Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
4,372
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8



DALIA menguis-nguis kaki di lantai. Berdebar-debar ketika ini. Sudah terbayang hukuman yang bakal ditanggung atas sikapnya sebentar tadi. Jika dia tahu siapa Ziqri yang sebenarnya, pasti dia tidak akan bertindak kurang ajar seperti tadi. 

Dalia mengeluh berat. Jam di pergelangan tangan terus dipandang. Masa sudah melepasi waktu bekerja. Hampir setengah jam dia menanti Ziqri di dalam bilik itu. Namun, batang hidung bosnya itu tidak juga muncul-muncul.

“Hish! Mana pula mamat ni?” rengus Dalia. Dia berkira-kira untuk beredar dari situ. 

“Kalau 5 minit lagi dia tak sampai, aku blah terus,” putus Dahlia. Dia bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh.  

“Done! Aku blah!” Dalia memulas tombol pintu. Bersedia untuk keluar.

“Nak ke mana?” tegur Ziqri sebaik sahaja pintu bilik dibuka.

Terkejut Dalia dengan teguran itu. Serta-merta dia menjauhi pintu bilik dan memberi ruang kepada Ziqri untuk masuk ke dalam bilik.

“Nak balik?” tebak Ziqri. Dia melangkah menuju ke meja kerja lalu melabuhkan duduk di atas kerusi.

“Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang?” tanya Dalia sambil melangkah menghampiri Ziqri di meja kerja.

“Kau?” ulang Ziqri dalam nada sinis. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi lalu memandang ke wajah Dalia di hadapan.

“Ya! Kau! Kenapa? Ada masalah dengan panggilan aku tu ke?” Dalia berkata selamba.

“Aku bos kau. Kau patut panggil aku…”

“Kau pandai tengok jam tak? Sekarang waktu bekerja dah tamat. So, kau bukan bos aku dan aku bukan pekerja kau.” Dalia memintas. Dia perlu beredar dari situ seberapa segera.

Ziqri tersenyum sinis.

“Kau nak apa daripada aku? Kalau tak ada, aku nak balik,” sambung Dalia lagi. Dia mengintai jam di dinding. Hampir 1 jam dia terlewat ke tempat kerja.

“Kau memang kurang ajar,” kata Ziqri, selamba.

Dalia yang mendengar ketawa. Dia beredar dari situ. Malas untuk melayan Ziqri. 

Ziqri tidak menghalang. Dia menggenggam erat tangan menahan kemarahan dalam hati. Gadis itu bukan calang-calang orang. Gadis itu seorang yang kurang ajar dan degil. 

“Haa… lupa aku nak beritahu pada kau,” ujar Dalia dari arah muka pintu bilik.

Ziqri yang mendengar terkejut. Dia menghalakan mata ke arah pintu bilik. Terjengul muka Dalia di situ.

“Kau jangan balik lewat sangat. Nanti ada yang teman kau kat sini,” beritahu Dalia dalam nada serius. 

“Apa maksud kau?”

“Kat bangunan pejabat ni, pernah ada kes perempuan bunuh diri. Kalau kau…”

“Kau jangan nak merepek. Kau ingat aku takut?”

“Terpulang! Aku sekadar memberitahu sahaja.” Dalia menjungkitkan bahu. Dia beredar dari situ.

Ziqri hanya memandang. Kata-kata Dalia terngiang-ngiang di pendengaran.

“Encik Ziqri!” tegur Dalia dengan tiba-tiba.

“Oi mak kau jatuh tergolek!” latah Ziqri sambil meloncat bangun dari duduk. Terkejut dengan teguran itu.

Dalia yang melihat melepaskan ketawa besar. Geli hati dengan tingkah laku Ziqri sebentar tadi.

“Kau!” Ziqri mengurut dada yang sedang berdetak laju.

Dalia masih lagi ketawa. Dia segera beredar dari situ. 

Ziqri merengus kasar. Kurang ajar! 



“ENCIK RAFIQ tak balik lagi?” tegur Azie, ramah dari arah muka pintu bilik.

“Ada kerja sikit. Kalau awak nak balik, awak boleh balik,” sahut Rafiq seraya mengangkat wajah. Dia memandang Azie yang sedang berdiri di muka pintu bilik.

“Hmm… kalau macam tu, saya minta diri dulu, Encik Rafiq. Jangan balik lewat tau,” kata Azie sekadar pesanan. Dia beredar dari situ.

Rafiq sekadar tersenyum. Dia melepaskan nafas berat lalu bersandar ke kerusi. Kerja yang menimbun di hadapan ditolak ke tepi.

“Sampai bila aku nak hadap semua ni?” keluh Rafiq sendirian. Dia meraup wajah.

Rafiq memejamkan mata buat seketika. Pertemuan dengan gadis bernama Dalia meniti dalam minda. Peristiwa malam tadi turut sama bermain-main di ingatan. Entah kenapa dia mengekori Dalia sehingga ke rumah. Ada persoalan tentang Dalia yang memerlukan jawapan.

“Shafiq dan Dalia adik-beradik,” sebut Rafiq selepas itu. Dia menggeleng kecil. Firasat hatinya menyimpang sama sekali.

Difikirnya Shafiq dan Dalia sepasang kekasih atau suami isteri melihatkan kemesraan serta hubungan mereka berdua. Tidak menyangka bahawa mereka berdua adalah adik-beradik.

“Ada yang istimewa pada mereka berdua,” suara Rafiq lagi. Berminat untuk mengenali Shafiq dan Dalia datang dengan tiba-tiba.

Deringan telefon mematikan lamunan pendek Rafiq. Dia mencapai telefon bimbit lalu menatap nama di skrin. Keluhan berat dilepaskan. 

“Haa… ada apa?” tanya Rafiq sebaik sahaja talian bersambung.

“Encik ni kenalan Encik Ziqri ke?” soal Dalia dari hujung talian.

Rafiq berkerut dahi. Suara perempuan menyapa gegendang telinga. Lantas, dia membawa telefon bimbit ke hadapan. Melihat semula nama yang tertera di skrin telefon. Ziqri! Tetapi, kenapa suara perempuan? Rafiq bersoal sendirian.

“Encik?” tegur Dalia pula.

“Saya abang Ziqri. Cik ni siapa? Macam mana phone Ziqri…”

“Encik tahu di mana dia bekerja, kan?” Dalia memintas. Dia tidak ada masa untuk bersoal jawab dengan lelaki itu.

“Tahu. Tapi, kenapa?” Rafiq masih berkerut dahi. Hatinya tertanya-tanya gerangan perempuan di hujung talian.

“Encik Ziqri pengsan. Encik…” beritahu Dalia berserta nafas lega.

“Pengsan?” Rafiq pantas bangun dari duduk. Terkejut mendengarnya.



“HAISH! Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau ada, mahu mati katak aku dibuatnya mamat tu tadi,” rengus Dalia lalu mematikan talian. Dia memandang Ziqri yang berbaring di atas lantai.

“Kau ni pun satu. Time ni juga la kau nak pengsan. Cuba la cari time lain. Kau tahu tak aku dah rugi RM50.00 disebabkan kau?” sambung Dalia lagi. Dia duduk mencangkung di hadapan Ziqri. Dipandang wajah Ziqri buat seketika.

“Hish! Kau ni, Dalia. Yang kau pandang dia lama-lama buat apa? Bukan handsome pun,” kata Dalia berserta kutukan buat Ziqri. Dia mengerling jam di dinding. Masa sudah menghampiri ke pukul 7.00 malam. 

“Mana pulak mamat ni? Takkan lama sangat nak ke sini?” bebel Dalia pula. Dia sudah pun duduk bersila di atas lantai. Rasa menyesal menyelinap masuk ke dalam hati ketika ini.



“KAU! Tunggu!” panggil Ziqri dari arah belakang. 

Dalia tidak menghiraukan panggilan Ziqri. Dia melangkah keluar dari ruangan pejabat. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja.

“Nanti dulu!” sergah Ziqri seraya merentap lengan Dalia. 

Terhenti langkah Dalia akibat rentapan itu. Hampir dia terjatuh namun sempat ditarik oleh Ziqri.

“Kau nak apa?” tanya Dalia bernada geram.

“Aku nak apa?” ulang Ziqri pula.

“Habis? Yang kau tahan aku ni, kenapa?”

“Kau kena bertanggungjawab pada aku.”

“Bertanggungjawab?”

“Ya. Bertanggungjawab.”

Dalia yang mendengar berkerut dahi. 

“Kau jangan nak lepas tangan pulak.”

“Aku buntingkan kau ke sampai kau minta aku bertanggungjawab,” kata Dalia dalam nada serius. Ziqri di hadapan dipandang dari atas ke bawah.

“Apa yang kau merepek ni?” marah Ziqri sedikit meninggi.

“Dah tu, kau suruh aku bertanggungjawab. Aku fikirlah macam tu.”

“Yang kau buat cerita bukan-bukan, apasal?” 

“Cerita apa pulak?” 

“Pasal… pasal…” Ziqri teragak-agak.

“Pasal apa?” Dalia sudah tidak sabar. Rasa nak sepak pemuda itu pun ada juga.

“Perempuan bunuh diri tu.” Ziqri pantas menjawab. 

Dalia yang mendengar lantas ketawa. 

“Kau…” Ziqri menggenggam erat tangan. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Dalia.

“Kau takut?” Dalia mematikan ketawa. 

“Aku? Takut? Tengok kaki la,” balas Ziqri dengan bangga.

“So? Apa masalah kau tahan aku daripada pergi?” Dalia berpeluk tubuh. Dia menanti jawapan daripada Ziqri.

“Aku… aku…”

“Kau takut, kan?” 

“Mana aaa…”

Belum sempat Ziqri membalas, telinganya menangkap suara perempuan menangis. Pantas, dia menghampiri Dalia yang sedang berdiri di hadapan. Jantungnya mengepam laju.

“Kau ni dah, kenapa?” Dalia ketawa melihat tingkah laku Ziqri. 

“Kau dengar tak?” tanya Ziqri dalam nada bergetar.

“Dengar? Dengar apa?” Dalia berkerut dahi.

“Suara… suara…” Ziqri melilaukan mata melihat sekeliling.

“Suara apa? Dahlah! Malas aku nak layan kau. Aku dah lambat ni,” kata Dalia lalu beredar dari situ.

“Dalia!” tegur seseorang dengan tiba-tiba dari arah belakang.

Ziqri yang mendengar terkejut. Serta-merta dia pengsan di situ.



“ZIQ! ZIQRI!” panggil Rafiq seraya meluru masuk ke dalam bilik pejabat. 

Dalia yang sedang leka termenung terkejut. Pantas, dia menoleh ke arah yang memanggil.

“Ziqri! Ziqri!” Rafiq memukul lembut pipi Ziqri. Berharap Ziqri sedar dari pengsan.

“Encik Rafiq?” tegur Dalia sebaik sahaja mengecam wajah pemuda itu.

Rafiq menoleh ke arah yang menegur. Terkejut dia melihat Dalia di situ.

“Encik Rafiq kenal dengan Encik Ziqri?” soal Dalia ingin tahu.

“Ziqri adik saya,” balas Rafiq. Dia mengangkat Ziqri lalu dibawa ke sofa. Disandarkan tubuh Ziqri ke sofa.

“Oh!” Dalia mengangguk perlahan.

“Macam mana Ziqri boleh pengsan?” Rafiq bertanya. Ingin tahu.

“Dia takut hantu,” jawab Dalia, selamba.

“Hantu?” ulang Rafiq berserta kerutan di dahi.

“Saya minta diri dulu. Dah lambat.” Dalia segera beredar dari situ. Dia perlu ke tempat kerja. Berdoa agar Puan Anum tidak memarahinya atas kelewatan itu.

“Cik Dalia… Dalia…” panggil Rafiq. Namun, panggilannya tidak bersambut. Kelibat Dahlia hilang di sebalik pintu.



“KAU okey?” tanya Rafiq sambil memandang Ziqri yang sedang menelan ubat. Perasaan risau masih menghuni dalam hati.

“Okey! Kenapa?” balas Ziqri sehabis sahaja meminum air. Dia menyandarkan tubuh ke kepala katil. Wajah Rafiq di hadapan dipandang sekilas.

“Kau pengsan di pejabat. So, aku…”

“Kau tak perlu risau. Aku belum nak mati lagi,” pintas Ziqri, sinis.

Rafiq yang mendengar sedikit tergamam.

“Aku tak perlukan simpati kau,” sambung Ziqri. 

“Kalau kau tak sihat lagi, kau tak perlulah kerja. Kau berehat saja di rumah,” kata Rafiq sekadar nasihat.

Ziqri yang mendengar tersenyum sinis.

“Aku beritahu…”

“Kenapa? Kau takut aku rampas jawatan kau kat syarikat arwah papa tu, kan?” Ziqri memandang tajam ke wajah Rafiq.

“Apa yang kau merepekkan ni?” 

“Aku tak merepek. Kau memang takut aku ambil alih syarikat tu, kan?” 

“Aku tak pernah takut, Ziq. Kalau kau betul-betul nakkan syarikat tu, kau buktikan yang kau layak untuk uruskannya.” Rafiq beredar dari situ. Dia menyentuh lembut dadanya yang berasa sakit dengan tiba-tiba.

“Aku akan buktikannya, Rafiq,” kata Ziqri sedikit meninggi. 

Rafiq yang mendengar menghentikan langkah. Dia melepaskan nafas berat buat seketika. Ada baiknya dia tidak meneruskan perbualan. Khuatir hatinya tidak kuat untuk mendengar kata-kata berbisa daripada Ziqri.

“Aku tunggu,” bisik Rafiq lalu beredar dari bilik itu.

Ziqri hanya memandang. Dia menggenggam erat tangan.

“Aku tak akan kalah, Rafiq. Aku akan buktikannya,” azam Ziqri seraya mengeratkan lagi genggaman di tangan. Dia pasti akan membuktikan yang dia layak untuk menguruskan syarikat peninggalan arwah papa mereka.

“Dalia!” Terpancul nama itu daripada bibirnya. Serta-merta peristiwa siang tadi meniti dalam minda. Dia cuba untuk mengingatinya.

“Tak guna!” kata Ziqri dalam nada geram sebaik sahaja mengingatinya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.