Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 27 - Part 1

BAB 27 - Part 1

Sebuah tumbukan padu hinggap di wajah Raimi sebelum sempat dia mengelak. Raimi bingkas bangun. Di tolaknya Rayyan dengan sekuat hati sehingga jejaka itu terduduk kesakitan. Kaki Rayyan yang kemas berbalut mula rasa berpijar.

Menyinga Rayyan jadinya. “Kurang ajar kau! Datang rumah aku tak berjemput, lepas tu suka hati kau je nak tolak aku macam sampah!”

Zeta berlari-lari anak ke arah Rayyan. Tubuh jejaka itu segera di ampunya. “Kenapa ni, sayang? Apa yang kecoh-kecoh ni? Siapa lelaki ni?”

Berkerut dahi Raimi melihat adegan itu. Terus dia berpaling ke arah Tipah. Jelas terpampang kesedihan di mata Tipah. Panas hati Raimi di buatnya. “Memang patut pun aku tolak kau sebab perangai kau memang macam sampah!”

Terbeliak biji mata Rayyan mendengarnya. “Apa kau cakap? Tak guna!” Rayyan cuba menerkam ke arah Raimi namun Zeta sempat menghalang tindakan Rayyan itu.

Pakcik Halim segera masuk campur. “Rayyan, Raimi, hentikan semua ni! Jangan bergaduh lagi! Rayyan, kenapa dengan kaki kamu tu?”

Rayyan menjeling tajam ke arah Tipah. “Panjang ceritanya, pakcik. Kalau nak cerita sampai esok pagi pun takkan habis. Pakcik boleh tak tolong saya halau nyamuk sesat mana entah yang suka-suka nak datang ke rumah saya ni?”

Terjongket kening Raimi mendengarnya. Namun dia hanya tersenyum sinis sahaja. Tahap kesabarannya jauh lebih tinggi dari si Putera Kodok kesayangan Tipah itu!

Pakcik Halim menggelengkan kepala. “Rayyan, tak baik cakap macam tu. Sebenarnya pakcik yang bawa Raimi ke sini. Ini semua ada kaitan dengan wasiat arwah papa kamu.”

Berubah air muka Rayyan. “Apa maksud pakcik?”

Pakcik Halim bersuara dengan tenang. “Rayyan, kamu pun tahu dah lebih tiga bulan pembacaan wasiat tertangguh kerana beberapa masalah teknikal berkaitan dengan peruntukan undang-undang. Namun jangan risau segala-galanya sudah di uruskan. Jadi memandangkan Raimi dan Tipah pun sudah ada di sini, pakcik rasa memang elok sangatlah bacaan wasiat tu di buat secepat mungkin. Cadangnya bacaan wasiat ini akan di perdengarkan esok pagi di pejabat pakcik. Tapi memandangkan kaki kamu pula dah tercedera, pakcik rasa eloklah sekiranya bacaan itu berlangsung di sini sahaja.”

Rayyan tersentak. Peluh renik mula meniti di dahinya. Apa yang harus di buatnya? Raimi dan Tipah tidak harus mengetahui kandungan sebenar wasiat ini. Rayyan sudah mula menghidu titik-titik kehancuran. Jikalau Raimi dan Tipah mengetahui perkara sebenar jahanamlah dia kali ini!

“Err...pakcik...err...apa kata kita tangguhkan dulu bacaan wasiat tu? Saya rasa ini bukan masa yang sesuai,” tuntas Rayyan dengan nada cemas.

“Tak boleh, Rayyan. Kita dah tak boleh bertangguh lagi. Perkara ini harus di selesaikan secepat mungkin. Lagi cepat, lagi bagus. Oklah Rayyan, pakcik tak boleh lama-lama kat sini. Ada urusan lain yang perlu di selesaikan. Pakcik minta diri dulu. Esok pagi kita semua berkumpul di sini.”

Kata-kata yang terlontar dari bibir Pakcik Halim itu lebih menyerupai kepada satu arahan yang tidak boleh di sanggah. Rayyan mengeluh. Nampaknya kali ini dia tidak mampu berdalih lagi. Esok pagi segala-galanya akan terbongkar!

Kerlingan tajam Rayyan menyoroti gerak-geri Raimi yang pantas mengekori langkah Pakcik Halim menuju ke MPV yang menjalar di perkarangan rumah. Bibirnya segera mengukir senyuman. Berambus akhirnya mamat K-Pop tiruan tu! Tidaklah sakit mata dan hatinya melihat gelagatnya yang tergedik-gedik di sisi Tipah. Eh, kenapa pula dia harus marah jika Raimi tergedik-gedik dengan Tipah? Bukannya dia ada apa-apa perasaan pada isterinya itu.

Baru sahaja dia hendak melangkah masuk apabila kelibat Raimi muncul semula di muka pintu. Yang paling menggetirkan jiwanya melihat sebuah beg elok tersandang di bahu jejaka itu. Takkanlah dia nak tinggal di sini pula?

Pantas Rayyan berteriak. “Hei, afsal kau datang sini lagi, hah? Pergilah ikut Pakcik Halim tu balik.”

Selamba Raimi menukas. “Pakcik Halim suruh aku bermalam kat sini. Lagipun rumah besar macam istana begini, takkanlah langsung takde bilik kosong untuk aku, kan? Tipah, boleh tunjukkan mana satu bilik abang?”

Tipah menjeling ke arah Rayyan. Kerlingan tajam suaminya itu sangat di fahaminya. Namun siapalah dia untuk menidakkan arahan dari Pakcik Halim. “Marilah, abang. Tipah tunjukkan. Makcik Roza...oh Makcik Roza.”

Terkocoh-kocoh Makcik Roza datang dari arah dapur. “Ya, Tipah. Ada apa?”

“Boleh tak makcik tolong tunjukkan bilik untuk abang saya ni?”

Makcik Roza menyengeh. “Ni abang kamu, Tipah? Amboi hensemnya! Dah ada yang punya ke belum ni?”

“Belum ada lagi, makcik. Yelah kita nak kat orang tu, tapi orang tu jual mahal pulak.” Sengaja Raimi mengenyitkan matanya pada Tipah hingga tersipu-sipu malu gadis itu di buatnya.

Berasap telinga Rayyan di buatnya. Ikutkan hati mahu sahaja di lenyek-lenyeknya Tipah dan Raimi sampai jadi lempeng pisang. Namun mengenangkan ini semua adalah arahan Pakcik Halim maka marahnya di cempung jauh-jauh di sudut hatinya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.