Home Novel Cinta SNOW WHITE DAN ROSE RED
SNOW WHITE DAN ROSE RED
Pena Putera
13/12/2017 21:53:20
57,287
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

“SAYA janji akan ganti balik semua duit yang encik dah gunakan untuk bayar duit saya. Apa-apa pun, saya betul-betul berterima kasih dengan encik.” Hanna berterima kasih kepada lelaki asing pada pandangannya itu. Ya, ‘lelaki asing’.

“Hanna, awak masih…” Luqman membiarkan ayatnya tergantung. Takut jika hatinya akan tergores lagi mengimbau kenangan lalu.

“Maafkan saya. Tapi, saya ada urusan lebih penting. Saya janji, saya akan pulangkan semua duit itu kelak.”

“Macam mana awak nak pulangkan?”

“Macam mana pun, itu urusan saya. Atau pun, encik bagi sahaja nombor akaun bank encik. Saya akan transfer via online nanti.” Hanna mengeluarkan telefon bimbitnya. Bersedia untuk menyalin.

“Instead of my account bank number, how about my phone number?”

Kelu lidah Hanna untuk menjawab. Dengan pantas, dia menggeleng. Tidak mahu suasana kekok. Walaupun dia sendiri sudah kekok.

“Maaf. Nombor saya bukannya senang-senang orang boleh dapat. Macam inilah encik, saya tak suka berurusan dengan orang yang suka melengahkan masa. Beri saja apa yang saya nak dan kita selesaikan sekarang.” Hanna bernada tegas dan serius. Sumpah, dia rasa muak dalam keadaan begini.

Memandang wajah lelaki itu, buatkan dia tidak betah. Luka dahulu kembali terasa sakitnya setelah dirawati sekian lamanya.

You still same like as you are before.” Luqman mengambil telefonnya dan menulis nombor akaunnya di situ lalu dihulurkan kepada Hanna untuk menyalinnya. Jari-jemari Hanna pantas menyalin tidak mahu melengahkan masa.

“Saya akan transfer duit itu nanti secepat mungkin. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih.” Hanna lekas melangkah pergi dari lelaki itu dengan kadar segera. Dari jauh, Luqman hanya mampu melihat si dia pergi tanpa menoleh ke arahnya.

Benar. Hati wanita itu mungkin sudah tertutup untuknya. Tiada lagi ruang untuknya di dalam sana. Itulah hakikat yang perlu dia telan walaupun pahit.

SEBELUM pulang, Hanna sudah diingati oleh rakan sekerjanya untuk menghadiri majlis tahlil yang akan dibuat di rumah keluarga arwah Mila. Sejujurnya, Hanna rasa amat berat untuk turut sama menghadiri majlis tersebut. Namun, disebabkan arwah pernah menjadi kawannya di dunia semasa arwah hidup, dia tabahkan juga hati untuk pergi.

“Haih… Hari ini adalah hari yang betul-betul menyedihkan. Kita dah kehilangan seorang kawan.” Syakira bersimpati atas kepergian seorang kawan untuk gelak tawa di tempat kerja. Kawan untuk bercerita juga.

“Tapi, tadi aku ada dengar ramai orang cerita bukan-bukan pasal arwah. Macam nak burukkan dia yang kononnya dia itu jahat.” Farah mencelah, menceritakan apa yang dia ada terdengar dari sekumpulan pekerja bercerita.

“Orang di syarikat ini memang mulut tak ada insurans. Tak tahu cerita apa-apa, terus buat andaian bukan-bukan. Mengalahkan polis yang siasat cari bahan bukti, mereka guna otak aje,” balas Syakira, sebal.

“Dahlah. Yang pergi itu kita kena biarkan dia pergi. Kita yang hidup ini, sepatutnya berdoa bukannya mencaci orang yang dah tak ada. Pahala dosa dia, biar itu jadi urusan dia dengan Allah. Kita yang hidup ini, jangan cari dosa pula.” Hanna membuka mulut setelah lama mendiamkan diri.

Masing-masing senyap.

“Eh, itu bukan Karissa?” Farah cuba melihat dengan jelas wanita di hujung tempat parkir kereta di bawah tanah. Nampak macam Karissa sedang berduaan dengan seseorang di dalam kereta.

“Tapi, siapa dengan dia dalam kereta itu?” Farah musykil. Hanna dan Syakira turut sama memandang. Mereka bertiga mula diterpa rasa ingin tahu. Tak akanlah di sini pun nak buat ‘kerja’?

Hesy, tak baik sangka buruk!

Mereka cepat-cepat bersembunyi di sebalik tiang bangunan.

“Aku rasakan, orang dalam kereta itu macam susuk tubuh orang lelaki. Weh, tak akanlah!” Fikiran Syakira mula menerowong jauh. Fikir bukan-bukan.

“Haah la!” Syakira mula teringat sesuatu. “Sebelum ini aku ada dengar gosip yang Karissa ada skandal dengan suami orang. Jangan-jangan, betul tak?

Umaira menggeleng. Tak akanlah. Lama-kelamaan… Baru dia teringat sesuatu. Sebelum ini, ada juga Umaira perasan benda yang sama seperti situasi ini. Kalau diperhatikan betul-betul, kereta yang dilihatnya sebelum ini sama dengan kereta yang ada di depan matanya sekarang.

“Tak mungkin…” Perlahan suara Umaira berkata.

“Tak mungkin apa?” tanya Farah yang dapat mendengar jelas suara perlahan itu.

“Tak ada apalah. Eh, kita kena balik sekarang ini. Malam nanti, nak gerak pergi majlis tahlil arwah pula. Tak sempat pula nak bersiap. Sekarang ini dah waktu puncak. Jalan jammed.” Umaira mengalihkan perhatian mereka.

“Betul itu. Jomlah.”

Mereka bertiga mula beredar dari situ walau masih ingin tahu siapa lelaki bersama Karissa di dalam kereta itu dan apa sebenarnya yang sedang berlaku. Tetapi, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya, mereka ada cerita hangat untuk diperbualkan esok.

SELESAI bekerja seharian, kedai akhirnya ditutup pada sekitar pukul sepuluh malam. Umar membonceng motosikal milik pak long yang dipinjamkan kepadanya untuk memudahkan urusan pergi dan balik kerja. Pemberian ini pak long kata tidaklah seberapa tapi untuk Umar yang cuma ‘kosong’ ini, dah kira cukup bermakna untuknya.

Sewaktu sampai di rumah, mata Umar perasan akan kewujudan Hanna di halaman rumah sedang membaca buku di bangku batu. Khusyuknya wanita itu membaca buku di tangan. Kalau diperhatikan, buku itu adalah buku bergenre motivasi.

Banyak kali juga Umar berfikir untuk menegur Hanna atau tidak. Malu juga kalau dia nak bersapa dengannya. Maklumlah, mereka masih belum biasa dan Umar memang seorang yang pemalu jika dengan orang yang baru dikenali. Buntu nak cari idea untuk berbual.

Boleh dikatakan Umar ini seorang yang agak bosan.

Ermmm, hai Hanna.”

Sila tepuk dahi, Umar. Macam itu kau nak sapa orang? Suara tolong jangan menggeletar. Sejurus Hanna menoleh ke arahnya, dada Umar berdebar-debar.

“Oh, Umar. Baru balik kerja?”

Umar mengangguk dengan senyuman kaku di bibir.

“Macam mana kerja hari ini? Mesti penat?” Hanna cuba mencari topik untuk berbual.

“Penat jugalah.”

“Tak apalah. Lama-lama nanti biasalah. Penat itu akan sebati dengan diri.”


“Mungkin juga.”

Sepi. Sekejap aje perbualan tentang kerja mereka menemui titik noktah.

“Kalau dah tak ada apa-apa, saya masuk dulu.”

Hanna senyum. “Yalah. Berehatlah secukupnya. Esok, kena kerja lagi.”

Makin kencang debaran di dada Umar melihat senyuman manis Hanna. Dia cepat-cepat memalingkan muka dan melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menolah belakang lagi. Alahai, kenapalah malam ini dia rasa serba tak kena?

Di sebalik itu, hati Hanna terasa digeletek melihat wajah merah Umar sewaktu berbual. Agaknya, lelaki itu tidak biasa lagi dengannya. Jelas benar lelaki itu seorang yang pemalu. Tak apalah. Yang penting, tidak lebih daripada batasnya, Hanna tidak kesah.

Cuma, ada sesuatu yang masih menjadi tanda tanya untuknya tentang lelaki itu.

Siapakah dia sebenarnya? Kenapa Tuhan temukan dia dengan lelaki itu?


Previous: Bab 9
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.