Home Novel Alternatif WANITA
WANITA
Jung Siti
6/7/2021 15:00:58
65,102
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Bab 7

WANITA VII


              Yaya melihat suasana di luar yang sudah tidak hujan. Yaya keluar dari kedainya dan menghulurkan sebelah tangan untuk merasakan jika masih ada lagi air hujan.


              ‘Orait!’, Yaya masuk kembali ke dalam kedainya lalu bersiap-siap untuk keluar. Dia membawa beberapa barang juga. Sarung tangan getah dipakai awal-awal. Yaya keluar dari kedai dan mengunci pintu kedai hadapan. Yaya berjalan di laluan tepi jalan itu. Lorong-lorong yang berada di sebelah malap-malap sahaja. Dia melihat kawasan jalan pula, juga sama. Lampu jalan mudah tidak beberapa cerah. Mentolnya malap-malap.


              ‘Hmm Dato’ Bandar ni nak tunggu mentol terbakar baru nak tukar ke? Mentang-mentang sini kawasan lama…’, getus hati Yaya sambil matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Entah kenapa malam ini, laluan terasa lengang sekali. Padahal belum, tengah malam lagi. Baru pukul 9 malam.


              ‘Mungkin ramai tidur awal’.


              ‘Kedai burger hujung tu pun tak buka’.


              Yaya berbicara di dalam hatinya.Tiba-tiba terasa angin bertiup kencang, melaluinya.


              ‘Hish… seram pula rasanya’, keluh Yaya mula berjalan pantas. Sambil berjalan otaknya berfikir, ‘nak cari malam ni ke? Atau cari esok?’.


              ‘Tapi esok lagi sibuk…’.


              ‘Takut tak sempat, sekarang tengah rajin…’.


              “Cik…”, satu suara bergema dibelakangnya sambil menepuk bahu.


              “OOOHHHH MAKK KAUUU!!”, Yaya terkejut besar.


              “Emm cik?”, tegur seorang wanita yang berpakaian polis.


              “Ha ha ha ha… Ingatkan apa tadi. Saya risau penjahat ke apa… Rupanya Puan Polis… Maaf ada apa yang saya boleh bantu ni?”, kata Yaya lega sambil menenangkan dadanya yang berdegup kencang.


              “Boleh saya tahu cik buat apa dekat luar malam-malam ni?”, tanya polis itu.


              “Saya nak cari bahan terpakai dekat tong sampah sebenarnya. Dekat kawasan sampah yang untuk besi-besi tu. Katanya ada robot terbuang…”, kata Yaya sambil menunjukkan kereta sorong besar yang dibawanya.


              “Emm ada nampak… orang lalu tak? Maksud saya orang yang pelik… orang yang busuk ke? Yang baju dia macam pelik ke? Takpun robot yang tak ada tuan”, tanya polis yang lain pula.


              Yaya berkerut, “robot tak ada tuan?”.


              “Ya… maksud saya sesuatu yang peliklah… Awak ada nampak tak?”, terang polis itu lagi.


              “Emmm rasanya tak ada”, jawab Yaya.


              “Okay kalau macam itu baiklah. Hati-hati ya cik. Terima kasih”, kata polis itu lagi beredar bersama yang lain.


              “Ya ya… Sama-sama”, angguk Yaya lalu melihat polis-polis itu beredar.


              Yaya masih berkerut keliru melihat polis-polis yang beredar pergi itu.


              ‘Biarlah…’, Yaya mengangkat kening sebelahnya lalu meneruskan perjalanan. Lalu dia masuk ke dalam lorong yang membawanya ke tempat pembuangan pengumpulan besi-besi. Yaya berjalan masuk kedalam lorong itu dengan membawa kereta sorongnya lalu berhenti berdekatan dengan kawasan pembuangan di sudut dinding jalan mati itu.


              Yaya melihat-lihat robot-robot yang ada di tepi tong sampah.


              “Yang ni macam okay…”.


              Yaya membelek-belek lagi robotyang berada di sebelah sudut sana pula.


              “Yang ini tak…”.


              Yaya pergi semula ke sudut yang asal. Dia membelek-belek robot XY itu. Tiba-tiba, tangan sebelah robot itu terjatuh.


              Yaya terkejut, “alaa…”.


              Yaya mengangkat tangan besi yang terjatuh itu. Kemudian dia teringatkan Mira yang ingin membantunya jika ada masalah berkaitan robot.


              Yaya mengeluh dan berdiri tegak lalu meregangkan badannya. Kemudian dia membuka tong besar pula dan mencari-cari robot-robot yang masih elok.


              “Erghh…”, Yaya menggigihkan diri mengangkat robot-robot XY buangan yang berat itu. Yaya hendak membelek-belek robot. Mungkin ada yang elok di dalam tong ini. Fikirnya.


              Saat mendengar bunyi dari luar, Ben terjaga. Jantungnya berdegup kencang. Matanya dipejam rapat. Ben dapat mendengar bunyi robot-robot di atasnya dibawa keluar satu per satu. Jujur hati Ben demakin gundah.


              Adakah polis tadi kembali memeriksa?


              Apa yang perlu dibuatnya?


              Jika terus menyerang, dikhuatiri dirinya bakal langsung ditembak.


              Mungkin, dia hanya perlu berdiam sahaja. Jika dia ditangkap pun, mungkin risiko dibunuh itu lambat. Ben nekad untuk terus memejamkan mata.


              Sementara itu, Yaya sedang membelek-belek robot-robot yang dikeluarkannya.


              ‘Robot yang dalam tong ni lagi okay dari yang dekat luar… Mungkin dekat dalam tong tu ada lagi yang elok’,getus hati Yaya hendak melihat semua robot buangan yang ada. Senang buatnya untuk memilih mana yang terbaik.


              Yaya kembali memasukkan tangannya ke dalam tong untuk menarik-narik robot yang ada.


              Jantung Ben berdegup kencang apabila dapat merasakan ada tangan yang hendak menariknya dari atas. Ben bernafas tidak tenteram dek kerana degupan jantungnya yang sangat laju itu.


              “Beratnya robot yang ini!...”,keluh Yaya menarik Ben sekuat hati. Kemudian, roda tong itu patah sehingga menyebabkan tong itu terjatuh ke hadapan Yaya.


              “OHH TERKEJUT!!”, Yaya sungguh terkejut.


              Ben juga terkejut apabila tong itu terbalik menghadap ke tanah.


              Yaya tersengih. Dia rasa terhibur dengan dirinya.


              ‘Dasyatnya aku sampai tergolek tong ni’, sengih Yaya. Tanpa membuang masa, Yaya membongkokkan diri dan menarik Ben keluar dari tong itu.


              Ben masih mendiamkan diri apabila merasakan orang yang menarik dirinya dari tong itu. Ben kaku.


              Saat Yaya melihat Ben, Yaya terdiam sebentar.


              “Wahhhh gred apa ni?”, Yaya kagum sambil membelek-belek Ben.


              Ben yang mendengar tertanya-tanya,‘gred?’.


              “Siapalah yang buang robot XY high class macam ni dekat tong besi? Mesti tersangat kaya tu…”, kata Yaya yang masih membelek-belek Ben. Yaya menerbalikkan Ben dan menggosok-gosok belakang Ben.


              ‘Robot? Ohh mungkin dia ni bukan pengawal…’, fikir Ben hendak menyamar dahulu. Kemudian dia akan mencari jalan untuk melarikan diri kemudian. Mungkin wanita ini boleh menjauhkannya dari menjadi buruan pengawal atau polis yang berada di atas sini. Ben berfikir.


              ‘Ohkk!’, fikiran Ben terganggu saat Yaya mengetuk-ngetuk belakangnya dengan agak kuat.


              “Woahh… ini kalau ada robot ni…lagi produktiflah bisnes aku”, kata Yaya perlahan tetapi masih dapat didengari Ben.


              Walaupun agak sakit, tetapi Ben terasa sedap seperti diurut pula belakangnya itu. Berbaloilah lariannya dari penjara yang menyeksakan barusan tadi. Walaupun sedikit, tetapi membantu sendi-sendinya yang lenguh.


              Ben membiarkan saja dirinya saat Yaya mengheretnya masuk ke dalam satu kereta sorong yang besar.


              Setelah Ben diletakkan ke dalam kereta sorong itu. Ben dapat merasakan angin malam yang menenangkan sepoi-sepoi melaluinya menggodanya untuk membuka mata tetapi Ben menahan keinginannya.


              ‘Sabar Ben… Bukan sekarang’.


              Sementara Yaya pula tersenyum gembira sambil memandang hadapan. Kemudian matanya memandang robot yang dibawanya itu.


              “Wahhh… berseri kedai aku lepas ni. Dah ada robot yang bantu… Mudah kerja aku… Nanti balik kau sambung tidur dekat kafe ya… Kesian pula robot mahal-mahal tidur dalam tong besi. Esok pagi I will mempomen you alright. Harap kau tak rosak”.


              Ben hanya diam saja mendengar kata-kata wanita yang membawanya.


              Kemudian Yaya berhenti meletakkansebentar kereta sorong itu.


              “Ughh berat…”.


              Saat Ben terdengar begitu, hatinya agak terusik.


              ‘Memanglah aku berat... Aku bukannya robot besi buang, aku orang macam kau juga’, getus hati Ben.


              Kemudian, Yaya menggosok-gosok kepala Ben lalu sambung membawa kereta sorong itu.


              Fikiran Ben kembali terdiam saat merasakan wanita itu mengusap-usap kepalanya. Ben langsung kaku.


              “Kalau kau tak rosak… tak payah aku bawa kau jumpa Mira dengan kawan dia… Tak adalah susahkan mereka”, senyum Yaya.


              Setelah kembali ke kedai, Yaya membuka pintu hadapan kedai dan membawa sekali kereta sorong yang besar itu masuk ke dalamnya.


              Yaya meletakkan saja kereta sorong yang berisi Ben di dalam kawasan kedai. Kemudian Yaya kembali menutup pintu kedai itu dan menguncinya. Setelah itu Yaya berdiri tegak di hadapan meja minum lalu meregangkan badannya. Yaya menguap.


              “Letih pula hari ini…”, kata Yaya lalu beredar pergi naik ke tingkat atas untuk sambung berehat di bilik.


              Ben yang menahan matanya daripada dibuka dapat merasakan bahwa wanita tadi sudah tiada. Beberapa minit selepas ketiadaan wanita itu, Ben perlahan-lahan membuka mata. Ben memandang keadaan sekeliling. Dia berada di dalam sebuah kedai. Suasana kedai itu gelap, lama kelamaan retina matanya mengembang dan dapat melihat suasana kedai kafe bunga itu dengan panduan cahaya bulan yang menerpa ke dalam kedai itu.


              Ben keluar dari kereta sorong itudan berjalan-jalan melihat kawasan lot kafe kecil itu. Terdapat juga bunga-bungaan yang direndam di satu sudut. Kemudian Ben masuk ke dalam kawasan juruwang pula dan melihat-lihat alat pembuat air yang berada di situ. Ben berjalan lagi melihat-lihat kerusi meja yang berada di situ.


              Kemudian matanya terpandang satu kawasan duduk yang kerusinya panjang dan mempunyai kusyen.


              Tanpa sedar Ben turut menguap. Fikirannya langsung membawa badannya pergi ke arah kerusi panjang itu. Ben merebahkan diri di kerusi itu dan matanya memandang siling. Sungguh hari ini hari yang paling panjang dalam hidupnya. Ben juga terfikir, adakah ini mimpi atau realiti? Dia tidak tahu apa yang akan terjadi padanya esok hari. Jika difikir terlalu mendalam, pastilah Ben sentiasa berasa khuatir kerana bahaya itu ada di mana-mana. Tetapi sudah terlalu banyak yang dihadapinya pada hari ini dan Ben rasa bersyukur yang dirinya masih hidup.


              Apa-apapun yang terjadi padanya esok, yang penting hari ini dia masih hidup. Fikir Ben lalu menutup matanya perlahan-lahan.


**

              Ben tidur lena di atas kerusi panjang itu. Tiba-tiba dinding-dinding kaca kedai itu pecah di tembak oleh sepasukan pengawal dari luar. Ben langsung membuka mata dan jantungnya langsung berdegup kencang. Pantas Ben bangun dan hendak melarikan diri dari situ. Kawasan kedai yang tadinya kemas dengan perabut dan tumbuh-tumbuhan tergantung semuanya terbakar dek kerana dijilat oleh das-das tembakan yang dihunus oleh pengawal-pengawal yang berada di luar. Tekak Ben rasa sakit saat dia rasa kesal hendak menahan tangisan. Hari ini masih panjang lagi nampaknya, fikir Ben.


              Sungguh penat tetapi Ben sambung berlari sehingga keluar kedai. Fikiran Ben ada berbisik menyuruhnya menyerah kerana badannya sudah terlalu penat. Air mata Ben jatuh di pipi, lalu dia menurut kata hatinya dengan merebahkan diri. Saat merebahkan diri, tanpa disedari dirinya terjatuh kembali ke dalam lubang loji tempat dimana dia keluar ke atas. Apabila terjatuh kembali ke dalam longkang loji itu, semata-mata jatuh air deras yang berduyun-duyun dari atas melemaskan dirinya. Mata Ben melilau-lilau memandang atas. Mulutnya juga tercungap-cungap cuba naik ke atas untuk mendapatkan udara.


              Jauh di sudut hati Ben, dia menangis. Mengapa sebegini teruk takdir hidupnya. Adakah dia tidak akan ada hari esok? Fikiran Ben masih berfungsi.


              Dalam pada hendak mendapatkan udara itu, air longkang yang berbau terpercik kuat masuk ke dalam mulutnya. Ben terbatuk. Bau air longkang yang sangat kuat seperti bau minyak diesel atau petrol. Ben terbatuk lagi dan lagi tatkala tekaknya tak dapat menerima. Hidungnya juga berasa sangat tidak selesa.


**

              “OOOHHHOOOKK!!!”.


              “WWWUUUEEELLLKKKK!!!”.


              “OOOOHHHRRRGGHHHKKK!!!”, Ben langsung terjaga dan memuntahkan minyak yang disumbat dalam mulutnya.


              “Hah! Gerak pun robot ni…”, lega Yaya.




Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.