~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Saat kaki melangkah gagah,
Tubuh tersarung celoreng merah,
Bersama hati cekal dan tabah,
Menuju ke destinasi yang di amanah.
Tanpa menghirau nyawa diperdagang,
Matlamat hanya ingin menolong orang,
Ilmu tersemai sentiasa dibentang,
Demi memastikan keselamatan mendatang.
Tanpa diduga musuh menjelma,
Datangnya tanpa banyak bicara,
Nyawa direntap dengan percuma,
Tanpa belas kasihan walau sejengka.
Tugas dilaksana tergadai nyawa,
Meninggalkan air mata insan tercinta,
Sakit dan perit hati meronta,
Mengenangkan insan terkorban tidak berdosa.
Dimanakah letaknya nilai perikemanusiaan,
Sedangkan kemajuan berganti zaman,
Namun manusia seakan kemunduran,
Semakin cetek akal dan fikiran.
Bukan diminta pangkat dan darjat,
Hanya berharap sekelumit hormat,
Menghargai jasa dan juga keringat,
Yang sentiasa ditabur buat masyarakat.
Nama terpahat sebagai pejuang,
Membuka mata manusia di setiap ruang,
Si celoreng merah wira tidak didendang,
Bersemadilah di sana dengan tenang.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
* Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat wira-wira anggota bomba negara yang terkorban ketika menjalankan tugas demi keselamatan negara.
Al-Fatihah..