Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
57,287
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

SEPERTI kebiasaan, Hanna, Umaira dan Puan Suria akan bersama-sama di meja makan untuk makan malam. Suasana meja makan lebih sunyi berbanding daripada biasa. Tidak meriah seperti selalunya. Kalau tidak, mulut Umaira memang akan membebel sambil makan. Sampai boleh buat karangan.

Namun, kesunyian di antara mula pecah apabila Puan Suria membuka mulut.

“Hanna, Umaira… Hujung minggu ini Mak Cik Salmah ada jemput kita pergi majlis kahwin anak bongsu dia. Tak silap ibu, yang perempuan itu. Apa namanya?” Puan Suria cuba mengingat.

“Yang Jannah itu ke? Tapi, Hanna dengar dia baru habis SPM. Tak akan dah nak kahwin? Cepatnya?” Hanna tertanya-tanya.

“Biasalah… Jodoh dah sampai. Tunggu apa lagi? Kahwinlah. Tak macam anak-anak ibu ini. Masing-masing dah bekerja pun, tak bawa balik lagi bakal menantu untuk ibu. Ibu ini dah teringin nak timang cucu. Sampai sekarang tak merasa lagi.” Sempat Puan Suria menyindir anak-anaknya yang masih hidup membujang.

“Dah itu, jodoh tak sampai lagi.” Hanna selamba membidas balik kata ibunya. Ibunya mencebik bibir, kurang suka dengan jawapan itu. Hanna tersengih.

Umaira menyuap perlahan nasinya ke dalam mulut dengan tidak berselera. Sedikit demi sedikit dia makan. Seperti tidak bermaya wajahnya.

“Kamu tak sihat, ke Umaira? Ibu tengok pucat semacam aje muka kamu itu. Kalau tak sihat, pergi ambil ubat lepas ini. Atau pun pergi klinik.” Puan Suria gelisah melihat wajah pucat anak bongsunya.

“Tak apa-apalah.” Umaira mengelak soalan ibunya.

Tetapi, naluri seorang ibu tidak dapat menerima jawapan itu kerana ada sesuatu yang Puan Suria rasakan apabila melihat wajah pucat anak bongsunya. Bagaikan ada yang tidak kena. Agaknya, apalah yang sedang bermain di fikiran Umaira?

“Kalau ada masalah, jangan pendam. Nanti makan diri sendiri.” Hanna mencelah.

Umaira menggeleng.

“Tak apalah tak mahu beritahu. Tapi, jangan lama sangat pendam. Tak semua masalah kita boleh selesaikan sendiri. Ingat itu.”

Suasana meja makan menjadi sunyi.

“Baru ibu teringatkan sesuatu. Hanna, tadi pak long ada tanya kalau di tempat kerja kamu ada kerja kosong untuk Umar.” Puan Suria menyampaikan pertanyaan abangnya yang hampir terlupa.

“Hanna rasa tak ada buat masa ini. Tak apalah. Nanti Hanna cuba tanya kawan-kawan yang lain. Mungkin mereka boleh tolong.”

“Kalau macam itu baguslah. Lagipun, Umar itu perlu juga keluar dari rumah. Tak akan nak terperap saja. Cuma, ibu masih risau dengan keadaan dia kelak bila dia bekerja nanti. Tak akan ada apa-apa perkara buruk yang akan terjadi, kan?” Rasa risau mula menyelubungi diri Puan Suria memikirkannya.

Tiada sebarang balasan untuk itu. Hanna tidak dapat mengatakan apa-apa memandangkan dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Semuanya terserah kepada Umar. Dia sendiri tidak jelas dengan masalah sebenar yang dihadapi Umar.

KETIKA Hanna melintasi pintu bilik adiknya, dia tiba-tiba teringin tahu apa yang sedang dilakukan Umaira malam ini. Sudah tidurkah adiknya itu? Kebimbangannya ketika melihat wajah pucat Umaira semasa makan malam tadi masih bersisa. Pintu bilik dikuak perlahan dan matanya cuba curi-curi melihat di dalam.

Jatuh simpati Hanna tatkala melihat Umaira sedang sibuk di meja seperti sedang melakukan kerjanya. Banyak cebisan kertas yang bersepah di muka lantai. Sesekali, Umaira kelihatan mendengus kasar seakan tidak berpuas hati.

Pintu diketuk. Umaira berpaling ke belakang dan terpandang wajah kakaknya tersembul di sebalik pintu. Dia separuh terkejut dengan kehadiran kakaknya yang tidak disangka namun dia cepat-cepat menghampiri.

“Kenapa kakak ada di sini?”

Hanna tersenyum. “Saja. Nak tengok adik kakak ini.”

Umaira turut membalas senyuman itu. Tiba-tiba pula dia rasa tersentuh dengan kata-kata kakaknya walaupun dia tahu, itu tidak seberapa.

Mereka berdua masuk ke dalam bilik dan duduk di birai katil.

“Kalau Umaira ada masalah, beritahu akak. Jangan pendam seorang. Nanti diri sendiri merana.” Hanna cuba membantu untuk meringankan beban yang ditanggung Umaira sendirian. Jika tidak mampu dari segi tenaga, menjadi seorang pendengar masalah juga dia boleh.

“Masalah yang sama. Haih… Kenapalah sejak belakangan ini Umaira dah tak jadi seperti Umaira yang dahulu? Yang boleh melakar rekaan pakaian menarik sehingga boleh terjual laris?” luah Umaira kesal.

“Umaira, sini akak nak ceritakan sesuatu kisah.”

Umaira memasang telinga, bersedia mendengar cerita yang bakal diceritakan kakaknya.

“Pada zaman dahulu…”

“Amboi, macam cerita dongeng aje?”

“Diam. Akak nak cerita.”

Umaira sengih kerang busuk. Dia baring di riba kakaknya.

“Pada zaman dahulu, ada seekor haiwan yang sangat disegani ramai kerana kepantasannya yang tidak terbanding di hutan itu. Haiwan itu dipanggil arnab. Ramai yang menganggumi kemampuannya untuk berlari dengan laju. Sehinggalah suatu hari, dia terpandangkan akan seekor kura-kura yang sedang merangkak perlahan.”

“Masa itu dia ajak kura-kura lumba dengan dia, kan?” teka Umaira.

Hanna mengangguk. “Ya. Sebab dia rasa angkuh dengan kehebatan dia. Dia nak tunjukkan kepada seekor kura-kura itu yang dia mampu berlari dengan laju. Walaupun kura-kura itu tahu bahawa dia tak akan dapat menang perlumbaan itu, dia tetap terima pelawaan arnab itu.”

“Umaira tak faham betullah dengan kura-kura itu. Kenapalah masih mahu berlumpa walaupun dah tahu diri sendiri memang pancit.”

Hanna menggeleng kepala, Tersengih dia. Ada-ada saja Umaira ini.

“Dalam perlumbaan yang disaksikan banyak haiwan itu, arnab dan kura-kura berlari untuk tiba di garisan penamat. Walaupun kura-kura tahu agak mustahil untuk dia menang tapi dia percaya sekiranya ada usaha, dia pasti boleh lakukannya. Sebaliknya, arnab tak perlu risau kerana dia terlalu yakin yang dia akan menang. Cuba teka, apa yang jadi pada arnab di pertengahan jalan?”

“Arnab tidur sebab dia rasa mengantuk. Lagipun, bagi dia tidur itu bukannya akan menyebabkan dia kalah.”

“Sayangnya, sangkaan dia salah. Akhirnya, dia sendiri tewas dalam perlumbaan itu dan kura-kura berjaya sampai ke garisan penamat walaupun lambat. Sekarang ini, Umaira boleh faham apa yang akak cuba nak sampaikan di sebalik cerita ini?”

Umaira mengangkat bahu. “Maksudnya, kita tak boleh mengalah dan kena berusaha?”

“Itu salah satu, tapi ada yang lebih penting.”

“Apa dia?”

“Jangan jadi seperti arnab. Apabila di atas, sentiasa mahu jadi yang teratas. Hidup ini, ibarat roda. Kadang-kala, kita di atas dan kita akan berada di bawah. Oleh sebab itu, kita kena jadi macam kura-kura.”

“Kura-kura? Lambat? Akak merepek apa pula ni?” Tangan Umaira menggaru kepala. Bukan-bukan sajalah.

Hanna ketawa kecil. Blur juga adiknya seorang ini.

“Walaupun lambat, kita tetap akan memperoleh kecemerlangan pada akhirnya. Dan kecermelangan itu akhirnya akan menewaskan yang teratas kerana untuk hasilkan sesuatu yang terbaik, bukan perlukan masa sesaat atau sehari. Betul, tak?”

“Pendek cerita, biar lambat asal selamat?”

Hanna menangguk mengiyakan. Umaira mencebik. Kan lebih senang kalau cakap macam itu. Cuma, bila melalui cerita ini terasalah lebih bermotivasi. Menjadi kura-kura yang perlahan tetapi usahanya tetap berterusan dan tidak pernah mengalah adalah lebih baik daripada menjadi arnab yang laju dan angkuh.

Mungkin, untuk mencipta sesuatu yang terbaik itu dia perlukan lebih masa. Kerana itulah pentingnya perancangan. Dia perlu mula semula dari A sehingga Z walaupun mungkin mengambil masa yang lama tetapi pasti berbaloi kelak.

“Terima kasih, kak. Malam ini Umaira dah belajar semula sesuatu yang Umaira terlupa.”

“Manusia akan terlupa, jadi kita kena saling ingat-mengingati.”

Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang kakak yang prihatin. Tanpa kehadiran Hanna, dia tak dapat bayangkan bagaimana dia harus menguruskan masalahnya ini. Sedikit sebanyak, dia dapat merasakan ada sokongan dari belakang.

Terima kasih, Kak Hanna.

Previous: BAB 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.