Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
39,992
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2



“AWAK tahu apa salah awak, Dalia?” Encik Zaihan bertanya dalam nada serius.

Dalia menundukkan wajah memandang kaki sendiri. Dia akui akan kesalahannya.

“Awak tahu atau tidak, Dalia?” Encik Zaihan mendengus kasar. Wajah Dalia di hadapan dipandang tidak berkelip.

“Sa… sa… yaaa…” Dalia tersekat-sekat. Tidak tahu untuk membalas.

“Saya apa?” Encik Zaihan meninggikan sedikit suara.

“Saya tolak lelaki tu sampai jatuh.” Dalia pantas menjawab. Dia mengurut dada akibat sergahan Encik Zaihan.

“Haa… mengaku pun,” balas Encik Zaihan lalu menyandarkan tubuh ke kerusi.

“Sumpah, Encik Zaihan. Saya tak sengaja nak tolak dia. Saya ingat dia curi dokumen tu.” Dalia membela diri. Dia mengangkat tangan lagak seperti orang bersumpah.

Encik Zaihan berpeluk tubuh.

“Encik Zaihan juga yang kata dokumen tu penting. Kalau saya hilangkan dokumen tu, Encik Zaihan nak potong gaji saya. So...” Dalia mematikan ayat.

“So?” Encik Zaihan.

“So, bila saya nampak dia pegang dokumen tu saya ingat dia yang curi. Sebab dokumen tu tiba-tiba hilang dari dalam beg sandang saya.” Dalia menjelaskan dalam nada serius.

Encik Zaihan menghela nafas ringan. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Err… gaji saya kena potong ke encik?” Dalia sekadar ingin tahu.

Encik Zaihan yang mendengar memandang ke wajah Dalia.

“Saya dah hantar dokumen tu seperti yang Encik Zaihan arahkan. So, gaji saya tak dipotong, kan?” Dalia menanti balasan daripada Encik Zaihan. Dia berdoa agar gajinya tidak dipotong.

“Hurm…” Encik Zaihan masih berfikir.

“Tolonglah, encik. Saya banyak hutang. Bukan keliling pinggang dah. Keliling rumah sekali.” Dalia merayu berserta riak kasihan.

“Baik! Saya tak akan potong gaji awak. Tapi…”

“Alhamdulillah!” pintas Dalia sambil meraup wajah. Dia beriak ceria.

“Tapi…” Encik Zaihan menekan suara.

“Tapi apa?” 

“Saya nak awak…”



“CISHH!!! Tak guna punya bos. Kalau aku tahu macam ni jadinya, baik kau potong saja gaji aku tu.” Dalia membentak bengang. Dia menggenggam erat pen.

“Cishh!!! Cishh!!!” Dalia menikam-nikam pen di atas kertas. Geram dengan arahan Encik Zaihan sebentar tadi.

“Hai, marah nampak?” Sakinah menegur. Di tangannya segelas air.

Dalia menoleh ke arah Sakinah. Dia merampas gelas dari tangan Sakinah lalu meneguk air dari dalam gelas tersebut. Bahang panas di tubuhnya semakin berkurangan.

“Air Kak Ki…” Belum sempat Sakinah menegur Dalia sudah pun meneguk habis airnya. Dia tergamam seketika.

Dalia meletakkan gelas di atas meja. Dia sedikit lega.

“Kau marahkan siapa? Serius nampaknya Kak Kinah tengok.” Sakinah bertanya. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi. Airnya habis diminum oleh Dalia.

“Bos kesayangan Kak Kinah tu la.” Dalia membalas. Dia menggenggam erat tangan.

“Pasal apa?”

“Pasal… haish! Nak cerita pun malas.”

“Kalau malas tak payah cerita,” putus Sakinah. Dia meneruskan kerja.

Dalia yang mendengar tersengih. Dia memikirkan sesuatu.

“Kau tak ada kerja ke?” Sakinah menegur tatkala Dalia tidak berganjak dari tempatnya.

“Ada Kak Kinah,” balas Dalia masih berfikir.

“So, pergilah buat kerja kau. Yang kau melangut macam kera sumbang kat sini tu dah kenapa?” Sakinah menghalau. Tumpuannya untuk membuat kerja sedikit terganggu.

Dalia mencebik meluat. Dia beredar dari situ menuju ke sofa. Dia sedang memikirkan sesuatu. Bagaimana untuk mengelak daripada gajinya dipotong?

“Ha.. awak buat apa lagi kat sini Dalia? Kan saya suruh awak pergi minta maaf pada Encik Rafiq tu.” Encik Zaihan menegur. Dia menghampiri Dalia di sofa.

Dalia yang baru hendak melabuhkan duduk terkejut dengan teguran Encik Zaihan. Dia tersengih kepada bosnya itu.

“Duit bos.” Dalia menghulurkan tangan meminta.

“Duit? Awak minta duit daripada saya?” Encik Zaihan sedikit bengang.

“Buat beli bunga. Beli buah. Kan nak pergi minta maaf.” Dalia memberi alasan. Dia masih menghulurkan tangan meminta.

“Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada. Awak nak saya potong gaji awak ke tidak?” Encik Zaihan mengugut. Dia mendengus kasar.

“Iya la… iya la… saya pergi sekarang. Kedekut tahi hidung masin la bos ni.” Dalia membebel. Dia mencapai topi keledar dari atas meja.

“Haa… membebel. Melawan saya. Nak kena potong gaji?”

“Bos ni… sikit-sikit nak ugut potong gaji. Kesian la kat saya anak yatim piatu ni.”

“Dah… pergi! Kalau awak tak nak pergi, saya potong gaji awak.”

“Iya la. Saya pergi. Saya pergi.” Dalia mendengus kasar. Dia beredar dari situ.

Encik Zaihan hanya memandang. Dia menggeleng dengan tingkah laku Dalia. Gadis itu suka melawan arahannya. 

Setelah itu, dia segera masuk ke dalam bilik pejabat. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Jauh di sudut hati, dia sentiasa mendoakan agar Dalia hidup seperti yang dimahukannya. 



“SAYA minta maaf, Encik Rafiq.” Azie meminta maaf. Dia berasa bersalah atas apa yang berlaku kepada bosnya itu.

“Tak apa, Azie. Awak tak perlu rasa bersalah,” balas Rafiq berserta senyuman di bibir.

Azie tersenyum hambar. Rasa bersalah masih menghuni dalam hati. 

“Awak, okey?” Rafiq bertanya. Wajah gadis itu dipandang seketika.

“Okey, Encik Rafiq.” Azie turut membalas pandangan.

“Tak ada yang cedera?”

“Tak ada, Encik Rafiq.”

“Baguslah!”

Azie memandang ke wajah Rafiq. Pemuda itu beriak tenang. Kemudian, dijatuhkan mata ke arah tangan yang berbalut. Akibat jatuhan tadi, tangan Rafiq mengalami kecederaan.

“Kalau tak ada apa lagi, awak boleh keluar,” arah Rafiq bernada tegas.

“Baiklah, Encik Rafiq.” Azie beredar dari bilik itu. Dia melepaskan nafas lega. 

Rafiq hanya mengangguk dan memandang. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Peristiwa sebentar tadi menyapa mata ketika ini.

“Kelakar!” sebutnya spontan. Wajah gadis yang menolaknya sehingga jatuh menyapa mata pula.

“Comel!” pujinya pula. Senyuman terukir di bibir.

“Siapa yang comel?” tegur seseorang dari arah muka pintu bilik.

Rafiq tersentak. Dia menghalakan mata ke arah yang menegur. Wajah Puan Raihan menyapa mata.

“Siapa yang comel?” tanya Puan Raihan sambil melangkah masuk ke dalam bilik.

“Err… tak ada siapa.” Rafiq bangun dari duduk. Dia menelan air liur sendiri.

Puan Raihan memandang ke wajah Rafiq buat seketika.

“Ada hal apa mama datang ke pejabat ni?” Rafiq memberanikan diri untuk bertanya.

“Kenapa? Mama tak boleh datang jumpa dengan Raf ke?” Puan Raihan pula bertanya. Menduga anaknya itu. Dia melabuhkan duduk di atas sofa.

“Apa pula tak boleh? Boleh. Cuma Raf terkejut dengan kedatangan mama ke office ni.” Rafiq membalas. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Puan Raihan di sofa. Tangan mamanya itu dicium lembut. Kemudian, dia duduk berhadapan dengan Puan Raihan.

“Mama ada perkara nak bincang dengan Raf.”

“Perkara? Perkara apa?”

“Kenapa dengan tangan Raf?” Puan Raihan bertanya tatkala terpandangkan balutan di tangan anaknya itu.

“Terluka sikit. Raf minta Fazrin balutkan.” Rafiq menjelaskan. Dia memandang tangan sendiri.

“Kenapa tak pergi klinik?”

“Err… balik nanti la Raf singgah klinik.”

Puan Raihan yang mendengar mendengus kasar.

“Mama kata ada perkara nak bincang dengan Raf. Apa dia?” Rafiq menukar topik. Tidak mahu membincangkan tentang tangannya itu. Jika tidak, sampai bila-bila pun isu tangannya tidak akan habis.

Puan Raihan menghela nafas ringan. Dia berkira-kira untuk memberitahu Rafiq.

“Mama?” Rafiq menegur.

“Nanti la mama cakap dengan Raf. Mama ada hal. Mama pergi dulu.” Puan Raihan bangun dari duduk. Dia beredar dari ruangan itu.

Rafiq turut sama bangun. Dia memandang pemergian Puan Raihan berserta kerutan di dahi. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh Puan Raihan dengannya?



“ADUH!” adu Puan Raihan tatkala tubuhnya dilanggar seseorang. Dia terjatuh ke lantai.

“Kurang ajar!” marah Puan Raihan tatkala orang yang melanggarnya pergi tanpa meminta maaf. Dia segera bangun dari jatuhan.

“Hey, kamu! Berhenti!” arah Puan Raihan sedikit meninggi.

Dalia yang mendengar lantas mematikan langkah. Dia menoleh mencari suara yang memanggil. 

“Kamu! Aku suruh berhenti!” Puan Raihan masih meninggi. Wajah gadis di hadapannya dipandang tajam.

“Puan panggil saya ke?” Dalia bertanya seakan orang bodoh.

“Ya, kamu! Aku panggil kamu. Siapa lagi yang ada kat sini selain daripada kamu?” Puan Raihan mndengus kasar. Dia mengibas kotoran di baju.

Dalia melangkah menghampiri Puan Raihan. Dia berkerut dahi melihat wanita itu.

“Mana adab kamu? Langgar orang tanpa minta maaf,” tegur Puan Raihan bernada kasar.

“Langgar? Saya?” Dalia bertanya sambil mengunjuk ke diri sendiri.

“Kamu! Siapa lagi?” Puan Raihan hilang sabar. 

Dalia melilaukan mata melihat sekeliling. Ternyata tidak ada orang lain melainkan mereka berdua.

“Mak bapa kamu tak ada ajar adab dengan kamu? Dah langgar orang. Lepas tu terus pergi macam tu saja?” tegur Puan Raihan lagi. Masih tidak berpuas hati.

“Hai, lebih nampak.” Dalia menjeling tajam. Main mak bapa pula orang tua ni. Dalia merengus dalam hati.

“Kamu nak minta maaf ke tidak?” tanya Puan Raihan sambil berpeluk tubuh.

“Kalau saya tak nak, macam mana?” tanya Dalia berani. Wanita itu tidak patut dilayan dengan baik.

“Kurang ajar! Kamu tahu nasib kamu nanti.”

“Puan ugut saya?”

“Kamu belum kenal siapa saya lagi. Tahu la nasib kamu nanti.”

“Sedikit pun saya tak takut dengan ugutan puan. Saya lebih takutkan Allah daripada puan.”

Puan Raihan yang mendengar menggenggam erat tangan. Wajah Dalia yang beriak selamba dipandang tajam.

“Saya tengok puan tak ada cedera pun. So, kalau tak ada apa-apa lagi yang puan nak bebelkan pada saya, ada baiknya kita ikut haluan masing-masing.” Dalia bersuara berserta senyuman sinis. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ.

“Hey, kamu! Berhenti! Berhenti aku kata!” marah Puan Raihan tidak tertahan. Dia memandang pemergian Dalia sehingga hilang di sebalik pintu lift.

“Kurang ajar! Tak ada adab! Tunggu kau. Kalau aku jumpa dengan kau lagi, tahu la nasib kau tu.” Puan Raihan merengus kasar. Sakit hatinya melihat tindakan Dalia. Ikutkan hati marahnya tadi, mahu ditampar gadis itu sebelum pergi.

“Siap kau nanti!” Puan Raihan menggenggam erat tangan. Setelah itu, dia beredar dari situ. Dia perlu berjumpa dengan seseorang.

“Puan! Puan! Nanti dulu!” panggil Dalia dari jauh.

Puan Raihan yang mendengar mematikan langkah. Dia menoleh ke arah suara yang memanggil. Wajah Dalia menyapa mata.

“Nanti dulu puan!” arah Dalia sambil berlari anak menghampiri Puan Raihan.

“Huh! Baru dia tahu siapa aku yang sebenarnya,” kata Puan Raihan berserta cebikan di bibir. Dia menanti Dalia menghampirinya.

Dalia menghentikan langkah. Dia menstabilkan pernafasan buat seketika.

“Kenapa? Kau dah sedar dengan kesalahan kau tadi?” tanya Puan Raihan sambil berpeluk tubuh. Dia menanti Dalia menstabilkan pernafasan.

“Puan kena bayar saya,” balas Dalia setelah nafas reda.

Puan Raihan yang mendengar berkerut dahi.

“Ini… ini… puan kena bayar saya.” Dalia mengunjuk sesuatu kepada Puan Raihan.

Puan Raihan memandang ke arah yang ditunjuk. Buntang matanya melihat kesan koyakan di pakaian Dalia.

“Sebab handbag mahal puan tu la baju saya habis koyak. So, saya nak minta ganti rugi baju saya yang terkoyak ni,” jelas Dalia berserta sengihan di bibir.

“What?!” Puan Raihan terkejut.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.