Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
32,239
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

Kebanyakan pelajar tahun dua Diploma Ukur Bahan yang mengikuti lawatan tapak pagi ini sudah berkumpul di tempat letak bas berhampiran Pintu Gerbang 2 - yang menghala ke arah lebuhraya - sambil berbual-bual. Beg pakaian masing-masing sudah dimasukkan ke dalam perut bas. Alif melihat jam di tangannya. Tinggal sepuluh minit sebelum bas KST bergerak ke lokasi ditetapkan.


"Okey semua, sesiapa yang nak ke tandas ke, nak beli roti ke, pergi sekarang. Tinggal 10 minit je lagi," laung Alif kepada kumpulan pelajar itu.


"Okey!" Laung kumpulan manusia itu. Sebahagian daripada mereka bergerak menyelesaikan apa sahaja yang belum selesai.


En. Azri duduk di gazebo, cermin matanya dibetulkan seketika. Lelaki yang sedang duduk membaca novel itu direnung lama. 


"Er... En. Azri, kenapa?" Lelaki itu bertanya, terasa kurang selesa ditenung begitu.


"Kamu Andi, kan?"


"Ya, kenapa?" Dia kelihatan kabur dengan soalan itu.


En. Azri tersengih. "Saja tanya. Manalah tahu kan, tiba-tiba bertukar nama."


Andi turut sengih. Baru dia faham. Pensyarah pengiring untuk lawatan ini risau rupanya. Lagipun, selain kawannya yang bertiga itu dan Puan Zu, En. Azri juga pernah hadap 'alter' dirinya itu. Rakan-rakannya yang lain, belum tahu lagi nampaknya. Bagi mereka yang tidak tahu, setiap kali personaliti lain ambil alih, mereka anggap dia masuk mod 'buang tabiat'.


"Andi, Salleh, kamu berdua ada nombor saya, kan?" En. Azri bertanya. Salleh yang berdiri berhampiran gazebo itu terus menoleh ke arah En. Azri.


"Ada," kata Andi dan Salleh serentak, sambil mengangguk.


"Nanti, kalau ada apa-apa hal, lebih-lebih lagi kalau melibatkan dia, maklumkan saya, ya," kata En. Azri kepada Salleh sambil menunding ke arah Andi.


"Okey, noted" jawab Salleh. En. Azri terus bangun dan berjalan ke arah pemandu bas yang baru keluar dari pejabat Unit Pengangkutan KST.


Salleh bercekak pinggang, memandang sekeliling, mencari-cari kelibat seseorang di bawah gazebo berhampiran tempat letak bas tersebut. Andi yang sedang membaca novel yang dipinjamnya semalam hilang fokus dek kelakuan Salleh itu.


"Awak cari apa?"


"Dia orang la."


"Siapa?"


Dari koridor susur gajah beberapa belas meter dari situ, muncul dua orang perempuan, seorang bertudung litup dan berkardigan corak awan, manakala seorang lagi berambut pendek paras bahu dan memakai cekak rambut hijau gelap di kepala, masing-masing membawa beg seolah-olah mereka mahu pergi mengembara secara backpacking. Bahagian atas beg sandang mereka itu lebih tinggi dari kepala mereka. Langkah mereka menghampiri gazebo bersebelahan Salleh dan Andi berada.


"Panjang umur. Bukan main besar lagi beg tu. Patutlah lama sangat," seloroh Salleh. Perempuan berambut pendek itu mengacukan penumbuk ke arah Salleh secara mendadak. Salleh terundur sedikit, terkejut.


"Sabar, Zel. Sabar," kata perempuan bertudung litup itu. Zel mendengus geram.


"Mereka tak tahu, Hana..."


"Zel. Shush." Hana berkata perlahan, tapi tegas. Zel membisu. Dia kemudian memandang ke arah Salleh.


"Kau tak tahu kenapa kami lambat, baik kau diam," kata Zel. Salleh senyum janggal.


"Er... Kenapa? Bukan bilik awak di sana ke?" Andi bersuara dengan tiba-tiba, menunding ke arah bangunan setinggi dua tingkat, salah satu blok asrama puteri Kediaman Semarak Api, yang berada betul-betul di sebelah tempat letak bas. 


Zel menjeling ke arah Andi. Macam nak makan orang pula gayanya. Seram pula dibuatnya.


"Er... Okey. Maaf. Saya cuma..."


"Ada kes pelik jadi lagi Subuh tadi. Pam tandas aras bawah kena curi," kata Hana bersahaja.


Andi dan Salleh saling berpandangan. Mereka kemudian pandang Hana dengan muka pelik.


"Pam. Tandas. Kena. Curi?" Mereka berdua bertanya serentak.


"Ya."


"Yang tangki air plastik, segi empat warna putih tu?" Salleh bertanya lagi, masih tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Tangannya siap bergerak lagi, seolah-olah melakar bentuk pam tandas atas angin.


"Ya. Benda tu la."


"Seriuslah? Benda tu pun boleh kena curi?" Andi bertanya pula sambil garu kepala. 


"Ya. Sila percaya. Habis semua tandas aras bawah pencuri tu kerjakan. Sekarang ni staf KSA tengah buat spot check, patutnya semua orang tak dibenarkan keluar. Kami berdua ni pun nasib baik dapat lepas sebab Puan Zu tolong," kata Hana lagi.


Tragis betul blok asrama puteri sebelah tempat letak bas ini. Tiap-tiap bulan ada saja kes yang tidak masuk akal. Bulan lepas, pokok renek yang ditanam berhampiran pintu masuk asrama dicabut dan terus hilang tanpa kesan. Sebelum itu, semua cermin dinding di tandas dibawa lari, padahal lekat di dinding guna gam gajah. Yang menjadikan ia bertambah pelik, kejadian 'hilang dan curi' ini semuanya terhadap harta hak milik kolej. Kes kehilangan harta persendirian seperti komputer riba, telefon bimbit atau wang, tidak pernah pula berlaku.


Mata Zel tajam merenung Andi. "Kau tahu, aku tengah syak seseorang," katanya perlahan. Menyedari pandangan Zel itu, Andi terus tunding diri sendiri sambil menggeleng laju.


"Bukan dialah, Zel. Salleh ada dengan dia sepanjang malam tadi," kata Hana. 


"Betul. Dia tak keluar bilik langsung," kata Salleh, mengiyakan kata-kata Hana. "Aku siap ada bukti lagi."


Zel tunduk seketika. Terasa bagai dikalahkan. Hana tepuk bahu Zel.


"Jom, letak beg. Kejap lagi nak gerak."


(...)


"Semua ada?" Abang Rafi, pemandu bas KST, bertanya dari tempat duduk pemandu.


"Ada~" 


Abang Rafi mengangguk. Pintu bas ditutup. Bas mula bergerak melepasi pintu pagar kolej.


"Kejap. Alif mana?" En. Azri yang duduk di kerusi paling belakang tiba-tiba bertanya.


"Ha-ah la. Mana Alif?" 


Semua peserta di dalam bas tercari-cari kelibat tuan perancang lawatan tapak itu. Tiada. Cuma beg sandang dan failnya sahaja yang ada di tempat duduk.


"WOI! TUNGGU! JANGAN TINGGAL DAKU!!!"


Kelihatan Alif berlari di tengah jalan, mengejar bas KST yang semakin jauh meninggalkannya di belakang.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.