BAB 22 - Part 1
Jeritan kuat Melah itu mengejutkan Tipah
dari tidur yang lena. Terkujat Tipah seketika. Tangannya segera mencapai botol
air mineral dari dalam beg dan pantas di curahkannya ke muka Melah.
Sekali lagi Melah terpekik sekuat hatinya.
“Opocot mak kau! Air? Kita dah mendarat kat atas laut ke? Syukurlah, kita semua
selamat!”
Tipah segera menampar lengan Melah sekuat
hatinya. “Kau ni mabuk laut ke apa? Bila masa pula kita mendarat kat atas laut
ni? Kita masih ada dalam kapal terbang ler.”
Melah segera melihat ke sekeliling. Semua
para penumpang memandangnya dengan penuh tanda tanya. Melah segera berdiri
sambil menyengeh. “Minta maaf semua pasal saya terjerit-jerit tadi. Maklumlah
ini pertama kali saya naik kapal terbang, ter’excited’ sikit sampai
termimpi-mimpi pulak. Jangan marah, ya.” Tipah hanya mampu menggelengkan kepala
melihat telatah Melah.
Akhirnya pesawat tersebut selamat mendarat
di Lapangan Terbang Perth tepat pukul 6.00 petang. Waktu (jam) di Perth yang
sama dengan waktu (jam) di Malaysia memudahkan Tipah dan Melah untuk merangka
perjalanan mereka. Sebaik sahaja tiba di terminal, Tipah dan Melah melalui
proses imigresen dengan perasaan yang berdebar-debar. Seperti yang sudah di
ketahui umum pihak Imigresen Australia amat ketat dan tegas dalam pemeriksaan
dokumen. Sebarang kesilapan kecil di dalam dokumen boleh menyebabkan mereka
berdua di hantar pulang semula ke Malaysia.
Fuh! Lega hati Tipah dan Melah. Mujurlah
tiada sebarang masalah semasa pemeriksaan imigresen tersebut. Mereka berdua
melangkah ke balai ketibaan dengan hati yang girang. Sungguhpun Lapangan
Terbang Perth ini tidaklah sebesar dan secanggih Lapangan Terbang KLIA namun
keterujaan memijakkan kaki ke bumi kanggaro buat pertama kali lebih bermakna
bagi Tipah dan Melah.
Dengan tidak semena-mena Melah terjerit
kesukaan. “Selamat datang ke Australia! Yay, Australia, aku sudah menjejakkan
kaki ke bumimu!” Semua mata-mata yang berada di balai ketibaan itu memandang ke
arah Melah dengan wajah kehairanan.
Tipah segera menarik tangan Melah. “Kot iya
pun tak payahlah terjerit-jerit macam orang gila kat sini. Karang tak
pasal-pasal kita kena seret pergi hospital sakit jiwa pulak! Baik kita cari
surau dulu. Boleh kita solat jamak takhir fardhu zohor dan asar.”
Melah menyerigai. “Yelah, ustazah Tipah.
Hamba hanya menurut perintah.” Walau di bumi mana pun mereka berpijak, tuntutan
terhadap agama haruslah di dahulukan. Kata-kata Pak Saad itu sentiasa menjadi
bekalan dan azimat di dalam jiwa Tipah. Usai solat Tipah dan Melah melangkah
keluar dari lapangan terbang tersebut dan segera menuju ke deretan teksi yang
sudah siap-sedia menunggu di luar.
Seorang pemuda berketurunan Eropah yang
sedang menyandar di luar teksi sambil tersenyum manis terus sahaja memanjangkan
langkah kaki Tipah dan Melah ke arahnya. Pantas Tipah mengunjurkan sehelai
kertas yang mengandungi alamat pejabat Rayyan kepada pemandu teksi itu.
‘Aurora Electrical
Services Pty Ltd
ABN 73
111 262 465
No. EC7424
15 Port Pirie Street
BIBRA LAKE WESTERN AUSTRALIA 6163’
Pemandu teksi itu tersenyum sambil
mengangguk-anggukkan kepala. Bagasi mereka berdua segera di punggah ke dalam bonet
teksi. Sejurus selepas itu mereka berdua sudah melabuhkan punggung ke dalam
perut teksi. Perjalanan menuju ke pusat bandar Perth sejauh 12 kilometer itu
agak lengang dan sunyi. Tipah dan Melah terpesona seketika dengan pemandangan
indah di kiri kanan jalan yang di hiasi dengan pokok kasuarina yang hijau
merimbun. Di kalangan penduduk tempatan pokok ini lebih di kenali dengan nama
‘pokok she-oak’.
Dari cermin pandang belakang pemandu teksi
itu mengerling ke arah Tipah dan Melah. Dari gaya mereka berdua pemandu teksi
itu merumuskan bahawa inilah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke bumi
Perth. Ini bermakna mereka tidak biasa dan tidak fasih dengan jalan-jalan di
sini. Senyuman jahat segera terukir di bibir pemandu teksi tersebut.
Serta-merta teksi itu berhenti mendadak di
pinggiran jalan. Pemandu teksi itu berpaling ke belakang dengan wajah yang
ganas. Pisau lipat di unjurkan kepada mereka.
P/S : Jeng...jeng...jeng...apa yang akan jadi lepas ni?