Home Cerpen Seram/Misteri APH12 dan Pokok Beringin
APH12 dan Pokok Beringin
Syafiqah Kadir
20/8/2018 17:27:26
4,719
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Malam itu hening, seperti kebiasaannya. Bunyi yang kedengaran hanyalah bunyi angin yang bertiup menggoyangkan dahan pokok-pokok di sekitar Kediaman Siswa Semarak, UTM City Campus, dan bunyi kucing mengiau di atas bumbung seolah-olah mengejar sesuatu.


First Shop masih dibuka, walaupun jumlah pelanggan pada malam ini kurang dari kebiasaannya - Hari esok (Jumaat) diisytihar cuti peristiwa, maka ramai pelajar pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.


Maryam, pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Pengurusan, mengambil sebungkus roti potong dan sekotak ubat gigi dari rak. Dia kemudian menggerakkan joystick kecil di penyandar lengan sebelah kanannya. Kerusi rodanya bergerak perlahan menuju ke arah kaunter pembayaran.


"Zul, berapa harga semua ni?" Maryam menegur Zul, pelajar tahun 1 Diploma Teknologi Pengurusan, juga penjaga kaunter merangkap pengurus First Shop, yang sedang asyik berdansa mengikut rentak lagu K-Pop yang bermain di headphone yang bersambung ke arah komputer bersebelahan mesin juruwang. Terlampau bosan kerana tiada pelanggan barangkali. Mujurlah bangunan First Shop ini kedap bunyi dan pintu masuk yang dibuat daripada kaca berbingkai aluminium itu ditinted gelap. Pasang lagu kuat-kuat mengalahkan disko dan menari macam orang gila pun tiada sesiapa di luar yang perasan.


"Zul!" Maryam menguatkan suaranya.


Zul tersentak, terus berhenti menari, lalu memandang ke arah Maryam sambil tersengih-sengih. Macam kerang kena bakar gayanya.


"Aaa... Iye, Kak Yam? Nak bayar ke?" Zul bertanya, menanggalkan headphone yang dipakainya dan membetulkan kedudukan cermin matanya. Maryam tersenyum lembut. Serentak dengan itu juga, Zati - seorang pelajar tahun 2, kursus yang sama dengan Maryam masuk ke dalam First Shop. Mata mereka bertiga saling bertaut.


"Eh, Kak Yam ni, bukan nak bagitahu Zati nak pergi sini," kata Zati sambil mencebik manja. Maryam hanya ketawa perlahan mendengar rungutan rakan sebiliknya itu. (Mereka berdua, bersama seorang lagi pelajar, tinggal bersama di bilik APH12.)


Zati melangkah ke arah rak yang menempatkan bungkusan mi segera. Diambil sepaket besar mi segera perisa ayam dari situ (Zati tidak boleh makan makanan pedas) sebelum menyinggah ke peti sejuk untuk memgambil sekotak susu penuh krim. Dia kemudian terus berjalan ke arah kaunter pembayaran, beratur di belakang kerusi roda Maryam.


Zul mengira harga barang yang dibeli Maryam sambil meletakkannya ke dalam plastik. "RM7.50, kak," katanya. Wang dihulur, cukup-cukup nilainya. Zul menyambut, mengira seketika, lalu tersenyum sambil menekan-nekan butang di mesin juruwang itu.


"Ini resitnya. Saya jual ya, Kak Yam," kata Zul penuh hormat sambil menghulurkan resit kepada Maryam. Maryam menerima, senyuman lembut tidak lekang di bibirnya.


Sewaktu memasukkan barang yang dibeli Zati, Zul tiba-tiba bertanya, "Kak Yam, bilik akak kat blok APH, kan?" 


"Ya. Kenapa?"


"Bilik akak tu, dekat tak dengan pokok beringin besar dekat gelanggang badminton tu?" 


"Pokok beringin? Yang ada jurai-jurai tu kan?" Maryam berfikir sejenak. "Pokok tu, dari tingkap bilik dah nampak. Kenapa?"


Zul terdiam seketika. "Tak adalah, malam ni malam Jumaat Keliwon," kata Zul, separa berbisik.


"Jadi?" Zati mencelah. Rasa kurang senang menerpa. Macam ada aura seram je Zul ni, fikirnya.


"Ada orang beritahu, setiap kali malam Jumaat keliwon, kat blok tu ada bunyi tapak kaki budak tengah lari-lari di koridor asrama. Lepas tu ada macam bayang-bayang lalu depan pintu, bila check tiada orang pun. Kemuncaknya ada lembaga putih bertenggek kat dahan-dahan pokok beringin tu. Siap ada bunyi 'wooo~' bila lembaga itu muncul," kata Zul.


Zati dan Maryam saling berpandangan. Tiba-tiba sahaja suasana menjadi seram.


(...)


Zati keluar dari bilik untuk study group di bilik kawannya di blok APG yang terletak bersebelahan blok APH. Maryam pula sudah menukar pakaiannya dan duduk di kerusi, menghadap assignment yang terpapar di skrin komputer di atas meja.


Pintu bilik terkuak, dan seorang lagi penghuni bilik itu masuk ke dalam, membawa baldi dan sabun pencuci kain. Sesekali dia mengesat peluhnya. Baldi dan sabun disimpan di bawah katil.


"Ain," tegur Maryam, sedikit pelik melihat rakan sebiliknya - yang sama tahun dengan Zati, cuma dia pelajar Diploma Ukur Bahan - yang baru sahaja duduk di atas katil. "Kenapa nampak penat? Basuh kain ke?"


Ain mengangguk laju. Ada riak geram dikesan pada wajahnya.


"Ada orang bijak jahanamkan mesin basuh untuk kali ketiga dalam bulan ni," rungut Ain perlahan. "Dah terang-terang tulis kapasiti mesin basuh tu cuma 4 kg, tapi dia gatal-gatal tambah lagi 4 kg kain. Mana tak rosak?"


"Eh, rosak lagi?" Maryam melahirkan rasa kesalnya. Walaupun dia basuh kain dua kali sebulan - boleh dikatakan agak jarang jugalah - tapi seluruh penghuni blok terpaksa keluarkan duit jika mesin basuh itu rosak. Kalau mesin itu  rosak sekali dalam tempoh tiga bulan, masih boleh terima lagi. Kalau tiga kali dalam sebulan?


Maryam menggeleng perlahan. Pelik dengan sikap sebahagian kecil penghuni blok APH. Nama pun gunasama. Kenapa perlu pentingkan diri?


"Jadi, basuh kain pakai tangan sajalah, ya?" Maryam bertanya. Ain sekadar mengangguk.


"Basuh kain dengan Kiah tadi. Terus sidai. Ah, kalau akak nak guna mesin, blok AUH ada."


Blok AUH merupakan blok asrama puteri yang jaraknya dalam 50 meter dari blok APH. Pada asalnya blok itu adalah sebiji banglo khas untuk felo Kediaman Siswa Semarak. Namun, banglo itu diubahsuai menjadi asrama beberapa tahun lepas, tanpa mengubah pelan lantai asal banglo itu. Jadi, sila bayangkan banglo yang penuh dengan katil double-decker, lokar besi sepanjang dan selebar 0.5 meter serta setinggi 2 meter untuk meletak pakaian, dan meja belajar dari ruang tamu sampai ke pintu tandas. Begitulah rupanya. Agak tragis di situ.


"Sidai malam-malam boleh kering ke?" Maryam bertanya.


"Boleh," jawab Ain sepatah.


"Kalau hujan?"


"InsyaALLAH malam ni tak hujan."


"Wow. Yakin sungguh," kata Maryam.


"Kat langit tadi ada bintang. Jadi, esok pagi selalunya tak hujan. Masa tu kain mesti dah kering," Ain berkata selamba sambil meletakkan kepala di atas bantalnya.


Lama mereka membisu. Maryam tiba-tiba teringatkan cerita Zul. Kebetulan pula malam Jumaat Keliwon sebelum ini jatuh pada cuti pertengahan semester yang lalu.


"Er... Ain, masa cuti mid-sem hari tu, kamu tak balik, kan?" Maryam bertanya. 


"Ha-ah. Duduk asrama sampai habis cuti," kata Ain sambil tertawa perlahan. Dia terpaksa menginap di asrama sepanjang cuti kerana tidak sempat membeli tiket bas untuk balik ke kampungnya. Dia sendiri pun kagum bercampur hairan dengan diri sendiri sebab berani duduk seorang diri di asrama sewaktu cuti lepas. "Kenapa?"


"Masa kamu sorang-sorang tu, ada apa-apa yang pelik tak?"


"Em... Ada satu malam tu, malam Jumaat kalau tak silap, ada dengar bunyi orang lari-lari kat koridor."


"Bunyi... Orang lari-lari?" Maryam cuba sorok rasa terkejut. Apa yang dikatakan Ain itu... Sebiji macam apa Zul cakap tadi.


"Ha-ah. Bila check, tak ada orang pun. Lepas tu, masa nak tidur tu, macam ada bayang-bayang lalu depan pintu. Bila check, tak ada apa-apa pun. Itu je la. Kenapa?"


"Hish, tak takut ke?" Maryam bertanya lagi, terasa seram mendengar kata-kata Ain tadi.


"Takut?" Ain buat muka pelik. "Itu kucing je kot. Kan blok sebelah banyak kucing? Diorang datang nak menyinggah la tu. Apa nak takut?" Ain berkata selamba. "Okeylah kak, nak tidur dulu," sambungnya lagi. Badannya diiringkan ke kanan, menghadap dinding.


"Eh, tak solat Isyak ke? Takkan nak tidur camtu?" Maryam bertanya.


"Dah solat dah sebelum basuh kain tadi," balas Ain lambat-lambat sambil menarik selimut, menyelubungi seluruh badannya. Maryam sekadar menggeleng perlahan.


"Berani betul roommate aku yang seorang ni," gumam Maryam perlahan.


(...)


Jarum jam yang berada di atas meja itu bergerak, menunjukkan waktu sekarang sudah jam 1 pagi. Maryam menggeliatkan badannya seketika. Siap juga assignment yang dikerjakannya sejak tiga jam lepas. 


Matanya diarahkan ke arah pintu yang bertutup. Matanya tiba-tiba membulat melihat ada bayang-bayang melintas di hadapan pintu - kelihatan di ruang antara bawah pintu dan lantai. Laju sungguh pergerakannya.


Maryam menggagahkan diri menggerakkan kerusi rodanya menghampiri pintu dan membukanya. Kepalanya dijenguk ke luar. Sunyi. Tiada sesiapa di luar. Pintu utama APH yang dibuat dari kayu mampat itu juga sudah diselak.


Tiba-tiba kedengaran bunyi derap kaki di koridor tingkat atas. Bagaikan sedang main kejar-kejar. Rasa seram mula menguasai. Cepat-cepat Maryam masuk ke dalam biliknya semula dan mengunci pintu.


Selama sepuluh minit Maryam duduk di hadapan pintu biliknya itu, jaraknya dengan pintu itu dalam semeter saja. Bunyi derap kaki itu sudah lama menghilang. 


Tiba-tiba tombol pintu dipulas. Namun, disebabkan pintu bilik dikunci, pintu itu kemudian diketuk kuat. Maryam masih tidak berganjak. Rasa seram masih menguasainya.


"Kak Yam, ini Zatilah. Kenapa akak kunci pintu?" Satu suara yang amat dikenali berteriak dari luar. Maryam terus garu kepala. Macam mana dia boleh lupa yang Zati pergi study group di blok sebelah?


"Sekejap," kata Maryam sambil membuka kunci pintu bilik. Zati masuk ke bilik, tidak puas hati kerana dikunci dari luar.


"Maaflah," Maryam memujuk Zati yang duduk di kerusi sambil memuncungkan mulut. "Macam mana kamu masuk, ya? Pintu utama kan kunci?"


"Pintu belakang ada. Tak kunci pun. Tutup selak gitu je," kata Zati selamba. "Kan dah beritahu tak payah kunci pintu. Kenapa Kak Yam kunci?"


Tiba-tiba sahaja langsir bilik terangkat dek deru angin yang tiba-tiba berhembus kuat. Hujung langsir itu terkena kepala Zati, menyebabkan dia terus menoleh ke arah tingkap di belakangnya.


"Kenapa tingkap tak tu..." Zati tidak sempat menghabiskan ayatnya. Maryam pula terus memekup mulut.


"Wooo~~~"


Pokok beringin besar di luar bilik jelas kelihatan walaupun suasana sekeliling gelap. Dan di salah satu dahan pokok beringin besar itu, kelihatan satu lembaga putih tanpa muka terapung-apung, bagaikan sedang merenung mereka berdua.


"WARGH!" Zati berteriak kuat sambil cepat-cepat menarik balik langsir supaya menutupi tingkap. Maryam pula keras membatu di kerusi rodanya, terkejut dengan apa yang dilihatnya tadi.


"Apahal bising-bising ni?"


Maryam dan Zati memandang ke arah Ain yang terpisat-pisat bangun dari katilnya. Tentu jeritan Zati tadi yang mengejutnya bangun dari tidur.


"Ain," kata Zati, terketar-ketar.


"Em?"


"Ada... Ada..."


"Apa?"


Zati menunding ke arah tingkap yang sudah ditutup dengan langsir. Ain menggosok matanya yang mengantuk lalu menghampiri tingkap yang paling hampir dengannya. Langsir tingkap disingkap sedikit.


Lama Ain merenung ke luar melalui tingkap itu. Selepas itu langsir itu ditutup semula. Ain kemudian memandang ke arah Zati dan Maryam dengan pandangan kosong. 


"Pintu kunci tak?" Ain bertanya, riak wajahnya masih kosong, tiada perasaan. Maryam menggeleng.


Ain terus bangkit dari katil, berjalan ke arah pintu, dan terus keluar dari bilik, meninggalkan Zati dan Maryam dalam ketakutan.


(...)


Pintu bilik diketuk. Seketika kemudian, pintu bilik terbuka sedikit. Seorang gadis menjenguk keluar dari celah bukaan pintu dengan rambut serabai. Sesekali dia membetulkan cermin matanya, cuba mengecam manusia di hadapan pintu biliknya itu.


"Aaa... Ada apa, Ain?" Kiah, rakan sekursus Ain merangkap penghuni bilik itu bertanya.


"Awak sangkut telekung kat tingkap lagi ya?"


Kiah tersentak. "Mana awak tahu?"


"Telekung awak tersangkut kat pokok beringin tu. Sekali lagi."


Kiah terus berlari ke arah tingkap biliknya. Benar kata Ain. Telekungnya yang baru dibasuh itu tersangkut elok di celahan dahan pokok beringin di hadapan biliknya - bilik Kiah terletak betul-betul di atas bilik Ain.


"Aduh, macam mana ni..." Kiah menggaru kepalanya.


(...)


Seekor burung hantu bertenggek di salah satu dahan pokok beringin itu. Terasa hati kerana dipulaukan rakan sejenisnya. (Wow, binatang pun ada puak-puak juga ya?)


Burung hantu itu berbunyi sayu. Namun bunyinya jauh berbeza dengan bunyi burung hantu yang biasa - mungkin sebab itulah ia dipulaukan, mungkin.


"Wooo~~~~"


(FIN)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.