Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,334
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
7✓
Tajuk : Sukarelawan, Gelandangan, dan Anxiety.


FEBRUARI 2014



Hari itu hari Jumaat. Hari yang telah ditugaskan untuk aku mengikuti aktiviti sukarelawan jalanan. Kerana esoknya hari Sabtu dan aku tak perlu bekerja, maka aku memilih hari Jumaat malam untuk membantu. Lagi pula aku tidak perlu menghadiri banyak kelas semester ini. Semester ini lebih pada kajian dan perbincangan bersama pensyarah.


Selepas habis waktu kerja 5 petang tadi, aku telah bergegas pulang menempuh kesesakan jalan raya. Tempat yang aku tuju adalah Sentul. Di situ terletaknya markas kesukarelawanan kami. 


Sebaik sampai aku lihat telah ada lima orang ahli tetap yang sedang membungkus makanan di ruang tamu. Ahli baru dan lama dapat dibezakan dengan t-shirt yang dipakai. 


Aku memberi salam lalu masuk ke dalam rumah tersebut. Rumah teres dua tingkat yang di sewa untuk menjadi markas utama aktiviti sukarelawan. Aku terus tersenyum dan memberikan reaksi positif pada semua yang sedang berada di ruang tamu. 


Jujur aku katakan, andai mereka dapat membaca isi hati aku, pasti mereka tahu aku sebenarnya ketika ini dalam keadaan keliru kerana aku tak mampu mengingati siapakah antara sukarelawan-sukarelawan tersebut yang sepatutnya telah aku kenali minggu lepas. Aku masih ingat bahawa ada 3 orang yang sangat rapat dengan aku minggu lepas namun aku tak mampu mengenali mereka.  


Lalu hari ini keadaan menjadi janggal semula. Semua kerana aku.  


Dengan debar aku terus membawa kaki melangkah ke dapur untuk membantu kerja yang belum siap. Iya, sebenarnya aku lari dari merasa janggal. Aku perlu berlakon seperti tahu apa yang aku lakukan, atau dengan siapa aku berinteraksi. Apa yang perlu aku lakukan hanyalah berlagak seperti biasa dan jangan sesekali menyebut nama sesiapa lebih-lebih lagi jika aku tak yakin dengan siapa aku berinteraksi. 


Tepat jam 10 malam kami pun sampai di tengah bandar. Kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan. Meja disusun, barang diangkut, dan makanan mula diagihkan kepada para gelandangan yang sudah beratur dari tadi.


Manakala aku dan tiga orang sukarelawan lain diarahkan untuk membuat rondaan di sekeliling dan memberikan makanan kepada gelandangan yang tidak datang ke tapak beratur.


Aku menjadi semakin resah. Risau aku meninggi. Bagaimana jika mereka sedar bahawa aku tak mengingati mereka, gelandangan mahupun sukarelawan? Aku tidak dapat memastikan sama ada para gelandangan tersebut sudah beratur mengambil makanan atau tidak. Jika mereka beratur semula 10 kali pun belum tentu aku ingat. Anxiety aku mula menyerang. Tangan kiri aku mula menggigil lantas aku sorokkan di dalam poket sweater. Niat utama aku menyertai aktiviti sukarelawan ini adalah untuk belajar mengawal anxiety yang aku miliki. 


Perlahan aku menarik nafas dan menghembus. Cuba mencari logik dan keberanian. Lalu aku cadangkan kepada salah seorang sukarelawan tersebut supaya kami berpasangan memberikan makanan. Bertuah bagi aku kerana dia bersetuju. Jadi aku andaikan aku hanya perlu mengikut langkah dia. 


Selepas sejam kami pun akhirnya siap mengagihkan makanan. 

Aku teringat pada cerita yang aku dengar Jumaat lepas. Tentang seorang lelaki berumur 60 tahun yang kematian isteri dan anak-anaknya. Aku mengharapkan mungkin malam ini lelaki itu akan menegur aku. Tapi tiada siapa yang menegur. Dan aku tak tahu jika kami sebenarnya sudah berselisih terjumpa malam ini atau belum. Aku dan pasangan sukarelawan aku sudah pun pergi ke tempat di mana aku berjumpa lelaki itu minggu lepas, tapi tiada siapa di situ. 


Aku harapkan mungkin takdir akan pertemukan kami kembali jika umurku panjang. Aku juga harapkan moga lelaki itu sihat hendaknya. 


Pulang dari aktiviti malam itu, aku ternyata sangat letih. Badan dan otak. Inilah yang harus aku lalui hampir setiap hari di dalam hidup. Mengingati orang dan membina semula hubungan yang semalam seperti sahabat sejati, sedangkan hari ini seperti buku baru.


Previous: 6✓
Next: 8✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.