Cerpen
: Semanis Epal Merah
Oleh : Isha Idiaz
*****
EPAL merah itu digigit lagi dengan rakus. Kali ini rasa marahnya
benar-benar dilepaskan pada sebiji epal merah itu. Cebisan epal yang masuk ke
rongga mulutnya dikunyah kasar dan laju agar epal
itu lebih lumat untuk memudahkan ia melalui esofagusnya.
Wajah Rania yang
tergantung di dinding bilik direnung tajam. Pantas, pisau yang tadinya
digunakan untuk mengupas kulit epal dicapai. Ringan sahaja tangannya
melontarkan pisau itu dan pisau itu tepat mengenai hidung Rania.
Helaan nafasnya yang
semakin menggila cuba diredakan. Rayyan berjalan mundar-mandir. Cintanya hanya
untuk Rania. Dan cinta Rania hanya untuk dirinya, Rayyan. Hanya Rayyan. Tidak
boleh ada nama insan lain.
*****
“RANIA nak pergi mana tu?” soal Rayyan dari dalam biliknya sebaik
sahaja melihat Rania bangun daripada kerusinya. Rania yang baru sahaja mahu
melangkah berhenti seketika dan menjengukkan kepalanya ke dalam bilik
Rayyan. Bibirnya mengukir senyum.
“Rania nak
pergi jumpa Encik Hadi sekejap ambil fail,” ujar Rania dengan senyuman yang
masih tidak lekang di bibirnya.
Rayyan hanya
mengangguk seolah-olah memberikan keizinan kepada Rania untuk berjumpa salah
seorang pegawai eksekutif di dalam syarikatnya itu. Lantas, Rania meneruskan langkahnya
menuju ke bilik Encik Hadi. Rayyan pula hanya melihat gadis tinggi lampai itu
yang kelihatan anggun dengan baju kurung kuning cair berlalu pergi daripada
biliknya.
Sejak
akhir-akhir ini rasa cemburunya meluap-luap apabila melihat keakraban Rania,
kekasih hatinya itu dengan Encik Hadi. Walaupun Rania bukan jenis yang melayan,
namun perwatakan Encik Hadi yang kaki perempuan itu menambah curiga dalam
hatinya kepada Rania. Siapa tahu Rania akan berpaling hati daripadanya.
Rayyan
menumbuk meja sekuat hati. Kertas yang ada di atas mejanya ditolak kasar. Ada
di antaranya yang terbang dan jatuh ke lantai. Jika diikutkan hati, mahu sahaja
dia memberhentikan Encik Hadi daripada syarikatnya itu sekarang juga. Namun,
kerana polisi syarikat, dia tidak boleh bertindak sesuka hati. Rayyan meraup
mukanya beberapa kali. Badannya disandarkan ke kerusi. Sebuah keluhan berat
dilepaskan. Dia masih memikirkan cara bagaimana untuk menjarakkan hubungan
Encik Hadi dengan Rania.
*****
MALAM itu, sekali lagi Rayyan mengajak Rania keluar untuk
menemaninya makan malam. Seperti biasa, Rania hanya menerima pelawaan Rayyan
dan bersiap-siap untuk keluar. Lama juga mereka tidak keluar bersama sejak
Rayyan sibuk dengan projek perumahan yang akan didirikan di Tampoi itu.
“Hai, sayang
dekat mana ni? Dah siap ke belum?” soal Rayyan bertubi-tubi sebaik sahaja Rania
menjawab panggilannya.
Rania
tergelak kecil. Rayyan memang begitu. Suka benar menanyakan beberapa soalan
dalam satu masa. Mujur dia sudah terbiasa begitu. Jadi, dia akan spontan
menjawab satu-persatu pertanyaan Rayyan.
“Rania ada
dalam bilik. Dah siap dah ni. Rayyan dah ada dekat bawah ke?” ujar Rania seraya
mengintai disebalik langsir bilik tidurnya. Kelihatan kereta Perdana V6 bewarna
silver sudah parkir di hadapan pintu rumahnya. Susuk tubuh seorang lelaki yang
sasa dengan sedikit janggut menghiasi dagunya dapat dilihat sedang bersandar di
kereta itu.
Rayyan dapat
melihat langsir yang menutupi tingkap Rania terselak. Dia tahu pasti Rania sedang
mengintainya daripada bilik. Rayyan tesenyum sendiri. Tangan yang tadinya
memegang sesuatu disembunyikan di belakang badannya.
“Ada dah.
Turunlah. Ingat Rayyan tak nampaklah Rania tengok daripada celah langsir tu,”
ujar Rayyan dengan tawa. Rania juga ketawa lalu memutuskan talian. Sandal
bertumit tiga inci itu disarungkan ke kaki. Pantas, tangannya mencapai tombol
pintu dan membukanya. Setelah memastikan pintu rumahnya berkunci, Rania
bergerak ke arah pagar. Rayyan
sudah menanti dengan senyuman.
“Cantik,”
komen Rayyan sepatah setelah Rania berdiri betul-betul di hadapannya.
“Untuk buah
hati Rayyan yang cantik malam ini,” ujar Rayyan seraya memberi sebuah jambangan
bunga ros merah kepada Rania. Rania menerima jambangan bunga itu dengan
senyuman yang mekar di bibirnya. Dicium bau bunga itu yang benar-benar wangi.
Rayyan hanya melihat buah hatinya itu dengan perasaan senang.
“Kalau Rania
tak cantik, tak dapat bunga ke?” soal Rania sebaik sahaja pintu kereta ditutup.
Rayyan hanya mencuri-curi memandang wajah Rania di sebelah. Jika Rania tidak
cantik pun dia tetap akan memberikan bunga itu. Dia mencintai Rania bukan
kerana kecantikkannya tetapi kerana dia cintakan gadis itu semenjak mereka di
zaman sekolah lagi. Namun dia akui, kini, setelah mereka dewasa, Rania semakin
cantik. Lagi-lagi malam ini. Dengan berpakaian dress labuh bewarna hitam berlabuci silver, Rania kelihatan sangat
cantik. Rambutnya yang panjang itu disanggul kemas di kepala makin menambahkan
kecantikan Rania.
“Kalau Rania
tak cantik pun, bukan sahaja bunga, tapi Rayyan akan bagi Rania hati Rayyan
tau,” ujar Rayyan bersungguh-sungguh.
Mendengar
jawapan Rayyan tadi, Rania hanya mencebirkan bibirnya.
“Yalah tu,”
ujar Rania sekadar mengusik. Dia tahu Rayyan amat mencintainya. Jika tidak,
masakan lelaki itu sanggup menggertak mana-mana sahaja lelaki yang cuba
mendekati dirinya. Kadang-kadang Rania sendiri rimas dengan Rayyan. Kerana
terlampau cintakan Rania, Rayyan agak mengongkong hidupnya. Lelaki itu terlalu
cemburu. Hal itu yang amat dirisaukan oleh Rania. Dia takut satu hari nanti,
Rayyan akan bertindak di luar kawalan.
Kereta terus
meluncur laju membawa Rania dan Rayyan ke tujuan mereka pada malam itu.
Masing-masing diam melayan perasaan.
*****
ENCIK HADI memanggil Rania masuk ke biliknya sebaik sahaja dilihat
kelibat gadis berusia 25 tahun itu melintasi biliknya. Dia memang sukakan
Rania. Rania bukan sahaja cantik tetapi gadis itu sangat bersopan-santun.
“Ya encik,
kenapa encik panggil saya?” soal Rania dengan muka yang penuh tanda tanya.
Pelik benar dia dengan Encik Hadi sekarang ini. Pantang nampak dirinya melintas
di hadapan bilik, pasti Encik Hadi akan memanggilnya. Kadang-kadang, tidak ada
perkara penting pun yang mahu disampaikan oleh Encik Hadi.
Encik Hadi
merenung tajam ke arah Rania. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis itu. Lengan
Rania dipegang kejap. Rania yang kaget pantas menepis tangan Encik Hadi.
“Encik buat
apa ni?” ujar Rania agak meninggi.
‘Lelaki ini sudah melampau,’ desis hati Rania.
Ini bukan kali pertama Encik Hadi cuba menyentuhnya. Masuk
kali ini sudah tiga kali Encik Hadi memperlakukannya seperti itu.
Jeritan Rania tadi, walaupun tidak jelas buah butirnya, namun
sempat ditangkap oleh pendengaran Rayyan. Pantas Rayyan berkejar ke arah bunyi
suara itu. Dilihatnya Encik Hadi sedang memeluk Rania daripada belakang dan
mencium pipi gadis itu.
Rania cuba melepaskan dirinya namun tidak berjaya. Pegangan
Encik Hadi terlalu kuat. Mahu ditolak muka lelaki itu daripada terus mencumbui
dirinya. Namun apalah dayanya apabila tangannya turut dipegang kuat.
Rayyan yang melihat adegan itu daripada belakang menyangka
Rania merelakan Encik Hadi memeluknya. Terasa darah dipam keluar daripada
jantungnya dengan laju. Amarahnya datang tiba-tiba. Tergamak Rania bermain kayu
tiga dengannya. Namun dia tahu, tidak mungkin Rania ingin membuat perkara itu
di hadapan matanya jika benar kekasih hatinya itu mahu menduakannya. Ini pasti
gara-gara Hadi.
“Hadi!” Rayyan menjerit sekuat hatinya. Sebuah tumbukan yang
padu dilepaskan ke muka lelaki itu.
Berdarah
mulut lelaki itu akibat tumbukan padu Rayyan tadi. Rania segera mendapatkan
Rayyan dan bersembunyi di belakangnya. Pantas Rayyan menarik tangan Rania dan
membawanya keluar daripada bilik Encik Hadi itu.
Antara mereka tiada bicara. Rania hanya mendiamkan diri
kerana dia masih trauma dengan kejadian tadi. Perasaan cemburu pula sudah
beraja di hati Rayyan. Dia tahu Rania tidak bersalah tetapi dia juga tidak
dapat menerima apa yang dilihatnya tadi. Alangkah baiknya jika Rania tidak
terlalu rapat dengan Encik Hadi.
*****
SEMINGGU telah berlalu setelah kejadian itu. Sejak hari itu, Rayyan
tidak bertegur sapa dengan Rania. Dia hanya memanggil gadis itu jika dia
memerlukan fail-fail syarikat. Mereka hanya bercakap atas urusan kerja.
Seminggu itu juga, Rania tidak berani untuk bertanyakan apa-apa kepada Rayyan
mahupun memujuk kekasihnya itu. Dia tahu Rayyan marah kepadanya. Dia masak
benar dengan perangai Rayyan yang cemburu buta.
“Rania ada
apa-apa rancangan malam nanti?” soal Rayyan tiba-tiba. Wajah Rania sedikitpun
tidak dilihatnya. Dia tekun menurunkan tandatangan di beberapa helai kertas di
hadapannya itu.
Rania
mengangkat mukanya memandang Rayyan. Wajah itu kelihatan tenang. Tidak seperti
hari-hari sebelumnya. Rania cuba mengukir senyum walaupun senyumannya itu agak
tawar.
“Tak ada.
Kenapa?” Giliran Rania pula bertanya.
Setelah
selesai menandatangani dokumen tadi, Rayyan mengangkat wajahnya dan memandang
tepat ke anak mata Rania. Sebuah senyuman diukirkan buat gadis itu.
“Rania tak
ingat ke hari ini hari apa?”
Mendengar
soalan itu, Rania terus tersenyum. Kali ini senyumannya benar-benar ikhlas.
Bukan kerana terpaksa seperti tadi. Masakan dia lupa hari ini. Sembilan tahun
yang lepas, hari ini merupakan hari di mana Rayyan meluahkan isi hatinya kepada
Rania. Waktu itu, mereka masih di tingkatan empat. Siapa sangka cinta yang
mereka bina dapat bertahan hingga ke hari ini.
“Mana boleh
Rania lupa,” ujar Rania lembut.
“Rania
datang rumah Rayyan malam ini boleh?”
Rania hanya
mengangguk menandakan dia menerima pelawaan kekasihnya itu. Mereka berdua
tersenyum.
*****
BUAH epal merah yang dibeli
daripada kedai itu dimasukkan ke dalam sebuah bakul rotan yang sederhana besar.
Dapat jugalah dia memuatkan lapan biji buah epal merah yang rasanya memang
dijamin manis itu.
Di antara lapan biji epal itu, hanya sebiji epal yang
benar-benar istimewa. Dan epal itu sudah dipotong terlebih dahulu dan Rayyan
telah mengukir epal itu membentuk sebuah hati. Di dalam epal berbentuk hati
tadi, sebentuk cincin disembunyikan di bawah timbunan hati daripada epal yang
lebih kecil. Rayyan tersenyum lagi. Dia berharap Rania akan menemui cincin itu
semasa menikmati epal itu nanti. Malah, ada sesuatu yang lebih istimewa di
dalam epal itu.
*****
BUNYI loceng
di pintu menyedarkan Rayyan daripada lamunannya. Serentak itu, dia berkejar ke
muka pintu dan memulas tombol pintu itu. Sebaik sahaja pintu terbuka, dilihat
Rania sungguh cantik dengan kurung putih yang diberikan olehnya suatu masa
dahulu. Gadis itu tersenyum manis memandangnya. Rayyan menyuruh gadis itu masuk
dan duduk di ruang tamu.
Sementara
menunggu Rayyan, sempat Rania meninjau-ninjau keadaan ruang tamu itu. Tersergam
indah potret dirinya yang dilukis sendiri oleh Rayyan betul-betul di tengah
ruang tamu itu. Rania tersenyum sendiri. Rayyan memang benar-benar mencintai
dirinya.
Rayyan
kembali ke ruang tamu dengan sebakul epal merah dan sebuah dulang berisi sepinggan
kek, dua biji gelas dan juga sebuah jar air. Pantas Rania menghampiri dan
mengambil dulang tersebut daripada tangan Rayyan.
“Patutnya
Rania yang buat semua ni bukan Rayyan,” ujar Rania seraya menuangkan air di
dalam dua biji gelas tadi.
“Alah,
sesekali. Bukan selalu Rayyan nak buat macam ni,” ujar Rayyan sambil tersenyum.
Diam tidak
diam sudah hampir tiga jam mereka duduk bercerita mengimbas kembali detik-detik
yang mereka telah luangkan sepanjang masa mereka bersama. Ada kalanya ketika
mereka bercerita kembali detik-detik itu mereka tertawa, ada kalanya mereka
tersenyum dan ada kalanya air mata mereka bergenang di tubir mata
masing-masing. Banyak benar memori yang tidak akan dilupakan oleh mereka berdua.
Akhirnya,
sebelum Rania pulang, Rayyan menyuruhnya menjamah epal yang telah diukirnya
tadi. Tanpa rasa curiga, Rania mengambil ukiran epal berbentuk hati yang
kecil-kecil tadi lalu memakannya. Epal merah itu memang sangat manis. Kerana
terlalu sukakan epal, maka Rania terus menikmati epal tadi sehingga pada
akhirnya dia menjumpai sebentuk cincin di dalam epal tadi.
Rania agak
terperanjat. Rayyan hanya tersenyum. Cincin tadi dikeluarkan daripada epal itu
dan disarungkan ke jari manis Rania. Rania tidak mampu berkata-kata. Hatinya
begitu tersentuh dengan kejutan yang dibuat oleh Rayyan ini.
“Rayyan akan
mencintai Rania sampai bila-bila,” bisik Rayyan ke telinga gadis itu.
Rania diam
tidak memberikan respon. Sungguh, dia terharu kini.
“Rayyan akan
mencintai Rania walaupun sesudah Rania mati,” ujar Rayyan lagi.
Kali ini
Rania mengangguk. Yakinlah dia Rayyan benar-benar mencintai dirinya. Rania
merapatkan bibirnya ke telinga Rayyan lalu dia juga membisikkan sesuatu ke
telinga lelaki itu.
“Rania juga
akan tetap cintakan Rayyan sampai bila-bila,” ujar Rania lembut.
Selesai
sahaja dia mengucapkan kata-kata itu, tiba-tiba Rania terasa tekaknya panas dan
seperti terbakar. Rania cuba berkata-kata namun suaranya tidak keluar lagi.
Melihat
keadaan Rania begitu, tahulah Rayyan racun yang dibubuhnya di potongan epal
berbentuk hati itu sudah mula menunjukkan reaksi ke tubuh Rania. Perlahan,
kepala Rania dipangku di atas ribanya. Kepala gadis itu diusap penuh kasih. Air
mata mula merembes keluar daripada tubir mata Rayyan apabila melihat Rania
tercungap-cungap di atas ribanya. Rayyan mengucup penuh kasih dahi Rania. Dia
membisikkan sesuatu ke telinga Rania.
“Rayyan buat
semua ini kerana Rayyan tak sanggup melihat Rania bersama orang lain. Biarlah
cinta kita berakhir di sini Rania. Rayyan takkan sesekali mencintai insan lain
selain daripada Rania,” ujar Rayyan lirih. Air matanya kini mengalir laju
menuruni pipi.
Mendengar
ayat itu, air mata Rania turut merembes keluar. Beginikah pengakhiran cerita
cinta mereka. Sembilan tahun mereka melalui susah senang bersama. Namun hari
ini, Rayyan melakukan sesuatu di luar jangkaannya. Rayyan telah meracuninya.
“Rania
sayang, cinta kita semanis epal merah yang Rania makan tadi. Anggaplah apa yang
sayang lalui sekarang ini sesuatu yang paling manis dalam episod cinta kita,”
ujar Rayyan buat kali terakhir. Rayyan juga tahu racun daripada epal yang turut
dimakannya tadi bersama Rania sudah mula menunjukkan reaksi terhadap tubuhnya.
Mereka
berpandangan dan menatap wajah masing-masing dengan linangan air mata. Inilah
cerita cinta mereka. Cinta sampai mati. Cinta mereka memang manis untuk
dikenang. Manisnya cerita cinta mereka seperti manisnya epal merah yang mereka
nikmati bersama tadi. Rayyan melihat dada Rania semakin berombak. Buih-buih
putih sudah mula keluar daripada mulut gadis itu. Kini dia hanya menunggu
gilirannya untuk sama-sama pergi menemani Rania.
“Rayyan
cinta Rania sampai mati,” ujar Rayyan sebelum memejamkan matanya rapat-rapat.
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz