Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
4,376
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3



“BERAPA kali saya nak pesan, jangan masuk ke dalam bilik saya. Mak Nab tak faham bahasa ke?” tegur Ziqri Arif dalam nada marah.

“Maafkan Mak Nab, Encik Ziqri. Mak Nab terlupa.” Mak Zainab menundukkan wajah. Takut untuk memandang wajah majikannya itu.

“Terlupa?” Sinis Ziqri bertanya.

Mak Zainab mengangkat wajah.

“Alasan bodoh!” marah Ziqri sedikit meninggi.

Terhenjut tubuh Mak Zainab mendengar kemarahan Ziqri. Sungguh, dia tidak sengaja masuk ke dalam bilik Ziqri. Sudah dipesan dan diingatkan oleh Puan Raihan supaya tidak masuk ke dalam bilik Ziqri.

“Maafkan Mak Nab, encik.” Mak Zainab bersuara perlahan. Dia menahan sebak akibat kemarahan Ziqri.

Ziqri mendengus kasar. Rasa marah atas tindakan Mak Zainab yang masuk ke dalam biliknya tanpa izin.

“Maafkan, Mak Nab,” Mak Zainab meminta simpati. Dia berharap Ziqri memaafkan kesalahannya.

“Ini amaran saya yang terakhir. Kalau Mak Nab masuk lagi ke dalam bilik saya, saya tak teragak-agak suruh mama pecat Mak Nab. Faham!” ugut Ziqri lalu masuk ke dalam bilik. Dia menghempas kuat pintu biliknya itu.

“Baik, encik. Mak Nab janji tak akan masuk ke dalam bilik encik lagi.” Mak Zainab membuat janji. Dia mengurut dada akibat tindakan Ziqri sebentar tadi.

“Kenapa ni, Mak Nab?” tegur Rafiq tatkala terlihat Mak Zainab di hadapan bilik Ziqri.

Mak Zainab yang mendengar terkejut. Dia mengurut dada berkali-kali. Baru tadi dia terkejut dengan tindakan Ziqri, kali ini dia terkejut dengan teguran Rafiq.

“Maaf, Mak Nab. Rafiq tak sengaja.” Rafiq kesal atas tindakannya sebentar tadi melihatkan Mak Zainab mengurut dada.

“Tak apa, Encik Rafiq. Mak Nab terkejut sedikit saja tadi,” balas Mak Zainab. Dia menstabilkan pernafasan buat seketika.

“Kenapa, Mak Nab? Ada masalah ke?” Rafiq bertanya sekadar ingin tahu.

“Mak Nab… Mak Nab…” Mak Zainab berkira-kira.

“Mak Nab masuk bilik adik saya, ya?” tebak Rafiq. Dia menanti balasan daripada Mak Zainab. Pasti itu yang berlaku.

Mak Zainab sekadar mengangguk perlahan. Sungguh, dia berasa kesal atas tindakannya tadi. Dia memang tidak sengaja masuk ke dalam bilik Ziqri.

“Tak apalah, Mak Nab. Nanti saya cakap dengan Ziqri.”

“Encik Rafiq…”

“Mak Nab jangan risau. Mak Nab pergilah buat kerja.”

Mak Zainab memandang ke wajah Rafiq. Pemuda itu kelihatan tenang. Berbeza dengan Ziqri. Pemuda itu beriak bengis, bersikap kasar dan pemarah.

“Saya naik ke atas dulu.” Rafiq beredar dari situ. Dia tersenyum kepada Mak Zainab.

Mak Zainab hanya memandang. Dia melepaskan nafas lega. Rafiq seringkali membelanya setiap kali dia dimarahi oleh Ziqri. Dia tidak pernah ambil hati kerana dia tahu keadaan Ziqri yang sebenar. Berharap Ziqri berubah suatu hari nanti.


**********


“KALAU kau masuk ke dalam bilik ni sebab nak bela orang tua tu ada baiknya kau keluar Rafiq,” suara Ziqri tatkala menyedari kehadiran Rafiq dalam biliknya.

“Aku bukan nak bela cuma nak tegur.” Rafiq melangkah menghampiri Ziqri yang sedang memandang ke luar jendela.

“Tegur?” ulang Ziqri, sinis seraya menoleh ke wajah Rafiq.

Rafiq beriak tenang.

“Kau siapa nak tegur aku?” Ziqri mendengus kasar.

“Aku abang kau, Ziq.” Rafiq membalas. Ditekankan perkataan ‘abang’.

“Huh! Abang? Hebat sangat ke title abang yang kau pegang tu?” Ziqri masih sinis. Dia memandang tepat ke wajah Rafiq. Abangnya itu hanya beriak tenang.

“Kenyataan yang kau perlu terima.”

Ziqri menggenggam erat tangan.

“Cuba belajar hormat pada orang yang lebih tua daripada kau.”

“Orang tua tu tak layak untuk dihormat.”

“Sepertimana kau hormatkan mama seperti itu juga kau perlu hormat pada Mak Nab.” Rafiq beredar dari situ. Ziqri sukar untuk ditegur.

“Kau jangan nak mengajar aku, Rafiq.”

“Aku bukan nak mengajar kau, Ziq. Kau perlu tahu batas pergaulan kau dengan orang yang lebih tua daripada kau.”

“Huh! Sudahlah Rafiq. Kau tak perlu nak tunjuk lagak baik depan aku. Aku dah muak dengan lakonan kau.”

Rafiq yang mendengar cuba menahan perasaan marah. Dia tidak mahu menambahkan kebencian yang sedia ada.

“Kau jangan lupa Rafiq. Disebabkan kau aku jadi seperti sekarang. Selama-lamanya aku tak akan maafkan kau, Rafiq.” Ziqri meluahkan perasaan. Wajah Rafiq di hadapan dipandang benci.

Rafiq tidak membalas. Dia cuba bersikap tenang. Acapkali dia mendengar ayat itu keluar daripada mulut Ziqri dan dia sudah lali mendengarnya.

“Keluar! Aku tak perlukan nasihat daripada kau,” arah Ziqri sedikit meninggi.

Rafiq melepaskan nafas ringan. Ada baiknya dia keluar dari bilik itu. Ziqri tidak akan berubah walau berulang kali dia cuba menasihati.

“Suatu hari nanti kau akan tahu perkara yang sebenarnya, Ziq,” suara Rafiq dalam nada perlahan lalu keluar dari bilik itu.


***********


RAFIQ menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia memejamkan mata sambil otaknya ligat berfikir. Kata-kata Ziqri sebentar tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Kata-kata yang sudah lali di pendengarannya.

Rafiq melepaskan nafas berat. Selama ini dia tidak pernah ambil hati dengan kata-kata Ziqri. Dia tahu, Ziqri masih tidak dapat menerima kenyataan tentang dirinya. Ziqri seringkali menyalahkannya. Ziqri tidak akan berputus asa menyakiti hatinya.

“Encik Rafiq!” tegur Mak Zainab dari arah muka pintu bilik.

Rafiq tersentak lalu membuka mata. Dia menghalakan mata ke arah Mak Zainab.

“Boleh Mak Nab masuk?” suara Mak Zainab.

“Masuklah, Mak Nab.” Rafiq membetulkan duduk. Dia menanti Mak Zainab menghampirinya di meja kerja.

Mak Zainab melangkah masuk ke dalam bilik. Dia meletakkan segelas air di atas meja lalu dilabuhkan duduk di hadapan Rafiq.

“Mama dah balik ke, Mak Nab?” tanya Rafiq sekadar ingin tahu. Dia mencapai gelas lalu meneguk perlahan air dari dalamnya.

“Dah sejam Puan Raihan balik, Encik Rafiq. Kenapa Encik Rafiq tak tidur lagi?” jawab Mak Zainab. Wajah Rafiq dipandang mesra.

“Nak siapkan kerja sikit, Mak Nab.”

Mak Zainab mengangguk perlahan. Fail di atas meja dipandang seketika. Semenjak pemergian Encik Zafran, Rafiq mengambil alih tugas-tugas di pejabat. Rasa kasihan kepada Rafiq yang bertungkus-lumus menguruskan syarikat.

Ziqri? Anak bongsu majikannya itu hanya menghabiskan masa di rumah. Keadaan Ziqri membuatkan pemuda itu tidak dibenarkan bekerja. Maka dari itu, semua urusan pejabat diserahkan kepada Rafiq.

“Mak Nab?” Rafiq menegur.

Mak Zainab tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Rafiq.

“Ada perkara yang Mak Nab nak cakapkan pada saya ke?”

Mak Zainab berkira-kira dalam hati. Dia meramas-meramas tangan sendiri.

“Kenapa, Mak Nab? Ada masalah ke?” Rafiq bertanya. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Mak Zainab.

“Mak Nab ingat nak berhenti kerja,” suara Mak Zainab bernada perlahan.

“Berhenti? Kenapa?” Rafiq sedikit terkejut.

Mak Zainab membisu.

“Mak Nab terasa dengan Ziqri? Kalau betul, Rafiq minta maaf bagi pihak Ziqri.” Rafiq menebak. Wajah wanita tua itu dipandang meminta kepastian.

“Tak, Encik Rafiq. Bukan sebab Encik Ziqri.” Mak Zainab menafikan.

“Kalau bukan sebab Ziqri, sebab apa?”

“Mak Nab dah tua, Encik Rafiq. Mak Nab rasa sudah tiba masanya untuk Mak Nab berehat. Lagipun, anak Mak Nab dah bekerja. Jadi dia boleh tanggung Mak Nab.”

Rafiq tidak membalas. Dia berfikir seketika.

“Mak Nab tak berani nak beritahu pada Puan Raihan. Mak Nab nak minta Encik Rafiq tolong beritahu pada puan, boleh?”

“Mak Nab dah fikir masak-masak?” Rafiq sekadar bertanya.

Mak Zainab menggigit bibir.

“Mak Nab fikir masak-masak dulu. Lepas tu beritahu pada Rafiq. Boleh?” Rafiq bersuara lembut. Dia mahu Mak Zainab memikirkan keputusannya itu.

Dia kenal dengan Mak Zainab. Wanita tua itu sudah lama bekerja dengan keluarganya. Sejak dia dibangku sekolah lagi. Segala keperluan di rumah, Mak Zainab yang uruskan.

“Sekejap!” Rafiq terfikirkan sesuatu.

Mak Zainab memandang ke wajah Rafiq. Menanti pemuda itu bersuara.

“Bila masa Mak Nab ada anak? Bukankah Mak Nab…” Rafiq mematikan ayat. Dia membalas pandangan Mak Zainab.

Mak Zainab menelan air liurnya sendiri. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Rafiq?


**********


“TOLONG la, Shafiq. Kali ni saja aku minta tolong daripada kau. Lepas ni aku tak minta tolong dah,” rayu Dalia sambil memegang lengan Shafiq.

“Iya la sangat tu.” Shafiq mencebik. Dia menarik lengannya dari pegangan Dalia.

“Betul! Kali ni aku tak tipu.” Dalia mengangkat tangan. Lagak seperti orang bersumpah.

“Ah! Tak ada… tak ada… kau tu tak boleh dipercayai.” Shafiq menggeleng perlahan sambil berpeluk tubuh.

Dalia merengus perlahan. Dia turut sama berpeluk tubuh sambil wajah Shafiq dipandang tajam.

Shafiq tidak mengendahkan pandangan tajam Dalia. Dia meneruskan kerjanya dengan mengemas meja.

Dalia menyandarkan tubuh ke dinding.

Shafiq masih meneruskan kerjanya. Tidak diendahkan tingkah laku Dalia yang sedang berpeluk tubuh.

Dalia masih berkeadaan yang sama. Dia memandang tingkah laku Shafiq yang sedang mengemas meja dan kerusi.

“Yalah… yalah… menyampah pula aku tengok muka tak semegah kau tu.” Shafiq mengalah. Dia mencampak kain pengelap lalu memandang ke wajah Dalia.

Dalia yang mendengar mengukir senyuman.

“Kau nak aku buat apa?” tanya Shafiq dalam nada serius.

Dalia masih tersenyum. Dia menghampiri Shafiq lalu memegang lengan pemuda itu.

“Apa?” Shafiq tidak sabar. Dia perlu tahu pertolongan apa yang Dalia mahukan daripadanya.

Dalia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia berkira-kira untuk memberitahu Shafiq.

“Kalau kau tak nak cakap, aku cancel.” Shafiq mengugut. Dia beredar dari situ.

“Wei, kejap la.” Dalia menahan. Lengan Shafiq ditarik.

Shafiq mendengus kasar. Dia memandang ke wajah Dalia. Menanti gadis itu bersuara.

“Aku nak minta tolong kau menyamar jadi pakwe aku, boleh?” Dalia memberitahu tujuannya yang sebenar.

Shafiq yang mendengar ketawa besar.

“Shafiq!” Dalia menegur. Dia mendengus kasar.

Shafiq masih lagi ketawa. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi yang ada di situ.

“Aku serius, Shafiq!” Dalia bengang. Rasa nak tampar saja Shafiq di hadapannya itu.

“Kelakar! So, aku gelak la.” Shafiq masih lagi ketawa.

Semakin bengang Dalia dengan tingkah laku Shafiq. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Digenggam erat tangannya menahan kemarahan dalam hati.

Shafiq yang melihat mematikan ketawa. Dia bingkas bangun lalu menarik tangan Dalia dari beredar.

“Kalau kau tak nak tolong aku beritahu saja la. Tak perlulah nak gelakkan aku.” Dalia bersuara. Rasa kecewa dengan sikap Shafiq.

“Kau ni. Sikit-sikit nak sentap.”

Dalia tidak membalas. Dia menarik tangannya dari pegangan Shafiq.

“Okey! Aku tolong kau.” Shafiq mengalah. Dia ketawa kecil melihat wajah mencuka Dalia.

“Iya la tu. Kau tu bukan boleh dipercayai.”

“Tak nak sudah!”

“Okey… okey… aku nak.” Dalia pantas membalas.

Shafiq ketawa sambil menggeleng.

“Aku tunggu kau tengah hari esok. Adios!” pamit Dalia lalu beredar dari situ. Dia melepaskan nafas lega. Shafiq sudi menolongnya.

“Wei, Dalia!” Shafiq memanggil. Namun, kelibat Dalia sudah pun hilang dari pandangan mata.

“Macam-macam la kau ni Dalia,” kata Shafiq. Dia meneruskan kerjanya yang tertanggung sebentar tadi.

“Pakwe?” sebut Shafiq tatkala teringatkan permintaan Dalia.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.