BAB 19 - Part 1
Matahari yang terik menyinar langsung tidak menjadi
penghalang. Gigih Rayyan dan Tipah melangkah menuruni anak tangga setingkat
demi setingkat. Hati Tipah gembira tidak terkata. Sijil kursus pra-perkahwinan,
gambar rekod kedatangan, ‘proof of attendance’ dan surat akuan bujang yang
sudah siap di cop dari pejabat Zura’s Akademik sudah berada dalam tangannya. Kesemua
dokumen itu sudah selamat berada di dalam beg galasnya.
Ikutkan hati malas Rayyan nak mengikuti Tipah ke sini lagi
setelah adegan memalukan tempohari tapi mengenangkan yang pernikahan ini harus
di segerakan, apa sahaja pun sanggup Rayyan redahi. Mereka berdua sudah berada
di pinggir jalan. Sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ menjadi sasaran
mereka. Sejurus selepas itu mereka berdua sudah berada di dalam perut teksi
tersebut. Halatuju mereka seterusnya adalah Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan yang terletak di Kompleks Pusat Islam. Cuaca yang tadinya panas
terik tiba-tiba bertukar mendung. Awan hitam mula berarak menutupi langit yang
membiru.
Tipah mengomel sendiri. “Gelapnya! Macam nak hujan jer. Tapi
bagus jugak kalau hujan, kan? Lama dah tak main hujan ni.”
Rayyan membentak. “Tak habis-habis dengan perangai
kanak-kanak ribena awak tu! Sudah! Jangan nak mengada-ngada, yer? Kita ni ada
urusan penting.”
Tipah mencebik. “Eh, saya bukannya nak ajak awak main hujan
dengan saya pun. Tolong jangan perasan!” Rayyan terus terkedu. Boleh tahan juga
‘laser’nya mulut minah ni!
Sebaik sahaja teksi itu merentasi Muzium Negara, dengan
tidak semena-mena enjin teksi itu bergegar dengan kuat. Asap sudah mula keluar
dari bahagian hadapan enjin.
Rayyan mula kaget. “Abang, kenapa dengan teksi ni? Macam nak
meletup je. Baik abang berhenti sekarang!”
Pantas abang teksi itu memberhentikan teksinya betul-betul
bersebelahan dengan stesen KTM. Di bukanya bonet teksi tersebut. Berkepul-kepul
asap menerjah keluar. Rayyan dan Tipah segera melangkah keluar dari teksi
tersebut.
Rayyan sudah bercekak pinggang. “Apa ni, bang? Saya nak
cepat ni. Apa cerita sekarang ni?”
Abang teksi menggaru-garu kepalanya. “Tak dapek nak
nolongnya, dik! Senang cerita adik berdua ni jalan kaki jelah. Lagipun Kompleks
Pusat Islam tu dah tak jauh dari sini. Adik berdua jalan terus ke hadapan,
lepas tu belok kiri. Kompleks Pusat Islam tu betul-betul kat depan Masjid
Negara.” Masam mencuka wajah Rayyan mendengarnya. Sambil membentak-bentakkan
kaki pantas Rayyan melangkah pergi dari situ.
“Abang, minta maaf, ya? Dia tu memang kepala angin sikit.
Berapa tambang ni bang?” ujar Tipah dengan wajah serba-salah.
Abang teksi itu hanya mampu tersenyum hambar. “Takpe abang
faham. Memang salah abang pun. Takpelah adik bayar RM 4 jelah.”
“Ok. Nah ni duit abang.” Tipah menghulurkan empat keping not
biru muda kepada abang teksi itu. Kemudian dia segera mengejar Rayyan dari
belakang. Kilat sudah mula memancar-mancar di segenap ruang. Tanpa di sangka
titis-titis hujan rahmat mula turun dan membasahi bumi.
Rayyan mendengus. “Tengok! Kan betul-betul hujan dah turun!
Ini semua awak punya pasal lah! Yang awak minta naik main hujan tadi kenapa?
Tak pasal-pasal saya pun kena hujan jugak ni!”
Kata-kata Rayyan itu bagaikan angin bayu yang mendesis
lembut sahaja di gegendang telinga Tipah. Dia langsung tidak kisah malah dia
terloncat-loncat kesukaan! Siap menyanyi –menyanyi lagi!
“Kenangan malam minggu...waktu jalan-jalan...berdua jalan
kaki...saat turun hujan...” Kelakuan Tipah itu menarik perhatian sekalian umat
manusia yang sedang berada di situ.
Malunya Rayyan bukan kepalang. Pantas dia menarik lengan
Tipah. “Dahlah tu! Buat malu jelah. Jom cepat, kita dah lambat ni!” Pegangan
tangan Rayyan itu bagai mengalirkan suatu kuasa elektrik ke seluruh tubuh
Tipah. Terasa hangatnya kasih yang berpijar di saat kesejukan mula merantai
mereka. Pandangan mata mereka bertautan buat seketika. Sesuatu terasa di
hati-masing-masing. Bagaikan menonton adegan Shah Rukh Khan dan Kajol kebasahan
di sirami hujan dalam filem Kuch Kuch Hota Hai pula!
“SPLASH!!!!” Percikan air dari kereta yang lalu-lalang
segera menyedarkan mereka berdua. Rayyan segera melepaskan genggaman tangannya.
“Err...jomlah kita pergi sekarang. Nanti tutup pula pejabat
Jabatan Agama tu nanti.”
Tipah hanya akur. “Yelah. Jomlah pergi sekarang.” Hati Tipah
sarat dengan bunga-bunga cinta yang mula kembang mekar. Namun sedaya-upaya dia
cuba menahan gelojak perasaannya kerana dia sedar cintanya masih belum dapat
bertapak di hati Rayyan.
Akhirnya setelah bersusah-payah mendaki anak tangga demi
anak tangga mereka tiba juga ke pejabat Jabatan Agama Islam dalam keadaan yang
basah kuyup. Keadaan mereka segera menarik perhatian segenap mata yang berada
di situ. Namun Rayyan tidak peduli dengan semua itu. Yang penting baginya
sekarang adalah menyelesaikan segala urusan bagi membolehkan dia bernikah
dengan Tipah secepat mungkin.
Tipah dan Rayyan segera menuju ke kaunter. Petugas lelaki
yang berada di situ hanya tersenyum sumbing melihat keadaan mereka. “Belum
apa-apa lagi dah basah, yer?”
Selamba Tipah menjawab. “Mujurlah basah sebab hujan, encik.
Janji jangan tangkap basah sudah.” Rayyan segera mencubit lengan Tipah. Selamba
rock je budak ni! Geram pula dia melihatnya. Tipah hanya menyerigai.