Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
32,220
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 10

Ainul sedang minum air Milo yang dibeli Hajar di kafe hospital apabila Tuan Azazil muncul di pintu wad.


"Abah Aza!" Hajar menegur dengan hormat sambil tersenyum. Ainul pula memandangnya tanpa perasaan. Jauh di sudut hati, dia berasa sangsi.


"Em... Hajar, boleh Abah Aza nak cakap dengan Ainul secara peribadi? Sekejap saja," kata Tuan Azazil dengan nada mesra. Hajar mengangguk sebelum meninggalkan Ainul yang mula gelabah.


Tuan Azazil pandang Ainul dengan senyuman manis. Tangannya menyentuh bahu Ainul lembut. Badan Ainul mula menggeletar. 


"Abah Aza tahu, kamu ni tahu sesuatu yang kamu tak patut tahu, kan?"


Ainul membisu. Terasa peluh dingin merenik di dahi. Wajah Tuan Azazil masih kekal mesra.


"Lupakan saja, ya. Anggap saja apa yang kamu tahu itu cerita dongeng."


Dahi Ainul berkerut. Mana boleh! Tapi...


"Ala, kamu pun tahu, kan. Tak kiralah berapa kali kamu cuba beritahu orang lain, tiada sesiapa pun akan percayakan kamu. Tiada. Sesiapa. Pun."


Ainul tunduk. Kata-kata itu menusuk di hati. Apa yang dikatakan Tuan Azazil itu betul. Sebelum ini dia pernah cuba beritahu tentang kehilangan kawan-kawannya di rumah anak yatim itu kepada pihak pengurusan Wirda Kejora dan kakak-kakak senior, namun kata-katanya dinafikan. Siap kata kawan-kawannya itu lari dari rumah anak-anak yatim lagi. Memanglah, kawan-kawannya itu boleh dikatakan agak 'bermasalah', menurut mereka.


Disebabkan kehilangan kawan-kawannya itulah, dia tahu perkara itu. Exotika. Itupun secara tidak sengaja.


"Faham, ya. Petang ni doktor cakap, kamu dah boleh keluar wad. Balik nanti, naik dengan Abang Naufal, ya," kata Tuan Azazil lagi, nada suaranya masih kekal lembut, sambil senyum manis. Dia kemudian mengusap kepala Ainul dengan lembut lalu terus keluar dari wad itu, meninggalkan Ainul yang berfikir panjang. 


Hajar masuk beberapa minit kemudian.


"Eh, Ainul, Abah Aza mana?" Hajar bertanya. Ainul hanya membisu sambil menggeleng. Wajahnya kelihatan muram.


(...)


Nazmi memerhati sekujur tubuh yang terbaring di dalam salah satu kubikel di Unit Rawatan Rapi. Bermacam jenis alatan penyambung hayat dipasang pada jasad itu. Air matanya mula bergenang. Naufal pula sedang berbincang dengan doktor bertugas. Sesekali Naufal mengangguk perlahan.


Nazmi mengelap air matanya yang hampir tumpah. Sudah lama tubuh itu terbaring di situ. Terlalu lama. Dia rindukan keletahnya. Terlalu sayang padanya.


"Hei, Nazmi. Jom. Masa melawat dah nak tamat," panggil Naufal. Nazmi mengangguk lalu berjalan mengikuti Naufal ke pintu keluar wad itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.