Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
26,384
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

Cahaya matahari menerobos masuk ke tingkap, menyedarkan Ainul dari lena. Matanya terbuka perlahan-lahan.


"Ainul, syukurlah kamu tak apa-apa!"


Ainul menoleh ke sisi. Seorang remaja yang usianya tua tiga tahun darinya sedang duduk di kerusi disediakan, tersenyum lega. Dia pula terbaring di atas katil, satu pint glukos yang tergantung di tiang bersebelahan katil disalurkan ke lengan kirinya secara intravena. Dengan perlahan-lahan kanak-kanak itu bangun, duduk di atas katil. Matanya melilau ke sekelilingnya. Ada katil putih dengan orang berpakaian hijau terbaring di atasnya, ada juga yang ditutup tirai di sekelilingnya. 


Hospital?


"Kak Hajar, macam mana Ainul boleh ada kat sini?"


Hajar terus kerut dahi.


"Tanya akak pula. Semalam kamu ke mana? Kata nak buat latihan hafazan. Akak tunggu kat surau sampai tengah malam, tapi kamu tak muncul-muncul. Tahu-tahu warden dapat panggilan telefon awal pagi tadi, beritahu yang kamu masuk hospital."


Ainul terus bungkam. Seingat dia, ada orang menyerkup badannya dengan guni dalam perjalanan ke surau, kemudian mulutnya ditekup menggunakan kain yang dibasahkan dengan sesuatu yang bukan air - kerana ada bau aneh padanya - sebelum dia tidak sedarkan diri. Apabila dia bangun dari pengsan, badannya sudah siap diikat dan matanya ditutup dengan kain. 


Bila mengenangkan semula apa yang dilihatnya apabila ikatan matanya terbuka, rasa seram dan ngeri bercampur aduk dalam jiwa. Siapa lelaki berjubah hitam berhud dengan pedang samurai itu? Penyelamat utusan Tuhankah? Disebabkan lelaki itukah dia berada di situ sekarang?


Ah, pastilah kerja lelaki misteri itu, bukan. Tidak mungkin dua lelaki yang mahu bunuh dia disebabkan Exotika itu baik hati mahu selamatkan dia. 


"Jadi, ni bukan mimpi..." Ainul berbisik perlahan. Hajar yang terdengar kata-kata Ainul itu terus merenung ke arahnya.


"Ainul, kamu okey?" Hajar terus bertanya. Ainul hanya mendiamkan diri sambil mengangguk perlahan.


(...)


"Janganlah jadi lagi..."


Langkah Syam laju menuruni tangga. Dia kemudian menuju ke arah ruang tamu, di mana berita pagi sedang disiarkan. Peluh dingin merenik di dahi apabila menyedari pedang yang selalunya disorokkan di bawah katil merayap ke sebelah almari. Elok saja tersandar di situ.


"Mayat dua orang lelaki dengan kepala terputus ditemui di pinggir hutan berhampiran Kampung Cendana..." 


Mata Syam bagaikan melekap pada skrin televisyen. Berita jam 9 pagi itu ditonton dengan khusyuk sampaikan Raz yang baru selesai bersarapan naik hairan. Sudahlah hanya dia dan dua adiknya itu saja - Ash, yang suka sangat merayap waktu malam, dan Syam - berada di rumah. Ibu bapa mereka pula tiada di Malaysia sekarang ini, sedang mengerjakan umrah.


"Bukan main lagi kau tengok berita tu. Ada apa-apa yang menarik ke?" Soalan itu diutarakan dengan selamba. Syam hanya menggeleng sambil hela nafas berat. Habis sahaja berita, dia berjalan menuju ke bilik tidurnya. Dibiar sahaja televisyen di ruang tamu itu terbuka.


Melihat sikap adiknya nan satu itu, entah mengapa Raz rasa tidak sedap hati.


(...)


Telefon bimbit Syam berdering. Dengan segera nama pemanggil yang terpapar di skrin dilihat. Nama 'Bray' muncul di situ. Laju saja jarinya meleret bulatan hijau untuk menjawab panggilan telefon itu.


"Hello, Syam. Kau ada tengok berita pagi tadi?" Suara seorang lelaki di hujung talian itu kedengaran prihatin, boleh juga dikatakan sedikit risau.


"Dah." Pendek sahaja respon Syam.


"Kau okey tak ni?"


"Hm."


"Kejap lagi aku datang rumah kau. Kau tak ke mana-mana kejap lagi, kan?"


"Tak ada rasanya." Ketara sungguh 'tiada mood' Syam itu kali ini.


"Okey. Aku nak siap-siap ni. Kau jangan merayap pula bila aku sampai, okey. Bye."


Talian terputus. Syam terus senyum lucu. Sahabat baiknya itu macam tahu-tahu saja apa yang bermain di mindanya. Sesekali matanya merenung ke arah rak buku. Trilogi siri 'Dark Hunter' tersusun elok di situ.


"Erzen, kau muncul kembali? Kenapa?"

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.