Bab 9

MALAM itu, seperti biasa Yasmin menyediakan makan malam sementara menanti Iskandar pulang dari pejabat. Sempat dia melirik pada jam dinding yang tergantung di ruang dapur. Hampir pukul 11 malam. Alia terlebih dahulu sudah pun masuk tidur. Jadi, hanya Yasmin seorang sahaja yang menanti kepulangan Iskandar.

Jug yang berisi air ice lemon tea itu dibawa ke meja makan. Setelah memastikan semuanya lengkap, Yasmin terus berjalan ke ruang tamu. Dia berdiri di muka pintu sambil memerhati sekitar halaman rumah agam itu. Dalam kesamaran malam, dapat dia lihat keindahan langit dari tempat dia berdiri. Bintang-bintang berkelip di angkasa bukti kebesaran Allah. Yasmin tersenyum sendiri. Hatinya terasa tenang setiap kali keindahan itu menjadi santapan matanya.

Beberapa minit kemudian, kelihatan kereta Iskandar dipandu masuk ke halaman. Yasmin tersenyum sambil menanti lelaki itu keluar dari kereta.

Berdiri sahaja Iskandar di muka pintu, Yasmin menghulur tangannya seperti selalu. Wajah tegang Iskandar bertukar saat kucupan Yasmin hinggap di tangannya. Namun, tetap sahaja dia tidak mahu bermanis muka.

"Min dah panaskan lauk. Abang naik mandi, lepas tu, kita makan sama-sama ya," beg bimbit Iskandar diambil dari tangan lelaki itu.

Walaupun sudah berkali-kali Iskandar pesan agar tidak perlu bersusah payah untuknya, namun, tetap sahaja Yasmin buat tak endah. "I dah kenyang," jawab Iskandar dengan nada yang mendatar.

Mendengar sahaja kata-kata Iskandar, riak wajah Yasmin berubah suram. "Makan sikit pun tak nak ke? Penat Min panaskan lauk tadi. Min pun tak makan lagi sebab tunggu abang," masih lembut tutur kata itu diluah. Sedaya upaya wajahnya dimaniskan. Dan dia berharap benar agar lelaki itu sudi menjamah sedikit makanan yang sudah sedia terhidang itu.

"I tak suruh you buat semua tu. Banyak kali I pesan. Tak perlu sibuk hal I. uruskan Alia sahaja. Tak kan simple words pun you tak faham? Walaupun tak berpendidikan tinggi, I rasa ayat I dah cukup ringkas untuk buat you faham," tegas Iskandar. Entah kenapa mulutnya lancang sahaja mengeluarkan kata-kata seperti itu.

Yasmin tersentap. Terasa kulit mukanya tegang serta panas membahang. Pandangan mata mula berbalam-balam. Nafas di gali dalam agar perasaan sedih itu tidak keluar. "Eerm... kalau abang cakap macam tu, takpa lah. Abang naiklah berehat. Makanan tu Min simpan balik," bergetar suara Yasmin saat ayat itu ditutur.

Iskandar diam. Beg bimbitnya di ambil kembali dari tangan Yasmin. Tanpa menunggu, dia terus berjalan ke anak tangga dan menapak naik ke bilik.

Sebaik sahaja susuk tubuh Iskandar hilang dari matanya, Yasmin melepaskan keluhan berat. Cepat-cepat dia memujuk diri sendiri agar tidak ambil hati dengan sikap Iskandar. "Penat agaknya."

Muka diraup dengan kedua belah telapak tangan. Hilang seleranya saat ini. Setiap hari Iskandar pulang lewat. Namun, setiap hari juga Yasmin tidak jemu-jemu menunggu lelaki itu pulang untuk makan bersama.

Adakalanya Yasmin rasa mahu mengalah kerana dirasakan Iskandar terlalu ego sehingga sedikit pun usahanya tidak di hargai. Tetapi, saat memikirkan Alia, Yasmin kembali bersemangat untuk meraih cinta lelaki itu. Dia sudah sayangkan Alia dan menganggap Alia seperti anaknya sendiri. Bukan kerana dia ingin pergunakan Alia untuk mengejar cinta lelaki itu. Dia masih sedar kedudukannya sebagai ibu tiri. Cuma, adakalanya tuduhan Iskandar sedikit sebanyak membuatkan Yasmin terasa hati. 



JUALAN SEMPENA PBAKL 2023

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh