DIA
memandang sekeliling. Hari sudah senja benar. Cahaya mentari sudah mulai malap.
Sebentar lagi kegelapan pasti akan membalut alam. Nafas ditarik panjang sebelum
dihembus lemah. Dia harus segera beredar dari situ. Kegelapan malam bukanlah
teman terbaik untuk manusia. Apatah lagi bila bersendirian begitu. Dia perlu
pantas bertindak. Segera mencari jalan keluar dari hutan tebal itu atau
sekurang-kurangnya mencari tempat untuk berlindung.
Langkah dihayun pantas
sambil matanya melilau mencari jalan yang hendak dipilih. Hutan itu terlalu
asing baginya. Suatu kenyataan yang membeban benak dan mendera perasaannya.
Semakin dia melangkah, semakin keliru dan buntu dia jadinya. Seribu persoalan
muncul mengasak-asak akal warasnya. Apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana dia
boleh berada di hutan rimba itu bersendirian dan terpisah dari teman-teman
sekolahnya? Ah… dia benar-benar buntu dan celaru!
Seingatnya, dia sedang
tidur di dalam khemah bersama Aiman dan Izham setelah selesai membasuh
peralatan memasak yang digunakan oleh kumpulan pengakap mereka. Tidak ada satu
pun catatan memori tentang bagaimana dia boleh keluar dari khemah dan berjalan
masuk jauh ke dalam hutan seorang diri. Sesuatu yang tidak mungkin akan dia
lakukan.
“Aku ada penyakit
berjalan dalam tidur ke atau apa ni? Kalau aku tau macam ni, tak ingin aku ikut
ajakan Aiman dan Izham berkhemah kali
ini,” rungut Aizuddin sendiri. Tiba-tiba angin bertiup agak kencang. Bunyi
ranting dan dedaun yang berpukulan sesama sendiri akibat tiupan angin kencang
itu menggerunkan hatinya.
“Ah…sudah! Kenapa pulak
kuat sangat angin ni? Nak hujan ke? Kat mana pulak aku nak berteduh kalau hujan
turun nanti?” soalnya kepada diri sendiri lalu semakin pantas kakinya melangkah
walau dia sendiri tidak tahu arah yang dituju.
Setelah lima belas
minit berjalan, akhirnya dia ternampak samar-samar cahaya tidak jauh dari
sebatang anak sungai yang baru ditemuinya. Dia menarik nafas lega. Fikirnya,
cahaya itu mungkin datang dari orang lain yang turut berkhemah di hutan itu
atau mungkin juga datang dari pihak berkuasa yang sedang mencarinya selepas
kehilangannya disedari oleh guru penyelia perkhemahan yang dia sertai semalam.
Tanpa berlengah, cepat-cepat dia meranduk air sungai yang dalamnya separas pinggang
lalu menuju kearah cahaya itu sambil tersenyum girang. Mujur air sungai itu
tidaklah sederas mana. Seluar panjang dan baju yang telah pun basah langsung
tidak dihiraukan.
“Apa yang kau buat di
sini, diwaktu senja begini dengan keadaan basah kuyup begini?” tegur satu suara
tiba-tiba.
Aizuddin tersentak lalu
berpaling ke arah suara yang menegurnya. Seorang gadis sedang memandangnya
dengan kening yang berkerut. Diperhatikan gadis itu dengan penuh tanda tanya.
Biar betul perempuan ni, dalam hutan tebal begini boleh berpakaian seperti itu.
Tak takut digigit nyamuk ke? desis hatinya. Gadis itu mengenakan pakaian ala
puteri dengan bahagian atas seperti berkemban dan bahagian bawah pula panjang
hingga terseret di atas tanah. Manusia ke atau bukan ni? Tanya hati kecilnya.
Dia cukup hairan dengan cara gadis itu berpakaian. Tidak semena-mena Aizuddin
diburu rasa gelisah.
“Kenapa tidak dijawab
soalan aku? Apa yang kau fikirkan?” Soal gadis itu dengan riak wajah yang
serius apabila Aizuddin tidak menjawab pertanyaannya sebentar tadi.
“Er… maafkan saya. Saya
telah tersesat di hutan ini. Saudari tahu tak… er… ke arah mana patut saya
pergi untuk sampai ke jalan raya?” Aizuddin teragak-agak bertanya.
Gadis itu mengangkat
kening. “Jalan raya?” soalnya sambal memandang tajam wajah gelisah Aizuddin.
“Apa maksud kau?” tanyanya lagi.
Aizuddin semakin pelik
dengan gadis yang berdiri di hadapannya itu. “Jalan raya… jalan utama sebelum
masuk ke hutan ini,” jawabnya perlahan.
“Maaf… aku tidak tahu
hutan mana yang kau maksudkan itu. Ini kampung aku, Kampung Kenangan. Tidak ada
hutan di sini. Namaku Dewi, anak kepada Pendeta Alam Kenangan yang merupakan
ketua kampung ini,” beritahu gadis itu lalu memperkenalkan diri.
“Apa?! Kampung
kenangan?” Pantas Aizuddin memandang kawasan sekeliling. Dadanya berdetak
kencang sebaik melihat perkampungan yang gadis itu maksudkan. Hutan tebal yang
dilaluinya sebentar tadi sudah tiada! Dia berasa sangat aneh dengan apa yang
dilaluinya saat ini. Bahasa yang digunakan oleh gadis yang bernama Dewi itu
juga adalah bahasa melayu lama yang lebih sinonim dengan zaman kesultanan
melayu.
Dewi hanya memerhati
gelagat pemuda di hadapannya. Bahasa pertuturan Aizuddin yang sedikit asing dipendengaran
menerbitkan tanda tanya di benaknya. Pakaian Aizuddin yang agak berlainan dari
kebiasaan juga turut menarik perhatiannya. Pasti orang luar, fikirnya.
“Er… saudari kata
kampung apa tadi?” Soal Aizuddin. Dia benar-benar inginkan kepastian. Apa yang
berlaku kepadanya saat itu terasa sukar untuk diterima akal warasnya.
“Kampung Kenangan. Kau
ini dari mana dan hendak ke mana?” soal Dewi ramah. Nasib baik pemuda di
hadapannya iKJtu kelihatan tampan dan dia juga turut tertarik hati. Jika tidak,
dia pasti tidak ingin melayan segala pertanyaan pemuda itu.
“Saya dari KL dan datang
berkhemah di Hutan Lipur bersama kumpulan pengakap sekolah. Sekarang saya
sedang mencari jalan pulang ke KL selepas tersesat seorang diri,” jelas
Aizuddin tanpa berselindung. Dalam rasa hairan yang masih kuat bergayutan di
benaknya, dia tetap berharap agar Dewi dapat membantunya mencari jalan kembali
ke Kuala Lumpur. “Terlupa pulak… nama saya Aizuddin dan saya berharap agar Dewi
dapat menunjukkan jalan untuk saya kembali ke KL,” kata Aizuddin lagi.
“KL?”
“Ya, KL… Kuala Lumpur,”
Aizuddin berasa pelik.
“Hmmm… bukan niat aku
tidak mahu memberikan bantuan, tetapi aku tidak tahu di mana tempat yang
bernama KL itu. Mendengar namanya saja aku tidak pernah. Aku hanya boleh
membawa kau pulang ke rumahku untuk berehat dan mengalas perut,” kata Dewi
jujur. Sememangnya dia tidak tahu di mana tempat yang dimaksudkan oleh
Aizuddin. “Atau… kau boleh bertemu dengan bapaku. Barangkali bapaku boleh
memberitahu kau di mana KL itu,” sambungnya lagi. Dewi berharap agar Aizuddin
sudi mengikutnya. Dia sememangnya tertarik hati dengan Aizuddin yang baginya
sangat tampan dan dia juga ingin memiliki pemuda itu sama seperti pemuda-pemuda
lain yang pernah dia miliki sebelum ini.
“Betul ke bapa saudari
tahu jalan untuk kembali ke KL?” Tanya Aizuddin ragu-ragu. Bagaimana dia hendak
yakin yang bapa Dewi tahu jalan kembali ke Kuala Lumpur jika Dewi sendiri tidak
pernah mendengar nama Kuala Lumpur. Mustahil rakyat Malaysia tidak pernah
mendengar cerita tentang kota metropolitan yang menjadi ibu negara Malaysia.
Kalau tidak pernah menjejak kaki sekalipun, mendengar nama dan cerita tentang
ibu negara itu sudah pasti pernah. Pelik. Dia benar-benar pelik!
“Siapa tahu, kan? Aku
boleh tanyakan tentang KL kepada bapaku dan mudah-mudahan saja dia tahu
tentangnya.”
“Er… bapa saudari tak
marah ke kalau saya ikut saudari pulang ke rumah? Tambahan pulak saya ni orang
luar yang tidak dikenali. Bimbang kalau bapa saudari tidak suka,” ujar
Aizuddin.
“Jangan bimbang. Bapaku
tidak pernah peduli siapapun yang aku bawa pulang.” Dewi cuba menyakinkan
Aizuddin.
Aizuddin terlopong
mendengar jawapan Dewi. Bapa Dewi tidak kisah jika gadis itu membawa sesiapa
saja pulang ke rumah? Ayah jenis apa Pendeta Alam Kenangan itu? Lebih moden dan
terbuka berbanding dengan ayah-ayah yang ada di Kuala lumpur. Huh… betul-betul
parah. Kutuk hati Aizuddin.
“SIAPA
nama kau anak muda dan dari mana asal-usulmu?” Soal Pendeta Alam Kenangan.
Sekilas dia menjeling Dewi yang sedang duduk di sebelahnya. Dia tahu yang Dewi
menyukai pemuda itu kerana sudah menjadi kebiasaan, Dewi hanya akan membawa
pulang pemuda yang berjaya menarik perhatiannya.
“Nama saya Aizuddin bin
Raden Perwira. Saya berasal dari KL,” jelas Aizuddin ramah. Lelaki di
hadapannya itu kelihatan ramah terhadapnya. Jadi, tidak apa yang perlu dia
bimbangkan. Tambahan pula layanan Dewi dan ibunya juga cukup baik.
“Raden Perwira?”
soalmPendeta Alam Kenangan. Dahinya berkerut sambil matanya sesekali terpejam
seolah-olah cuba mengingati sesuatu.
“Ya, Raden Perwira.
Kenapa Pendeta? Pendeta kenal ke dengan ayah saya?” soal Aizuddin yang berasa
hairan dengan reaksi Pendeta Alam Kenangan. Diperhati wajah Pendeta Alam
Kenangan.
“Adakah Raden Perwira
yang menjadi ayahmu itu datang dari tenggara Benua Delima?” Tanya Pendeta Alam
Kenangan lalu berdiri dan menuju ke jendela rumah yang masih terbuka. Wajahnya
sudah beriak tegang. “Dari mana asal-usul ayahmu itu Aizuddin?” tanyanya lagi.
Kali ini suaranya sedikit lantang.
Aizuddin tersentak
dengan perlakuan Pendeta Alam Kenangan. Jelas dipandangannya yang Pendeta Alam
Kenangan terganggu dengan nama Raden Perwira. Pantas Aizuddin menggelengkan
kepala. “Bukan pendeta. Ayah saya berasal dari Terengganu… bukannya dari tempat
yang Pendeta sebutkan tadi,” jelas Aizuddin. Semakin pening kepalanya mendengar
nama tempat yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Di mana pula letaknya tempat yang
bernama tenggara Benua Delima itu? Belum pernah lagi dia mendengar nama tempat
itu selama ini.
“Oh… aku ingatkan ayah
kau yang bernama Raden Perwira itu berasal dari Benua Delima. Kalau begitu… tak
mengapalah,” ujar Pendeta Alam Kenangan dengan suara yang sudah mengendur
semula. Riak wajahnya juga sudah kembali tenang.
“kenapa dengan Raden
Perwira yang Pendeta maksudkan tu?” soal Aizuddin perlahan. Polos sahaja
wajahnya tanpa ada rasa curiga.
“Tidak ada apa-apa,” jawab
Pendeta Alam Kenangan Ringkas. Tidak mahu membuka cerita tentang Raden Perwira
dan zuriat keturunannya.
“Oh….” Hanya itu yang
keluar dari mulut Aizuddin.
“Hmm… siapa pula nama
ibu kamu Aizuddin?” tanyanya lagi sekadar inginkan kepastian.
“Nama ibu saya Citra.”
Mendengar jawapan
Aizuddin, sekali lagi wajah Pendeta Alam Kenangan berubah tegang. Biji matanya
juga turut bertukar warna menjadi merah saga. Serentak itu dia berjalan masuk
ke dalam bilik meninggalkan Aizuddin terkulat-kulat sendiri.
DEWI
terjenguk-jenguk, cuba mengintai kelibat bapanya. Takut jika apa yang akan dia
lakukan dilihat oleh bapanya yang sedang marah. Dia tahu tentang rancangan
bapanya yang hendak menyerahkan Aizuddin kepada Raja Kerajaan Silam. Dia tidak
mahu Aizuddin diapa-apakan. Dia benar-benar jatuh hati dengan pemuda itu walau
baru sahaja berkenalan. Perasaan yang tidak pernah timbul di hatinya selama dia
berkepit dengan pemuda-pemuda lain sebelum ini. Hatinya tidak sanggup
kehilangan Aizuddin walau apa yang ingin dia lakukan sebentar lagi turut
memisahkannya dengan pemuda itu. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Aizuddin
selamat dan masih bernyawa walau mungkin tidak akan dapat bertemu lagi.
“Aizuddin bangun!” Laju
tangan Dewi menggoyang tubuh Aizuddin. Sesekali kepalanya tertoleh-toleh ke
belakang.
“Dewi! Apa yang awak
buat kat sini?” soal Aizuddin lalu terduduk pantas.
“Kau harus segera
beredar dari sini, Aizuddin. Nyawamu dalam bahaya!” beritahu Dewi dengan nada
yang cukup cemas. Dalam masa yang sama dia juga takut akan kemurkaan bapanya.
“Hah?”
“Cepat! Kau tidak punya
banyak masa lagi. Kalau terlambat, kau akan kehilangan nyawamu,” gesa Dewi
apabila melihat Aizuddin yang masih tercengang memandangnya.
Mendengar itu, dada
Aizuddin dipalu rasa debar yang menggila. Rasa takut mula menjalar di dalam
dirinya. Sepantas kilat juga dia bangun lalu mengambil beg sandangnya yang
terletak di hujung kaki. Dewi yang sudah sedia bediri di muka pintu memberikan
isyarat agar Aizuddin mengikutnya dari belakang. Aizuddin akur lalu pantas
mengekori Dewi.
Setelah berjalan hampir
satu jam lamanya, akhirnya mereka sampai ke kawasan sungai tempat pertama kali
mereka bertemu. Aizuddin berpaling memandang Dewi yang sudah mula berwajah
mendung.
“Apa sebenarnya yang
awak maksudkan Dewi? Saya tak faham!” kata Aizuddin.
“Kau adalah orang yang
dinanti-nantikan kedatangannya selama ini, Aizuddin. Mengikut ramalan
orang-orang lama, kau adalah orang yang akan mengalahkan Raja Kerajaan Silam
yang menaungi Kampung Kenangan dan beberapa lagi kawasan jajahan yang sangat
luas. Hanya sesetengah kawasan saja yang terlepas dari cengkaman Raja Kerajaan
Silam yang terkenal gagah dan Zalim itu. Raja Kerajaan Silam juga ada menjanjikan
ganjaran yang amat besar untuk menangkap dan menyerahkanmu kepadanya sekiranya
ada yang bertemu denganmu,” jelas Dewi panjang lebar. Air mata sudah mula
bergenang di tubir mata apabila mengenangkan yang sebentar lagi dia akan
berpisah dengan Aizuddin. “Dan… bapaku sudah memutuskan untuk menyerahkanmu
kepada Raja zalim itu,” tambahnya lagi.
“Macam mana boleh jadi
macam tu? Saya hanyalah orang biasa. Mustahil saya dapat membunuh seorang raja.”
Aizuddin masih belum dapat menerima cerita yang dikhabarkan kepadanya. Dia
tidak faham bagaimana remaja yang hanya berusia tujuh belas tahun sepertinya
akan mampu membunuh seorang raja yang memiliki jajahan yang luas begitu.
Membunuh anjing pun rasanya dia tidak mampu, inikan pula hendak membunuh
manusia.
“Kerana kau adalah
keturunan Raden Perwira!” Dewi sudah mula mengalirkan air mata.
Terlopong Aizuddin
mendengar jawapan Dewi. Tapi ayahnya berasal dari Terengganu dan bukannya dari
Benua Delima. Bagaimana Pendeta Alam Kenangan boleh memikirkan yang dialah
orangnya. Dia semakin keliru.
“Tapi…”
“Cepat pergi! Sudah
tidak ada masa lagi untuk aku menjelaskan semuanya,” gesa Dewi. Dia bimbang
jika bapanya menyedari kehilangan Aizuddin.
“Tapi… kenapa awak
membantu saya jika benar sayalah orang yang dinanti-nantikan itu? Awak tak
takut bapa awak marah ke?” soalnya lagi. Dia ingin tahu kenapa Dewi bertindak
menolongnya. Tidak takutkah gadis itu dengan hukuman yang akan diterimanya jika
pertolongan yang dihulurkan kepadanya diketahui oleh penduduk Kampung Kenangan?
“Kerana aku cintakan
kau, Aizuddin!” Semakin laju air mata Dewi sebaik menuturkan kata-kata itu.
Aizuddin terkaku
mendengar ucapan Dewi. Terlalu mudah gadis itu jatuh cinta kepadanya. Hanya
dalam masa yang tidak sampai sehari itu cinta Dewi sudah sejauh itu untuknya
dan Dewi juga sanggup menghadapi risiko dihukum oleh bapanya sendiri. Gila!
“Bersegeralah
menyeberangi sungai itu. Di sana kau akan lebih selamat. Teruslah berjalan ke
arah barat kerana di sana kau akan sampai ke Kampung Seputih Kasih. Orang-orang
di sana akan menolong kau,” beritahu Dewi penuh yakin. Dia pernah mendengar cerita
tentang ramalan datangnya seorang pemuda dari keturunan Raden Perwira yang akan
berkerjasama dengan orang-orang Kampung Seputih kasih untuk mengalahkan Raja
Kerajaan Silam.
“Terima kasih Dewi.
Semoga kita dapat bertemu lagi,” ucap Aizuddin lalu segera menyeberangi anak
sungai itu. Dewi hanya memandang sayu pemergian Aizuddin. Kampung Seputih
Kasih? Semakin keliru dan celaru fikirannya. Kesemua nama kampung dan kerajaan
yang didengarinya sejak bertemu Dewi langsung tidak pernah dia dengari sebelum
ini. Alam apa yang telah aku masuki ni? Sungguh misteri dan amat membingungkan!
Detak hati kecilnya.
TOK
AKI
sedang duduk bersila di serambi sambil membaca kitab sewaktu Aizuddin datang
dan duduk di sebelahnya. Aizuddin menjeling-jeling kitab yang sedang dibaca
oleh Tok Aki itu. Berkerut dahi Aizuddin jadinya. Sepatah perkataan pun dia
tidak tahu membacanya. Tulisan kitab itu ditulis dalam tulisan jawi lama yang
sukar untuk dia fahami.
Aizuddin hanya diam
memerhati Tok Aki yang tetap khusyuk membaca kitab. Perlahan dia mengeluh.
Sudah hampir sebulan dia tinggal bersama Tok Aki. Rindunya terhadap keluarga
sudah tidak tertanggung. Namun, untuk pulang ke Kuala Lumpur dia tidak tahu
bagaimana caranya. Jadi, terpaksalah dia tinggal di Kampung Seputih Kasih selagi
dia masih diterima di situ. Cuma yang menghairankan dirinya, orang-orang di
kampung itu begitu ramah terhadapnya seolah-olah mereka semua telah lama
mengenalinya. Dia cuba bertanya kepada Tok Aki tetapi lelaki itu masih enggan
membuka mulut.
Sepanjang dia tinggal
bersama Tok Aki, lelaki itu turut mengajarnya ilmu agama dan juga ilmu
persilatan walau dia tidak pernah meminta lelaki itu mengajarnya. Dia sendiri
hairan kenapa Tok Aki begitu bersungguh-sungguh mengajarnya. Tidak pernah
sekalipun Tok Aki menjelaskan siapa dirinya walau disoal berkali-kali. Dia tahu
yang Tok Aki menyembunyikan sesuatu darinya. Mungkin juga apa yang Tok Aki tahu
sama seperti apa yang diberitahu oleh Dewi kepadanya. Dan hari ini dia ingin
mencuba nasib sekali lagi. Berharap agar kali ini Tok Aki dapat memberitahu
perkara sebenar kepadanya.
“Tok Aki… dah lama
rasanya saya tinggal di kampung ni. Saya takut ibu saya tercari-cari di mana
saya berada. Kasihan ibu… pasti ibu sedang bersedih memikirkan kehilangan saya
selama sebulan ini.” Aizuddin membuka bicara. Wajah Tok Aki direnung.
“Hmm… masanya belum
tiba untuk kamu pulang ke tempat asalmu, Aizuddin. Tok Aki yakin yang ibu dan
ayahmu tentu faham dan tahu di mana kamu berada sekarang,” jelas Tok Aki dengan
penuh yakin seraya membalas renungan Aizuddin.
“Tapi Tok Aki… apa
sebenarnya tujuan saya di sini? Saya langsung tak tahu-menahu tentang
segalanya. Macam mana saya nak hidup tenang di sini?” Aizuddin masih tidak mahu
mengalah, masih cuba mengorek cerita yang dirahsiakan oleh Tok Aki dari
pengetahuannya.
“Sabar Aizuddin. Bila
tiba masanya nanti… kamu akan tahu juga. Apa yang perlu lakukan saat ini…
belajarlah bersungguh-sungguh segala ilmu yang Tok Aki ajarkan kepada kamu
kerana itu penting untuk kamu.”
“Tok Aki… tolonglah
beritahu saya kenapa saya boleh berada di sini. Saya perlu tahu agar saya dapat
mempersiapkan diri untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang,” ujar
Aizuddin. Masih mahu mencuba nasib. Untung-untung Tok Aki mahu memceritakan
segalanya.
Tok Aki merenung jauh
ke dalam anak mata Aizuddin. “Apa yang Tok Aki boleh beritahu kamu adalah…
kedatangan kamu ke sini sudah ditakdirkan, sudah tertulis sebelum kamu
dilahirkan lagi. Kamu memegang kunci pembebasan tanah Benua Delima dan kawasan
sekitarnya dari cengkaman Raja Kerajaan Silam yang sangat angkuh dan kejam
itu.”
Aizuddin diam. Jawapan
Tok Aki tetap sama. Tok Aki masih tetap tidak mahu menceritakan segala yang
berkaitan dengan dirinya. Dia buntu dengan kehadirannya di situ. Bagaimana dan
mengapa dia yang harus memikul segala tanggungjawab dan kunci kebebasan yang
Tok Aki katakan? Apa kaitan ayah dan ibunya dengan tempat yang terlalu asing
baginya itu? Bagaimana dia mampu membebaskan Benua Delima dari cengkaman
kerajaan silam yang terkenal kejam itu masih tidak dapat diterima akalnya. Dia
bukanlah seorang pendekar. Umur yang terlalu muda, ditambah pula dengan ilmu
yang tidak seberapa membuatkan segalanya kelihatan mustahil.
AIZUDDIN
duduk bersila di hadapan Tok Aki. Manakala Pendekar Awang duduk di sebelah
kanan Tok Aki. Melor, cucu perempuan Tok Aki yang juga merupakan adik kepada
Pendekar Awang duduk di sudut ruang tamu. Hari ini genap tujuh bulan dia
tinggal dan berguru dengan Tok Aki. Dan hari ini Tok Aki ingin menyerahkan
sesuatu yang dikatakan oleh Tok Aki sebagai milik keturunannya. Dia tidak sabar
hendak melihat apakah barang yang dimaksudkan oleh Tok Aki itu.
Aizuddin Masih tenang
menanti sambil memerhati Tok Aki mengeluarkan sesuatu dari bungkusan kain
kuning di hadapannya. Sejenak kemudian, sebilah keris sudahpun berada dalam
genggaman Tok Aki. Tok Aki menghulurkan keris itu kepada Aizuddin.
“Keris ini adalah untuk
kamu Aizuddin,” beritahu Tok Aki tenang.
Aizuddin tersentak.
Direnung wajah tua Tok Aki. Dia inginkan kepastian dari lelaki itu. Sejenak
kemudian, wajah Pendekar Awang pula mengambil giliran tatapannya. Serentak
kedua-duanya mengangguk.
“Keris ini adalah
pusaka keturunan Raden Mas iaitu Ayah kepada Raden Perwira. Dan kini keris ini
menjadi milik kamu,” beritahu Tok Aki lagi sambil tangannya masih tetap setia
menghulurkan keris warisan itu kepada Aizuddin. “Dan tanggungjawab kamu adalah
untuk membebaskan tanah Benua Delima ini dari cengkaman Kerajaan Silam
seterusnya mengembalikan kedamaian dan kemakmuran pada tanah ini.”
Aizuddin teragak-agak
untuk menyambut keris itu. Terlalu besar tanggungjawab yang harus dipikulnya.
“Ambillah Aizuddin.
Keris ini hak kamu. Hanya kamu yang paling layak menyimpannya. Kami hanyalah
penjaga sementara sebelum waris yang sebenar muncul,” celah Pendekar Awang.
Aizuddin akhirnya
menyambut keris yang dihulurkan oleh Tok Aki. Satu persatu wajah-wajah yang ada
di ruang tamu rumah itu di pandang. Tok Aki dan Pendekar Awang mengangguk
seraya tersenyum. Melor juga turut tersenyum walau senyumannya kelihatan tawar
dan tiada seri. Mungkin gadis itu risau memikirkan tugas yang akan digalas oleh
Aizuddin selepas ini. Tugas yang sangat berbahaya dan mungkin juga boleh
meragut nyawa Aizuddin.
“Tapi kenapa saya… Tok
Aki? Saya masih terlalu muda untuk memiliki keris ini dan tugas yang perlu saya
laksanakan selepas ini terlalu berat untuk saya memikulnya,” bicara Aizuddin
perlahan. Dia masih meragui kemampuan dirinya sendiri. Jika difikirkan oleh
akal waras sekalipun, sudah pasti orang akan mengatakan dirinya gila kerana
berani mencabar Raja Kerajaan Silam yang terkenal kuat dan hebat itu.
“Aizuddin… kekuatan
bukanlah terletak pada tenaga dan ketangkasan tetapi pada ketulusan dan
keimanan yang ada di dalam hati dan jiwa kamu. Ketahuilah… yang kamu sendiri
tidak akan mampu mempercayai kehebatan yang kamu miliki,” beritahu Tok Aki
sambal tersenyum. Dia tahu yang Aizuddin tidak tahu kemampuan sebenar yang dia
miliki. Tok Aki tidak mahu menceritakan segalanya. Cukuplah segala ilmu yang
telah dia curahkan. Selebihnya dia tidak mahu Aizuddin membangga diri.
Tiba-tiba bumi bergegar
hingga membuatkan rumah kayu Tok Aki bergoyang kuat. Melor yang tadinya duduk
di sudut ruang tamu sudah berlari mendapatkan Tok Aki dan Pendekar Awang.
Menggigil melor menahan perasaan takutnya.
“Aizuddin, bersedia!
Nampaknya takdir kamu sudah tiba,” jerit Pendekar Awang lalu bingkas berdiri.
Aizuddin turut berdiri.
Pantas dia berlari mengikuti langkah Pendekar Awang dan Tok Aki yang sudah
keluar dari rumah. Melor pula sudah berlari masuk ke dalam lalu mengunci pintu.
Dari jauh, jelas kelihatan askar berkuda segang bergerak pantas mendatangi
rumah Tok Aki. Tanpa membuang masa, Tok Aki dan Pendekar Awang segera melompat
ke tanah. Aizuddin yang melihat turut sama melompat. Ringan sahaja tubuhnya
melayang lalu mendarat di atas tanah. Dalam keadaan getir begitu, sempat lagi
Aizuddin terpegun dengan apa yang dilakukannya sebentar tadi.
“Aizuddin jaga!” laung
Tok Aki kuat lalu menyedarkan Aizuddin dari kelekaannya. Dengan gerakan kilat
dia mengelak libasan parang yang hampir mengenai tengkuknya dari salah seorang
askar berkuda itu. Secepat kilat juga dia melompat lalu menusuk keris
warisannya itu ke dada askar berkuda tadi hingga membuatkan askar itu rebah ke
tanah. Darah segar membuak-buak mengalir dari mulut dan dada askar itu.
Aizuddin terkaku.
Pertama kali di dalam hidupnya dia membunuh orang. Kalau sebelum ini, bergaduh
atau bertumbuk pun dia tidak pernah. Keadaan yang dia saksikan itu terlalu
asing dan ngeri baginya.
“Aizuddin, banyak lagi
yang akan kamu lalui selepas ini. Kuatkan hati dan iman kamu,” tegur Andika
lalu menepuk bahu Aizuddin.
Aizuddin berpaling
memandang Andika. Sejenak kemudian dia menoleh kebelakang. Kelihatan
berpuluh-puluh orang pemuda kampung yang lengkap bersenjata. Mereka semua sudah
bersiap sedia hendak menyerang askar berkuda yang menceroboh kampung mereka
itu.
Maka, berlakulah
pertempuran yang sengit antara penduduk Kampung Seputih Kasih dengan askar
berkuda Kerajaan Silam. Aizuddin juga tidak ketinggalan mencantas satu-persatu
askar berkuda itu. Ilmu persilatan yang dipelajari daripada Tok Aki digunakan
sebaiknya.
AIZUDDIN
tersungkur. Rasa sakit akibat hentakan kuat di rusuk kirinya membuatkan dia
terasa sukar untuk bernafas. Dipejam seketika matanya sambil cuba mengusir rasa
sakit yang membalut tubuhnya.
“Hahaha… kau menyerah
kalah Aizuddin?” soal Raja Kerajaan Silam dengan nada angkuh. Bibirnya pula
tersenyum mengejek. Baginya Aizuddin terlalu mentah dan lemah untuk menjadi
orang yang akan membunuhnya. Dia tidak akan sekali-kali tewas di tangan budak
hingusan seperti Aizuddin walau Aizuddin telah berjaya membunuh dua orang
pendekar handalannya. “Mengalahlah dan jadilah pengikutku Aizuddin. Kau akan
kuberikan kekuasaan dan kesenangan yang tidak pernah kau miliki sebelum ini.”
“Demi Allah yang nyawaku
berada di tangan-Nya, aku tidak akan sekali-kali menyerahkan imanku kepada
sesiapa pun selain-Nya. Aku lebih rela mati dari menjadi pengikutmu!” balas
Aizuddin lalu berdiri perlahan-lahan.
Setelah setahun dia
tinggal di Kampung Seputih Kasih, Aizuddin telah tahu asal-usul keturunannya.
Tanggungjawab yang terpikul di pundaknya bukanlah sesuatu yang mudah untuk
dilaksanakan. Namun, untuk mendapat ganjaran syurga dan menyelamatkan sekalian
makhluk dari kezaliman yang lebih dasyat, dia harus berani menghadapi segala
cabaran dan kesukaran walau nyawanya sendiri yang akan terkorban.
“Kau sungguh degil
budak hingusan! Masih belum kenalkah kau dengan aku? Aku Raja Kerajaan Silam
yang paling berkuasa di dunia ini. Nyawa kau dan penduduk bumi terletak di
tangan aku. Di tangan aku! Aku akan membinasakan sesiapa pun yang enggan tunduk
kepadaku.” Raja Kerajaan Silam menjerit marah. Kata-kata Aizuddin mencabar
kewibawaannya.
“Kau boleh membunuh
ramai manusia… tapi untuk menyuruh seluruh manusia tunduk kepadamu, kau tak akan
mampu. Dalam jutaan manusia, pasti akan ada yang berpaling darimu dan
menunjukkan penentangan terhadapmu. Termasuklah aku. Aku hanya menyerahkan jiwa
dan raganya kepada Allah. Allah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan
di bumi. Termasuklah kerajaan yang kau miliki itu!” balas Aizuddin.
“Kurang ajar!” jerit
Raja Kerajaan Silam lalu meluru ke arah Aizuddin. Bahang kemarahan terasa sudah
menggelegakkan otaknya.
Aizuddin tidak menunggu
lama. Secepat kilat dia mengatur gerak. Berlakulah pertempuran sengit di antara
kedua-duanya. Namun, Aizuddin lebih banyak terkena pukulan berbanding lawannya
hingga sekali lagi Aizuddin tersungkur. Raja Kerajaan Silam yang melihat
lawannya telah tersungkur tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan yang
seterusnya. Dengan sekali lompatan tubuh Raja Kerajaan Silam sudah melayang di
udara sebelum menjunam ke arah Aizuddin. Aizuddin yang sedang mengerang
kesakitan sempat terpandang tindakan lawan melalui ekor mata. Dengan kudrat
yang ada dia mencapai keris warisan yang terletak di sisinya.
“Allahuakhbar!” laung
Aizuddin.
“Arghhh!!” Bergema
jeritan Raja Kerajaan Silam sebaik keris warisan keturunan Raden Perwira
menembusi jantungnya. Terbelalak mata Raja Kerajaan Silam akibat rasa sakit
yang tidak tertanggung. Beberapa detik kemudian, kelihatan darah merah yang
pekat mengalih keluar dari mulut dan hidung Raja zalim itu. Akhirnya, Raja
zalim yang telah banyak melakukan huru-hara selama ratusan tahun itu terkulai
tidak bernyawa.
AIZUDDIN
memandang Melor yang sedang bersedih di hadapannya. Terasa berat pula hatinya
hendak meninggalkan Kampung Seputih Kasih dan juga Melor. Rasa sayang kepada
Melor juga turut memalu rasa sayu di
hatinya.
“Jangan bersedih lagi
Melor. Aku harus pulang ke tempat asalku. Ibuku pasti sangat merindui aku.
Tanggungjawabku kepadanya juga perlu aku tunaikan,” ucap Aizuddin. Antara cinta
kepada ibu dan kepada Melor, dia harus memilih yang lebih utama. Selama berada
di Kampung Seputih Kasih dan berguru dengan Tok Aki, Aizuddin menjadi semakin
matang dan semakin sedar akan tanggungjawabnya. Dia ingin berbakti kepada ibu
yang melahir dan membesarkannya. Baginya, harta yang tidak ternilai di dalam
dunia ini adalah doa dan kasih sayang seorang ibu.
“Aku akan merindui kau
Aizuddin,” luah Melor. Dia sangat sayangkan pemuda itu. Kalau boleh dia ingin
menjadi suri di hati lelaki itu. Dia tahu Aizuddin juga sayangkan dirinya walau
lelaki itu tidak pernah menyatakan rasa hatinya. “Alangkah bagusnya kalau aku
dapat mengikutmu, Aizuddin,” tambah Melor lagi.
“Di tempat asalku, aku
ini dianggap masih terlalu muda untuk berkasih dengan mana-mana gadis, Melor.
Masih banyak yang perlu aku lakukan sebelum aku memikirkan hal percintaan. Aku
minta maaf, Melor,” ucap Aizuddin perlahan. Dia juga menyukai Melor. Namun,
umurnya yang masih terlalu muda tidak memungkinkan untuk dia membawa Melor
bersamanya. Tambahan lagi dia dan Melor datang dari dua alam yang berbeza.
“Tidak mengapalah,
Aizuddin. Andai jodoh itu milikku, aku yakin Allah akan berikan juga kepadaku,”
luah Melor lagi. Kali ini dia pasrah dengan ketentuan Allah.
Aizuddin mengangguk
lalu perlahan memandang ke arah Tok Aki, Pendekar Awang serta penduduk Kampung
Seputih Kasih bersilih ganti dengan senyuman tawar. Terlalu berat rasa hatinya
untuk berpisah dengan orang kampung yang selama ini melayannya dengan baik
sekali.
“Assalamualaikum, saya
pergi dulu. Semoga kita bertemu lagi,” ucap Aizuddin dengan rasa sebak.
Perlahan dia melintasi hutan tebal yang ditunjukkan oleh Tok Aki kepadanya.
Lebih kurang dua puluh meter melangkah, dia berpaling memandang ke belakang.
Tangannya diangkat lalu dilambai-lambaikan ke arah mereka yang masih berdiri di
situ. Beberapa saat kemudian dia meneruskan semula langkahnya.
“Aizuddin! Aizuddin!”
Aizuddin tercari-cari
arah datangnya suara yang menjerit memanggil namanya. Laju dia menapak
menghampiri suara itu. Sebaik sampai di situ, dia terpandang beberapa orang
lelaki yang sedang tercengang memandangnya. Bingkas dia mendapatkan mereka.
Aizuddin tersenyum.
Pandangan hairan anggota keselamatan yang bertugas mencarinya tidak dihiraukan.
Dia tahu, mereka pasti berasa hairan dan aneh dengan kemunculannya yang
tiba-tiba serta cara berpakaiannya yang agak ‘ketinggalan zaman’. Sama seperti
rasa hairan yang memenuhi segenap akalnya suatu masa dulu.
“Alhamdulillah, kamu
selamat. Sudah seminggu kami mencari kamu,” kata salah seorang dari anggota
keselamatan yang bertugas mencarinya sekali gus memecahkan kesunyian saat itu.
Aizuddin hanya mengangguk
mengiakan. Sebelum mereka beredar dari situ, Aizuddin sempat menoleh ke arah
tempat dia mula muncul di hutan itu sambil tersenyum. Dia tahu yang Tok Aki,
Pendekar Awang dan juga Melor masih berada di situ walau dia tidak dapat
melihat mereka lagi. Selamat tinggal penduduk Kampung Seputih Kasih. Semoga kita
berjumpa lagi. Segala kenangan yang aku lalui bersama kalian akan aku ingat
hingga ke akhir hayatku. Bisik hati kecilnya.
TAMAT
Vivi Mohd Nasier
Julai 2014