Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,328
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
3✓
Tajuk : Cebisan Memori Yang Hilang.


OGOS 2010


Masih ingat aku lagi?

Iya. Aku yang celaru dan keliru tentang dirinya. Hari ini perkara yang menyebalkan itu jadi lagi. Bukan lagi kali pertama. Tapi masih memeranjatkan diri aku. Seolah aku tak akan pernah terbiasa. 


Seorang lelaki kini duduk di hadapan aku. Dia kelihatan sedang berbual ringan dengan 3 orang rakan aku. Aku bertanya kepada diri sendiri, bagaimana lelaki ini boleh duduk di hadapanku kini? Adakah aku mengenali lelaki ini? 


Kisahnya mula apabila lelaki ini tiba-tiba menghampiri meja kami berempat lalu bertanyakan kepada aku arah ke bilik canselor. Iya, hanya kepada aku. Seolah-olah dia mengenali aku. Dan aku tanpa segan silu menjawab pertanyaannya. Aku memang mesra alam. Luaranku. Lagi pula lelaki ini tidak menyebut nama aku, cuma caranya seperti dia mengenali aku. Jadi aku andaikan dia hanya orang awam yang bertanya arah. Tapi kemudiannya lelaki ini terus duduk di meja kami berempat sambil berbual kosong. 


Oh iya, ketika ini kami sedang duduk di tengah foyer bangunan fakulti sementara menunggu kelas petang untuk mula. 


Kini fikiran aku masih ligat berfikir. Apakah aku mengenali lelaki ini?


Aku tidak tahu namanya dan aku tak rasa memoriku wujud dia.

Selepas 10 minit teragak-agak, akhirnya barulah aku mampu bertanya. 


“Kita kenal ke? Macam pernah tengok?”


Dan ternyata dia memandangku dengan ekspresi wajah yang terkejut. Iya, mungkin sedikit tersinggung. Lalu berkata;


“Eh, aku kan ajar kau english class sem lepas?”


Nada suaranya yang agak tinggi membuatkan aku terdiam. Kalau aku teruskan berkata-kata, mungkin mereka di sekeliling akan menyedari bahawa aku sememangnya tak mengingati lelaki itu sedangkan baru 3 bulan lepas kali terakhir kelas english aku. 


Sebal. Sungguh menyebalkan. Ketika itu aku merasa hairan bagaimana otak aku berfungsi. Kenapa perlu otak aku memadam perkara yang baru berlaku tapi menyimpan peristiwa lama. Apatah lagi otak aku hanya menyimpan emosi dan bukan butiran yang penting. Dan seperti aku nyatakan dari awal, ini bukan kali pertama aku melupai kewujudan seseorang. 


Aku masih normal bukan?

Ya, aku masih manusia normal. Cuma memoriku celaru. 


Seingat aku kali pertama aku betul-betul menyedari bahawa aku melupai kewujudan seseorang adalah ketika aku berumur 18 tahun. Ketika itu aku bekerja secara sambilan di sebuah kedai serbaneka 24 jam. Seorang pelanggan datang dan menegur aku.


"Hidayah. Buat apa kat sini? Lama tak jumpa!”


Suaranya yang agak tinggi menarik perhatian aku. Aku memandang dia dengan pandangan aneh. Namun tangan aku masih ligat mengira harga barangan di atas kaunter bayaran.


Selepas berfikir sejenak, ternyata aku tak dapat mengingati nama dia atau memori tentang dia. Tetapi emosi aku mengatakan bahawa dia pernah berada di sekeliling aku. Aku sendiri merasa was-was dengan diri aku. 


Lalu aku bertanya, “Kita kenal ke?”


Dia dengan berwajah terkejut dan nada yang tinggi berkata;


“Tak ingat ke? Kita kan satu kelas masa tingkatan 3?”


Aku memilih untuk diam dan menggeleng.


Dia terus-terusan mendesak aku mengingatinya. Tapi aku gagal. Akhirnya dia membayar harga barang dan berlalu. 


Malang bagi aku kerana ketika itu pengurus aku berada di kaunter juga, sedang mengira jumlah rokok. Jadi pengurus aku melihat apa yang terjadi sebentar tadi. Sungguh aku tak dapat melupakan pandangan dan pertanyaan pengurus aku ketika itu.


“Hidayah, kenal ke dengan orang tu?”


Nada dan pandangan  pengurus aku untuk aku ketika itu adalah seolah-olah aku ini pelik.

Kerana sebetulnya orang itu menyebut nama aku dengan betul. Jadi mestilah dia sememangnya mengenali aku. Lagi pula baru 2 tahun lebih berlalu dari tingkatan 3, sepatutnya mana mungkin aku lupa kawan sekelas aku. 


Ingin aku jelaskan di sini bahawa, aku masih manusia biasa. Cuma memori aku keliru. Emosi aku menambahkan kekeliruan apabila ia cuba menggantikan memori aku sebagai petunjuk. 


Dan beberapa kali lagi selepas itu perkara sama terjadi. Walaupun pada orang berbeza. Otak aku seolah-olah bermain-main dengan memori aku.

Previous: 2✓
Next: 4✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.