Home Novelet Thriller/Aksi PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
PROJEK SERAM ORGAN: VALENTINE BERDARAH
Ebriza Aminnudin
23/11/2016 16:56:20
14,502
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 5 : EH SILAP JALAN KE?

SEKALI lagi mata Norazwana terbuka besar apabila kereta mereka berhenti secara tiba-tiba. Hazira dan Hasyifah juga terkejut dari lena yang panjang. Terpisat-pisat mereka memandang di antara satu sama lain tanpa tahu apa sebabnya. Sangka mereka, sudah sampai ke Pantai Raas.

“Kita dah sampai ke?” tanya Hasyifah polos.

“Tak nampak laut pun?” tokok Hazira dalam mamai.

“Kenapa ni Mi? Kenapa berhenti tiba-tiba?” tanya Hazzuan mewakili mereka semua.

Di sekeliling mereka adalah hutan yang agak tebal. Pelik Hilmi boleh berhenti di tengah-tengah jalan hutan. Hilmi menyengih sambil memandang wajah mereka satu per satu. Hilmi menarik nafas sebelum melontarkan sebarang vokal. Harapannya agar mereka tidak melenting.

“Aku sendiri tak tahu kenapa GPS ni bawa kita ke sini. Jalan yang ditunjukkan GPS ni betul tapi kenapa di tengah-tengah hutan. Aku tak sedap hati, tu yang aku berhenti. Lagi aku pandu ke depan lagi tebal hutannya,” jelas Hilmi berterus-terang.

Untuk apa dia mencari alasan sekiranya apa yang mereka alami itu adalah yang sebenar-benarnya.

“Kau jangan buat pasal Mi. 12.00 tengah hari kot. Tak lama lagi dah nak petang tapi kita belum sampai lagi ke Pantai Raas. Dahlah pasangan kau orang berdua ni nak buat gila sambut Valentine tepat 12.00 tengah malam. Kalau kita tersangkut di sini, bilanya nak sampai. Perut aku pun dah lapar ni,” ucap Norazwana tidak mampu menahan kemarahannya. Mencerlung memandang Hilmi. Tajammenikam.

Gusar jiwa dan raga Hilmi memandang pada letusan amarah Norazwana. Bukan dia sengaja, memang sah-sahlah salah GPS ni. Dia hanya memandu ikut laluan yang ditunjukkan oleh GPS di dalam kereta.

“Mustahil GPS kereta ni buat hal. Selalunya GPS tepat menunjuk arah. Aku tak fikir ia menunjuk jalan yang salah. Entah-entah kau yang melencong ke jalan yang salah,” sampuk Hazzuan juga tidak puas hati kerana selama mereka melancong dengan kereta Mitsubishi Grandis, GPS yang terpasang di dalamnya tidak pernah buat hal. Takkan tiba-tiba buat hal pula pada saat-saat yang penting.

“Habis tu, kau nak salahkan akulah ya? Aku tak melencong pun okey, aku hanya ikut jalan yang GPS ni tunjuk. Makin lama makin dalam ke dalam hutan, tu yang aku berhenti. Mustahil Pantai Raas di dalam hutan tebal ni. Kalau air terjun logiklah juga,” sangkal Hilmi sedikit meradang apabila dia dituduh sebegitu rupa. Tidak kelihatan rupa pantai mahupun laut sepanjang perjalanan mereka.

“Sudah! Sudah! Jangan kita bergaduh sesama sendiri pulak. Kita boleh fikir jalan lain. Tak ada masalah pun. Tak dapat sambut tepat 12.00 tengah malam pun tak apalah janji kita sampai dengan selamat,” sampuk Mudfiza meleraikan bunga-bunga pertelingkahan yang baru ingin meletus. Dia tidak mahu mereka bertelagah sesama sendiri kerana hal yang kecil. Mereka ke sini untuk bergembira sambil menenangkan minda bukannya saratkan fikiran dengan bergaduh begini.

“Biar Shir pula yang bawa. Mungkin Abang Mi dah penat sangat tu,” ujar Shirwan mempelawa sambil mengerling ke arah Norazwana.

Dia mahu menunjukkan kehebatannya agar Norazwana kagum akan dirinya. Selain itu, dia juga mahu mengambil hati Norazwana.

“Kalau kau bawa kami ke tempat lain, siap kau!” ujar Norazwana memberi amaran keras.

“Jangan bimbanglah. Shir yakin kali ni kita takkan tersesat jika pemanduan di tangan Shir,” jawab Shirwan menyatakannyadengan penuh bangga.

“Berlagak!”

Norazwana semakin menyampah dengan Shirwan sambil mata menjeling meluat. Shirwan hanya tersengih dengan gelagat Norazwana. Dia yakin suatu hari nanti gadis pujaannya itu akan menerima cintanya yang tulus ini.

Baru sahaja Shirwan hendak masuk ke dalam kereta, Hazira pantas menghentikannya.

“Nanti dulu!”

Kini semua mata memandang ke arah Hazira. Apa pula yang mahu dikatakan oleh wanita itu.

“Kak Zira ni nak apa pulak? Kita tak nak lewat sampai ke Pantai Raas. Kak Zira jangan buat hal,” ucap Shirwan memandang tidak senang kepada kakaknya.

“Janganlah marah Shir. Alang-alang kita dah berhenti di sini, apa kata kita isi perut dulu? Laparlah. Dah tengah hari kan?” pujuk Hazira tatkala memandang wajah masing-masing persis singa lapar.

“Elok jugak tu. Syifa pun dah lapar ni. Please. Jomlah kita makan dulu.” Hasyifah juga turut bersetuju dengan cadangan Hazira.

Masing-masing menarik nafas. Mereka tidak boleh menidakkan kehendak perut masing-masing yang sudah pun bertalu gendang irama dondang sayang. Nasib baiklah semasa di dalam perjalanan tadi, mereka sempat menapau beberapa nasi lemak dan kuih-muih yang dijual oleh mak cik tepi jalan. Habis jualan mak cik itu mereka beli.

Hazira dan Hasyifah membentangkan kain lapik untuk mereka menjamu selera. Mereka tidak mahu makan di dalam kereta. Makan berhidang lebih baik, boleh melihat rakan-rakan sambil berbual.

“Tak apa ke kita bentang tepi jalan macam ni? Kalau kereta lain lalu macam mana? Pasti berdebu makanan kita,” ucap Norazwana agak ragu-ragu dengan Hazira dan Hasyifah.

“Jangan bimbanglah Noraz. Kak Syifa yakin takkan ada kereta yang lalu dalam masa terdekat ni. Jom makan. Kata nak cepat sampai ke Pantai Raas,” sogok Hasyifah menyakinkannya.

Antara mahu dengan tidak, Norazwana menyertai mereka juga. Sememangnya dia amat lapar. Melihat makanan yang terhidang, laparnya semakin menggila. Perut menyanyi minta diisi. Apa yang ada di hadapan mata dia makan tanpa mempedulikan orang lain. Sikap Norazwana yang satu ini tidak disukai Mudfiza.

“Adik, cuba makan elok-elok. Buruklah makan macam tu,” tegur Mudfiza.

“Adik lapar ni,” balas Norazwana selamba.

Sebetulnya dia ada tujuan lain. Dia sengaja memperlihatkan sisi buruknya agar Shirwan membatalkan niat untuk mendekatinya.

“Semua orang pun lapar tapi tak adalah kebulur macam adik.” Malu Mudfiza dengan sikap Norazwana.

Terbantut selera Norazwana. Dia menghabiskan sisa baki makanan yang ada sebelum masuk ke dalam kereta dan duduk diam-diam di situ. Mudfiza hanya menggeleng melihat tingkah adiknya.

“Merajuklah tu.” Tiada kuasa Mudfiza hendak melayan kerenah Norazwana.

“Dah tegur macam tu, mana dia tak merajuk. Abang kena ada skillnak pujuk dia,” tegur Hazira tidak berkenan cara Mudfiza menegur Norazwana.

“Dia adik abang. Abang lebih tahu macam mana nak pujuk. Dah habis makan masuk dalam kereta,” arah Mudfiza.

Seketika kemudian, kesemua mereka sudah pun berada di dalam kereta dan telah bersedia untuk memulakan perjalanan semula.

“Eh, kejap. Aku rasa aku nak set lain GPS ni untuk memudahkan perjalanan kita,”

Hazzuan terus set GPS semula ke Pantai Raas.

“Harap-harap lepas ni kita tak tersesat lagi. Insya-ALLAH,” Mudfiza yakin mereka akan sampai juga ke destinasi yang dirancang.

Namun, setelah beberapa jam Shirwan mengambil alih pemanduan, sekali lagi kenderaan MPV mereka berhenti sebelum tiba ke destinasi. Kali ini betul-betul di dalam hutan. Pantai Raas juga terletak di sebalik hutan tetapi tidak pula mereka menjumpai Pantai Raas walaupun GPS di dalam kereta itu menyatakan:

Anda hampir sampai ke destinasi

“Dah kenapa pulak ni? Kata dah hampir ke destinasi tapi bayang pantai pun tak kelihatan. Yang kau berhentikan kereta dalam hutan ni kenapa Shir?”

Angin betul Norazwana dengan Shirwan. Kata baguslah sangat tapi hmm ... tak adalah bagus mana pun. Norazwana mencebik bibirnya. Sakit hati pun iya juga.

“Maaflah Noraz, Shir bukan sengaja nak berhenti tapi kereta kita kehabisan minyak.”

Shirwan memberitahu keadaan sebenarnya kenapa kereta mereka terhenti di tengah-tengah hutan. Tetapi tidaklah tengah hutan sangat pun, mungkin jika ke dalam sedikit akan diketemukan dengan perkampungan atau penempatan di kawasan itu. Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Itu hanya mengikut firasat yang bermain di minda mereka.

“Apa? Minyak habis? Kenapa tak penuhkan minyak tadi? Kau ni sengajalah nak susahkan kami semua, kan?”

Kali ini Norazwana benar-benar marah. Sudahlah kepenatan, destinasi yang dihajati masih tidak dijumpai.

“Aku dah isi minyak tiga kali dah sebelum sampai ke sini. Manalah tahu minyak nak habis jugak. Sekarang kita kena cari stesyen minyak sebelum meneruskan perjalanan. Mungkin Pantai Raas tak jauh dari sini,” sampuk Hazzuan membela Shirwan.

Bengang juga dia dengan sikap Norazwana yang berangin satu badan. Entah apalah kena dengan gadis ini pada hari ini.

“Ya ALLAH, kenapalah perjalanan kita kali ni banyak sangat dugaannya? Mula-mula salah jalan. Ni habis minyak pulak. Nanti entah apa lagi yang akan kita hadapi,”

Norazwana mula menyesal kerana setuju menyertai perjalanan mereka pada hari ini. Benar-benar dia menyesal. Sungguh!

“Adik, janganlah cakap macam orang dah putus asa. Abang yakin, kita dapat hadapinya bersama-sama. Adik jangan risau, kita semua akan cari jalan.”

Mudfiza memeluk bahu Norazwana untuk memujuk adiknya itu.

“Entahlah bang, adik rasa macam ada yang tak kena. Macam ada yang nak sabotaj perjalanan kita. Adik takutlah bang,” ujar Norazwana membalas pelukan abangnya. Tiba-tiba dia teringat Puan Aznah yang keberatan melepaskan mereka pergi.

“Siapa pulak yang nak sabotaj perjalanan kita ni, Noraz oi. Kau jangan buat andaian yang boleh hilangkan mood kami boleh tak? Kita semua nak bercuti, kan? Tak ada siapalah nak sabotaj.”

Semakin lama semakin bengang Hilmi dengan sikap Norazwana. Boleh pula dia membuat andaian buruk. Hisy!

“Aku bukan cakap kau orang yang nak sabotaj. Mungkin keadaan. Sebab tu agaknya mama larang sangat ke sini. Kalau Noraz tahu, Noraz akan ikut cakap mama.”

Norazwana memejam matanya.

“Sekarang semuanya dah terlambat. Mahu atau tak, kau kena ikut perjalanan yang GPS dah aturkan. Jom cari stesyen minyak.” Hazzuan pula menyampuk.

“Kau nak cari stesyen minyak kat mana dalam hutan ni? Kau ingat kita ada kat bandar ke?”

Norazwanacukup tidak puas hati dengan mereka.

“Hei, kau orang! Rasanya macam ada bandar kecil kat depan tu. Uniknya. Dalam hutan terpencil ni ada sebuah bandar. Mungkin kita boleh cari stesyen minyak kat sana,”

Hazira dan Hasyifah seretak mengkhabarkan berita gembira itu.

“Apa? Ada bandar kecil di dalam hutan ni? Kak Zira dan Kak Syifa biar betul?”

Norazwana seakan-akan tidak percaya dengan pertemuan mereka.

“Tulah, kau orang asyik bertekak aje. Kami ambil kesempatan untuk masuk sikit ke dalam. Mata kami tak mungkin menipu. Tinggal saja kereta kat sini sebab tak jauh mana pun kalau kita berjalan.Rasanya dalam dua kilometer kita dah boleh sampai,” ujar Hasyifah menamatkan segala kesangsian yang terbit di dalam hati masing-masing.

“Jomlah cepat. Dah pukul 5.00 petang ni. Takut tak sempat pulak kita sampai ke Pantai Raas. Lepas isi minyak, kita boleh teruskan perjalanan yang berbaki. Kejap aje kot.”

Hazira semakin teruja ketika membayangkan suasana Valentine yang cukup romantik. Entah apalah yang hendak dilakukan oleh Mudfiza pada sambutan Valentine mereka yang terakhir ini. Sungguh seronok.

Norazwana, Shirwan, Mudfiza, Hazzuan dan Hilmi tidak membantah dan membuntuti langkah wanita-wanita yang sudah melangkah di hadapan. Mudah-mudahan apa yang mereka temui itu bukan hanya satu ilusi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.