang
lain.
“Pagi-pagi dah kena ‘brain torture’. Kalau tak jawab salah,
kalau jawab macam tu pulak gayanya. Tak faham betullah dengan OC ni.” Faizah
merungut dalam hati.
Setelah qiyamulail dan solat subuh, kini
aktiviti hari kedua bermula. Kelihatan cahaya matahari menyusup masuk kedalam
Uwais Al-Qarni menandakan hari mula siang. “MasyaAllah, indahnya ciptaan
Allah.” Faizah menuturkan perlahan.
“Sekarang dalam masa sepuluh minit,
saya nak kamu duduk ikut course
masing-masing dan pilih ketua dan penolong untuk setiap course.” Arahan diberikan oleh Abang Azuan dihadapan.
Keadaan riuh-rendah seketika. Masing-masing
mencari teman se-course berpandukan
warna tag nama yang dipakai. Diploma Sains tag bewarna ungu cair.
“Saya cakap bertindak mengikut
arahan!” Bentak satu suara. Keadaan kembali sunyi. “Saya tidak
mahu mendengar sebarang bunyi hatta bunyi pen sekalipun.” Tambah suara itu lagi. Ya,
suara itu milik Abang Syahadan. OC Minggu Mesra Siswa yang sangat garang.
Dalam nada perlahan mereka melantik
ketua dan penolong bagi course
masing-masing. Untuk coursenya, Farhan
telah dilantik menjadi ketua manakala Alia telah dilantik sebagai penolong
ketua batch.
Selesai sesi memilih ketua dan
penolong bagi setiap bidang, mereka diarahkan menuju ke Dewan Serbaguna untuk
mendengar ceramah daripada pihak universiti. Diam tidak diam jam menunjukkan
jam satu tengah hari. Sesi ceramah dihentikan untuk memberi laluan kepada makan
tengah hari dan solat Zuhur.
Tiba di Dewan Makan Azizah, OC-OC sudah
menunggu. Faizah beratur di bahagian tengah bersama Mira menunggu gilirannya
mengambil makanan. Baru sahaja pinggannya berisi nasi dan lauk, satu laungan
dari arah pintu Dewan Makan kedengaran.
“Siswi!!! Cepat sikit makan.
Terhegeh-hegeh. Awak semua ni buat saya panas je. Saya pun belum makan lagi
tahu tak!!” Gadis bertudung labuh itu terjerit-jerit bagai dirasuk hantu sahaja
lagaknya.
Terbantut niat Faizah dan Mira mahu
memulakan makan. Hanya tiga kali suap dan hanya sekali meneguk air sirap itu,
kedua-duanya mengangkat pinggang dan gelas dan diletakkan di tempat yang
disediakan. Tidak mahu di denda oleh OC yang dirasakan tidak berhati perut itu.
Begitulah rutin makan mereka sewaktu MMS.
Setelah slot ceramah waktu petang
tamat, mereka dibenarkan pulang ke bilik masing-masing. Namun belum sempat tiba
di bilik pengumuman di kompleks sudah menyatakan dalam masa lima belas minit
mereka harus kembali ke padang A untuk aktiviti riadah.
“Mira, saya nak pergi tandas dulu
ni.” Faizah menuturkan dalam nada perlahan. Sungguh, dia kini berasa sangat
tidak selesa. Dirasakan kulit pehanya telah melecet akibat sering berlari-lara
ke sana sini mengejar waktu.
Setitis air mata menitis apabila
Faizah berada di dalam tandas tatkala air mengenai kulitnya. Benar, dia melecet
teruk di bahagian peha. Boleh dilihat isi daging pehanya. Pedih yang teramat.
Sebaik
sahaja keluar daripada tandas, dilihat Mira sudah menunggu dengan begnya di
hadapan bilik. Mujur dia sudah menukar pakaian sukan sebelum ke tandas tadi.
Dalam kepayahan dan rasa perit, Faizah berlari-lari anak menuju ke Padang A
yang terletak agak jauh dari Kompleks Kediamannya. Sakit. Hanya itu yang berada
dibenaknya.
KINI
sudah sampai ke hari terakhir Minggu Mesra Siswa atau MMS. Segala kesusahan
sepanjang minggu ini bakal berakhir sebentar lagi. Semua wajah memamirkan riak
ceria. Akhirnya kami tidak akan diburu lagi oleh OC yang bengkeng setelah tamat
MMS tepat jam 12 malam nanti.
Majlis penutupan Minggu MMS
dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Prof. Madya Ir. Abdullah Suhaimi Mohamed,
selaku Pengarah Kampus UiTM Pahang. Majlis dibuka dengan bacaan doa oleh siswa
baru. Dilanjutkan dengan ucapan daripada Pengarah Kampus. Kemudian bacaan ikrar
oleh wakil pelajar siswa Fadzli atau lebih dikenali dengan Deli. Deli antara
siswa yang menonjol sewaktu MMS selain daripada tiga pasangan kembar yang
menjadi tumpuan semua. Setelah bacaan ikrar, persembahan daripada siswa siswi
baru dimulakan.
Masa inilah yang ditunggu oleh
mereka. Masa untuk membalas dendam kepada semua OC. Dimulakan dengan
persembahan daripada siswi Pra- Sains, diteruskan dengan persembahan daripada
TESL dan persembahan siswa siswi Pre-Law.
OC hanya mampu mengukir senyuman kelat apabila semua persembahan tepat mengenai
muka mereka. Bukan ingin membalas dendam tetapi itu kenangan yang mereka
berikan kepada kami sewaktu MMS ini berlangsung.
Persembahan terakhir merupakan
persembahan khas daripada sekumpulan siswa dengan nama Gagak Hitam. Ahli-ahli
Gagak Hitam ini terdiri daripada dua belas orang siswa yang sering sahaja
dimarahi oleh OC sepanjang MMS berlangsung. Mereka mempersembahkan tarian dan
nyanyian yang diajar oleh OC bernama Azuan. Sorakan kedengaran sewaktu gagak
hitam naik ke pentas. Persembahan dimulai.
Ha
Ha
Kamate
Kamate Kora Kora
Kamate
Kamate Kora Kora
Ini
Titangga Ta Furufuruna
Na Ikitemaifaka Fikitera
Auppa, Auppa, Auppa De Uppa De Tera
Aummm
Semua bersorak riang setelah
persembahan itu tamat. “Sweet moment for us to remember.” Faizah bertutur
perlahan. Lagu itu lagu pertama yang diajar oleh OC kepada kami pada petang
hari pertama kami tiba di sini. Sekadar mengisi masa sebelum sesi ceramah
dimulakan. Apa yang rakan seperjuangan kami paparkan sewaktu persembahan,
itulah kejadian sebenar yang berlaku kepada kami sewaktu MMS ini berlangsung.
Selepas tamat program ini, pasti OC pula akan dikejar oleh pengarah kampus
apabila ada aduan diajukan ke pihak universiti. Faizah hanya tergelak
memikirkan kemungkinan tindakan yang akan dikenakan kepada semua OC apabila
tamat MMS ini sebentar lagi. Mira juga sependapat dengan Faizah. Lalu mereka
berdua sama-sama tertawa.
Sebagai penutup majlis, mereka
menyanyikan lagu Wawasan Setia Pelajar dan UiTM dihatiku. Tamat sahaja lagu
itu, maka tamatlah seksaan yang mereka lalui sepanjang minggu orientasi.
Berakhir sudah segala kesusahan mereka. Faizah akui banyak yang mereka belajar
menerusi MMS ini. Selain mendidik mereka menjadi orang yang berdisiplin, banyak
juga nilai-nilai yang diterapkan oleh para OC kepada mereka. Ada juga pengisian
agama yang mereka peroleh sepanjang minggu tersebut.
Faizah dan Mira berpimpinan tangan
sewaktu jalan pulang ke Kompleks Kediaman mereka. Kedua-duanya diam seribu
bahasa, namun dibibir mereka, mekar sebuah senyuman tanda gembira. Setelah
sampai dibilik, masing-masing berebut ke bilik air untuk mandi setelah enam
hari mereka mandi dengan tidak sempurna. Usai solat isya’ Faizah dan Mira
menyeterika pakaian untuk ke kuliah pada esoknya sebelum mereka melelapkan
mata.
Faizah sempat mengirim satu SMS
kepada mamanya agar mamanya tidak risau tentang keadaannya disini.
“Mama,
azab dah tamat. Hehe.”
Setelah
tertera ‘message delivered’pada
telefon bimbitnya, Faizah terus melelapkan mata. Esok, apakah yang bakal
menanti mereka? Soalan itu bermain-main difikirannya sehingga dia lena diulit
mimpi.