BAB 28 - Part 1
Raimi jatuh tersungkur di atas lantai. Semua orang di dalam
bilik bacaan tersebut terpana seketika. Raimi bingkas bangkit. Kali ini dia
pula bertindakbalas. Pipi putih melepak Rayyan sudah menjadi sasaran penumbuk
sulungnya. Mereka berdua bergelutan bagaikan orang hilang akal.
Tipah memekik. “Sudah tu! Berhenti! Abang Raimi, janganlah
bergaduh lagi!” Kata-kata Tipah itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi
sahaja. Mereka berdua bergusti sakan bagaikan penggusti professional WWE!
Mata Tipah terbias pada sejag air kosong yang sedia terhidang
di atas meja. Tipah mencapai jag tersebut. Tanpa sebarang amaran dia melempar
air tersebut ke arah Rayyan dan Raimi. Basah kuyup mereka berdua di buatnya!
Raimi terus menerpa ke arah Tipah. Tangan kanan Tipah segera
di regutnya. “Tipah, abang rasa baik kamu tak payah teruskan hidup dengan
lelaki tak guna ni! Dia kahwin dengan kamu semata-mata untuk kepentingan
dirinya saja!”
Rayyan menerkam ke arah Tipah. Tangan kiri Tipah pula
menjadi sasaran regutannya. “Awak tu isteri saya, Tipah! Jangan nak jadi isteri
derhaka pulak!”
Tipah tersepit di tengah-tengah. Raimi gigih menarik tangan
kanannya manakala tangan kanannya di pegang dengan kuat oleh Rayyan. Bagai nak
putus tangannnya dek penangan mereka berdua!
Kesabaran Tipah sudah sudah makin menipis. Di rentap
kedua-dua belah tangannya dengan kuat sehingga terlepas dari genggaman mereka
berdua.
Tipah berteriak. “Sudahlah tu! Korang berdua ingat Tipah ni
barang ke? Suka-suka nak tarik ke sana ke sini? Dua-dua pun tak boleh pakai!
Tipah tak nak tengok muka korang berdua lagi!”
Tipah berlari keluar dari bilik bacaan itu dengan hati yang
bengkak. Kakinya terhayun laju menuju ke bilik. Pintu bilik di hempasnya sekuat
hati sebelum tubuhnya terlayang ke atas katil. Makcik Roza dan Melah yang
sedang rancak berbual di dapur terkejut mendengarnya.
Pantas Melah melangkah ke bilik tersebut. Dia segera
menghampiri Tipah. Bahu Tipah di elusnya lembut. “Kenapa ni, Tipah?” Tipah
menyembam wajahnya di atas katil. Hanya esak tangisnya yang kedengaran. Raina
dan Makcik Roza muncul sejurus selepas itu.
“Melah, biarlah Tipah tenangkan diri dulu. Dia tengah sedih
tu,” ujar Raina. Dia memberi isyarat mata pada Melah dan Makcik Roza agar
meninggalkan Tipah sendirian.
Jiwa Tipah mula mengalunkan irama suram. Dia tidak menyangka
sama sekali Rayyan sanggup mempergunakannya semata-mata kerana harta. Hatinya
hancur luluh. Serasa bagaikan ianya terhempas ke atas batu sehingga pecah
berderai. Tidak di sangkanya dia akan terperangkap dalam jerangkap perkahwinan
yang langsung tidak di duganya. Ini bermakna memang tiada sekelumit pun cinta
Rayyan padanya.
Tipah merintih pilu. “Rayyan, sampai hati kau main-mainkan
perasaan aku! Kau kejam, Rayyan! Memang kejam!”
Entah bila dan bagaimana agaknya Tipah terlena di buai mimpi
dia sendiri pun tidak pasti. Sewaktu Melah mengejutkannya untuk makan malam tadi
pun dia masih dalam keadaaan terawang-awangan. Tipah menjeling ke sebelah.
Melah sudah hanyut ke alam mimpi. Tipah mengerling ke arah jam dinding yang
rancak berdetak-detuk. Sudah pukul dua belas tengah malam rupa-rupanya!
Tipah memegang perutnya yang rancak berkeriak-keriuk macam lagu
‘Last Song’ dendangan Rain, penyanyi Korea yang terkenal. Baru dia teringat,
sejak dari pagi sebutir nasi pun belum menyinggahi perutnya. Aroma nasi lemak
dan sambal kerang mula menari-nari di ruangan matanya. Perlahan-lahan dia
bangkit dari katil. Dia tidak mahu mengejutkan Melah.
Tombol pintu di pulasnya dengan berhati-hati. Berjengket-jengket
dia melangkah keluar dari bilik. Suasana gelap menyirami ke segenap ruang.
Sahlah semua orang sudah beradu. Pantas Tipah melangkah ke arah dapur. Memang
sengaja dia dan Melah memilih bilik bersebelahan dengan dapur. Bukannya apa,
senanglah jikalau dia dan Melah nak melaksanakan projek masakan tergempar
mereka!
Sengaja Tipah tidak memetik suis lampu dapur. Tangannya
meraba-meraba meja. Kosong! Pasti semua makanan sudah di langsaikan oleh mereka
semua. Kecewa Tipah di buatnya. Kini Tipah beralih ke arah peti sejuk. Dalam
kesamaran malam terkial-kial dia mencari pintu peti sejuk tersebut.
“Harap-harap adalah sesuatu dalam peti ais ni yang boleh di
makan,” gumam Tipah sendirian. Sebaik sahaja pemegang peti ais berada dalam
genggaman terus sahaja di kuaknya peti ais tersebut. Deretan pelbagai jenis buah-buahan
merangsangkan nafsu kelaparannya. Pantas di capainya sebiji epal hijau yang sedang
elok ranum mekarnya.
Baru sahaja dia berkira-kira untuk mencapai sepotong kek
coklat pula apabila sepasang tangan sasa tiba-tiba menerjah dan menutup pintu
peti sejuk itu. Tipah segera berpaling ke belakang. Pemilik seraut wajah kacak
yang bertakhta di dalam hati kini muncul betul-betul di hadapannya. Tubuh
mereka berdua begitu rapat sehinggakan setiap hela nafas yang terlontar keluar berpuput
lembut di wajah masing-masing.