Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,344
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
13.4✓
Tajuk : Don't Judge My Blindness (Bhgn 4)



OKTOBER 2013



Kenderaan pacuan empat roda Toyota Alphard berwarna putih dilihat berhenti di hadapan pagar rumah teres dua tingkat itu. Aku yang sedang mengunci pintu pagar rumah segera mengangkat 2 buah beg dan bekal makanan yang telah aku sediakan pagi tadi ke arah kereta. Pintu kereta bahagian pemandu dilihat terbuka dan seorang lelaki keluar dari kenderaan tersebut. 


Senyuman lebar diberikan oleh aku kepada lelaki itu kerana aku yakin itu Brian. Hanya ada dua orang lelaki di dalam kumpulan kami, jika bukan Lutfi Ikram, maka sudah tentulah ianya Brian. 


Brian segera membantu aku membawa masuk 2 buah beg tersebut ke dalam bahagian belakang kereta. Satu beg pakaian dan satu lagi adalah beg set DSLR aku. Setelah itu aku membuka pintu kereta bahagian kiri di tempat duduk belakang. Kelihatan Maria duduk di belakang tempat duduk pemandu, manakala Elana sedang duduk di belakang Maria. MPV 8 tempat duduk ini kelihatan luas dengan hanya kami berlima. 


Destinasi yang dituju mengambil masa lebih kurang sejam lebih untuk sampai, jika tanpa kesesakan lalu lintas. 


“Korang dah breakfast ke belum?” tanya aku kepada mereka berempat.


Bermacam-macam jawapan aku terima. Riuh kenderaan seketika. Yang pastinya hanya Maria yang sempat untuk makan sekeping roti tadi sebelum dijemput oleh Brian. Aku bertanya kepada Brian, jika mahu makan sekarang di dalam kereta atau tunggu sahaja bila sampai nanti. Lagi pula ini bukan kenderaan aku, jika Brian tidak suka sesiapa makan di dalam keretanya, masakan aku akan melakukannya. 


“Makan sekarang lah. Nanti bila kita sampai, program dah start. I’m so hungry.”


Aku segera mengeluarkan bekal makanan yang telah aku sediakan. 5 set semuanya. Aku menghulurkan kepada setiap seorang dari mereka. 


“Saya masak berat pagi ni sebab nanti confirm masing-masing lapar nak tunggu lunch,” terang aku. 


Set nasi lemak ayam goreng yang aku sediakan ternyata membuka selera makan mereka. Lutfi membantu menyuapkan Brian yang sedang fokus dengan pemanduan. Ketawa usikan bergema di dalam kenderaan. Perjalanan kami teruskan dengan perbualan santai dan sesekali menyanyi riang mengikut alunan suara radio. Sesekali aku lihat Lutfi Ikram memandang aku dari sudut cermin sisi kiri kenderaan. Aku hanya membiarkan.



Sejam lebih kemudian kami memasuki kawasan yang agak terpencil dan dikelilingi hutan. Aku segera minta izin kepada Brian untuk membuka cermin tingkap di sebelahku. Angin segar menderu masuk. Beza sungguh udara di kawasan bandar dan di kawasan hutan. Lapang pemikiranku.


Dua buah bas sudah tersadai di kawasan parkir. Juga beberapa kenderaan pacuan empat roda. Aku andaikan pasti peserta-peserta yang lain sudah sampai dan mendaftar. Kami segera mendaftar diri dan masuk ke dalam dewan yang disediakan. Beg pakaian masih di dalam kenderaan kerana kami masih belum diberikan kunci bilik masing-masing. 


Program pagi itu berjalan santai dan efisien. Selepas mendengar taklimat dan arahan, kami dipecahkan mengikut 15 buah kumpulan besar, di mana setiap kumpulan memiliki 10 orang ahli. Seperti takdir rasanya kerana aku dan Lutfi Ikram ternyata jatuh dalam kumpulan yang sama. Sesungguhnya aku sebenarnya merasa lega, sekurang-kurangnya ada seseorang yang aku kenali yang boleh membantu aku. Jika tidak pasti stress aku meninggi. 


Tepat sahaja ke pukul 12.30 minit tengahari, pihak pengurusan pun melepaskan kami untuk mendaftar bilik masing-masing. Kami juga diingatkan untuk turun makan tengahari pada pukul 2:00 petang nanti, iaitu selepas Zohor. 


Ternyata aku berkongsi bilik dengan 3 orang wanita lain yang tak aku kenali. Aku hanya tersenyum memberi salam ketika masuk ke dalam bilik. Bilik yang disediakan dengan 2 buah katil double decker memuatkan 4 orang dalam satu bilik. 4 buah almari juga tersedia, membolehkan setiap seorang dari kami menggunakan almari tanpa perlu dikongsi. 


Bunyi mesej dari whatsapp mengalihkan perhatian aku. Ternyata Elana, Maria, Brian, dan Lutfi sedang berbual didalam group whatsapp, untuk berjumpa di kafe pada pukul 2:00 petang nanti. Aku iyakan sahaja. 


Ternyata aku dapat katil di tingkat atas. Aku segera naik ke atas katil dan baring sejenak. Kedengaran suara dua orang dari ahli bilikku sedang rancak berbual. Aku jangkakan mereka sudah mengenali satu sama lain dari awal. 


Angin malas untuk bergaul aku datang menyerang. Aku segera mencapai telefon bimbit dan set alarm untuk bangun solat zohor nanti. Entah bila aku tak sedar, aku sudah terlena. Keletihan semalaman tidak dapat tidur membuatkan aku tidak menghiraukan keadaan sekeliling. 



Previous: 13.3✓
Next: 13.5✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.