PAGI-PAGI lagi, Yasmin sudah bangun dan menyiapkan sarapan pagi. Segalanya dihidangkan atas meja makan. Menu pagi itu adalah lontong dan cucur ikan bilis rangup bersama air teh 'o' panas. Dia tersenyum saat melihat hidangan itu. Dalam hatinya berdoa agar permulaan pagi itu akan membuatkan Iskandar gembira.
Sementara menunggu Iskandar turun dari bilik, Yasmin mengemas dapur.
Tidak berapa lama kemudian, Iskandar turun. Beg bimbit di letak ke sofa ruang tamu sambil dia membetulkan tali lehernya di depan cermin ruang tamu. Beberapa kali dia membelek wajah sendiri ke dalam cermin itu. Kemudian, bibirnya melorek senyuman pagi. Begitulah cara dia memulakan rutin setiap paginya.
Dahi berkerut nipis apabila hidungnya menangkap bau yang agak menyelerakan dari arah ruang makan. Perlahan kaki di bawa ke ruangan itu. Mulutnya sedikit ternganga tatkala melihat sarapan pagi yang sudah pun terhidang di atas meja makan. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tetapi, cepat-cepat dia mematikan senyuman itu apabila melihat Yasmin keluar dari ruang dapur.
"Abang dah siap nak pergi kerja? Kita sarapan dulu," pelawa Yasmin sambil tersenyum manis.
Iskandar telan air liur. Dia tergugat dengan hidangan itu. Namun, dalam masa yang sama, dia tidak mahu memberi harapan pada Yasmin. Jika dia menjamah hidangan tersebut, pasti Yasmin ingat yang hatinya sudah terbuka buat diri wanita itu.
"Sorry, I tak makan berat pagi-pagi. I biasa breakfast omellete, baked bean and bread," Angkuh sungguh jawapan yang diberikan pada Yasmin.
Wanita itu terdiam.
Omellete? Baked Bean? Apa tu? Gerutu Yasmin di dalam hati. Terkulat-kulat mukanya memikirkan sarapan yang disebut Iskandar tadi.
"Kalau macam tu, Min bungkuslah. Abang makan tengah hari nanti. Min letak dalam bekas. Nak?" Soal Yasmin dengan wajah polos. Dia masih berharap agar lelaki itu sudi menjamah makanan yang dia sediakan.
Iskandar terdiam. Matanya menangkap peluh yang terbit di dahi wanita itu. Jatuh kasihan dibuatnya jika dia menolak sekali lagi. "Aaa... Okaylah," lambat-lambat jawapan itu keluar dari mulutnya.
Yasmin tersenyum gembira. "Kejap ye. Min ambilkan bekas,"
Tanpa menunggu, Yasmin masuk semula ke dapur dan mencari bekas untuk mengisi makanan.
"Cepat sikit. I dah lambat ni," Pesan Iskandar. Butang dilengan bajunya di kancing sambil sekali sekala matanya melirik pada makanan di atas meja itu. Serta merta perutnya berbunyi.
Aduh... Sabarlah perut. Gerutu hati kecil Iskandar.
"Aaa... Alia makan tak makanan ni? Alia makan apa ye? Min lupa nak tanya dia semalam," soal Yasmin sambil tangannya pantas mengisi segala makanan ke dalam bekas.
"Dia makan kot," acuh tak acuh sahaja jawapan yang diberikan Iskandar. Sengaja tidak mahu memberikan tumpuan pada wanita itu.
"Esok min buat makanan yang abang makan. Kita sarapan sama-sama, boleh?" Pinta Yasmin sambil menyerahkan bungkusan makanan yang telah dimasukkan ke dalam beg plastik kepada Iskandar.
Bungkusan bertukar tangan. Iskandar tidak menjawab, sebaliknya dia terus melangkah pergi dari situ.
Terkedek-kedek Yasmin membuntuti Iskandar dan dia memintas suaminya. Yasmin berdiri tegak di muka pintu sambil tersenyum manis. "Kasut abang yang mana satu? Min pakaikan,"
Terangkat kening Iskandar saat mendengar tawaran itu.
Gigihnya. Gerutu Iskandar di dalam hati.
"It's okay. I boleh pakai sendiri," Iskandar menolak dengan baik.
Senyuman Yasmin mati. Namun, dia masih tegak berdiri di muka pintu sambil memerhatikan Iskandar menyarung kasut.
Belum sempat Iskandar berjalan ke arah keretanya, Yasmin menghalang lagi. Tangan didepakan di hadapan lelaki itu. Sekali lagi kening Iskandar terangkat.
Adoi, nak apa pula ni? Detik hati kecil Iskandar.
"Salam," Yasmin menghulur tangannya pada Iskandar. Lama mata lelaki itu menatap tangan halus Yasmin. Lambat-lambat dia menyambut tangan itu. Saat tangannya digenggam lembut dan dikucup Yasmin, Iskandar terkesima. Seakan ada satu perasan aneh yang meresap ke dalam jiwanya. Tenang dan damai.
Perlahan genggaman dilepaskan. Iskandar tersedar dari terbuai dek perasaan sendiri. Cepat-cepat dia melangkah ke arah kereta meninggalkan Yasmin terpinga-pinga di situ.
Masuk sahaja ke dalam perut kereta, Iskandar memegang dadanya. Degupan jantung terasa begitu laju. Wajahnya diraup perlahan.
Mungkin sudah lama dia tidak merasa kemesraan daripada seorang isteri. Sebab itulah perasaan aneh itu datang. Setelah agak bertenang, dia menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari perkarangan rumahnya. Dari cermin pandang belakang, Iskandar dapat melihat Yasmin masih setia menunggu di situ sambil melambai ke arah keretanya. Namun, sedikit pun dia tidak membalas lambaian Yasmin.
YASMIN cebik bibir. Hatinya sedikit terguris dengan sikap Iskandar. Tetapi, dia harus bersabar. Dia tahu bukan mudah untuk dia memenangi hati lelaki itu. Namun, dia nekad dengan dirinya sendiri bahawa dia tidak akan mengalah. Akhirnya, terbit kembali senyuman di bibirnya.
Setelah kereta Iskandar hilang dari pandangan, Yasmin mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Dia terkejut apabila melihat Alia sudah pun berdiri tegak di pintu dapur. Mungkin gadis kecil itu sedang mencarinya.
"Anak mama dah bangun?" Tegur Yasmin dengan senyuman ceria.
Alia memisat matanya sambil menangis teresak-esak. Yasmin mempercepatkan langkahnya menuju ke arah Alia dengan cemas. Tubuh kecil itu diraih dan dipeluk erat.
"Kenapa ni, sayang?" Soal Yasmin dengan kening yang berkerut nipis. Belakang badan gadis kecil itu digosok lembut.
"Alia mimpi mama... Alia rindu mama," luah Alia tersedu sedan.
Yasmin terdiam. Namun, dia menguatkan hatinya untuk memujuk gadis kecil itu. "Kalau Alia teringat pada mama, Alia kena sedekahkan Al-Fatehah. Doa pada Allah supaya roh mama tenang dekat sana." Pesan Yasmin.
Gadis kecil itu mengangguk perlahan sambil tersedu sedan menahan tangis.
Setelah tangisan Alia sedikit reda, Yasmin memegang tangan gadis itu dan dibawa menuju ke meja makan. "Alia duduk. Alia nak makan apa? Mama masak lontong dengan cucur ikan bilis."
Alia menggeleng tanda tidak mahu. Mood gadis itu kelihatan tidak baik. Lantas Yasmin duduk di sebelahnya. "Alia nak makan apa? Bagi tahu mama. Mama masakkan."
"Alia nak papa..." gumamnya perlahan. Nada gadis kecil itu masih kedengaran sedih.
Yasmin buntu. Dia terdiam seketika sambil fikirannya menderas memikirkan cara untuk memujuk Alia. "Papa baru pergi kerja. Nanti papa dah sampai pejabat, mama telefon papa, okay."
"Alia nak papa! Nak papa!" Bentak gadis itu secara tiba-tiba. Dia kembali menangis. Kali ini lebih kuat dari tadi. Yasmin kaget.
"Okay... Okay... Mama call papa sekarang. Alia jangan menangis okay," Yasmin cuba memujuk Alia. Dia bergegas bangun dari situ sambil mencari telefon bimbit yang dihadiahkan oleh Iskandar sewaktu perkahwinan mereka tempoh hari.
Kemudian, nombor telefon Iskandar di dail dan dia menunggu sehingga lelaki itu menjawab panggilannya. Sementara itu, Yasmin memandang pada Alia yang masih menangis tidak henti-henti. Berkali-kali dia cuba memujuk Alia. Namun, gadis itu tetap menangis.
"Hello," suara garau lelaki itu kedengaran dari hujung talian.
"Hello, abang. Alia menangis nak abang," terus sahaja Yasmin memberitahu tentang Alia kepada Iskandar.
"Menangis nak I ? You tak boleh pujuk dia ke? I baru sampai office ni and you call I semata-mata nak bagi tahu benda ni? Buat apa jadi isteri I kalau you tak boleh nak handle Alia?" Iskandar membebel geram. Mana tidaknya, dia baru sahaja sampai ke pejabat dan Yasmin pula menghubunginya kerana hal remeh sebegini.
Yasmin tersentak. Hatinya terguris lagi. Namun, dia cuba berlagak tenang. "Maaf. Saya panik tak tahu nak buat apa." Nada suaranya sedikit bergetar. Pertama kali lelaki itu meninggi suara padanya. Pada hari kedua dia berada di rumah itu dan hari ini dia dimarahi Iskandar.
"Pleaselah, Yasmin. Tugas you untuk jaga Alia. Bukan susahkan I macam ni!" Panggilan ditamatkan.
Yasmin terkebil-kebil sendiri. Hatinya tersentap. Namun, saat gegendang telinganya menangkap tangisan Alia, cepat-cepat dia kembali kepada fokusnya. Iaitu cuba memujuk dan menenangkan hati gadis kecil itu.
Yasmin kembali mendekati Alia. Dia mencangkung di hadapan gadis kecil itu. "Papa sibuk. Petang nanti kita jumpa papa. Sekarang ni, Alia duduk dengan mama dulu, okay?" Belakang Alia digosok lembut sambil sebelah tangan mengesat air mata si kecil.
"Papa selalu sibuk! Tinggalkan Alia. Lepas mama meninggal pun papa tak pedulikan Alia!" Bentak Alia lagi.
Yasmin tersentak. Pantas tubuh kecil itu diraih erat. Mata Yasmin turut berkaca. Terkedip-kedip matanya cuba menghapus air mata yang mula bertakung dikelopak mata.
"Alia nak papa... Papa selalu sibuk tinggalkan Alia dengan nenek," lirih suara gadis kecil itu mengadu pada Yasmin.
Pelukan dileraikan. Yasmin menatap wajah Alia dengan penuh kasih dan sayang. "Mama tahu, sampai bila-bila pun mama tak kan boleh gantikan tempat mama Teha. Tapi, mama akan selalu ada dengan Alia. Mama tak kan tinggalkan Alia. Mama janji." Yasmin mengangkat tangan kanannya bersumpah pada gadis kecil itu.
Alia masih teresak-esak menangis, namun perlahan dia mengangguk tanda percaya pada janji wanita itu. Yasmin tersenyum lega. Sekali lagi air mata gadis kecil itu dikesat dengan hujung jari. Barulah terbit senyuman di wajah Alia saat pandangan mereka bertaut. Walaupun hanya senyuman pahit, namun cukup melegakan hati Yasmin.
"Jom kita sarapan." Yasmin memimpin tangan gadis itu ke meja makan. Alia menurut.