Home Novel Alternatif WANITA
WANITA
Jung Siti
6/7/2021 15:00:58
65,092
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Bab 5

WANITA V


              DI balik jeriji-jeriji besi yang udaranya terasa sesak, bau-bauan besi sudah biasa di ruang rongga hidung Ben. Ben duduk termenung lalu dia mengetuk-ngetuk kepalanya dengan lutut. Hidupnya malap. Ben agak murung apabila dapat mengetahui dirinya bakal diekstrak pada minggu depan. Jujur dia gundah. Di sini itu antara hidup atau mati. Jika hidup sekalipun, dirinya akan menjadi seperti ayahnya yang sangat kurus tiada daging. Muka cengkung seperti mayat hidup. Mata kendur seakan sudah tiada harapan dan akur sahaja dilabel sebagai ternakan kepada makhluk-makhluk itu.


              Mereka yang berada di sebalik jeriji besi ini digelar sebagai subjek XY oleh makhluk yang tinggal di atas sana. Ataupun mungkin saja kewujudan mereka yang berada di bawah tanah ini tidak diketahui langsung oleh mereka-mereka yang tinggal di atas sana.


              Ben memerhati keadaan sekelilingnya. Bunyi hingar-bingar dek kerana ramai orang di situ. Ada yang termenung sepertinya sambil mulut terkumat-kamit. Ada yang bersembang. Ada yang berlawan. Ada yang mengetuk-ngetuk besi-besi. Namun, apa yang pasti semua orang disitu jiwa kacau.


              Ayahnya yang berada di sebelah, tidak habis-habis melihat loket yang berisi gambar seseorang. Ben sudah muak melihat ayahnya sebegitu. Dengan perasaan memberontak, Ben merampas loket itu lalu dibuang ke tepi.


              “Ben!! Apa kamu buat? Ayah sayang loket tu!”, marah ayahnya dengan wajah gundah lalu mengambil kembali loket yang tidak jauh dilemparkan itu.


              Apabila melihat ayahnya yang sanggup merangkak mendapatkan loket itu, Ben memarah.


              “Apa yang ayah sayang sangat makhluk-makhluk tu?! Jijik Ben tengok ayah macam ni! Sedarlah ayah!”, marah Ben.


              “Ben… kamu cakap baik-baik! Nama dia bukan makhluk! Tapi dialah orang yang lahirkan kamu! Tanpa dia kamu tiada dekat sini…”, marah ayahnya kembali dengan suara yang sudah tidak larat.


              “Buat apa dia lahirkan Ben kalau Ben akhirnya hidup jadi ternakan diorang! Baik Ben tak payah dilahirkan!”, Ben memberontak.


              Ayahnya menangis tanpa air mata sambil memujuk anaknya dari tepi, “Ben… jangan cakap macam itu. Mak kamu tak macam mereka-mereka yang jahat tu. Mak kamu tu memang garang dan tegas tapi baik… kalau mak kamu dah lupakan kita pun sebab hanya mereka sudah brain wash dia…tetapi hakikatnya dia seorang yang baik. Lagipula adik pernah janji dengan ayah untuk… selamatkan kita”.


              Ayah Ben makin teresak-esak. Air matanya sudah tiada tetapi hidungnya mula berhingus tatkala teringatkan anak kecil gadisnya. Pasti sudah besar. Bagaimana rupanya? Mungkin dia secantik isterinya?Ataupun anak perempuannya berwajah sepertinya? Tangisan ayah Ben diikuti senyuman kecil sambil mengusap loket keluarga itu.


              Ben juga berasa sedih melihat ayahnya sebegitu. Ben rasa bersalah kerana meninggi suara kepada ayahnya barusan tadi. Ben kembali berkata kepada ayahnya untuk menyedarkan dengan suara lembut.


              “Ayah… bila mak dan adik dah lupakan kita… tak mustahil diorang mungkin dah sama macam mereka dekat atas sana yang lain. Makhluk yang pentingkan diri… Sekarang Ben pun dah besar,minggu depan Ben nak diekstrak… sampai bila kita nak berharap? Terlalu berharap ni buat Ben makin sakit hati tau! Harapan palsu lebih menyakitkan hati! Penantian tu menyakitkan hati ayah!”.


              “Ayah faham… menunggu yang belum tentu hujungnya menguji kesabaran kita. Harapan palsu memang perit, tetapi dengan berharap adalah sekecil-kecil usaha yang paling hina kita boleh buat. Kenapa ayah kata paling hina? Sebab kita hanya tunggu dan berharap… Tapi sekarang ni ayah bukan berharap, tetapi ayah percaya… Ayah percaya yang suatu hari nanti kita akan diselamatkan. Kekuatan percaya itu sangat besar Ben… Harap dan percaya itu macam sama, tetapi ada perbezaannya. Hakikatnya, kalau nak benda yang kita berharap tu jadi kenyataan mestilah kena usaha. Ayah dan kawan-kawan ayah yang lain buat bermacam-macam cara untuk kita keluar dari sini tapi jumpa jalan buntu. Sekarang pun ayah dah tiada kudrat untuk berlari macam masa dulu-dulu. Jalan pun perlahan sekarang… Apa yang ayah boleh buat sekarang adalah percaya saja. Jika perkataan ‘berharap’ itu, bukan ayah tapi kamu. Ayah ni masih hidup pun sebab ayah masih ada kamu. Jadi ayah teruskan hidup supaya kamu tak seorang di sini. Kami orang tua dah berusaha macam-macam masa dulu sehingga ada yang bergadai nyawa dan mati. Masa kami dah tamat, kamu? Orang muda… bila lagi. Mungkin tuah kamu berbeza daripada kami”, kata ayahnya.


              Ben terdiam lama. Dia beredar dari situ. Dia menjauhkan diri untuk berfikir di suatu ruang. Ben termenung. Apa yang dikatakan ayahnya memang betul. Dia ingat bagaimana ayahnya cuba membawanya untuk melarikan diri melalui laluan penurunan tiub bayi sehingga ke tahap menyamar menjadi pengawal juga tetapi semuanya tidak menjadi. Masa ayahnya sudah tamat, kini masa orang muda yang dewasa sepertinya pula. Namun apakan daya, tatkala perasaan takut itu lebih menguasai diri. Dia juga berasa takut untuk menempuh rintangan untuk keluar dari penjara bawah tanah ini. Dia tidak tahu bagaimana keadaan di atas sana. Bagaimana jika di atas sana lebih teruk dari bawah sini. Bermacam-macam perkara yang bermain di mindanya. Lagipula macam-macam khabar angin mengatakan di atas dunianya lebih kelam dari yang di atas sini. Ada yang kata dunia atas sana cantik. Tidak tahu mana satuyang hendak percaya.


              “Hoi…”, seseorang mengejutkan Ben dari belakang.


              “Oh atuk kau!”, terkejut Ben. Ben rasa terganggu saat kawannya mengejutkannya sebegitu.


              “Tengok apa Ben? Usha pengawal tu ke?”, tanya Heri sambil matanya melirik ke arah pengawal yang agak jauh disana.


              Ben memandang pengawal yang ditunjukkan Heri. Ben memandang Heri kembali dengan berkerut kening, “tak ada masa aku nak pandang makhluk jahanam tu!”.


              “Jahanam-jahanam pun cantik… sedap je mata aku menengok…”, kata Heri dengan wajah angau.


              “Heiii kau jangan tertipulah dengan diorang. Diorang mungkin nampak cantik untuk dipandang tetapi diorang makhluk yang paling bahaya! Tengok apa yang diorang buat kepada kita! Itu semua disguise diorang! Kalau tengok dengan mata hati… mungkin kau tengah angau dengan bangkai! ”, kasar Ben.


              “Ish kau… potong line je aku nak berangan”, kata Heri. Lalu Heri sambung dengan angaunya memandang-mandang pengawal yang jauh di hadapan mereka itu.


              Ben masih berkerut memandang Heri lalu bertanya, “sejak-sejak kau kena ekstrak ni… Kau lain macamlah? Dulu kaupun bukan main benci dekat makhluk jahanam tu sama macam aku?”.


              “Kena ekstrak ni tak adalah teruk sangat. Memang hari itu aku sakit meraung-raung tapi entahlah lepas sakit itu aku rasa… Rasa macam hmm tak taulah nak cakap. Rasa okay, Cuma frust sebab tak dapat nak berkenalan dengan pengawal-pengawal tu”, kata Heri masih dengan wajah angaunya.


              Ben makin berkerut. Dia tahu saat diekstrak itu pasti Heri di brain wash. Kalau tidak dahulu, Heri pun sama sepertinya.


              “Okay apa?! Makin cengkung je aku tengok kau ni… Mata pun makin teruk je aku tengok”, marah Ben.


              Heri mengabaikan kata-kata Ben.


              “Heri… dengar tak aku cakap ni? Kau macam ni kau ingat kau boleh berkenalan dengan makhluk tu? Diorang bunuh kau lagi adalah”, Ben ingatkan.


              Heri memandang Ben lalu berkata,“itu risikonya Ben, tetapi tak semua… Kalau ada tuah, mungkin boleh dapatkan mereka”.


              Ben berkerut dan tertanya-tanya,“dapatkan mereka? Dapatkan makhluk jahanam tu? Buat apa? Hah?! Maksud kau?”.


              Tatkala mendengar Ben bertanya soalan itu, Heri tersenyum kecil lalu dia memandang kanan dan kiri untuk memastikan tiada sesiapa. Heri bercerita dengan gaya berbisik dan Ben mendengar.


              “Kau nak dengar satu cerita tak pasal seorang banduan dekat sel sebelah-sebelah kita? Aku dapat cerita ni daripada orang tua”, kata Heri.


              “Apa dia?”, Ben tertanya-tanya.


              “Aku dengar… ada seorang banduan daripada sel sebelah tu… bukan sel kita lah yang pasti. Dia jatuh hati dengan seorang pengawal yang jaga sel diorang tu. Perasaan lelaki itu bukan angau biasa macam aku… tapi dia memang head over heels dekat guard perempuan tu. Lelaki tu selalu pandang perempuan tu… Time laki tu kena pukul, dera ke… lelaki tu terima je. Dia kata tak kisah… asal dapat nampak perempuan tu lagi dekat.Sampai satu masa… guard perempuan yang kejam tu lembut hati dan jatuh hati dengan lelaki tu juga. Lelaki tu memang seronok gila… dia rasa macam tak percaya cinta dia disambut. Yang paling dasyat perempuan tu selalu jumpa lelaki tu senyap-senyap tanpa ada sesiapa yang tahu dan perempuan tu nak bantu lelaki tu keluar dari sini”, cerita Heri.


              Ben makin tertarik, “habis tu dia dapat keluar ke?”.


              “Dia dapat…”, jawab Heri.


              Ben membulatkan mata. Fikirannya berharap yang mereka mungkin ada jalan.


              “tapi tak boleh… katanya lagi sikit tapi perempuan dan lelaki tu kena tangkap”.


              Ben berkerut dan mengeluh kembali.


              “Yang perempuannya tu disuntik pelali lupa ke brain wash something macam tu… Kemudian dia dipindahkan ke bahagian lain. Yang lelaki tu pula mati… kena bunuh sebab dah tahu rahsia lebih kurang macam tu…”, cerita Heri.


              “Bapak ketat… tak bagi langsung chance dekat kita. Dasar makhluk jahanam!”, kata Ben perlahan dengan rasa sebal.


              “Tapi aku kagum dengan kekuatan cinta diorang. Dalam keadaan kita ni… tersambut juga perasaan lelaki tu. Kalau ikutkan guard-guard ni semua macam robot… hati batu! Tapi manisnya bila perasaan itu boleh dicairkan… Worth to live for…”, kata Heri berangan sambil merenung ke arah pengawal-pengawal yang jauh di hadapan mereka.


              Ben makin berkerut melihat gaya Heri yang masih angau sambil hatinya membentak, ‘Fool! Worth to live for?Apa benda?! Who cares about love? Who cares about feelings when we treated this way? It is not love that we worth to live for… it is the survival! As long as we breathe, than we are worth to live for… Kalau kau dah mati! Apa cinta tu boleh bawa kau hidup balik?! Sia-sia hidup macam ternakan! Masa hidup rela dipijak! Bila cinta disambut, angau macam tak ada harga diri! Padahal diorang yang menghinakan kita… and kau masih nak suka dekat makhluk jahanam tu! Perempuan tu dah di brain wash dan lupakan kau! Dan kau pula mati! What a stupid so called love story’.


              Tiba-tiba satu bunyi gear,besi-besi bertembung kedengaran. Bunyi seakan sesuatu hendak turun dari atas. Mereka semua termasuk Ben sudah tahu apa itu.


              “Dia turun kan lagi baby weyh!...”, jerit seseorang yang berada hampir pada laluan tiup bayi.


              “Bestnya baby!...”.


              “Kepala otak kau! Bising tau tak baby melalak…”.


              Seorang lelaki yang hampir di situ membuka tiub itu dan melihat bayi lelaki yang sedang bergerak-gerak kecil.


              “Comel doh!”.


              “Macam muka kaulah!”.


              “HAHAHAHA…”.


              “Kecilnya dia…”.


              “Tepuk-tepuk dia sikit”.


              “Siapa nak jaga dia?”.


              Ada lelaki lain yang mengambil bayi itu lalu didukungnya. Dia dikerumuni. Ramai yang melihat-lihat bayi itu. Ben hanya melihat mereka dari jauh. Dia tertarik tetapi nanti sahajalah tengok bayi itu. Lagipula ramai yang mengerumuni. Jauh di sudut hatinya, dia kasihan kepada bayi itu. Sejak kecil sudah diletakkan di dalam tahanan seakan makhluk yang tidak bernilai dan menunggu masa untuk diekstrak seperti mereka yang lain. Harapannya agar bayi itu hidup lama.


              “HOIIII POMPUAN!! AKU NAK KAU! BUKAN NAK BABY NI!”, jerit seorang lelaki yang agak bermasalah jauh dari mereka.


              Ben membulatkan matanya melihat abang itu menjerit dengan wajah cengkung. Sudah seperti orang gila gayanya.


              “Hoi! Senyaplah!”.


              “Kau jangan buat hal!”.


              “Kau bawa dia pergi sana!”.


              Mujur pengawal-pengawal wanita itu tidak mendengarinya. Jika tidak mahu abang itu dibunuh terus oleh pengawal-pengawal itu. Apa-apapun, ada sedikit seri di ruang itu apabila ada seorang bayi diturunkan. Bayi yang dikatakan sebagai damage oleh wanita-wanita itu diturunkan ke bawah tanah yang berbau besi dan tidak selesa ini. Tidakkah wanita-wanita itu kasihan kepada bayi yang tidak berdaya ini? Sah mereka sudah tiada rasa kemanusiaan. Mereka hanya ada perasaan pentingkan diri dan rakus. Bayi sekecil ini juga dirasakan ancaman. Mentang-mentang berjantina lelaki, dikumpulkan saja ke bawah seakan tempat pembuangan.


              Ben kesal.


**

              Zahira dan Mira kelihatannya sedang berjalan di perkarangan bandar. Mira membeli beberapa barang manakala Zahira hanya ada minuman choc shake di tangan kanannya.


              “Terima kasih Zahira sudi tunggu saya…Susah-susah je, awak patutnya ikut je diorang dulu”, kata Mira sambil melihat-lihat barang yang dibelinya. Maklumlah, mereka datang ke situ secara berkumpulan. Memandangkan masing-masing ada destinasi berbeza, mereka terpaksa berpecah dan Zahira mengikut Mira.


              “Tak apa… lagipun kedai elektronik yang saya nak pergi tu lagi dekat dengan tempat yang awak nak pergi…”, kata Zahira tersenyum.


              Senyuman Mira makin melebar apabila Zahira tersenyum kepadanya. Tiba-tiba Zahira terpandang billboard diperkarangan itu. Ada yang melihat dan ada yang berlalu pergi. Mira teruja memanggil Zahira.


              “Zahira!! Invention awak!!”,teruja Mira.


              ‘ “Ini adalah ciptaan saintis kelahiran INSTAR yang bernaung di bawah kerajaan. Marhaen boleh lihat video montaj bagaimana membantunya robot-robot ini kepada kemudahan seharian kita”.


              Video Robot XY mengangkat barang,menemani tuannya ke sesuatu tempat, membantu membersihkan laman, membantu membetulkan paip bocor dan lain-lain.


              “Di sini saya merasmikan projek ciptaan ini demi kebaikan marhaen semua”, senyum Ketua Menteri Sains Teknologi sambil menggunting reben yang berada di satu Robot XY.’


              Zahira tersengih memandang Mira.


              “Mira… dahlah tu. Itu kan ulangan. Awak puji saya banyak kali tau… padahal dia pun gempak juga”, senyum Zahira kepada Mira.


              “Alaaa saja je… Hehehe”, sengih Mira suka melihat reaksi Zahira yang selalu malu-malu.


              “Ya… tengok! Dia beli dua robot”, kata Zahira teruja melihat orang-orang yang sudah membawa Robot XY berjalan-jalan di pasaraya.


              “Haah!...”, kata Mira.


              Apabila melihat keadaan sekeliling, orang ramai sudah ramai membawa Robot XY mereka ke mana saja mereka pergi. Dahulu selalunya kaum mereka sahaja kelihatan, sekarang rasa janggal pula apabila melihat ada benda selain mereka berjalan sekali. Pelik tapi sedap dipandang. Rasa harmoni saja mata.


              Mira termenung lama kepada robot-robot yang dibawa sekali bersama tuannya.


              “Zahira… saya nak tanya awak?Macam mana awak boleh cipta robot yang sebegitu detail macam kita tapi ada sikit beza. Saya rasa kagumlah… Ciptaan awak memang Invention of The Century oh…”.


              Zahira terdiam sebentar. Dia fikir bagaimana dia hendak menerangkan kepada Mira.


              “Sebenarnya kan… ini bukanlah ilham saya 100% Saya pun tak sangka ciptaan saya boleh turn out macam ni…”,kata Zahira sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.


              “Maksudnya? Bukan ilham 100%?”,Mira tertanya-tanya.


              “Saya mimpi… Robot XY ni saya cipta based on dari mimpi saya. Mimpi yang tak putus-putus”, kata Zahira.


              “Mimpi?”, kata Mira.


              “Haah mimpi… Saya mimpikan makhluk yang sama macam kita tetapi lain sikit. Saya selalu mimpi… sampai saya salurkan pada penciptaan robotik. Disebabkan saya selalu mimpi macam itu… jadi saya dapat bayangkan detail-detail appearance yang diperlukan untuk buat Robot XY ni”, terang Zahira.


              “Wau… Unik”, kata Mira.Walaupunbegitu, dia tidak dapat membayangkan apa yang dikata Zahira.


              Mereka berjalan sambil mata melilau-lilau melihat keadaan sekeliling. Lebih-lebih lagi orang yang ada Robot XY di sisi.


              “Zahira yang itu kenapa ya? Dekat bawah hidung dan atas mulut Robot XY tu ada bulu… Apa fungsi dia?”, tanya Mira ingin tahu.


              “Ohh yang tu mahal… robotnya susah rosak sebab bulu sintetik tu tapis unwanted micro element dalam udara… Kiranya lambat sikitlah nak obsolete… Susah karat”, terang Zahira.


              “Ohhh…”, kagum Mira.


              “Yang itu?”, tunjuk Mira. Zahira memandang ke arah Robot yang ditunjuk Mira.


              “Kenapa dengan yang itu?”, tanya Zahira.


              “Dia tak ada bulu dekat atas kepala dia. I mean… macam tak ada rambut. Bukan ke awak cakap bulu atas kepala yang macam rambut tu berfungsi untuk protect mechanical yang ada dalam kepaladia? Kalau tak ada… ya terhantuk teruk cepat hancur luar dan dalam kepala..”,kata Mira.


              “Ohhh haah memang betul pun. Macam mana nak cakap eh? Yang ada bulu sintetik atas kepala… I mean yang rambut tu dia memang untuk protect kulit bahagian kepala dan mechanical dalamnya… Tapi robot yang botak tak ada rambut tu dia ada lain fungsi saya buat… Ikut preference orang lah kiranya…”, kata Zahira.


              Mira mendengar.


              “Kalau yang biasa memang ada rambut… tapi yang botak tu kita letak spesial layer dekat bahagian kepala supaya ketahanan dia sama dengan yang ada rambut. Lagipun tuan dia boleh je letak rambut palsu hahaha…”, kata Zahira.


              “Ohh”, angguk Mira. 


              “Cuma yang botak ni selalunya,customer minta extra Solar… Kiranya yang botak ni selalunya solar lah… dia tak isi fuel”, kata Zahira lagi.


              “Ohh yang dekat leher tu?”, tanya Mira.


              “Haah yang dekat leher pun ada…tahan lah dalam 50 km atau 50 f(force)… tak silap saya begitulah. Kalau yang botak ni… lagi lama… Kiranya mesti tuan dia malas nak mengecas atau rumahgelap… saya tak sure tapi tulah macam-macam permintaan. Jadi saya kena particular hal-hal macam itu”, kata Zahira.


              “Ohhh… tapi saya tak sukalah yang botak. Yang tu sedap mata memandang…”, kata Mira sambil menunjuk ke arah lain.


              “Ohh haah… Dah tuannya okay dengan robot yang botak… Kita ikut jela. Haaa… awak suka yang mata kecil dengan rambut panjang ya?”, ketawa Zahira.


              “Haah! Yang robot tu nampak comel…boleh buat tocang Hahahha”, ketawa Zahira.

              “Hahaha… tak sangka awak suka yang rambut panjang. Masa saya tengok-tengok list-list permintaan, ada yang nak rambut panjang. Saya buat jelah… Cuma saya rasa rambut panjang sangat ni tangkap habuklah. Saya fikir juga siapalah yang nak ni… mesti awak antaranya”, ketawa Zahira.


              “Ohh saya order lain… Memanglah nampak comel tapi mesti susah nak jaga. Jadi saya ambil yang lain. Saya ambil yang macam itu… Cuma mata dia biru”, tunjuk Mira.


              “Ohhh yang pasaran Barat… yang rambut kuning”, kata Zahira.


              “Zahira… kenapa saya rasa robot-robot ni sedap je mata memandang? Saya rasa tak mustahil… ada yang jatuh cinta dengan robot sendiri”, tanya Mira.


              “Hmm itu no comment… sebab saya yang ciptakan. Saya tak terfikir pula yang itu… saya cipta hanya untuk beri kemudahan untuk manusia… tapi entahlah Mira. Tak mustahil je ada yang suka robot sendiri sebab saya akui diorang memang sedap mata dipandang. Lagipun,manusia ni kemahuan dia kadang-kadang boleh luar batasan. Saya cuma rasa gelilah kalau benda tu betul-betul jadi. Cukuplah saya dengar, ada yang kahwin dengan laptop, kahwin dengan pokok, kahwin dengan lembu… Apa benda nak kahwin dengan robot pula? Maaflah Mira, tapi pendapat saya macam tulah”, kata Zahira.


              “Yalah… betullah cakap awak. Kitakan makhluk kendiri… sepatutnya berpijak pada kenyataanlah kan. Cuma itulah pemerintah sekarang banyak sangat beri kelonggaran sampai manusia itu rasa okay je nak melampaui batas. Lepas itu, benda itu dianggap normal. Padahal, 5 tahun sebelum ini kita okay saja sebagai makhluk kendiri. Sejak akhir-akhir ni saja macam-macam permintaan pelik marhaen yang nak pemerintah undang-undangkan”,kata Mira.


              "Hmm betul tu”, angguk Zahira.


              “Kita mungkin maju tapi saya rasa soul less”, Mira berfikir juga.


              Zahira memandang Mira. Dia juga rasa begitu.


              “Hmm tak sabar nak dapat robot saya”, senyum Mira kembali.


              “Ehh? Hahaha”, Zahira terhibur dengan kata-kata Mira yang tiba-tiba.


              “Apa? Apa yang kelakar?”, sengih Mira.


              “Tak ada apa-apa”, geleng Zahira dengan sengihan.


              “Eiii beritahu…”, kata Mira.


              Zahira masih ketawa.


              “Hishhh Zahira… haa orang lain semua ada robot? Takkan yang inventor nya tak ada… Biasanya patut lagi banyak”,tanya Mira.


              “Awak pun tak ada…”, sengih Zahira.


              “Saya dah orderlah… Cuma belum siap. Remember? Awak tu yang tak ada”, kata Mira.


              “Ohh saya ada yang dekat dalam makmal kita tu…”, senyum Zahira.


              “Itu buruk… awak tak buat yang baru?”, tanya Mira.


              “Heii buruk-buruk pun berjasa tau hahah”, ketawa Zahira.


              “Yalah… haa kita dah sampai… Awak nak beli apa tadi awak cakap?”, tanya Mira.


              “Ohh dah sampai… haa saya nak beli pen pateri dengan litar pateri kejap”, kata Zahira. Lalu mereka berdua masuk ke dalam kedai itu dengan senyuman yang tidak lekang di wajah masing-masing.




Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.