Home Buku Lucu Smalltown Politics (Bahasa Melayu)
Smalltown Politics (Bahasa Melayu)
Kid Haider
23/2/2025 08:37:47
2,981
Kategori: Buku
Genre: Lucu
Bab 4

Bab 4: Perang Dari Pintu ke Pintu

Pilihan raya di Kampung Sentosa kian terasa seperti sebuah drama bersiri, namun kekecohan sebenar bermula tatkala para calon mengambil keputusan untuk berkempen dari rumah ke rumah. Apa yang pada asalnya dirancang sebagai usaha mendekati para pengundi telah bertukar menjadi gelanggang penuh sindiran, persaingan dan gelagat yang mencuit hati.

Mak Cik Timah memulakan kempen seawal pagi dengan penuh yakin. Berbekalkan bakul berisi kuih buatan sendiri, Mak Cik Timah percaya sentuhan mesra serta hidangan tradisional mampu menawan hati para pengundi yang masih berkira-kira. Dalam pada itu, Uncle Wong pula memilih pendekatan yang lebih agresif. Dia membawa mesin karaoke mudah alih, dengan keazaman tinggi untuk menghiburkan penduduk Kampung Sentosa dengan nyanyian lagu-lagu klasik berbahasa Mandarin dan Kantonis.

Segalanya menjadi rumit apabila kedua-dua calon ini bertembung di rumah yang sama.

“Mak Cik Timah! Apa tujuan awak di sini? Ini kawasan kempen saya!” tegur Uncle Wong sambil menunjuk ke arah bakul kuih yang dibawa Mak Cik Timah.

“Laluan awak? Setahu saya, ini Kampung Sentosa, bukan Kampung Wong,” balas Mak Cik Timah tenang, namun penuh sindiran.

Pertelingkahan pasif-agresif pun bermula di hadapan pintu rumah tersebut. Masing-masing saling berusaha menghalang pihak lawan daripada mendekati tuan rumah. Uncle Wong segera menaikkan volum karaoke, menyanyi dengan penuh semangat sehingga kucing-kucing di halaman bertempiaran lari. Tidak mahu kalah, Mak Cik Timah pula menawarkan kuihnya secara percuma kepada sesiapa sahaja yang menghampirinya.

Tidak lama kemudian, orang kampung mula berhimpun bagi menyaksikan drama pilihan raya ini. Malah, ada yang mengambil kesempatan membuat siaran langsung di media sosial. Tanda pagar #KuihVsKaraoke pantas menjadi tular dalam kalangan warga Kampung Sentosa.

Sementara golongan calon berusia sibuk bertelagah, Johan, calon muda yang mewakili generasi baharu telah memilih strategi yang lebih moden. Dia memilih untuk memberi “buah tangan” sebagai tanda penghargaan. Dengan membawa kotak berisi kuih lapis premium, Johan mengetuk pintu rumah ke rumah, kononnya kuih tersebut hasil tangan dari kedai bakeri miliknya yang terletak di Bandaraya Tanamera (yang sebenarnya tidak pernah wujud).

“Ini tanda ikhlas daripada saya. Jangan lupa pilih Johan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya sambil tersenyum manis, menyelitkan risalah kempen di bawah setiap kotak kuih.

Malangnya, taktik Johan tidak bertahan lama. Semuanya musnah apabila beliau tiba di rumah Mak Cik Minah.

“Kuih lapis ni beli di kedai, kan? Rasa dia sama macam kuih Mak Cik Timah,” tegur Mak Cik Minah sambil mengerutkan dahi.

“Saya... eh... ini resipi saya sebenarnya!” jawab Johan tergagap-gagap.

Maka, tersebarlah berita tentang perbuatan Johan yang mengaku kuih-kuih yang dibelinya itu sebagai kuih-kuih buatan sendiri. Hasil tangan dari kedai bakeri miliknya! Sekali lagi diulang, bakeri yang sebenarnya tidak pernah wujud!

Cikgu Halim pula, calon yang paling serius dalam saingan kali ini. Dia beranggapan bahawa dirinya berada di kelas yang tersendiri, jauh daripada sebarang drama, kontroversi dan publisiti murahan. Lengkap berpakaian kemas serta membawa papan klip, beliau hadir dengan misi memperkenalkan agenda dasar yang matang dan realistik.

Malangnya, segala perancangan rapi Cikgu Halim terbatal apabila sebuah video berkenaan dengan dirinya tular di media sosial. Dalam rakaman tersebut, Cikgu Halim dilihat terpijak ekor seekor kucing secara tidak sengaja sewaktu melangkah masuk ke halaman rumah seorang penduduk. Suara jeritan nyaring si kucing serta reaksi canggungnya beliau tersebar seperti api di media sosial. “Aduh, kenapa pula duduk sini!” Jerit Cikgu Halim dalam rakaman itu. 

“Calon anti-kucing? Tak boleh diterima!” komen salah seorang pengguna media sosial.

Menjelang tengah hari, kempen Cikgu Halim menjadi bahan gurauan seantero kampung. Malah, ada penduduk yang sempat mencetak poster wajah beliau dengan slogan baharu: “Undi Halim: Bukan Pencinta Kucing.”

Tatkala petang menjelang, semua calon kelihatan berada dalam keletihan. Ego mereka tercalar dan maruah mereka tercabar. Namun, tiada seorang pun yang menunjukkan tanda ingin berundur.

Mereka kembali berkumpul, masing-masing tidak melepaskan peluang menyalahkan antara satu sama lain atas kekacauan yang berlaku.

Mak Cik Timah menuduh Uncle Wong sebagai “penghasut karaoke.” Uncle Wong pula membalas dengan melabelkan Johan sebagai “penjual kuih tipu.” Johan pula menyalahkan media sosial yang kononnya telah merosakkan usahanya yang ikhlas.

Sementara itu, Cikgu Halim masih sibuk memohon maaf kepada setiap kucing dan pencinta kucing yang ditemui sepanjang jalan pulang. Sudah tentu semuanya dirakam untuk dimuat naik ke media sosial.

Tatkala matahari terbenam di ufuk Kampung Sentosa, semua penduduk mulai sedar akan satu hakikat yang telah mereka pelajar. Mereka sedar ini bukan sekadar pilihan raya, ini sebuah pentas drama manusia mabuk kuasa yang baru bermula.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.