Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,351
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
5✓
Tajuk : Rahsia Kehilangan.


MAC 2014


Lewat pagi itu satu mesej ringkas diterima oleh aku dari sepupuku, Ikmal. Ibu saudara aku yakni ibu kepada Ikmal telah pergi bertemu Ilahi. Aku yang tika itu dalam perjalanan untuk ke tempat kerja terpaksa mengambil cuti kecemasan. Mujurlah pengurus aku seorang yang memahami. Aku telah menjelaskan kepada beliau bahawa Ikmal tiada saudara mara lain. 


Itulah hidup. Kejam bukan? Ikmal dan ibunya di tinggalkan oleh bapa saudara aku sejak dari 21 tahun yang lalu. Kini Ikmal dan aku masing-masing sudah berumur 23 tahun. Sepanjang hidup aku melihat bagaimana susah ibu saudara aku bertungkus lumus untuk meneruskan hidup dan membesarkan Ikmal. Alasan mudah yang diberikan oleh bapa saudara aku bila ditanya mengapa dia tak mahu bertanggungjawab ke atas Ikmal adalah kerana CINTA. 


Malang sungguh bagi Ikmal. Cinta ayahnya wujud untuk orang lain. Bapa saudara aku bahagia kini dengan keluarga baru jauh di Sarawak. 


Tapi nasib Ikmal dan aku tak jauh berbeza. Kini kami sama-sama yatim piatu. Mungkin separuh benar. Ayah Ikmal masih hidup, cuma umpama mati. Apa yang membezakan aku dan Ikmal adalah, aku sudah biasa hidup sendiri. Aku mampu untuk menjaga diri, mencari nafkah sendiri, malah mampu untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda walaupun secara separuh masa. Aku berbeza dari Ikmal. Aku tahu apa yang aku mahu dan apa yang perlu aku lakukan. Sedangkan Ikmal masih mencari erti hidup. Mungkin kehilangan bukan perkara biasa bagi Ikmal, fikirku. 


Pengebumian petang itu berjalan lancar. Perlahan-lahan jiran juga kawan-kawan beransur pulang dari tanah perkuburan. Kini tinggal hanya aku dan Ikmal di situ. Aku dapat melihat dengan jelas juraian air mata di pipi Ikmal. Pandangan Ikmal yang melekap ke kubur di hadapan kami mengisi kesunyian. Di situ bersemadinya cinta Ikmal. Seorang ibu yang sanggup  berkorban apa sahaja untuk anaknya. 


“Aku tak faham. Macam mana kau boleh tersenyum?” perlahan suara Ikmal memecah kesunyian. Esak tangis Ikmal masih kedengaran walaupun dia cuba untuk mengawalnya. 


Aku memandang Ikmal hairan. Aku tak faham apa yang cuba diperkatakan Ikmal. Setahu aku, aku tidak tersenyum sekarang. Apatah lagi tertawa. Sepanjang di tanah perkuburan aku  hanya pilih untuk berdiam diri merenung Ikmal. 


‘Aku ada tersenyum ke tadi? Rasanya muka aku serious sekarang,’ bisik hatiku.

“Aku tak faham soalan kau.”


Ikmal dilihat menyeka air matanya dengan lengan baju melayu. Hampir lencun lengan baju melayu Ikmal. Menyedari itu perlahan aku mencapai sapu tangan di dalam beg sandang. Lalu aku hulurkannya kepada Ikmal. 


Sunyi menghuni semula. Yang kedengaran hanyalah bunyi burung, desiran angin, juga esakan kecil Ikmal. Selepas seketika Ikmal dilihat menarik nafas dalam, cuba untuk mengawal emosinya. 


“Dulu masa ibu dan ayah kau meninggal. Aku tengok kau tersenyum. Aku tak pernah tengok sekali pun kau menangis. Bila orang ramai datang melawat, kau hanya tersenyum. Aku tak tahu macam mana kau boleh tenang dan tersenyum macam tu.”


Aku tersentak dengan soalan Ikmal. Aku tak menyangka Ikmal masih mengingati hari itu.    


Ibu dan bapa aku meninggal dunia ketika aku berumur 16 tahun. Bagi aku itu bukan kehilangan yang pertama. Aku pernah kematian kakak kandung, juga nenek kesayangan. Lalu apabila aku kehilangan ibu dan bapaku, aku seolah lali dengan kehilangan. Aku tak meratapi mahupun menangis, ketika kakak aku pergi atau ketika nenekku, mahupun ketika ibu bapa aku. Ketika majlis pengebumian juga tahlil, ramai jiran tetangga juga kawan sekolah aku yang memberi kata semangat juga bertanya kenapa aku tidak menangis. Aku hanya mampu tersenyum mendengar soalan tersebut. 


Sebenarnya aku juga pelik dengan diriku. Kenapa aku tidak menangis ketika kehilangan? Aku lihat bagaimana orang lain menangisi pemergian. Bagaimana mereka menangis meratap kematian. Hari ini juga aku sedar, aku tidak menangis ketika ibu saudara aku meninggal dunia. Aku tak tahu mengapa aku tak mampu untuk menangis; atau sebetulnya aku tak mampu untuk memahami kenapa aku perlu menangis untuk menunjukkan kepada orang lain kesedihan hatiku. 


Aku tersenyum membalas pandangan dan soalan Ikmal. 


“Hari nak senja. Jom balik rumah. Kau perlu rehat,” tutur aku menutup persoalan dari Ikmal. 


Malam itu seusai solat Maghrib dan Isyak, aku menghadiahkan bacaan doa juga Yasin kepada ibu saudaraku. Tak lupa juga aku menitipkan doa kepada ibu dan bapaku. Juga berdoa kepada Tuhan untuk menguatkan hati Ikmal. 


Leka dengan ingatan, aku teringat kisah silam. Umur aku semuda 16 tahun ketika aku menjadi yatim piatu. Mujurlah ketika itu arwah ayah dan ibu aku meninggalkan sedikit simpanan juga rumah untuk untuk aku. Jika tak, pasti aku sudah menjadi gelandangan. 


Melihatkan kehidupan Ikmal dan ibu saudara aku yang bertungkus lumus menyara hidup, aku jemput mereka untuk tinggal bersama aku. Kini sudah 7 tahun kami tinggal bersama. Aku pasti akan merindui masakan ibu saudaraku selepas ini.


‘Kenapa aku tak mampu menangis?’ fikir aku bila teringatkan persoalan dari Ikmal petang tadi. 


Sejujurnya aku mengakui, bukan aku tak mampu untuk menangis ketika kehilangan, tapi aku tak boleh menangis di hadapan orang. Jujur juga aku akui pada awalnya, aku tak mampu menangis kerana denial stage. Bukan kerana aku tidak sedih. Bagi aku ketika menerima berita kehilangan, aku merasakan seolah-olah ia tak nyata. Aku tak mampu untuk mencerna berita tersebut apatah lagi menunjukkan emosi dengan betul. Jadi apabila aku kehilangan, aku  memerlukan masa berbulan-bulan untuk aku menyedari bahawa mereka yang aku sayang sebetulnya sudah tiada di dunia ini. 


Aku mula menyedari apabila pagi aku tak lagi diiringi dengan gelak tawa ibu dan ayah. Tiada lagi suara kakak mengusik aku ketika mandi. Tiada lagi pelukan hangat dari nenek. Tiada lagi ciuman di pipi oleh ibu. Tiada lagi panggilan telefon dari ayah bertanyakan ke mana aku pergi. 


Jadi sebetulnya bagi aku bukan aku tidak menangisi pemergian, cuma aku menangisi pemergian setelah semua orang di sekeliling aku melupakan apa yang terjadi. Setelah semua orang melupakan kesedihan dan meneruskan hidup seperti biasa, aku masih di sini, baru menyedari apa yang aku hilang. 


Setelah bertahun-tahun, air mata masih mengalir bila aku seolah-olah mendengar suara mereka memanggil namaku. Dan aku memilih untuk menangis bersendirian, bukan di hadapan orang lain. 


‘Bagus untuk Ikmal jika dia menangis sekarang. Lepas ni dia akan lebih mudah untuk move on,’ fikir aku sambil tersenyum. 


Aku lega kerana Ikmal tak seperti aku. Ikmal mampu untuk menangisi pemergian seperti orang lain. Dan aku akan sentiasa di sini membantu Ikmal. Kerana di dunia yang luas ini, yang aku ada kini hanya Ikmal. 



Previous: 4✓
Next: 6✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.