Semalam
Aku terluka dalam mengharungi erti kasih yang kukira hanya satu
Hingga aku hampir tersungkur di penjara sendu
Luruh segenap rasa
Lalu, jadilah aku insan yang keliru dengan cintanya
Terkurung dalam penantian yang meresahkan
Lantas mencalar impian
Hari ini
Kutemui kau di sini
Dengan sekalung harapan yang tergantung pada tangkai hati
Dengan jambangan kasih yang terukir di jiwa
Tika hatiku kian parah diancam resah
Membina semula kekuatan
Setelah terluka pada kasih yang berbisa
Dan hari ini juga
Kelopak ceria mula berkembang
Pohon-pohon kasih semakin merendang
Terlupa pada kisah semalam
Titik-titik rindu tercurah pada untaian harapan
Mengharap kemanisan pada sebuah kejujuran
Namun, terkadang terdetik jua rasa
Adakah kecewa kan jadi milikku jua
Atau pelangi yang dilakar akan gemilang warnanya
Membelai hari-hariku bersama lembutnya kasihmu
Dan esok harapanku
Moga permusiman yang bakal kita lalui
Akan sentiasa mekar kelopaknya
Akan sentiasa mewangi
Di setiap pelosok taman hati
Kerana kasih yang kulakar,
Telah meresapkan kembangnya ke denyut nadi
Harumnya kejernih budi
Dan ketahuilah
Cinta ini hanya satu
Cinta yang telah terpahat disetiap getar jantungku
disetiap hembusan nafasku