Home Novel Alternatif #AntologiDarius
#AntologiDarius
JejakaTerpujiSyurga
16/8/2017 11:35:33
44,549
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Bab 12

5 TAHUN LALU

KUALA LUMPUR

Di salah satu universiti awam Malaysia


Kelihatan kelibat dua jejaka sedang berada betul-betul di pintu masuk universiti tersebut sambil menyerahkan segala dokumen yang dipinta oleh pengawal keselamatan. Salah seorang sedang memimpin beg pakaian yang agak besar manakala seorang lagi kini baru beredar dari pondok pengawal menuju ke kenderaannya yang diletakkan di ruang menunggu.

“Akhirnya tamat juga pengajian kita di sini,” ujar salah seorang mereka.


“Ingatkan kau kena extend semester tapi nampaknya tidak.” Sindir seorang lagi.

“Hey, come on la.. Aku boleh jer kalau aku betul-betul serius.” Jawab lelaki tersebut.

“Masalahnya, kan senang dari awal kau betul-betul serius, bukan minit-minit akhir baru kau bersungguh. Ini pun sebab kau broken.” Balas kembali sahabatnya itu.

“Macamlah kau tak pernah buat. Kang aku ungkit pasal Naqiela baru tau.”

“Cis, berani kau guna hujah tu dekat aku ye Farhain. Ye la, memang salah aku. Mengharapkan cinta aku berbalas sedangkan aku sedar siapalah aku. Naqiela anak salah seorang usahawan ternama di Malaysia ini. Aku ni cuma anak kacukan jer. Tapi kisah tu 2 tahun yang lalu.”


“Buat dah perangai dia. Tak payah la keluar ayat sedih.Sekarang ni, kita dah habis pengajian. Apa yang patut kita lihat adalah masa depan kita,” kata Farhain sambil tangan kanannya diletakkan di atas bahu rakannya itu.


“Betul, apa rancangan kau lepas ni?” Soal Darius pada Farhain.


“Aku ingat nak cari kerja sesuai dengan bidang kita. Aku nak cuba majukan teknologi negara kita setanding dengan negara-negara maju.”

“Impian kau dahsyat ek. Aku ingat aku nak bincang dulu dengan mak aku. Lepas tu baru aku fikir apa yang aku nak buat. Aku risau kalau aku kerja di bandar, siapa nak tengok mak aku di kampung.”

“Apa susah, kau bawa je la dia duduk di bandar.”

“Kau kata memanglah senang. Masalahnya mak aku tak suka duduk di bandar. Lagipun mak aku masih harap ayah aku akan pulang satu hari nanti.”

“Bukan ayah kau dah lama hilang ke?”

“Memanglah, tapi mak aku masih percaya yang dia masih hidup di luar sana. Sedangkan aku dah pasrah bahawa ayah aku mungkin dah tiada di dunia ini.”

“Oklah macam tu, apa kata aku hantar kau ke stesen bas?” Pelawa Farhain kepada Darius.

“Eh, tak payahlah. Aku boleh pergi sendiri. Aku sebenarnya nak cari barang sikit sebelum nak balik ni. Sebagai buah tangan kepada mak aku di kampung.”

“Kalau kau kata macam tu, aku tak boleh kata apa dah. Apa-apa nanti kau hubungi aku kalau kau perlukan bantuan.”

“.Kau hati-hati bawak kereta tu. Kirim salam aku kepada mak ayah kau.”

“Baiklah. Jaga diri,” kata Farhain sambil masuk ke dalam kereta miliknya lantas pergi meninggalkan Darius.


Akhirnya setelah 5 tahun di menara gading, tibalah masanya untuk aku meninggalkan alam pengajian yang penuh dengan pahit manis. Di sinilah aku belajar erti cinta, persahabatan, persaingan dan sebagainya. Moga semua itu dapat menjadi bekalan diri untuk menempuh alam pekerjaan yang bakal lebih mencabar.


Setelah 10 minit menunggu, kelihatan sebuah kereta yang menawarkan khdimat e-hailing tiba setelah aku memesan melalui aplikasi di telefon pintarku. Pemandu tersebut menyapa dengan penuh mesra dan membantuku memasukkan barang ke dalam kereta tersebut. Sebaik masuk ke dalam kenderaan, aku sekali lagi memandang bangunan universiti tersebut buat kali terakhir.


Sejurus tiba di TBS, aku membeli tiket bas ke kampung terlebih dahulu untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini. Setelah selesai, aku membuat keputusan untuk menyimpan barang di kaunter simpan barang yang disediakan di terminal tersebut lalu pergi meninjau kedai yang ada untuk mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung halaman.


Akhirnya setelah sejam meronda, aku membuat keputusan untuk membeli bakul hasil kraftangan daripada rotan sebagai buah tangan kepada ibu tersayang. Aku lihat waktu yang tertera pada tiket bas yang dibeli. Tinggal 30 minit sahaja lagi bas yang bakal dinaiki akan tiba. Segera aku kembali mendapatkan barang yang disimpan di kaunter sebelum ini lalu menuju ke balai perlepasan yang dinyatakan.







Perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan ke Sungai Petani memakan masa sekurang-kurangnya selama 6 jam. Mujurlah bas tersebut membuat perhentian di rehat dan rawat. Dapatlah aku membasuh muka setelah dibuai mimpi ketika berada di dalam bas tadi. Aku juga sempat melakukan solat jamak di surau yang agak sesak ketika ini. Diriku sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan emak yang sudah hampir berapa bulan tidak ku temui.


Tanpa disedari, aku telah tiba ke destinasi. Setelah mengambil bagasi dan barang keluar daripada bas, aku mula memesan khidmat kereta e-hailing melalui aplikasi yang telah aku pasang pada peranti pintar di tangan aku. Tempahan tersebut menunjukkan bahawa dalam tempoh 5 minit kereta tersebut akan tiba. Secara jujurnya, bukan tiada perkhidmatan teksi di sini, cuma kadangkala cas yang dikenakan lebih mahal berbanding cas yang ditawarkan oleh perkhidmatan e-hailing. Andai syarikat-syarikat teksi ini tidak mengubah kaedah dan mengadaptasi saingan ini, nescaya mereka akan gulung tikar pada masa akan datang.


Untuk pengetahuan, Sungai Petani merupakan salah satu bandar yang terletak di dalam daerah pentadbiran Kuala Muda. Ia juga dikatakan sebagai bandar terbesar di dalam negeri Kedah. Ia terletak 55 kilometer dari selatan Alor Setar dan 33 Kilometer dari utara timur George Town. Populasi penduduk pada tahun 2010 mencecah 444,000 penduduk. Antara faktor penyumbang kepada kepesatan penduduk di Sungai Petani adalah jaraknya yang strategik kepada individu yang mempunyai pekerjaan di Pulau Pinang. Ini kerana kos hidup yang lebih murah dan nilai hartanah yang lebih rendah berbanding di Pulau Pinang membuatkan Sungai Petani sebagai bandar yang menjadi pilihan untuk didiami. Apatah lagi bandar ini tidak kurang dari segi kemudahan seperti kompleks membeli belah, kawasan rekreasi dan sebagainya.


“Dik, kita dah sampai.” Tegur pemandu e-hailing kepada aku yang tidak menyedari bahawa aku telah sampai ke kampung halaman. Aku mengeluarkan wang tunai untuk bayaran perkhidmatan yang diberi.


“Terima kasih.” Aku menzahirkan perasaan aku kepada pemandu tersebut sebagai tanda puas hati di atas khidmat yang diberikan. Aku terus keluar dan mengambil barang aku daripada bonet sebelum melihat rumah yang berada di hadapanku. Rumah kampung kayu dengan hasil seni Melayu tradisional. Masih utuh berdiri walaupun sudah beberapa generasi yang mendiami.


“Assalammualaikum. Mak, Darius dah pulang.” ucapku.


Kepulangan aku tidak diketahuinya kerana ketiadaan perkhidmatan talian telefon di dalam rumah. Mak juga tidak reti untuk menggunakan telefon pintar kerana katanya susah. Jadi aku cuma berhubung melalui surat sebulan sekali. Kedudukan rumah ini yang agak jauh daripada rumah jiran yang lain juga menyukarkan aku untuk memohon bantuan daripada mereka meninjau keadaan mak di kampung.


Salam aku masih tidak berbalas. Aku dapat rasakan bahawa keadaan ini agak pelik. Terlalu sunyi. Biasanya aku dapat dengar bunyi daripada televisyen atau ayam yang dibela oleh mak berkokok pada waktu ini. Aku mengambil keputusan untuk naik ke rumah terlebih dahulu. Setelah aku lihat dengan teliti, kelihatan pintu rumah ini telah dipecahkan. Aku mula risau. Aku segera terus masuk ke dalam rumah dan mencari emak.


“ Mak, Mak? Mana Mak?!!” Jerit aku seperti orang gila.


Kelihatan rumah ini seperti berlaku satu pertelingkahan besar. Banyak barang rumah berselerak dan tidak terurus. Aku lantas cuba menggeledah setiap bilik yang ada namun aku tidak menjumpai apa-apa. Tiada badan manusia ditemui. Aku berasa lega sekurang-kurangnya aku tahu bahawa mak masih ada harapan untuk hidup.


“Nampaknya sasaran kita sudah muncul,” ujar suara misteri dari belakang aku.


Aku yang terkejut dengan suara tersebut dengan pantas memalingkan badan ke arahnya. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat seorang lelaki warga asing dengan badan yang agak sasa berdiri terpacak bersama dengan tiga orang lagi di belakangnya. Berdasarkan rupanya, aku syak mereka merupakan warga asing dari Jepun. Namun mampu bertutur dengan baik di dalam Bahasa Malaysia. Cuma persoalan yang bermain di fikiran aku, apa yang mereka mahukan daripada aku?


Belum sempat untuk aku bertindak, aku dapat rasakan badanku menjadi lemah. Penglihatan aku mulai kabur. Nampaknya aku mungkin telah terhidu asap bahan yang mampu membuatkan aku pengsan. Tapi, bila? Adakah ini pengakhiran aku? Aku tewas dan kini terbaring di lantai rumah.


“Hei kamu bertiga, angkat dia masuk ke dalam kereta kita. Beritahu juga pada ketua bahawa kita sudah dapat sasaran kita,” arah lelaki sasa itu kepada anak buahnya. Lantas mereka menurut arahan dan memapah Darius yang terbaring tadi menuju ke kereta mereka yang berada di luar rumah. Lelaki sasa itu pun terus meninjau rumah tersebut bagi mencari apa-apa yang berguna.


“Nampaknya Ryuzaki tidak pulang ke sini. Tiada sebarang kertas kerja dia berada di sini. Pasti dia mahu mengelakkan daripada keluarga dia daripada terlibat. Tapi dia silap. Anaknya kini telah berada dalam genggaman kita semula. Projek yang sekian lama tertangguh boleh diaktifkan kembali,” kata lelaki sasa itu sendirian.


“Kurosaki-san, sasaran dah pun berada dalam kereta. Ada apa-apa lagi yang tuan mahu kami lakukan?” Lapor anak buahnya.

“Baiklah, mari kita beredar. Kita tidak mahu ada orang dapat menghidu kehadiran kita di sini. Arahkan semua untuk meninggalkan kawasan ini tanpa menimbulkan syak.

“Baik Kurosaki-san,” balas anak buahnya dan terus beredar.


Sedang mereka bergerak meninggalkan rumah tersebut, kelihatan satu lembaga manusia melihat perbuatan itu. Lembaga manusia tersebut di dalam lingkungan 40-an, dengan wajahnya berjambang lebat. Dia hanya memerhati mereka dari jauh.


“Nampaknya mereka benar-benar serius. Kurosaki-san sendiri yang mengepalai misi kali ini.”


“Kau rasa apa yang kau buat ni adalah tindakan yang paling tepat?” Soal suara dari hologram yang muncul di belakangnya. Hologram manusia yang memakai topeng muka terus memandang tepat ke arah lembaga manusia tersebut.


“Ya, ini adalah tindakan yang paling tepat. Berdasarkan panduan daripada I.K.A, ini sahaja cara untuk menyelamatkan umat manusia pada masa akan datang.” Jawab lembaga tersebut dengan serius.


“Jika itu keputusan kau, aku tak mahu kata apa-apa. Aku dah janji akan bantu kau sedaya upaya aku sebab dah selamatkan aku daripada klan Yamaguchi. Aku cuma nak lihat kehancuran klan Yamaguchi. Itu sahaja,” balas hologram tersebut.


“Aku yakin mereka tidak akan menyiksa Darius kerana mereka mahukan teknologi yang ada di dalam badannya. Namun, jika sesuatu berlaku, aku sudah bersedia dengan rancangan aku.”

“Yelah. Aku juga dah pastikan ibu Darius selamat. Cuma berkenaan dengan kesihatannya, aku tak dapat buat apa-apa.”

“Terima kasih. Aku tahu ini bukan sesuatu yang mudah namun ini sahaja cara untuk kita menghalang rancangan jahat klan Yamaguchi dan New World Order. Aku nak kau pastikan dalam tempoh dua tahun ini, kau berjaya siapkan mesin yang aku reka.”


“Yelah, tapi kau akan buat apa?” Soal manusia bertopeng tersebut.


“Aku akan mencari rakan sekutu dan juga melakukan persediaan sepanjang tempoh ini. Semuanya cuma akan dapat dijalankan jika Darius berjaya dengan ujiannya bersama dengan klan Yamaguchi.”

“Aku cuma risau kalau klan Yamaguchi dapat hidu apa yang kau cuba buat.”

“Sebab itu aku tak mahu Darius tahu apa-apa. Aku juga mahu mereka fokus mencari ayah Darius yang telah membawa lari teknologi yang mampu membuatkan mereka mendominasi dunia.”

“Aku harap begitu. Darius tu masih remaja. Apa yang bakal dia harungi pasti akan meninggalkan calar dalam kehidupannya.”

“Kita semua terpaksa. Jika kita masih mahu melihat sinaran matahari menyinari hari-hari kita.”


Lembaga manusia itu melihat ke arah matahari yang kini semakin rendah dari langit. Kemudian, dia terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut masuk ke arah belukar yang tebal.


Previous: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.