BAB 24 - Part 2
Tipah mempamer wajah cemberut. “Sakit-sakit
macam ni pun masih nak berlagak tak hengat dunia lagi! Eei ikutkan hati nak je
aku tinggalkan dia kat tepi jalan ni,” gerutu Tipah dalam hati.
Sudahnya Tipah hanya memerhatikan sahaja
Rayyan bangkit dari kerusi dengan penuh kesukaran. Rayyan cuba berdiri namun
kesakitan pada kakinya tambah menjadi-jadi. Hampir-hampir sahaja dia jatuh
terjelepuk. Mujur Tipah pantas menggenggam lengannya.
“Kalau dah sakit tu buatlah cara sakit. Tak
payahlah nak sombong tak bertempat,” selamba Tipah memulangkan paku buah keras.
Segera di papahnya Rayyan menuju ke tempat duduk penumpang di sebelah hadapan.
Kemudian dia sendiri mengambil tempat di bahagian pemandu.
Muncung Rayyan sudah bertambah tajam.
Silap-silap boleh sangkut penyidai baju kat situ! “Sudah tu! Jangan banyak
cakap. Sekarang ni awak ikut arahan saya. Hidupkan enjin tu sekarang!”
Terkial-kial Tipah seketika. “Err...macam
mana nak start kereta, yek? Takde pun kunci keretanya.”
“Kereta ni mana pakai kunci, cik adik Tipah
ooi! Tu ha, tekan je kat butang ‘start’ tu,” sela Rayyan dengan perasaan yang
geram.
Tipah hanya menyerigai. Segera di tekannya
butang ‘start’. Enjin kereta mula mengaum. Rayyan menghidupkan aplikasi ‘Waze’
dari telefon pintarnya. Kemudian telefon tersebut di letakkan atas ‘Grip Go’,
sebuah alat pemegang telefon serbaguna.
“Masuk gear sekarang. Awak ikut je arah
yang di tunjukkan oleh ‘Waze’ ni.” Tombol gear di tekan dan cuba di gerakkan
oleh Tipah namun dia gagal. Tombol itu hanya statik sahaja di situ. Peluh renik
mula terbit di dahi Tipah.
“Tak boleh tolak pun gear ni. Kereta ni dah
rosak kot,” gumam Tipah kaget.
Leher Rayyan segera di panjangkan ke arah
kaki Tipah. “Bertuah betul lah awak ni! Macam mana kereta ni nak gerak, awak
tak tekan brek kaki tu. Sekarang ni tekan brek kaki pastu terus masuk gear.”
Tipah tambah bingung. “Aik? Kita kan nak
jalan, buat apa pulak nak tekan brek?”
Bergumpal-gumpal perasaan geram Rayyan di
dalam hati. “Tekan jelah! Jangan banyak cakap! Siapa cikgu sekarang ni? Saya ke
awak?”
Tipah menyengeh. “Hehehe...janganlah marah.
Kan saya dah cakap saya tak reti bawak kereta. Ok mari kita gerak sekarang!”
Usai sahaja memasukkan gear, pedal minyak di tekan dengan sekuat hati.
Terhenjut-henjut kereta itu di buatnya.
Hati Rayyan tambah bengkak. “Woi! Bawaklah
elok-elok sikit! Dah macam naik kereta kuda je rupanya!”
Serta-merta kereta tersebut berhenti
mendadak. “Kalau awak tak puas hati, bawak sendiri kereta ni sekarang! Saya dah
tolong bawak ni pun patutnya awak dah bersyukur, tau?”
Bunyi deruman enjin yang kuat segera menerjah
ke gegendang telinga Rayyan dan Tipah. Sejurus selepas itu sebuah kereta Ford
Mustang V6 berwarna biru metalik muncul di sisi kereta mereka. Dua orang pemuda
berkulit putih melempar pandangan tajam pada Tipah. Salah seorang daripada
mereka sengaja menekan pedal minyak berulangkali, bagaikan mengundang cabaran
buat Tipah!
Dengan berani Tipah juga turut menekan
pedal minyak berulangkali. Kaget Rayyan di buatnya. “Awak jangan nak buat gila
pulak! Jangan layan diorang tu!”
Inilah masanya Tipah Schumacher mempamerkan
skill pemanduan bertaraf perlumbaan F1! Erat jemari Tipah menggenggam tombol
gear. Sekali lagi dia menekan pedal minyak tersebut berulangkali.
Berkepul-kepul asap termuntah keluar dari ekzos kereta tersebut.
Rayyan bertambah cuak. “Apa awak nak buat
ni, hah? Jangan cuba buat sesuatu yang...”
Belum sempat Rayyan menghabiskan ayat,
Tipah sudah menekan tombol gear. Pedal minyak di tekan sekuat hati. Kereta
tersebut meluncur laju membelah malam yang hening namun ianya bukan maju ke
hadapan sebaliknya ia mundur ke belakang! Rupa-rupanya Tipah tersalah masuk
gear ‘Reverse’!
Pucat muka Tipah di buatnya. “Eh, kenapa
kereta ni berundur pulak! Macam mana ni?”
Rayyan bertempik. “Tekan brek kaki tu!
Cepat!” Kali ini Tipah akur. Kereta tersebut terhenti serta-merta.
“Lain kali jangan nak tunjuk pandai sangat!
Dah, sekarang masuk gear ‘D’ balik.
Jangan nak buat ikut suka hati je, yer. Dah tak reti bawak kereta tu buatlah cara
tak reti!” bebel Rayyan tak henti-henti. Tipah terpaksa tadah telinga jelah
jawabnya!
Bunyi enjin kereta yang menderum-derum di
perkarangan kediaman mewah itu sekali lagi membuatkan Raina, Melah dan Makcik
Roza terpacak semula di muka pintu. Terbeliak biji mata mereka bertiga apabila
melihat kereta tersebut di pandu oleh Tipah. Yang lebih memeranjatkan Rayyan
turun dari kereta dengan terhenjut-henjut sambil di papah oleh Tipah.
Mengucap panjang Raina melihatnya. “Astagfirullahalazim!
Apa dah jadi ni?”
Tipah menukas. “Panjang ceritanya, kak. Sekarang
ni yang penting saya kena balut dulu kaki Rayyan ni. Teruk benar dah
bengkaknya.”
“Yelah! Makcik Roza, pergi ambil kotak
First Aid kat dapur tu. Mari akak tunjukkan bilik Rayyan kat mana.” Makcik Roza
dan Melah bergegas ke dapur. Raina pula terus memapah Rayyan di sebelah kiri.
Mereka bertiga menaiki anak tangga dengan perlahan-lahan.
Rayyan merintih kesakitan. “Adoi, kak!
Sakitlah. Pelan-pelan ler sikit!”
Raina menggerutu. “Tuler! Takde penyakit,
pergi cari penyakit tu buat apa? Nasib baik ada si Tipah ni, tau? Kalau tidak
tak tahulah apa akan jadi pada adik tadi.”
Bungkam Rayyan mendengar bebelan Raina.
Namun malangnya kata-kata Raina itu benar belaka!
Sesampainya di bilik Rayyan, terus sahaja
Raina dan Tipah membaringkan Rayyan di atas katil. Pantas Tipah berlalu ke
bilik air. Tuala kecil dan segayung air segera di bawanya keluar. Di selaknya
seluar panjang Rayyan. Kaki lelaki itu di lapnya dengan lembut. Rayyan
terkesima seketika. Buat pertama kalinya seorang perempuan memperlakukannya
sebegitu! Makcik Roza dan Melah tiba sejurus selepas itu dengan kotak First
Aid. Raina, Makcik Roza dan Melah saling berpandangan. Senyuman penuh makna terukir di bibir masing-masing.
“Tipah! Ni kotak First Aid. Tipah balutkanlah
kaki Rayyan tu. Akak turun dulu yer.” Raina memberikan isyarat mata kepada
Makcik Roza dan Melah agar meninggalkan Tipah dan Rayyan berdua-duaan di situ.
Tipah sekadar menganggukkan kepala. Dia
masih leka menelek-nelek kaki Rayyan. Sesudah kaki Rayyan di lap hingga bersih,
Tipah segera membuka kotak First Aid. Di sambarnya minyak gamat lalu di buka
penutupnya. Segera dia menyapu minyak tersebut ke kaki Rayyan dan
mengurut-ngurut kaki lelaki itu dengan lembut.
Rayyan merungut sambil merintih kesakitan.
“Adoi! Sakitlah! Kasar sangatlah awak ni!”
Tipah tersenyum sinis. “Apa awak cakap?
Kurang kasar? Meh sini saya tambah lagi dos kasarnya!” Sengaja Tipah
memicit-micit buku lali Rayyan dengan lebih kuat. Terjerit-jerit lelaki itu di
buatnya.
“Woi! Sakitlah! Awak sengaja buat macam tu,
kan?” Mengekek-ngekek Tipah ketawa.
“Awak ni macam perempuanlah. Sakit sikit
pun tak boleh tahan. Dah tu, duduk diam-diam. Saya nak balut kaki awak ni.” Segulung
‘bandage’ segera di keluarkan dari kotak tersebut. Dengan cermat Tipah mula
membalut kaki Rayyan dari bahagian buku lali hingga ke bahagian keting.
Sementara Tipah leka membalut, Rayyan pula
leka menelek wajah isterinya itu. Cantik! Paling mencuri perhatian Rayyan sudah
pastilah pada sepasang mata bundar berwarna hazel kecoklatan milik gadis jelita
itu. Kalau di ikutkan wajah Tipah jauh lebih cantik dari Zeta.
Zeta hanya bersandarkan pada bantuan
solekan semata-mata untuk membuatkannya kelihatan anggun. Kerap kali Rayyan
melihat wajah comot Zeta di waktu pagi tanpa sebarang solekan. Memang
menakutkan! Berlainan sekali dengan si jelita di hadapannya ini. Tanpa sebarang
solekan, wajahnya tetap nampak menawan.
Renungan tajam Rayyan itu menggusarkan jiwa
Tipah. Berdegap-degup jantungnya menahan panahan asmara yang semakin bergelora
di dalam jiwa. “Awak, saya dah balut kaki awak ni. Jangan banyak bergerak, ya?
Malam ni awak nak saya temankan awak tidur kat sini ke?”
Spontan Rayyan menjawab. “Nak!”
Namun naluri keegoaannya tiba-tiba menjetik
minda. “Err...tak payahlah! Sakit sikit je ni. Bukannya saya tak boleh nak
bangun langsung. Dahlah, tunggu apa lagi? Dah siap balut kan? Tak reti-reti nak
keluar ke?”
Tipah terkedu. Kurang asam keping betul lah
dia ni! Pantas Tipah membungkus segala peralatan dan menyusunnya semula di
dalam kotak First Aid itu. Kemudian kotak itu di letakkannya di sebelah bawah
katil Rayyan. Sejurus selepas itu tanpa sebarang kata-kata terus sahaja Tipah
berlalu dari situ. Namun dia sudah menyimpan suatu azam untuk kembali semula ke
sini sebaik sahaja Rayyan sudah melelapkan mata. Ada agenda penting yang harus
di laksanakannya!
Perlahan-lahan Tipah menuruni tangga.
Raina, Makcik Roza dan Melah sedang bersantai-santai di hadapan peti
televisyen. Terus sahaja Tipah mendekati mereka.
“Kak Raina, ada jam loceng tak?”
Makcik Roza segera mencelah. “Makcik ada
jam loceng. Tapi jam tu bunyinya kuat betul. Kamu nak ke?”
Tipah tersenyum lebar. “Oklah tu makcik.
Lagi kuat lagi bagus.”
“Kalau macam tu meh ikut makcik kejap.”
Tipah segera membontoti Makcik Roza ke biliknya. Sebaik sahaja jam itu berada
di tangan, pantas Tipah menaiki tangga semula.
Pelik Raina melihatnya. “Apa dia nak buat
dengan jam tu, makcik?”
Makcik Roza menjungkit bahunya. “Entahlah, Cik
Raina. Cik Tipah tak cakap-cakap apa pulak.”
Tipah terintai-intai dari balik pintu.
Seperti yang di duganya Rayyan sudah hanyut di alam mimpi. Perlahan-lahan dia
masuk. Jam tersebut di letakkan di atas meja bersama-sama sekeping nota.
Kemudian perlahan-lahan dia keluar dari bilik itu.
“Esok pagi mesti ada orang yang meroyan
punya,” getus Tipah sambil tergelak kecil.
Tepat seperti di duganya. Jam menunjukkan
genap pukul 6.30 pagi. Jam loceng itu terus memuntahkan bunyi yang amat-amat
kuat. Terpisat-pisat Rayyan bangkit dari tidur. Dia tercari-cari dari manakah
arahnya bunyi yang memekak dinihari begini. Matanya segera tertancap pada
sebuah nota yang tertulis betul-betul bersebelahan dengan jam loceng.
“SAYANG, JANGAN LUPA BANGUN SOLAT SUBUH YA!
HEHE JANGAN MARAH...”
Mendidih darah Rayyan pagi-pagi buta
begini. “TIPAH!!!!!!”