Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,329
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
9.2✓
Tajuk : Biarkan Aku Lari Hingga Puas (Bhgn 2)



JUN 2016



Jarak. Aku merupakan orang yang  mengekalkan jarak di dalam hidup. Aku tidak merancang jarak tapi bila aku sedar, ia sudah menjadi habit dalam diri aku.


Jarak yang aku maksudkan adalah jarak antara kamu dan aku.

Aku tidak sukakan sentuhan. Baik dari perempuan, mahupun lelaki. Walaupun dari kaum kerabatku sendiri. Aku hanya akan menyentuh seseorang yang aku percaya, atau bila aku merasa selamat bersama dia.


Kemudiannya jarak yang aku maksudkan juga adalah ‘pemilikan’. Contohnya; aku tak kan pernah makan makanan yang ada di pinggan kamu walaupun kamu menyuruh. Tapi aku tak kisah jika orang mengambil makanan dari pinggan aku. 


Juga topik perbualan. Apa yang keluar dari mulut aku adalah perkataan yang telah aku fikirkan jaraknya, sesuai mengikut siapa yang mendengar. Walaupun kadang kala ia membuatkan seseorang terasa hati kerana aku tak dapat membaca emosi mereka. Tapi ia tak akan pernah melebihi dari jarak yang sepatutnya.


Dengan mengekalkan konsep jarak ini, aku merasa selamat. Tetapi juga membuatkan tembok yang aku bina semakin tinggi.


Pernahkah kamu dengar ayat ini? Curiosity kills the cat. 

Akulah kucing yang telah terbunuh sekali itu. Walaupun masih berbaki 8 nyawa, aku tak merancang untuk terbunuh kali kedua atau ketiga kerana sakitnya kali pertama atau kedua atau ketiga, adalah sama sahaja. 


Kini aku berada di dalam kereta. Di tempat duduk pemandu. Memandang jauh ke hadapan. Kereta aku parkir di sudut tepi jalan. Hujan baru sahaja turun membasahi bumi. Sunyi mengelilingi  keadaan. Bunyi nafas di hembus lembut kedengaran dari tempat duduk penumpang di kiriku. Aku memandang sekilas Azhar yang kini berada di sebelah kiri aku, lalu aku buang semula pandangan ke arah gelap malam. Stereng kereta aku genggam erat walaupun enjin kereta telah aku matikan. Kami menyambung merenung malam bersama. Janggal rasanya berdua seperti ini, kerana senyap seperti menjerut leher aku. Aku mengharapkan bahawa aku tak perlu lagi dipaksa untuk menyuarakan apa yang aku rasakan atau apa yang aku fikirkan. Keadaan yang seakan memaksa membuatkan aku menarik nafas dalam kerana aku mula merasakan susahnya untuk bernafas seperti biasa. 


Selepas 4 tahun berlalu setelah aku ketawakan tangisan dia, aku tak pasti kenapa dia muncul semula. 4 tahun yang aku habiskan untuk berlari dari semua orang, akhirnya dia masih dapat menemukan aku. Tapi aku tak pasti untuk apa kerana aku tak mampu untuk faham apa yang bermain di fikirannya. 


Dia setakat yang aku tahu sudah berkahwin setahun yang lalu. Aku telah mengucapkan tahniah. Aku juga telah menyatakan sokongan untuk dia bertunang dari awal lagi kerana bagi aku isterinya sekarang adalah pilihan yang lebih bagus berbanding dari bekas kekasihnya dahulu. Dan kami masih bukan teman rapat, setakat yang aku tahu. Aku telah membuang segala tentang dia dari hidup aku sejak 4 tahun yang lalu, sama seperti aku membuang kenangan tentang orang lain. Jarak yang aku cipta kini untuk dia sudah lebih menebal dari yang wujud 4 tahun lepas. 


Jadi untuk apa dia datang kembali? 


Perlahan dia bersuara memecah kesunyian. Dia mula membicarakan soal hati dan perasaan. Sungguh aku tak mengerti. Aku selama ini tidak tahu bahawa dia ada menyimpan perasaan pada aku. Aku kirakan sebelum ini bahawa dia hanya memerlukan teman untuk mendengar segala kesunyiannya. 


Ajakannya untuk menjadikan aku isteri kedua bulan lepas aku ketawakan sepi, kerana ia terasa seperti gurauan pada aku. Salah aku juga melayan gurauan seperti ini.


Otak aku mula berfikir, bagaimana harus aku katakan supaya dia faham bahawa dia perlu berhenti mengejar aku?


Ah.. sudah… ini yang aku lemah. Azhar mula menunjukkan reaksi bahawa dia sedang menahan tangis. Aku rasakan bahawa lelaki di sebelah aku ini suka benar menangis. Tapi bukan juga salah dia. Salah aku kerana aku tak pernah mampu menyatakan apa yang perlu pada waktu yang tepat. Apa yang perlu aku lakukan? Bagi aku ketika ini, berkata-kata itu lebih susah dari berdiam diri. Tapi aku perlu menghentikan semua ini. 


Lagi pula aku tak akan pernah mengambil hak orang lain. Prinsip ini masih aku genggam utuh. Dan aku tak mungkin menerima seseorang yang tak aku percayai, apatah lagi untuk sayang.


"Untuk apa semua ni? Masa untuk kita dah lama habis. Peluang yang saya bagi dah lama tamat. Tak ada apa yang dapat ubah apa yang dah jadi. Jadi saya mohon… lepaskan semuanya. Anggaplah apa yang pernah ada antara kita sebagai pengajaran. Walaupun sejujurnya saya tak pasti apa yang pernah ada antara kita."


Dengan pahit aku ungkapkan apa yang aku rasa perlu tika ini. 

Aku tak pasti apa yang dia rasakan ketika mendengar apa yang aku katakan. Aku tak mampu merasai walaupun aku pandang tepat ke matanya. Sungguh aku menyumpah empatiku yang lari meninggalkan tugas. Dan aku menyumpah kebodohan diriku memahami emosi. Mungkin jika aku faham segalanya 4 tahun yang lepas, mungkin.. Mungkin akhiran kita tak seperti ini. 


Bait kata yang keluar dari mulut membawa bersama beban yang tergalas sejak 4 tahun lepas. Biarlah dia tahu bahawa aku pernah menyimpan rasa, namun masa yang aku berikan pada dia sudah mencapai tarikh tamatnya. Perasaan lega membuatkan air mata aku mengalir perlahan di pipi. Aku tak tahu kenapa ia mengalir. Aku tak merasa takut kehilangan, aku tak merasa sayang pada dia. Cuma aku merasa lega terlepas dari beban. 


Bergelodak pemikiran aku tika ini. Logik aku sentiasa berkata bahawa bukan dia yang aku tunggu selama ini. Bukan dia yang mampu membuatkan aku tersenyum ketika menangis. 


Itulah kali terakhir aku bertemu dia. Kini aku bebas berlari ke mana sahaja aku mahu. Tapi kenapa aku merasakan kosong setiap kali aku menoleh ke belakang? Adakah aku masih mengharapkan bahawa dia akan berada di belakang mengejar aku? Kini aku akan menyambung semula larian aku yang terhenti.


Previous: 9.1✓
Next: 10.1✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.