BAB 23 - Part 2
Rayyan bertempik. “Hei! Kau ni apahal? Tiba-tiba sibuk nak
masuk campur urusan aku dengan Tipah pulak! Kau dengan kawan kau ni sama je!
Memang muka tak tahu malu!”
“Kurang ajar kau!” Melah menerpa ke arah Rayyan namun
cepat-cepat Tipah menghadangnya.
Melah meronta-ronta. “Tepi, Tipah! Aku nak ajar jantan tak
guna ni! Ada ke patut dia cakap kita ni muka tak tahu malu!”
Tipah sedaya-upaya cuba menenangkan Melah. “Sudahlah tu,
Melah! Janganlah bergaduh kat sini! Malu kalau semua orang dengar nanti. Ini
semuanya salah aku. Sepatutnya aku inform dulu padanya sebelum datang ke mari.”
Dengan bongkak Rayyan mencelah. “Hah! Tau takpe! Dengan
segala hormatnya di persilakan korang berdua berambus dari rumah aku!
Sekarang!” Kolam airmata Tipah tidak mampu di bendung lagi. Pantas dia menarik
tangan Melah dan di hayunkan langkah kakinya laju-laju dari situ. Tidak sanggup
lagi dia mendengar kata-kata penghinaan yang bertubi-tubi keluar dari mulut
suaminya sendiri!
Sambil mengheret bagasi masing-masing, mereka berdua
melangkah keluar dari perkarangan kediaman mewah Rayyan dengan hati yang
walang. Airmata Tipah tidak henti-henti menumpahkan mutiaranya yang mengalir
membasahi pipi gebunya. Kasihan pula Melah melihatnya. “Sudahlah tu, Tipah. Kau
lupakan je si Rayyan tu. Takde gunanya kau mengalirkan air mata demi jantan tak
guna macam dia. Kita balik semula ke Malaysia, okay?” pujuk Melah.
“Masalahnya jantan tak guna tu suami aku! Takkanlah
aku senang-senang nak lupakan macam tu je! Segala buruk, baik perangainya aku
kena telankan juga. Aku tak beranilah nak balik ke Malaysia. Aku tak tahu nak
cakap apa dengan ayah dan makcik aku,” keluh Tipah.
Melah menggaru-garu kepalanya. Apa yang patut mereka lakukan
sekarang? Situasi Tipah itu benar-benar membuatkan otaknya buntu. Tiba-tiba
suatu sorotan cahaya yang terang menyuluh ke arah Tipah dan Melah. Sebuah
kereta ‘sporty’ jenis Mercedes-Benz SLK 250 yang berwarna merah muncul di situ.
Terlihat sahaja kelibat Tipah dan Melah yang gigih menarik bagasi masing-masing
membuatkan pemandu kereta ‘sporty’ itu terpanggil untuk memberhentikan
keretanya. Si tinggi lampai nan jelita yang melangkah keluar dari perut kereta
terus sahaja memukau pandangan Tipah dan Melah.
Soalan pertama terlontar dari bibir si jelita itu. “Orang
Malaysia ke?” Tipah dan Melah sekadar mengangguk-anggukkan kepala.
“You all ni dari mana nak ke mana? Siap berbungkus-bangkas
lagi.” Tebak si jelita itu lagi.
Kali ini Tipah meringankan mulutnya untuk menjawab. “Kami
berdua ni baru sampai ke sini petang tadi. Cadangnya kami nak bermalam di hotel
sahaja malam ni. Esok baru kami fikirkan perancangan kami seterusnya.”
“Bunyinya macam you all ni takde hala tuju je. Biar betul!
Takkanlah you all datang sejauh ni sekadar untuk merayau-rayau tak tentu hala?
Mesti ada sebab tertentu, kan?”
Pantas Melah mencelah. “Memang ada tujuan pun kami ke mari. Saya
temankan si Tipah ni hah dalam misi mencari mencari suaminya yang sudah ghaib
sejak tiga bulan yang lepas. Tapi apalah malangnya nasib kami ni, bila dah
jumpa, kami kena usir pula dari rumahnya.”
Berkerut dahi si jelita itu. “Nanti dulu! Awak ni Tipah,
anak Pak Saad tu ya?”
“Ya, saya. Macam mana awak boleh kenal saya, yek?” soal
Tipah kehairanan.
“Ni kak Rainalah! Ya Allah! Tipah, tak sangka kita boleh
jumpa semula.” Tipah dan Raina terus berpelukan erat. Melah hanya tergamam
melihat telatah mereka berdua. Setelah agak lama berpelukan akhirnya rangkulan
itu terlerai jua.
“Ni siapa pula Tipah?” Raina menjuihkan bibirnya ke arah
Melah.
Tipah menyengeh. “Inilah kawan baik saya dunia dan akhirat,
kak Raina. Namanya Melah. Melah, ni kak Raina.” Melah dan Raina segera
bersalaman.
Selamba Melah menukas. “Oh, nilah kakak ipar kau ye, Tipah?
Baik orangnya. Nasib baik perangai dia tak seteruk suami kau si Rayyan tu.”
Pantas Tipah mencubit lengan Melah. “Kau ni janganlah cakap
macam tu depan kak Raina,” gerutu Tipah dengan nada separuh berbisik.
Raina hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata mereka
berdua. “Tak apa, Tipah. Betul cakap Melah tu. Si Rayyan tu memang makin
menjadi-jadi perangainya. Kenapa Rayyan usir kamu berdua tadi?”
Tipah menunduk. Tidak sampai hati pula dia mengadu mengenai
perbuatan Rayyan yang amat-amat menjolok mata sebentar tadi. Namun seperti
biasa Melah yang lurus bendul akan membongkarkan segala-galanya tanpa di duga!
“Kak Raina nak tahu, ada ke patut si Rayyan tu buat parti
liar kat rumah dia? Si Tipah ni pulak boleh buat dajal dalam parti tu. Apalagi
mengamuk sakan ler si Rayyan tu. Pasal tuler kitorang kena usir tadi.”
Terbeliak biji mata Raina. “Apa? Rayyan buat parti liar kat
rumah? Tak boleh jadi ni. Tipah, Melah, naik kereta akak sekarang. Kita serbu
Rayyan sekarang jugak!”
Melah terloncat-loncat kesukaan. “Kita nak buat serbuan,
kak? Macam dalam cerita Gerak Khas tu ke? Yahoo! Bestnyer!” Tidak berkelip mata
Raina dan Tipah menjeling ke arah Melah.
Melah menyengeh. “Hehe sori, terlebih sudah!” Sejurus
selepas itu mereka bertiga sudah berada di dalam perut kereta ‘sport’ Raina
yang meluncur laju menuju ke kediaman mewah itu semula.
Wajah Rayyan masam mencuka. Moodnya benar-benar tercalar
dengan kehadiran isterinya yang langsung tidak di duga. Melihat keadaan Rayyan
yang kusut itu Zeta segera menghampiri. Tangannya mula menjalar dan mengusap
jari-jemari Rayyan dengan lembut.
“Relakslah, sayang. Janganlah marah-marah. Perempuan gila tu
dah berambus dah pun, kan? Malam ni kan patutnya kita enjoy, have fun. Betul
tak, sayang?” Zeta mula memainkan peranan. Tangannya yang tadi bermain-main di
jemari Rayyan sudah mula merayap-rayap
mencari sasarannya. Suatu
tempikan yang kuat terus membantutkan agenda mereka.
“Rayyan! Apa dah jadi dengan rumah ni, hah?” Raina
muncul di ruang tamu dengan wajah
menyinga.
Rayyan bingkas bangun dengan wajah yang pucat.
Tergagap-gagap dia menjawab. “Err...kakak...err...bukan akak terlibat dengan
minggu fesyen di London selama seminggu
ke? Macam mana pula akak boleh ada kat sini?”
Merah padam muka Raina mendengarnya. “Oh, memang adik
nanti-nantikanlah saat akak takde kat rumah supaya adik boleh buat parti
maksiat macam ni? Sekarang ni akak nak semua orang yang ada kat sini keluar
sekarang! Hej DJ, tutup radio tu sekarang juga! Lepas tu berambus dari sini!
Angkut sekali semua pembesar suara tu! Cepat!”
Tak menang tangan DJ itu menutup dan mengemas segala
peralatannya. Para tetamu yang lain juga
terkocoh-kocoh keluar dari rumah itu.
Raina menjeling tajam ke arah Zeta yang masih bergayut di
lengan Rayyan. “Yang seorang lagi ni tak reti-reti nak berambus dari sini ke?
Takkan nak tunggu kitorang bentangkan karpet merah kot baru nak berambus?”
Tersentak Zeta mendengar kata-kata keras dari Raina. Bingkas
dia bangkit. Di capainya beg tangan dan pantas kakinya di hayunkan menuju ke
pintu.
Rayyan menjeling tajam ke arah Raina. “Puaslah hati akak
sekarang, kan? Akak dah berjaya malukan saya depan kawan-kawan saya. Tahniah
saya ucapkan!”
Raina menggeleng-gelengkan kepala. “Adik, bawak mengucap,
dik. Semua yang adik lakukan ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Adik tak kesian dengan arwah papa dan mama ke? Bertaubatlah, dik. Pintu taubat
masih terbuka luas untuk adik.”
Rayyan tersenyum sinis. “Kak, tak payahlah nak berlagak
macam akak tu suci sangat. Naik loya tekak saya mendengarnya.”
Raina tertunduk menekur ke lantai. “Ya, memang akak sendiri
pun tak sempurna sebagai seorang manusia tapi sekurang-kurangnya akak cuba
berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik.”
“Kalau akak nak membebel sampai pagi, silakan lah yer. Adik
nak keluar kejap.” Belum sempat Rayyan berlalu pergi, Tipah dan Melah muncul di
muka pintu.
Ternganga Rayyan melihatnya. “Apa korang berdua buat kat
sini? Afsal korang berdua belum berambus lagi dari sini, hah?”
Dengan tegas Raina bersuara. “Dengar sini, adik. Mulai dari
tika dan saat ini, Tipah dan Melah akan duduk bersama-sama dengan kita di rumah
ni. Titik. Muktamad.” Terkesima Rayyan seketika.