Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
4,371
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6



“NAH! Denda aku pada kau atas masa aku yang kau dah curi tempoh hari.” Shafiq mencampak sehelai kain ke muka Dalia. 

Dalia yang sedikit mengelamun terkejut. Kain yang dicampak oleh Shafiq tepat mengenai mukanya.

“Kau jangan ingat yang aku dah maafkan kau pasal kes hari tu.” Shafiq bersuara. Tangannya lincah mengelap badan kereta.

Dalia yang mendengar mencebik meluat.

“Ha… mencebik. Aku potong mulut tu baru tahu,” tegur Shafiq tatkala terlihat cebikan di bibir Dalia.

“Kau ni memang tak boleh dibuat kawan.”

“Kawan tak kawan. Aku malu kau tahu tak?” 

“Kau tu yang main sergah saja siapa suruh?”

“Amboi! Kau nak salahkan aku pula?”

“Iyalah! Kalau kau bagi salam, tentu kau tak rasa malu, kan?”

Shafiq yang mendengar menghentikan tingkah laku mengelap badan kereta. Dia bercekak pinggang memandang Dalia di hadapan.

“Then, kau pun bukannya faham bahasa kalau aku tegur,” kritik Dalia, selamba.

“Apa kau cakap?” tanya Shafiq sambil memandang tajam ke wajah Dalia.

“Err… Okey! Okey! Aku salah!” kata Dalia, mengalah. Gerun pula dia melihat Shafiq berkeadaan begitu.

“Tahu pun takut.” Shafiq ketawa kecil. Dia menyambung kerja.

“Eh! Mana ada aku takut. Aku cuma hormat kau saja,” tukas Dalia, laju.

“Iyalah tu!” cebik Shafiq pula.

Dalia turut sama mencebik. Dia mengelap cermin kereta penuh cermat. Wajah Shafiq dipandang dalam diam.

“Mamat tu kacau kau lagi tak?” Shafiq bertanya tatkala teringatkan tentang lelaki yang sering mengganggu Dalia.

“Tak kacau dah.” 

“Kenapa?”

“Aku dah berterus-terang kat dia yang aku tak nak ada komitment.”

“Baguslah kalau dia tak kacau kau dah. Kalau still kacau lagi, kau beritahu pada aku.”

“Kau janganlah risau. Tahulah aku macam mana nak settle masalah aku.”

Shafiq mengangguk. Dia yakin dengan kata-kata Dalia itu. 

“Kerja kau macam mana?” 

“Okey! Tak ada masalah.”

“Baguslah! Kalau kerja kau tak ada masalah, bolehlah kau berhenti kerja jadi cleaner tu,” suara Shafiq lagi. Dia mencapai getah paip lalu dihalakan ke arah kereta.

Terhenti tingkah laku Dalia sebaik sahaja mendengarnya. Dia memandang ke wajah Shafiq meminta penjelasan.

“Pasal duit, kau tak perlu risau. Aku boleh tanggung kau,” kata Shafiq. Pasti penjelasan yang Dalia mahukan daripadanya.

“Kalau aku berhenti, macam mana nak cover bayar hutang tu?” tanya Dalia pula. Perkara itu yang sedang difikirkannya. Hutang!

Shafiq membisu. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Shafiq!” panggil Dalia. Wajah Shafiq dipandang meminta jawapan.

“Pasal hutang tu, kau jangan risau. Tahulah aku macam mana nak selesaikannya,” balas Shafiq bernada tenang.

“Macam mana?” Dalia masih mahukan jawapan. Matanya masih tertancap ke wajah Shafiq.

Shafiq menelan air liur sendiri. Sungguh, dia tidak ada jawapan kepada pertanyaan Dalia itu. Dia masih mencari jalan penyelesaian untuk melangsaikan hutang mereka.

“Shafiq!” Buat kali yang kedua Dalia memanggil. Namun, Shafiq masih tidak menjawab soalannya tadi.

“Ada kereta baru masuk tu. Kau tolong uruskan.” Sharif memuncungkan mulut ke arah kereta yang baru masuk. Dia meneruskan kerja yang tertangguh sebentar tadi.

Dalia mengeluh berat sambil memandang Shafiq yang sedang menyambung kerja. Tanpa berlengah, dia segera melangkah ke arah kereta yang baru masuk. 

Shafiq melepaskan nafas lega. Tidak dinafikan dengan kata-kata Dalia itu. Jika Dalia berhenti, bagaimana untuk melangsaikan hutang mereka? Pendapatan mereka berdua tidak cukup untuk menampung segala-galanya.

“Walau apa pun sebabnya, aku mesti langsaikan hutang tu,” keluh Shafiq, berat. 

“Kalau bukan disebabkan kes tu, tak mungkin kami berhutang sehingga ke hari ni,” sambung Shafiq lagi. Memori lama meniti dalam minda. Berdoa agar dia dapat melangsaikan hutang yang sekian lama membelenggu hidup mereka berdua.



“MASUK! Masuk!” arah Dalia sambil memberi isyarat masuk. 

Rafiq memandu masuk ke tempat yang diarahkan. Dia mengintai cermin sisi sebentar. Melihat gadis yang sedang memberi isyarat masuk.

Dalia masih memberi isyarat. Matanya dihalakan ke arah Shafiq yang sedang berbual bersama dengan 3 orang lelaki. Hatinya tertanya-tanya gerangan mereka itu.

“Cik!” panggil Rafiq sebaik sahaja kereta diparkirkan.

Dalia tidak membalas. Matanya masih tertancap ke arah Shafiq.

“Cik!” Rafiq menegur buat kali yang kedua. Bahu gadis itu disentuh lembut. Gadis itu kelihatan sedang mengelamun.

“Haa…” balas Dalia sedikit terkejut. Dia menghalakan mata ke arah yang menegur.

“Cik…” Rafiq mematikan ayat. Seperti mengenali gadis di hadapannya itu.

“Encik nak cuci luar dalam ke?” tanya Dalia ramah.

“Cik Dalia?” tegur Rafiq sebaik sahaja mengingatinya.

Dalia berkerut dahi. Lelaki di hadapannya itu dipandang meminta kepastian. Seperti mengenali lelaki itu.

“Ah! Encik rupanya. Maaf, saya terlupa,” ujarnya selepas itu sebaik sahaja mengingatinya. 

“Cik Dalia kerja di sini ke?” Rafiq sekadar bertanya.

“Tak perlulah ber ‘cik’ dengan saya, encik. Saya ni bukan orang ada-ada untuk dipanggil macam tu,” kata Dalia berserta senyuman.

“Sebagai tanda hormat saja.”

“Siapa saya untuk dapat penghormatan seperti itu? Saya kuli saja, encik. Lainlah encik. Memang layak untuk dihormati.”

“Tapi…”

“Encik nak cuci kereta ke? Luar dan dalam sekali?” Dalia sengaja memintas. Malas untuk membincangkan tentang itu lagi.

“A’ah! Luar dan dalam.” Rafiq mengangguk.

“Okey! Encik boleh tunggu di sana?” arah Dalia sambil mengunjuk ke arah sebuah kerusi yang ada di situ.

Rafiq menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Dia segera beredar dari situ memberi ruang untuk Dalia membuat kerja.

Dalia hanya memandang. Kemudian, dihalakan mata ke arah Shafiq yang berada tidak jauh tempat dia berdiri. Shafiq masih lagi berbual dengan 3 orang lelaki di situ. Hatinya berasa curiga ketika ini.

“Woi!” jerit Dalia seminit kemudian tatkala terlihat Shafiq dipukul. Pantas, dia berlari menuju ke arah Shafiq.

Rafiq yang mendengar berkerut dahi. Matanya memandang Dalia yang sedang berlari. 

“Shafiq!” panggil Dalia setibanya di hadapan Shafiq dan 3 orang lelaki di situ.

“Pergi Dalia!” suruh Shafiq dalam nada bergetar. Menahan kesakitan akibat pukulan sebentar tadi.

“Siapa dia orang ni, Shafiq?” tanya Dalia ingin tahu. Dia membantu Shafiq bangun dari jatuhan. 

“Kau orang ni siapa? Kenapa pukul dia?” soal Dalia pula kepada 3 orang lelaki di hadapannya itu.

“Ingat Shafiq! Aku akan datang cari kau lagi,” amaran seorang daripada mereka bertiga. Setelah itu, mereka beredar dari situ.

Shafiq dan Dalia hanya memandang. 

“Kau okey?” Dalia meraba-raba wajah Shafiq. Mencari kesan lebam di wajah pemuda itu. 

“Kenapa ni?” tegur Rafiq dengan tiba-tiba. Wajah cemas terlukis di wajahnya.

“Aku okey! Yang kau pandai-pandai sound dia orang, kenapa?” Shafiq menghalang tingkah laku Dalia. Dia meraba pipinya yang terasa sakit.

“Kenapa, Cik Dalia?” Rafiq sekadar ingin tahu.

“Encik nak cuci kereta ke?” tanya Shafiq menolak pertanyaan Rafiq. 

“Ha… ya. Saya datang nak cuci kereta,” balas Rafiq sedikit terpinga-pinga. Shafiq menolak untuk menjawab pertanyaannya tadi.

“Kau pergi cuci kereta dia,” suruh Shafiq kepada Dalia.

Dalia tersentak. Dia berkerut dahi memandang wajah Shafiq. Kesan lebam di pipi Shafiq jelas kelihatan.

“Yang kau termenung lagi tu, kenapa? Dah! Pergi cuci kereta dia.” Shafiq meninggikan sedikit suara. Dalia masih tidak berganjak dari tempatnya.

Dalia menggenggam erat tangan. Begitulah sikap Shafiq. Setiap kali ada masalah, pasti lelaki itu tidak mahu berkongsi dengannya. 

“Apa lagi tu?” Shafiq menegur buat kali yang kedua.

Dalia merengus. Dia beredar dari situ menuju ke kereta Rafiq. Tanpa berlengah, dia memulakan tugas mencuci kereta.

Rafiq menggaru kepala. Pelik melihat Shafiq ketika ini. Seperti ada yang cuba disembunyikan oleh Shafiq daripada pengetahuan Dalia. 

“Hish! Yang kau sibuk dalam hal dia orang tu dah kenapa, Rafiq?” Rafiq menegur diri sendiri. Dia melangkah menuju ke kerusi untuk duduk.

“Tapi, kenapa Shafiq kena pukul?” Rafiq mematikan langkah tatkala pertanyaan itu menyapa fikiran.



“PERLAHANLAH sikit, sayang oi!” tegur Shafiq tatkala Dalia menonyoh mukanya dengan kasar. Dia mengaduh kesakitan.

“Sayang?” Dalia menjegilkan mata. Dia masih menyapu ubat ke pipi Shafiq yang lebam.

“Kau kan adik aku. Mestilah aku sayang,” kata Shafiq berserta senyuman. Wajah adiknya dipandang sayang.

Dalia mencebik meluat. 

“Kau ni Dalia, cubalah maniskan sikit muka tu. Ini tidak, macam Hantu Kak Limah aku tengoknya. Patutlah tak ada siapa nakkan kau.” Selamba Shafiq mengkritik. Dia ketawa kecil.

“Hantu Kak Limah kau kata.” Dalia menonyoh muka Shafiq dengan geram.

Shafiq menolak tangan Dalia. Dia masih lagi ketawa.

“Shafiq!” Dalia menegur. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Shafiq.

“Okey… okey…” Shafiq mematikan ketawa. Gerun pula dia melihat wajah bengang Dalia. Adiknya itu jarang sekali marah. 

“Siapa dia orang tu?” tanya Dalia ingin tahu.

Shafiq terkedu. Difikirnya Dalia tidak akan bertanya tentang peristiwa siang tadi.

“Siapa?” Dalia sedikit mendesak. Wajah Shafiq dipandang meminta penjelasan.

“Tak ada siapa la,” jawab Shafiq menyembunyikan kebenaran.

“Kau jangan nak cuba selindung daripada aku, Shafiq. Aku akan cari sampai ke lubang cacing nanti,” kata Dalia memberi amaran.

Shafiq bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke dapur. Mencari makanan di situ.

“Kau berhutang dengan dia orang ke, Shafiq?” Dalia masih tidak berputus asa bertanya. Dia perlu tahu perkara yang sebenar.

“Mana ada!” tukas Shafiq, laju.

“Habis tu? Siapa dia orang?” Dalia mengasak.

“Alah! Kau tak payah sibuklah nak tahu siapa dia orang tu semua. Bukan dapat hadiah pun,” balas Shafiq. Menutup perbualan mereka tentang 3 orang lelaki siang tadi.

Dalia mengeluh berat. Dia masih tidak berpuas hati.

“Kau nak makan tak?” Shafiq bertanya. Dia memandang ke wajah Dalia.

“Aku nak keluar sekejap.” Dalia beredar dari situ. Dia perlu menenteramkan diri. Persoalan siapa 3 orang lelaki siang tadi masih meniti dalam minda. Malah, dia seperti pernah melihat mereka bertiga sebelum ini.

Shafiq hanya memandang. Dia melepaskan nafas lega.

“Maafkan aku, Dalia. Bukan niat aku nak rahsiakan daripada kau. Ada baiknya kau tak tahu siapa mereka tu semua,” suara Shafiq bernada tenang. Setelah itu, dia meneruskan niat untuk memasak. Perut yang terasa lapar minta diisi.



“WOI!” suara Dalia dengan tiba-tiba.

Shafiq yang sedang memasak maggi terkejut. Pantas, dia beredar dari ruang dapur untuk melihat sebaik sahaja memadamkan api dapur.

“Woi! Jangan lari!” panggil Dalia. Dia pantas berlari keluar dari rumah untuk mengejar lelaki yang mengintai rumahnya sejak dari tadi.

“Dalia!” panggil Shafiq turut sama mengejar.

“Woi! Aku kata berhenti!” arah Dalia lagi. Dia menarik bahu lelaki itu sehingga membuatkan lelaki itu terdorong ke belakang.

“Kau nak lari ke mana?” tanya Dalia sambil cuba menstabilkan nafas.

“Dalia, kenapa ni?” tanya Shafiq setibanya di belakang Dalia.

“Aku tangkap mamat ni cuba hendap rumah kita,” beritahu Dalia tercungap-cungap.

“Siapa kau?” Shafiq menarik tubuh lelaki itu supaya memandangnya. 

“Kau nak mencu…” Dalia mematikan ayat. Terkejut melihat gerangan lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.

“Kau?”

“Awak?”

Sebut Shafiq dan Dalia serentak.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.